Rabu, 27 Januari 2010

Penjelasan Etika Pengubatan Islam

Gambar : Tuan Guru ketika merawat

Semua ahli Darussyifa' seharusnya memahami dengan sejelas mungkin etika pengubatan Islam yang telah digubal sejak sekian lama. Etika ini mestilah difahami dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Etika Pengubatan Islam tersebut ialah:-
1. Setiap penyakit ada ubatnya. Usaha adalah ikhtiar manusia, manakala kesembuhan adalah hak mutlak Allah. Etika ini bertepatan dengan hadis rasullullah dibawah:-
"Tidaklah Allah menurunkan penyakit kecuali berserta dengan ubatnya"


2. Setiap pesakit berhak mendapatkan rawatan tanpa batasan waktu.
Perkara kedua ini seringkali disalahfahami oleh para perawat. Ada yang memahami perkara kedua ini sehinggakan merawat tanpa mengira waktu. Sedangkan perawat juga bukanlah seorang perawat sepenuh masa sebaliknya perawat Darussyifa' juga mungkin punyai kerjaya tersendiri yang juga bertanggungjawab kepada pelajarnya jika dia seorang guru/ustaz juga bertanggungjawab terhadap masyarakatnya jika dia seorang penjawat awam serta juga bertanggungjawab terhadap syarikatnya jika dia seorang pekerja swasta. Malah perawat juga bertanggungjawab terhadap anak dan isteri. Justeru, merawat ini biarlah dilakukan dengan penuh hikmah dan kecerdikan agar tugas merawat dan membantu dilakukan dengan tidak mengganggu urusan-urusan yang lain. Janganlah dikeranakan sibuk merawat sehingga kebajikan anak isteri terabai serta prestasi kerja menurun dikeranakan mengantuk akibat seringkali lewat pulang ke rumah akibat merawat. Ingatlah mencari rezeki yang halal itu juga dituntut. Malah menjaga kesihatan juga dituntut. Perawat Darussyifa' bukan 'SUPERMAN' yang boleh terbang ke sana kemari apabila diperlukan tanpa mengira masa dan tempat. Sememangnya kita amat digalakkan membantu tetapi lakukanlah ia dengan penilaian yang sebaiknya agar kita dapat memberi khidmat yang terbaik disamping memperbagaikan khidmat dan dakwah pada masyarakat dan negara. Sesungguhnya rasulullah s.a.w sendiri mengigatkan kita bahawa setiap diri dan keluarga punyai hak ke atas diri dan laksanakanlah hak-hak tersebut mengikut kadarnya. Keluarga dan anak-anak punyai hak untuk mendapatkan masa dan kasih sayang kita, diri kita juga punyai hak untuk mendapatkan kerehatan dan kesihatan demikian jugalah yang lainnya. Dalam sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda’ yang di antaranya tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya telah menegurnya dengan berkata:-
“Tuhanmu ada hak ke atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya.” Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, Baginda berkata: “Benarlah Salman.” (Bukhari)

Berdasarkan hadis tersebut amat jelas menerangkan kepada kita konsep pengurusan masa yang berkesan agar kita dapat memikul beban khalifah ini dengan sempurna. Tuan Guru kita, Dato' Dr Haron Din mampu memperbagaikan dakwahnya disebabkan pengurusan masanya yang berkesan. Tuan Guru tidak merawat setiap hari dan sepanjang malam. Tetapi hanya merawat pada hari selasa agar tugas dakwah dan perbagai aktiviti lain dapat dilaksanakan dengan jayanya pada masa-masa yang lain.

3.Ikhlas adalah sifat utama yang mesti dimiliki, manakala kesabaran, keyakinan, kejujuran, berakhlak mulia dan amanah memantapkan kemustajaban doa.
Perlu difahami bahawa ikhlas adalah sifat yang paling utama. Jangan diletakkan harapan terhadap pemberian manusia tetapi haraplah pemberian daripada Pencipta Manusia. Sabda nabi s.a.w:-

Sabda nabi lagi:-
"Ingatlah sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada segumpal daging yang apabila baik maka baiklah tubuh seluruhnya dan apabila ia rosak, maka rosaklah tubuh keseluruhannya. (Segumpal daging yang dimaksudkan) itu ialah HATI"



4. Usaha rawatan adalah ibadah. Segala perlaksanaaan mesti selaras dengan hukum syarak.
Hendaklah dijauhi segala amalan yang bertentangan dengan syarak serta perbuatan-perbuatan yang menyakitkan dan memudharatkan.

"Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan menyediakan bagi setiap penyakit itu ubat, kerana itu hendaklah kamu semua berubat dan janganlah berubat dengan benda yang HARAM"

5. Elakkan fitnah ketika melakukan rawatan dan berinteraksi. Pesakit perempuan mesti menutup aurat dan ditemani oleh waris.
Etika ini amat penting diamalkan dan diberi perhatian oleh para perawat. Ini kerana wanita dan laki-laki yang bersendirian mengundang fitnah yang besar. Justeru sikap berhati-hati dan sentiasa mengelakkan fitnah adalah sifat yang paling utama. Ingatlah juga rawatan Islam sebagai dakwah kepada wanita-wanita yang tidak menutup aurat agar mereka sembuh kelak dalam keadaan seorang muslimah yang sebenar.

