Selasa, 19 Januari 2010

Isu-Isu Pengubatan Islam Menurut Fatwa Para Ulama (Bahagian 1)


(Susunan: Dr. Rushdi Ramli)

TAJUK : Lapan Fatwa Penting Shaykh al-Islam Imam Ahmad Ibn Taymiyyah Mengenai Rawatan Penyakit Akibat Gangguan Makhluk Halus Jin Dan Syaitan
Keupayaan makhluk halus jin dan syaitan untuk menimpakan kesakitan dan penderitaan tertentu terhadap jasad manusia merupakan satu fakta yang dinyatakan secara jelas di dalam kitab al-Quran. Hakikat ini dapat dilihat dengan jelas di dalam kisah Nabi Ayub as. Di dalam menceritakan penderitaannya, al-Quran menjelaskan:-

[maksudnya] “Dan ketika Nabi Ayub berdoa kepada Tuhannya : Wahai Tuhan ku, sesungguhnya aku telah ditimpakan oleh Syaitan dengan kesusahan dan azab siksa..” [Surah Sad, ayat 41]

Menurut sebahagian ahli Tafsir, yang dimaksudkan dengan nusb wa `azab ialah kesakitan yang teramat sangat yang berlaku pada badan dan jasad Nabi Ayub(1) Menurut Muhammad ibn Umar al-Jawi di dalam kitab tafsirnya, lafaz nusb merujuk kepada kesakitan fizikal yang berlaku pada badannya manakala azab merujuk kepada bisikan-bisikan jahat yang dicampakkan Syaitan ke dalam hatinya. Menurut sebahagian ulama lagi, nusb merujuk kepada kesakitan yang menimpa badan Nabi Ayub manakala azab merujuk kepada bala bencana yang menimpa harta dan anaknya (2).
Di dalam membincangkan persoalan merawat sakit akibat gangguan dan rasukan makhluk jin dan syaitan, ulama Islam tersohor Imam Ahmad ibn Taymiyyah telah mengemukakan lapan fatwa penting yang perlu difahami oleh umat Islam, khususnya oleh para pengamal pengubatan Islam iaitu :
[1] menolong seseorang yang teranaiya akibat rasukan jin dan syaitan adalah sesuatu yang disyariatkan oleh Allah sekalipun mungkin proses rawatan yang dilakukan itu akan menyebabkan kematian sekelompok jin.
Imam Ibn Taymiyyah menyatakan, “…..adalah harus, bahkan sunat, dan boleh jadi juga wajib, untuk mempertahankan serta menolong seseorang yang telah dizalimi [oleh makhluk jin dan syaitan yang merasuknya]. Tetapi orang tersebut hendaklah dibantu [dirawat] dengan “cara yang adil”, iaitu berdasarkan apa yang diperintahkan Allah dan RasulNya, seperti membacakan doa-doa dan zikir-zikir yang disyariatkan di dalam Islam [kepada diri pesakit], atau seperti menyuruh jin yang merasuk badan pesakit tersebut [agar segera meninggalkan badan pesakit]…….Maka apabila para pesakit tersebut telah sembuh dan pulih melalui doa, bacaan-bacaan zikir dan pelbagai arahan-arahan dan kecaman keras yang dtujukan kepada jin perasuk tersebut maka telah berhasillah tujuan yang dicari [iaitu kesembuhan diri pesakit]; dan rawatan seumpama ini adalah harus dan dibolehkan sekali pun mungkin akan menyebabkan kesakitan dan penderitaan sekelompok jin atau mungkin juga kematian mereka……. Maka menolak dan menghindarkan apa-apa kezaliman dan pencerobohan yang dilakukan oleh seseorang itu, samada dia [penceroboh tersebut] seorang Muslim ataupun kafir, adalah wajib sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud,
“Barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia adalah syahid, dan barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan darahnya maka dia adalah syahid dan barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya maka dia adalah syahid” [hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi].