6. Konsep dan pemahaman kaedah rawatan perlu dihayati dengan jujur dan yakin. Sandarkan segala harapan kepada Ihsan Ilahi semata-mata.
Para perawat hendaklah benar-benar memahami konsep rawatan Islam. Yakinilah segala ilmu yang diperturunkan serta yakinilah juga segala permintaan dan permohonan kita diperkenankan Allah. Firman Allah:-
"Dan apabila aku sakit Dialah (Allah) yang menyembuhkan"


7. Penonjolan diri adalah dilarang, manaka rawatan hanya diberi ketika diminta.
Ini adalah antara etika yang sering dicabuli. Ingatlah jangan sekali-kali menonjolkan diri walau atas apa alasan sekalipun. Jangan memberi rawatan melainkan hanya apabila diminta. Inilah peringatan dan pesanan Tuan Guru. Latihlah diri berendah diri. Sesungguhnya biarlah kita lebih dikenali oleh makhluk dilangit daripada dikenali oleh makhluk dibumi. Biarlah kita lebih dikenali oleh Allah dan para malaikatnya daripada kita dikenali oleh makhluk-makhluk dibumi. Menonjol diri boleh mendatangkan penyakit riya', sum'ah, takabbur dan sebagainya yang akhirnya meletakkan kita dari kalangan wali-wali syaitan yang mana amalan kita pastinya terbatal. Sebaliknya tawaddhuk dan merendah diri akan meningkatkan darjat kita pada pandangan Allah. Tidak sepatutnya para perawat Darussyifa' membuat kad busines untuk memperkenalkan dirinya sebagai perawat Darussyifa' atau membuat signboard di halaman rumahnya kononnya dia perawat Darussyifa' atau murid Ust Haron Din kerana murid Ust. Haron Din sebenar tidak akan melakukan hal-hal sedemikian yang merupakan larangan keras Tuan Guru terhadap anak muridnya. Tidak perlu menonjolkan diri untuk membantu orang lain. Tidak perlu memperkenalkan diri sayalah anak murid Haron Din walaupun atas alasan mahu membantu. Sekiranya kita benar-benar ikhlas ingin membantu, doakan sahaja mengikut keperluan mereka itu dalam solat hajjat yang kita lakukan dirumah tanpa perlu diberitahu atau diketahui oleh si pesakit yang mungkin terdiri daripada rakan sekerja mahupun jiran tetangga. Mendoakan saudara seagama tanpa diketahui olehnya ini lebih mustajab dan utama serta dapat mengelakkan diri kita daripada riyak, sum'ah dan takubbur. Ini selaras dengan hadis baginda:-
Nabi bersabda:-




8. Perawat mesti amanah memelihara kepercayaan pesakit, keluarga dan masyarakat. Elakkan perlakuan yang melibatkan kepentingan peribadi manaka rawatan dilakukan tanpa perbezaan jantina dan martabat diri.
Etika ini juga perlu diberi perhatian oleh para perawat. Jangan sekali-kali menceritakan hal ehwal pesakit kepada umum. Peliharalah kepercayaan pesakit serta jangan sekali-kali membeza-bezakan layanan terhadap pesakit dari segi jantina mahupun kedudukan mereka.



9. Rahsia pesakit adalah satu amanah dan sulit dan hanya perlu untuk kepentingan rawatan sahaja. Jauhkan penerangan yang tidak jelas/samar bagi mengelakkan kekeliruan.
Etika terakhir ini selain meminta para perawat memelihara rahsia pesakit, para perawat juga mestilah menjauhi perbuatan yang tidak pasti dalam rawatan terutamanya melibatkan penggunaan bahan herba atau sebagainya. Sekiranya perawat tidak pasti, gunakan kaedah paling selamat iaitu dengan mendoakan pada air sebagai penawar kepada pesakit. Semoga niat ikhlas kita membantu mendapat perhatian Allah hendaknya. Semoga artikel ringkas ini memberi manfaat buat kita bersama. wallahua'lam

Selasa, 26 Januari 2010

Keratan Majalah: Percaya Pada Cara Tradisional


Laporan: AZMAN MOHD NAWI, SALAWATI HARIS dan DALIA ISMAIL Foto: HALIMATON SAADIAH
Perubatan tradisional adalah sebahagian hidup masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi bila pengamalnya mencampur-adukkan rawatan mereka dengan ayat-ayat suci al-Quran. Sokongan inilah melahirkan lebih ramai lagi pengamal perubatan tradisional sehinggakan susah hendak dikenali yang mana benar dan yang mana menyimpang atau palsu. Fokus kali ml membentangkan kenapa orang ramai masih percaya dan yakin pada perubatan tradisional dan apakah rawatan yang pengamal ini tawarkan.
Kesemuanya mendakwa mereka pakar, pakar dalam berbagai rawatan termasuk pembedahan batin. Menakut­kan tetapi itulah hakikatnya. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan, ramai pengamal perubatan tradisional membuka klinik baru, kononnya mampu mengubati segala jenis penyakit, dari kecil hingga ke sebesar-besar penyakit.
Bukan itu sahaja, tidak kurang yang mempamerkan kehebatan me­reka dalam akhbar tabloid mingguan. Gah bunyinya. Dalam pada itu, secara senyap-­senyap ada juga yang ditangkap polis kerana menipu dan mencabul kehormatan pesakit wanita mereka. Macam-macam terjadi.
Ini masih tidak menghalang masyarakat Melayu dan kaum-kaum lain mem­percayai pengamal perubatan tradisio­nal masing-masing. Mereka masib menziarahi pengamal perubatan ini apabila rnenghidapi segala jenis pe­nyakit.
Bukan itu sahaja, masih terdapat dikalangan mereka percaya segala penyakit berpunca dari gangguan jin atau makhlus halus, bukan kerana tersalah makan atau lain-lain.
Dalam dunia moden di mana dunia perubatan telah mengalami berbagai evolusi serta pembaharuan sejajar dengan penemuan penyakit dan cara pemulihan baru, masih terdapat ramai lagi anggota masyarakat di negara ini rnasih percaya pada perubatan tradi­sional.
Dalam pada itu, perubatan tradi­sional yang menggunakan herba dan daun serta akar kayu sudah mula mendapat tempat dihati masyarakat berbilang kaum di negara ini. Tambah lagi jika ubat-ubatan itu ada khasiat memulihkan kelelakian seperti Tong­kat Ali dan sebagainya. Malahan, ubat-ubatan seperti ini juga diminati oleh masyarakat luar negara yang su­dah pun mempunyai viagra dan kialis dan sebagainya.
Perubatan seperti ini, mungkin di panggil tradisional kerana menggu­nakan akar kayu, daun dan pokok-­pokok yang mempunyai khasiat dan telah dilakukan klinikal eksperimen sebagai bukti, maka ianya sangat popular.

Jumaat, 22 Januari 2010

Personaliti: Fitri guna strategi harmoni sebar Islam. Pendakwah utama kesederhanaan, kesejahteraan dalam kerja kemasyarakatan

Oleh: Hasliza Hassan
JIKA asyik melihat perbezaan saja kita tidak akan berjaya tetapi apabila membandingkan persamaan yang dimiliki, itu akan lebih mudah membawa kepada ruang perbincangan dan hasilnya juga adalah lebih baik.
Itulah yang ditekankan Pengarah Unit Dakwah Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia, Muhammad Fitri Abdullah (gambar) untuk menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat terutama golongan bukan Islam. Katanya, berdasarkan pengalaman, golongan bukan Islam akan lebih tertarik untuk mengetahui mengenai Islam apabila diberitahu bahawa agama yang dibawa Nabi Muhammad SAW itu tidak jauh berbeza dengan agama lain. “Lebih mudah untuk sampaikan dakwah kepada bukan Islam apabila ada persamaan. Walaupun sudah 50 tahun merdeka, kita gagal sebarkan Islam kepada bukan Islam kerana kita sentiasa melihat perbezaan.
“Hari ini kita mengajar masyarakat Islam supaya melihat antara kita dengan mereka supaya mereka mudah faham. Dalam kitab Hindu juga ada menyebut keesaan Tuhan. Oleh itu, jika kita boleh sampaikan dengan kaedah menunjukkan persamaan, mereka tidak akan ada masalah dengan kita,” katanya.
Beliau berkata, mencari persamaan antara ajaran agama juga disarankan dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai Ahli Kitab (orang Yahudi dan Nasrani), marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, kita tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu juga pun, jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain sebagai Tuhan (untuk dipuja dan didewakan) selain daripada Allah.” – (Surah al-Imran, ayat 64)
Muhammad Fitri berkata, beliau menyedari mengenai persamaan antara agama selepas memeluk Islam dan sejak itu beliau cuba menjadikan maklumat itu bagi mendekatkan diri dengan kumpulan sasar dalam menyebarkan Islam kepada mereka.
Beliau yang banyak terbabit dengan aktiviti membantu saudara baru mengenal serta mendalami Islam berkata, tujuan beliau bukan untuk mencari salah atau menunjukkan siapa yang hebat tetapi lebih kepada usaha menyampaikan mesej Allah kepada manusia.
“Saya belajar mengenai persamaan itu selepas memeluk Islam kerana saya teringat kembali petikan dalam kitab Veda Hindu berusia ribuan tahun dulu mengenai tuhan itu esa. Tetapi masa itu saya tidak faham walaupun kitab itu menyebut tuhan tidak boleh dilihat.
“Apabila membaca al-Quran dan tafsir, saya terkejut kerana ada persamaan. Al-Quran membuka minda saya untuk memahami agama Hindu lebuh mendalam. Sebab itu apabila turun padang, saya bukan nak Islamkan orang tetapi nak beritahu Islam bukan agama yang janggal.
“Jika semua masyarakat bukan Islam duduk berbincang dan lihat mesej yang Islam sampaikan pada manusia, saya rasa ramai akan memahami Islam. Kita bukan hendak cari gaduh kerana tanggungjawab kita ialah menyampaikan,” katanya.
Katanya, ramai juga penganut Hindu yang datang secara peribadi untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan lanjut kenapa agama mereka tidak diterima Islam serta kenapa hanya Allah Tuhan yang perlu disembah.
Kemusykilan mereka itu dipermudahkan dengan memberikan persamaan yang ada dalam al-Quran dan kitab Veda yang keduanya menegaskan mengenai keesaan Tuhan dan hakikat bahawa Tuhan tidak boleh dilihat.
Muhammad Fitri berkata, selepas meletakkan hujah itu kepada mereka yang datang berbincang dengannya, beliau akan membiarkan mereka untuk memikirkan sendiri serta menentukan apakah keputusan yang akan dibuat.
Katanya, beliau sendiri pernah melalui saat sama seperti mereka dan itulah titik tolak kepada usahanya mendalami Islam seterusnya membuat keputusan yang akhirnya mengubah kehidupannya hari ini.
“Ketika itu saya sedang menonton televisyen dan kebetulan Datuk Haron Din menjadi salah seorang ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam. Beliau berkata biarpun niat baik, amalan sedekah jariah yang dilakukan tidak menjadi ibadat jika kita tidak beriman.
“Apabila saya mendengar kata dia, saya marah sangat. Saya tertanya kenapa orang Islam saja yang baik Allah terima amalan mereka. Kenapa orang Islam saja masuk syurga tetapi orang agama lain yang baik tidak boleh masuk syurga.
“Kenyataannya menghantui saya tetapi ketika itu hati saya memang tidak berminat mendekati Islam. Saya pergi gereja untuk belajar agama Kristian tetapi malangnya, saya tidak berjumpa apa yang dicari,” katanya.
Katanya, kemudian beliau dibawa seorang pelanggan yang sering berurusan dengannya yang bertugas di sebuah bank untuk menghadiri usrah bersama Haron dan selepas mengikuti beberapa sesi usrah, akhirnya beliau memeluk Islam.
Beliau memeluk Islam dalam majlis usrah yang dikendalikan Haron dan peristiwa bersejarah berlaku pada 8 Ogos 1991 itu lebih bermakna apabila ia disaksikan 200 peserta usrah.
Muhammad Fitri bersyukur kerana diberi hidayah oleh Allah dan gembira kerana dimudahkan untuk menyebarkan Islam kepada orang lain melalui pembabitan dalam pelbagai organisasi termasuk Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia yang banyak memberi sokongan kepadanya.
Sebagai Pengarah Unit Dakwah dan Perunding Latihan bagi persatuan yang menjalankan kerja dakwah kepada saudara baru, beliau turut mendapatkan bantuan rakan yang mahir dalam agama Kristian untuk memperkenalkan Islam kepada masyarakat Kristian.
Selain aktiviti dakwah, menghadiri seminar, bengkel dan memenuhi jemputan di masjid atau pejabat, Muhammad Fitri turut menguruskan rumah perlindungan Baitul Sakinah yang terletak di Serendah, Rawang, untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan.
Rumah perlindungan itu memberi bantuan bersifat sementara kepada keluarga saudara baru termasuk mendapat pendidikan, tempat tinggal hingga mencari pekerjaan sebelum mereka boleh hidup sendiri.
“Pada masa sama, jika mereka tidak ada kerja kita cuba dapatkan mereka kerja. Apabila ekonomi sudah terurus, kita cuba dapatkan rumah sewa dan kadang-kadang kita uruskan sewa rumah hingga mereka stabil dan boleh berdikari.
“Ini yang kita cuba buat dan syukur kerana mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam. Mereka banyak membantu dan kerjasama mereka membolehkan kami memantapkan usaha membimbing serta mendidik saudara baru,” katanya.
Katanya, usaha itu bertujuan memartabatkan saudara baru supaya dapat menjalani kehidupan lebih selesa dan apabila berjaya nanti boleh ditampilkan sebagai contoh kepada saudara baru lain yang mengikut jejak langkah mereka memeluk Islam.
Berdasarkan rekod Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia, kira-kira 300 saudara baru yang sudah dibimbing dan memeluk Islam di seluruh negara, berjaya membina kehidupan baru dan menaburkan bantuan kepada saudara lain.
(Keratan Akhbar Berita Harian Khamis 16 Ogos 2007 m/s 11)