Maka sekiranya harus bagi seseorang Muslim yang dizalimi itu untuk mempertahankan hartanya walaupun mungkin terpaksa membunuh pencerobohnya maka sudah semestinya harus [menurut hukum syarak] bagi seseorang Muslim itu untuk mempertahankan akalnya, badannya dan kehormatannya [dari pencerobohan makhluk jin dan syaitan]. Maka sesungguhnya syaitan dan jin berupaya untuk merosakkan akal manusia, menyakiti jasadnya dan mungkin juga melakukan perlakuan-perlakuan sumbang terhadap mangsanya [orang yang dirasuk], maka sekiranya perlakuan-perlakuan jahat seperti ini dilakukan sesama manusia di mana adalah harus untuk membunuh pihak yang menceroboh maka begitulah juga adalah harus, sekiranya terpaksa, untuk membunuh pihak jin yang menceroboh”
[2] melakukan rawatan terhadap pesakit akibat gangguan jin adalah fardu kifayah menurut Islam dengan syarat orang tersebut memiliki keupayaan dan persediaan diri untuk melakukannya.
Imam Ibn Taymiyyah menyatakan, “…..adapun sikap membiarkan seseorang Muslim itu terus dirasuk, diganggu dan dizalimi oleh makhluk jin [tidak menolongnya] maka sikap seperti ini adalah sama seperti sikap kita yang tidak mahu menolong umat Islam yang teranaiya dan dizalimi. Malah memberi bantuan dan rawatan dalam kes-kes seperti ini adalah fardu kifayah, iaitu bagi sesiapa yang berupaya untuk melakukannya. Adapun sekiranya seseorang itu tidak berupaya untuk melakukannya [untuk merawat orang-orang Islam yang diganggu jin] atau tidak melakukannya ekoran daripada kesibukan dirinya dengan perkara-perkara lain yang lebih wajib dan lebih utama pada hak dirinya, atau tidak melakukannya kerana telah ada orang lain yang melakukannya maka kewajipan ini [kewajipan membantu orang yang dirasuk] menjadi tidak wajib pada haknya sekalipun mungkin dia berupaya…”
[3] melakukan rawatan terhadap pesakit akibat rasukan jin dan syaitan adalah di antara seafdal-afdal amalan di dalam Islam kerana ianya adalah daripada amalan para Anbiya’ dan para Salihin. Imam Ibn Taymiyyah menyatakan, “…maka amalan ini, bukan sahaja disyariatkan di dalam Islam, malah ianya adalah di antara seutama-utama amalan kerana ianya adalah amalan para Nabi, para Rasul dan orang-orang salih, maka sesungguhnya sentiasalah para Nabi dan para Salihin menghalau dan menghindarkan makhluk jin dan syaitan dari [merasuk dan mengganggu] anak-anak Adam dengan cara yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya, sebagaimana Nabi Isa al-Masih melakukannya dan sebagai mana Nabi kita Muhammad saw melakukannya…”
[4] melakukan rawatan terhadap pesakit akibat rasukan jin dengan menggunakan tangkal [al-`aza’im] atau pun jampi-jampi yang tidak diketahui maknanya adalah tidak harus menurut syarak dan wajib dijauhi.
[5] melakukan rawatan yang melibatkan unsur-unsur syirik dan kekufuran [seperti berdoa kepada jin] adalah haram dan tidak dibenarkan di dalam semua keadaan.
[6] barangsiapa yang merawat orang-orang yang dirasuk dengan menggunakan kaedah dan pendekatan yang disyariatkan Allah maka jin pasti tidak akan menyakitinya
Beliau menyatakan, “…..maka sesiapa yang merawati pesakit dengan kaedah yang disyariatkan Allah maka jin tidak akan menyakiti orang tersebut, samada kerana mereka [jin] mengetahui bahawa perawat tersebut bersifat adil atau tidak kerana mereka tidak berupaya untuk menyakiti orang tersebut kerana kekuatan rohaninya.
[7] dalam proses merawat pesakit yang dirasuk, adalah harus, menurut hukum syarak, untuk memukul tempat-tempat tertentu pada badan pesakit dengan tujuan untuk menyingkir jin yang berada di dalam badannya.
[8] tidak harus membawa dan memakai azimat [al-tama’im] dengan tujuan untuk memelihara diri dari gangguan jin atau sebagai suatu kaedah rawatan dari gangguan jin.
Nota kaki:
(1) Muhammad Ali al-Sabuni, Safwah al-Tafasir, juzuk 3, muka 44.
(2) Amir Abdul Aziz, al-Tafsir al-Syamil li al-Quran, juzuk 5, muka 2882.






0 ulasan:

Catat Ulasan