Khamis, 21 Januari 2010

KULIAH PERUBATAN ISLAM DARUSSYIFA' NEGERI PERAK


ADALAH DIMAKLUMKAN BAHAWA KULIAH PENGUBATAN ISLAM BAGI PENGAMBILAN PELATIH DARUSSYIFA' NEGERI PERAK AKAN DIADAKAN DI PAKAT, KOTA LAMA KIRI KUALA KANGSAR PADA 28.3.2010.
SATU TAKLIMAT AKAN DISAMPAIKAN SEBELUM KULIAH BERMULA DAN MAJLIS PERASMIAN SERTA KULIAH UTAMA AKAN DISAMPAIKAN OLEH Y.BHG TUAN GURU PROF. DATO' DR HARON DIN. SEGALA MAKLUMAT BOLEH DIPEROLEHI DARIPADA URUSETIA. SEGALA PERUBAHAN ADALAH TERTAKLUK DARI MASA KE SEMASA.

Selasa, 19 Januari 2010

Isu-Isu Pengubatan Islam Menurut Fatwa Para Ulama (Bahagian 1)


(Susunan: Dr. Rushdi Ramli)

TAJUK : Lapan Fatwa Penting Shaykh al-Islam Imam Ahmad Ibn Taymiyyah Mengenai Rawatan Penyakit Akibat Gangguan Makhluk Halus Jin Dan Syaitan
Keupayaan makhluk halus jin dan syaitan untuk menimpakan kesakitan dan penderitaan tertentu terhadap jasad manusia merupakan satu fakta yang dinyatakan secara jelas di dalam kitab al-Quran. Hakikat ini dapat dilihat dengan jelas di dalam kisah Nabi Ayub as. Di dalam menceritakan penderitaannya, al-Quran menjelaskan:-

[maksudnya] “Dan ketika Nabi Ayub berdoa kepada Tuhannya : Wahai Tuhan ku, sesungguhnya aku telah ditimpakan oleh Syaitan dengan kesusahan dan azab siksa..” [Surah Sad, ayat 41]

Menurut sebahagian ahli Tafsir, yang dimaksudkan dengan nusb wa `azab ialah kesakitan yang teramat sangat yang berlaku pada badan dan jasad Nabi Ayub(1) Menurut Muhammad ibn Umar al-Jawi di dalam kitab tafsirnya, lafaz nusb merujuk kepada kesakitan fizikal yang berlaku pada badannya manakala azab merujuk kepada bisikan-bisikan jahat yang dicampakkan Syaitan ke dalam hatinya. Menurut sebahagian ulama lagi, nusb merujuk kepada kesakitan yang menimpa badan Nabi Ayub manakala azab merujuk kepada bala bencana yang menimpa harta dan anaknya (2).
Di dalam membincangkan persoalan merawat sakit akibat gangguan dan rasukan makhluk jin dan syaitan, ulama Islam tersohor Imam Ahmad ibn Taymiyyah telah mengemukakan lapan fatwa penting yang perlu difahami oleh umat Islam, khususnya oleh para pengamal pengubatan Islam iaitu :
[1] menolong seseorang yang teranaiya akibat rasukan jin dan syaitan adalah sesuatu yang disyariatkan oleh Allah sekalipun mungkin proses rawatan yang dilakukan itu akan menyebabkan kematian sekelompok jin.
Imam Ibn Taymiyyah menyatakan, “…..adalah harus, bahkan sunat, dan boleh jadi juga wajib, untuk mempertahankan serta menolong seseorang yang telah dizalimi [oleh makhluk jin dan syaitan yang merasuknya]. Tetapi orang tersebut hendaklah dibantu [dirawat] dengan “cara yang adil”, iaitu berdasarkan apa yang diperintahkan Allah dan RasulNya, seperti membacakan doa-doa dan zikir-zikir yang disyariatkan di dalam Islam [kepada diri pesakit], atau seperti menyuruh jin yang merasuk badan pesakit tersebut [agar segera meninggalkan badan pesakit]…….Maka apabila para pesakit tersebut telah sembuh dan pulih melalui doa, bacaan-bacaan zikir dan pelbagai arahan-arahan dan kecaman keras yang dtujukan kepada jin perasuk tersebut maka telah berhasillah tujuan yang dicari [iaitu kesembuhan diri pesakit]; dan rawatan seumpama ini adalah harus dan dibolehkan sekali pun mungkin akan menyebabkan kesakitan dan penderitaan sekelompok jin atau mungkin juga kematian mereka……. Maka menolak dan menghindarkan apa-apa kezaliman dan pencerobohan yang dilakukan oleh seseorang itu, samada dia [penceroboh tersebut] seorang Muslim ataupun kafir, adalah wajib sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud,
“Barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia adalah syahid, dan barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan darahnya maka dia adalah syahid dan barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya maka dia adalah syahid” [hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmidhi].
Maka sekiranya harus bagi seseorang Muslim yang dizalimi itu untuk mempertahankan hartanya walaupun mungkin terpaksa membunuh pencerobohnya maka sudah semestinya harus [menurut hukum syarak] bagi seseorang Muslim itu untuk mempertahankan akalnya, badannya dan kehormatannya [dari pencerobohan makhluk jin dan syaitan]. Maka sesungguhnya syaitan dan jin berupaya untuk merosakkan akal manusia, menyakiti jasadnya dan mungkin juga melakukan perlakuan-perlakuan sumbang terhadap mangsanya [orang yang dirasuk], maka sekiranya perlakuan-perlakuan jahat seperti ini dilakukan sesama manusia di mana adalah harus untuk membunuh pihak yang menceroboh maka begitulah juga adalah harus, sekiranya terpaksa, untuk membunuh pihak jin yang menceroboh”
[2] melakukan rawatan terhadap pesakit akibat gangguan jin adalah fardu kifayah menurut Islam dengan syarat orang tersebut memiliki keupayaan dan persediaan diri untuk melakukannya.
Imam Ibn Taymiyyah menyatakan, “…..adapun sikap membiarkan seseorang Muslim itu terus dirasuk, diganggu dan dizalimi oleh makhluk jin [tidak menolongnya] maka sikap seperti ini adalah sama seperti sikap kita yang tidak mahu menolong umat Islam yang teranaiya dan dizalimi. Malah memberi bantuan dan rawatan dalam kes-kes seperti ini adalah fardu kifayah, iaitu bagi sesiapa yang berupaya untuk melakukannya. Adapun sekiranya seseorang itu tidak berupaya untuk melakukannya [untuk merawat orang-orang Islam yang diganggu jin] atau tidak melakukannya ekoran daripada kesibukan dirinya dengan perkara-perkara lain yang lebih wajib dan lebih utama pada hak dirinya, atau tidak melakukannya kerana telah ada orang lain yang melakukannya maka kewajipan ini [kewajipan membantu orang yang dirasuk] menjadi tidak wajib pada haknya sekalipun mungkin dia berupaya…”
[3] melakukan rawatan terhadap pesakit akibat rasukan jin dan syaitan adalah di antara seafdal-afdal amalan di dalam Islam kerana ianya adalah daripada amalan para Anbiya’ dan para Salihin. Imam Ibn Taymiyyah menyatakan, “…maka amalan ini, bukan sahaja disyariatkan di dalam Islam, malah ianya adalah di antara seutama-utama amalan kerana ianya adalah amalan para Nabi, para Rasul dan orang-orang salih, maka sesungguhnya sentiasalah para Nabi dan para Salihin menghalau dan menghindarkan makhluk jin dan syaitan dari [merasuk dan mengganggu] anak-anak Adam dengan cara yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya, sebagaimana Nabi Isa al-Masih melakukannya dan sebagai mana Nabi kita Muhammad saw melakukannya…”
[4] melakukan rawatan terhadap pesakit akibat rasukan jin dengan menggunakan tangkal [al-`aza’im] atau pun jampi-jampi yang tidak diketahui maknanya adalah tidak harus menurut syarak dan wajib dijauhi.
[5] melakukan rawatan yang melibatkan unsur-unsur syirik dan kekufuran [seperti berdoa kepada jin] adalah haram dan tidak dibenarkan di dalam semua keadaan.
[6] barangsiapa yang merawat orang-orang yang dirasuk dengan menggunakan kaedah dan pendekatan yang disyariatkan Allah maka jin pasti tidak akan menyakitinya
Beliau menyatakan, “…..maka sesiapa yang merawati pesakit dengan kaedah yang disyariatkan Allah maka jin tidak akan menyakiti orang tersebut, samada kerana mereka [jin] mengetahui bahawa perawat tersebut bersifat adil atau tidak kerana mereka tidak berupaya untuk menyakiti orang tersebut kerana kekuatan rohaninya.
[7] dalam proses merawat pesakit yang dirasuk, adalah harus, menurut hukum syarak, untuk memukul tempat-tempat tertentu pada badan pesakit dengan tujuan untuk menyingkir jin yang berada di dalam badannya.
[8] tidak harus membawa dan memakai azimat [al-tama’im] dengan tujuan untuk memelihara diri dari gangguan jin atau sebagai suatu kaedah rawatan dari gangguan jin.
Nota kaki:
(1) Muhammad Ali al-Sabuni, Safwah al-Tafasir, juzuk 3, muka 44.
(2) Amir Abdul Aziz, al-Tafsir al-Syamil li al-Quran, juzuk 5, muka 2882.






Ahad, 17 Januari 2010

PENAFIAN DAN PENJELASAN

Adalah dimaklumkan bahawa Pihak Jawatankuasa Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa’) tidak pernah membuat sebarang perjanjian dan kerjasama dengan Ustaz Mohd Tirmizi bin Zainal. Pihak Darussyifa’ juga tidak pernah melantik Ustaz Mohd Tirmizi untuk apa sahaja urusan bagi mewakili Darussyifa’.
Jika sekiranya Ustaz Mohd Tirmizi bin Zainal di dalam kuliahnya atau dalam kaedah rawatannya, mendakwa ianya dari Darussyifa’, maka pihak Jawatankuasa Darussyifa’ menafikannya. Ini kerana Ustaz Mohd Tirmizi belum lagi diijazahkan oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din dengan Ilmu Pengubatan Islam.
Sebarang penjelasan tentang perkara ini boleh berhubung terus dengan Pengerusi Darussyifa’ Ustaz Haji Abdul Rahman bin Ahmad di 013-3808766

Khamis, 7 Januari 2010

Bersama Tuan Guru Dato' Dr Haron Din: Belajar Tanpa Berguru, Syaitanlah Gurunya


SOALAN: Saya ingin bertanya mengenai perubatan alternatif, sama ada bertentangan dengan syarak atau tidak. Bagaimana jika ada pengamal itu yang mendakwa, dia mendapat ilmu atau petunjuk perubatan melalui mimpi. Contohnya seperti seorang pengamal mengubati pesakit dengan menggunakan dauh sirih. Daripada pemerhatiannya kepada struktur daun sirih selepas membaca mantera (doa), dia dapat memberitahu kepada pesakit tentang keadaan penyakitnya dari segi fizikal, spiritual atau gangguan. Mohon Dato' jelaskan. - INSAN YANG RAGU,

JAWAPAN: Ada dua episod daripada persoalan anda. Pertama mengenai perihal pengubat yang mendapat ilmu mengubati manusia menerusi mimpi. Kedua, menggunakan daun sirih sebagai penunjuk untuk mengubati dan mengetahui perkara ghaib, tentang penyakit zahir, batin dan sebagainya.
Perihal ilmu pengubatan melalui mimpi pernah saya jelaskan dahulu dalam ruangan ini, bahawa ilmu itu tidak sabit dari segi syarak. Dengan lain perkataan, ilmu yang memberi kebaikan kepada manusia, dipelajari dengan cara berguru dengan cara yang betul, memakan masa yang agak lama, perlu diuji dan dipastikan dia boleh memilikinya, bukan sama sekali menerusi mimpi semalaman atau beberapa minit sahaja mimpi itu. Keadaan ini tidak mampu menjadikan seseorang itu sebagai pengubat. Dalam tasawuf atau tarikat selalu sangat diperkatakan mengenai kaedah mempelajari sesuatu ilmu hendaklah dengan berguru dengan jelas dan nyata, dia berilmu dan beramal dengan ilmunya. Sesiapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya. Oleh kerana itu ilmu melalui mimpi, amat diragui siapakah sebenarnya yang menjelma dalam mimpinya itu. Hendak dikata wali-wali Allah (yang telah kembali kepada Allah), mereka semuanya sudah berada di alam barzakh sehingga hari kiamat. Ruh mereka tidak boleh kembali lagi ke dunia ini untuk bertemu dengan sesiapa. Lebih-lebih lagi untuk menyampai ilmu selepas mati. Orang yang telah mati, terputus usaha kebaikan atau kejahatan. Sudah tidak boleh lagi menyampaikan ajaran atau petua-petua perubatan kepada mana-mana orang yang hidup.
Firman Allah (mafhumnya): "Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan." Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)." (Surah al-Mukminun, ayat 100)
Dalam kitab tafsir yang muktabar, disebut barzakh dengan huraian bahawa selepas mati, ruh-ruh manusia ditempatkan ke alam baru. Dengan kehidupan baru itu, mereka terputus dari dunia dan tembok-tembok itu menjadi pemisah, tanpa dapat ditembusi untuk pulang ke dunia.
Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib (r.a) beliau pernah menyebut (mafhumnya):
"Hari ini di dunia adalah untuk beramal tanpa hisab, esok sesudah mati, hanya ada hisab yang menunggu tanpa ada amal lagi."
Jika yang telah mati boleh lagi beramal dengan pulang ke dunia dan memberi petua atau pengajaran untuk perubatan, maka ia bertentangan dengan al-Quran seperti ayat yang saya nyatakan di atas. Dengan hujah-hujah itu, tidak boleh diterima pakai, atas andaian bahawa ilmu menerusi mimpi adalah dari sumber yang sahih. Yang berlaku hanyalah tipu daya syaitan dalam mimpi seseorang, mengajar manusia melalui mimpi yang boleh menyesatkan. Berhati-hatilah, kadang-kadang mereka ini kelihatannya seperti betul dan bersesuaian dengan kehendak syarak, tetapi yang tersiratnya adalah untuk mempengaruhi manusia yang bakal membawa ke jalan yang sesat.
Seorang sahabat Nabi s.a.w, Abu Hurairah, pernah menerima ilmu dalam jaganya daripada syaitan, apabila diceritakan ilmu itu yang zahirnya sejajar dalam syariat, iaitu dengan menyuruh Abu Hurairah membaca ayat kursyi supaya beliau melindungi harta yang dijaganya supaya tidak dicuri seseorang, maka Rasulullah s.a.w menyatakan (mafhumnya):
"Itu adalah ajaran daripada syaitan, jangan peduli dengannya, lupakan ajaran itu dan ambillah ajaran daripadaku."
Seterusnya Nabi s.a.w mengajar Abu Hurairah, sama seperti yang diajar oleh syaitan tadi.
Mimpi manusia, kebanyakkan daripada perbuatan syaitan, jika ada pun daripada Allah, ianya adalah terlalu sedikit. Ada pun mengenai pengubat memberitahu pesakit menerusi tilik menilik daun sirih, maka itu adalah pengubat tradisional Melayu, bukan pengubatan cara Islam.
Dalam Islam, tilik menilik dalam semua perkara sama ada menerusi daun sirih atau pun lain-lainnya, adalah bertentangan dengan syarak dan amat dilarang.
Dalam satu hadis Nabi s.a.w. bersabda (mafhumnya): "Daripada Ummul Mukmimin Hafsah dan Aisyah r.ahnuma, bahawa pernah ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan tukang-tukang tilik. Nabi mengatakan bahawa mereka hanyalah temberang dan tidak benar satu pun. Ditanya lagi, "Tukang tilik itu mengkhabarkan kepada kami perkhabaran dalam tilik mereka, maka kami dapati ia benar." Nabi bersabda, "Yang demikian itu dikhabarkan kepada mereka oleh makhluk halus kepada yang berbaik dengan mereka, dengan mencampuradukkan di dalamnya ratusan pembohongan." (Hadis riwayat al-Bukhari).
Dalam hadis lain Abu Hurairah menyatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda (mafhumnya): "Sesiapa yang mendatangi orang yang mendakwa mengetahui yang ghaib (arraf) atau tukang tilik (kaahin), lalu mempercayai apa sahaja yang dikatakan mereka itu menerusi tilik menilik mereka, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan Allah ke atas Nabi Muhammad (al-Quran)." (Hadis riwayat al-Hakim dan as-Sahabus Sunan)
Apa yang anda tanya mengenai pengubat tersebut, mengetahui perkara ghaib sehingga secara spesifik menerusi struktur daun sirih sehingga mengetahui jenis-jenis penyakit, sama ada fizikal atau spiritual adalah termasuk dalam perkara yang dilarang syarak.
Firman Allah (mafhumnya): "Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati)." (Surah an-Naml, ayat 65)
Firman Allah (mafhumnya): "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun, - melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redai-Nya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)." (Surah al-Jin, ayat 26-27)
Saya harap penjelasan saya menjawab persoalan anda.
wallahua'lam

Isnin, 4 Januari 2010

2010: Peranan Kita


‏قَالَ النَّبِيُّ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ كَمَثَلِ الْبَهِيمَةِ تُنْتَجُ الْبَهِيمَةَ هَلْ تَرَى فِيهَا‏ ‏جَدْعَاءَ

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. kedua ibu bapanyalah yang membuatnya menjadi yahudi, nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong.”
Kita seringkali membaca dan mendengar para pendakwah dan penceramah agama melontarkan hadis diatas dalam siri-siri ceramah agama yang menyentuh perihal dan kewajiban ibubapa dalam mendidik anak-anak. Keruntuhan akhlak muda-mudi kini dengan perbagai aktiviti tidak sihat amat membimbangkan. Darussyifa' sendiri seringkali berhadapan dengan beberapa ibubapa yang datang memohonkan agar diikhtiarkan supaya anak mereka dijauhi daripada perbuatan terlarang. Seorang ibubapa memaklumkan bahawa anak gadisnya kini pantang ditegur. Apabila ditegur anak gadisnya itu akan melarikan diri dari rumah berhari-hari. Siibu kian merasa risau akibat tindakan anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun sudah pandai membonceng motosikal bersama laki-laki. Demikian juga dalam kes yang lain pula seorang ibu memaklumkan kerisauannya terhadap anak gadisnya yang gemar melakukan hubungan sejenis bersama teman wanitanya. Kesemua kes-kes yang dirujuk ke Darussyifa' ini hanyalah sebahagian kecil sahaja masalah masyarakat ini yang diketahui. Darussyifa' percaya diluar sana banyak lagi kes-kes seumpama ini yang mungkin wujud akibat kelalaian ibubapa dalam mendidik anak-anaknya. Sesungguhnya amat tepat dan benarlah sabdaan baginda " Sesungguhnya anak yang lahir ke bumi ini adalah dalam keaadaan fitrah iaitu bersih dan suci daripada dosa dan noda dan ibubapanya lah yang akan mencorakkannya sama ada ia bakal menjadi YAHUDI atau NASRANI atau MAJUSI. Ini kerana pendidikan awal anak-anak itu bermula daripada ibubapa. Islam menganjurkan agar anak yang lahir agar diazan dan diiqomahkan di telinga kanan dan kirinya menunjukkan Islam amat memberatkan pendidikan awal kanak-kanak.



Ibubapa yang menerapkan nilai dan ajaran Islam yang sempurna pada anak-anak memungkinkannya menjadi anak yang soleh. Namun sekiranya ibubapa tidak mengambil endah perihal penerapan nilai-nilai Islam ini, maka ada kemungkinan anaknya kelak akan menjadi atau mencontohi perilaku yang dibawakan oleh YAHUDI mahupun NASRANI atau MAJUSI.

Gambar: Masalah Sosial Remaja Kini


Dewasa kini, ramai para ibubapa yang tidak melihat kepentingan mendidik anak-anak diperingkat awal. Masyarakat pada hari ini lebih gemar memandang meterial dan kebendaan semata-mata. Maka para ibu tidak lagi gemar duduk di rumah untuk mendidik anak sebaliknya merasakan lebih untung bekerja di kilang dan pejabat apatahlagi kiranya siibu punyai kelayakan tinggi tentulah jawatan executive diimpi-impikannya. Maka diswastakanlah tugas mendidik anak-anak ini. Anak-anak dari kecil telah dihantar ke nursery...bila dah sekolah menengah dihantarnya pula ke asrama dan akhirnya ke universiti. Kesan daripada tindakan ini, ada ibubapa yang tidak mengerti sifat dan sikap sebenar anak-anak mereka. Malah lebih malang lagi longgarnya ikatan kekeluargaan akibat kealpaan kita dalam mengambil berat perihal pendidikan anak-anak. Dewasa kini, apabila anak dah jadi setan dah buat perbagai masalah, barulah ibubapa nak hantar anak-anak mereka ke sekolah pondok atau sebagainya yang mungkin untuk menutup malu dengan harapan anak mereka boleh berubah. Pepatah melayu sendiri menyebutkan : "Melentur buluh biarlah dari rebungnya" menunjukkan peri pentingnya didikan awal anak-anak untuk membentuk anak yang soleh. Ibubapa tidak sepatutnya meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak pada sekolah semata-mata sedangkan masa anak-anak di sekolah adalah lebih kecil berbanding masa anak-anak berada di rumah. Namun bagi ibubapa yang sentiasa sibuk, tentulah masa bersama anak-anak amat terhad menyebabkan ibubapa langsung tidak dapat memahami karekter anak-anaknya sendiri dan inilah yang amat menyedihkan. Jika dilihat pada hadis diatas, cenderongnya anak-anak kepada perbuatan atau tingkahlaku orang YAHUDI atau NASRANI atau MAJUSI itu juga ada kaitan dengan ibubapa. Hari ini ramai ibubapa yang terlalu sporting dengan anak-anak dengan beralasankan pemikiran yang terbuka atau didikan yang moden membiarkan anak-anak meminati lagu, pakaian atau apa sahaja yang dibawakan dari barat. Tiada teguran dan larangan. Tiada penjelasan berkenaan pakaian dan seni Islam sebenar. Malah terdapat ibabapa yang berbangga dengan anak gadisnya yang pandai berfesyen, pandang menyanyi dan menari kononnya anaknya itu "up to date" tanpa disedari inilah perkara-perkara yang membawa kepada maksud hadis diatas. Lihat sahaja pembabitan anak-anak mereka dalam program realiti tv yang ada.


Kewujudan teknologi yang semakin canggih kini memaksa ibubapa melakukan tugas dengan lebih banyak bagi mempastikan anak-anak tidak terlibat dengan budaya kuning dan kebaratan memaksa ibubapa memeriksa setiap kawan-kawannya, setiap kandungan dalam telefon bimbitnya mahupun laptopnya dan segala gerak-gerinya. Ibubapa sebenar ialah ibubapa yang amat memahami jiwa anak-anaknya. Amat memahami karekter, sifat dan sikap anak-anaknya. Amat mengenali kawan-kawan anak-anaknya. Ibubapa sebegini tentunya ada pertalian yang kuat dari sudut spritualnya dengan anak-anaknya sehinggakan anak-anak tidak akan mampu berbohong pada ibubapanya.
Sungguhpun demikian, tidak dinafikan juga terdapat segelintir kecil ibubapa yang amat menjaga anak-anaknya. Mendidik anak-anaknya dengan didikan Islam yang sempurna. Namun takdir Allah meletakkan satu ujian berat buatnya sehinggakan anak yang ditatang tadi melakukan perbuatan dosa dan kemaksiatan. Jika ini yang berlaku apakah hadis diawal tadi telah tersalah mahupun tersilap?


Gambar: Banyak duit dihabiskan setiap kali mengadakan sambutan tahun baru Masehi

Gambar: Sambuatan tahun baru dalam suasana yang bertentangan dengan Islam


Sesungguhnya Rasulullah tidak silap dalam menyampaikan sabdanya. Hadis tersebut meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak ini pada ibubapa. Jika dilihat pengertian ibubapa dalam konteks lebih besar, maka tentulah ibubapa ini boleh dirujuk sebagai Menteri Besar atau Perdana Menteri yang memimpin dan bertanggungjawab terhadap seluruh rakyatnya yang bertindak sebagai anak-anaknya. Maka Perdana Menteri atau Menteri Besar amat bertanggungjawab dalam membentuk rakyatnya sama ada menjadi YAHUDI atau NASRANI atau MAJUSI. Ibubapa dirumah hanya terhad mendidik anak-anaknya dirumah semata-mata. Suasana masyarakat yang buruk merupakan satu badai yang cukup besar untuk dihadapi anak-anak dan ia hanya boleh ditanggani oleh ibubapa yang berjawatan Perdana Menteri sahaja. Ibubapa berjawatan Perdana Menteri ini bukan sahaja boleh mencorakkan anak-anaknya malah seluruh rakyatnya sepertimana yang dikehendaki Allah. Ibubapa berjawatan Perdana Menteri boleh mengawal dari sudut perundangan, pendidikan, kawalan internet, kawalan elektronik daripada bahan radio dan televisyen serta bahan cetak yang lebih menjurus keislaman yang mana kesemua ini akan mewujudkan masyarakat yang lebih baik dan terjamin. Namun, sekiranya ibubapa berjawatan ini tidak memainkan peranannya dan hanya memahami hadis diatas dalam konteks yang sempit semata-mata, sudahtentu dibiarkannnya masyarakat dalam suasa yang ada pada hari ini sehingga memungkinkan ujian yang besar buat ibubapa yang beriman. Sesungguhnya tanggungjawab mencegah kemungkaran ini bukan hanya tanggungjawab ibubapa mahupun guru atau pegawai penguatkuasa agama semata-mata. Tetapi ia adalah tugas dan tanggungjawab semua. wallahua'lam