Isnin, 14 Jun 2010

UMRAH AWAL RAMADHAN BERSAMA TUAN GURU DATO' DR HARON DIN


UMRAH AWAL RAMADHAN BERSAMA TUAN GURU DATO' DR HARON DIN
PADA 11 HINGGA 23 OGOS 2010
HARGA PAKEJ:-
4 ORANG SEBILIK - RM 7590.00
3 ORANG SEBILIK - RM 8090.00
2 ORANG SEBILIK - RM 8590.00
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:-
Dr Abdul Rahman Darus 019-6490284
Hj Md Roslan 019-2398573
*Segala perubahan tertakluk kepada pihak pengurusan kelak

Jumaat, 11 Jun 2010

Bersama Tuan Guru Prof' Dato' Dr Haron Din:Menukar Hukum Allah SWT Kesalahan Besar



SOALAN: Ada ulama mengatakan bahawa pemerintah Islam hari ini, dibolehkan memilih undang-undang selain undang-undang Allah dan menggantikannya dengan undang-undang ciptaan manusia kerana perubahan zaman, boleh membawa perubahan hukum berdasarkan kepada kaedah ilmu fikah yang berbunyi antara lain bahawa 'hukum Islam berubah mengikut perubahan tempat dan masa'. Betulkah pandangan ulama itu? Adakah kaedah fikah tersebut terpakai? Mohon Dato' jelaskan. - MOHD FIRDAUS AHMAD, Bandar Country Homes, Rawang

JAWAPAN: Permasalahan anda kemukakan ini besar yang melibatkan hukum-hukum Allah.
Saya ingin mengingatkan, jangan sampai kita mempermain-mainkan hukum Allah dengan memberi alasan remeh bagi membolehkan manusia menggunakan alasan agama untuk menolak hukum agama. Hukum Allah SWT ada dua cabang yang terbesar. Pertamanya, hukum-hukum qat'ie dan keduanya, hukum-hukum yang tidak qat'ie. Yang qat'ie bermaksud hukum-hukum tetap yang tidak berubah. Yang tidak qat'ie adalah hukum tidak 'rigid' dan boleh berubah.
Yang tidak berubah sabit seperti hukum-hukum kesalahan jenayah dan hudud. Sedangkan hukum-hukum yang sabit dengan ijtihad, ia boleh berubah.
Hukum-hukum haram halal sesuatu pemakanan yang sabit dengan ayat-ayat yang muhkamat, demikian juga dalam minuman serta dalam haram halal bergaul dengan perempuan.
Yang diharamkan dalam perkahwinan seperti yang disebutkan muhramat, yang diharamkan berkahwin selama-lamanya. Begitu juga haram memakan babi, bangkai, darah, meminum arak dan yang seumpama dengannya, hukum haramnya kekal sampai sehingga bila-bila.
Sebenarnya tidak ada pilihan. Allah juga tidak pernah memberi pilihan dalam melaksanakan hukum-hukum qat'ie, seperti haramnya riba, mencuri atau merompak, berzina dan sebagainya sudah sabit pengharaman dalam al-Quran.
Hukumnya sabit, maka ia tidak lagi menjadi pilihan.
Firman Allah (mafhumnya):

"Dan tidak harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu perkara, tidak harus mereka membuat pilihan sendiri. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia berada dalam kesesatan yang amat nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Daripada ayat ini dan hadis-hadis Nabi yang sahih, jelas menunjukkan bahawa hukum-hukum Allah tidak boleh dipermain-mainkan.
Adapun kaedah yang disebutkan itu, memang ia suatu kaedah fikah yang termasuk dalam istilah al-qawa'id al-fiqhiyyah. Kaedah seperti ini tidak boleh dilaksanakan kepada kesemua hukum. Ia dibuat oleh ulama terdahulu, bagi mengkhususkan kepada perkara-perkara penggunaan akal yang disebut sebagai ijtihad. Ijtihad bererti, ulama mengeluarkan hukum-hukum baru yang diasaskan kepada nas-nas syarak berdasarkan kepada i'llah dan sebab-sebab khusus yang membolehkan hukum baru dikeluarkan.
Hukum-hukum ini adalah hukum akal. Akal manusia berbeza. Seperti berbezanya hukum-hukum ijtihad pada perkara-perkara furui'yyat (perkara cabang) dalam hukum fikah.
Perkara cabang inilah yang memungkinkan ijtihad dan berlaku perubahannya yang mengikuti perubahan zaman. Namun demikian, bukan kesemua hukum ijtihad boleh berubah mengikut perubahan zaman atau mengikut selera manusia.
Jika ijtihad bertentang dengan hukum asal yang qat'ie dalam al-Quranul Karim, maka ijtihad tersebut tidak boleh dipakai.
Seperti kaedah lain yang disebutkan, ijtihad tidak boleh menyalahi hukum syarak. Sepatutnya para ulama mencari jalan untuk memudah atau membolehkan hukum Allah dilaksanakan. Bukan mencari justifikasi untuk menghalang perlaksanaan hukum tersebut.
Antara sebab bagi manusia hari ini menolak hukum Allah SWT, adalah kerana ingin mempertahankan status-quo yang ada.
Jangan sesekali menyokong pemerintah, dengan tidak memberi perhatian serius daripada akibat penolakan hukum-hukum Allah SWT. Oleh sebab itu, menukar hukum Allah dengan hukum ciptaan manusia adalah kesalahan yang amat besar. Perhalusilah sebaik-baiknya sebarang tindakan kita, bagi mengelak kerugian besar di akhirat nanti.

Wallahua'lam.

Selasa, 8 Jun 2010

MoU diantara Darussyifa' dan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya

Persatuan Kebajikan Dan Pengubatan Islam Malaysia atau lebih dikenali sebagai Darussyifa' telah melakarkan satu sejarah apabila menjadi organisasi pertubuhan perubatan Islam pertama yang telah menandatangani perjanjian persefahaman bersama Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) pada 20 Mei 2010.
Majlis MoU tersebut turut dihadiri Tuan Guru Prof. Dato' Dr Haron Din bersama Jawatankuasa Pusat Darussyifa' serta pihak CUCMS. Melalui MoU tersebut, pihak Darussyifa' akan membantu CUCMS dalam menyediakan tenaga pensyarah serta akan melibatkan persatuan dalam aktiviti membabitkan pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang akan ditentukan kelak. Sesungguhnya perjanjian persefahaman ini telah menaikkan lagi imej perubatan Islam.
Hasrat Tuan Guru untuk menjadikan perubatan Islam ini setanding perubatan moden telah lama disuarakan. Malah Tuan Guru turut pernah berhasrat agar Darussyifa' pada satu ketika nanti menubuhkan sebuah Kolej Perubatan yang mampu menawarkan ilmu perubatan sains dan Islam dimana pelajar-pelajar lulusan kolej ini kelak mampu mengaplikasikan ilmu sains perubatan dan ilmu perubatan Islam di Hospoital mahupun klinik-klinik yang bakal mereka berkhidmat kelak. Namun, disebabkan kekurangan sumber kewangan dan kemampuan yang terbatas, maka hasrat tersebut tidak terlaksana.
Darussyifa' tidak pernah memadamkan hasrat sedemikian sebaliknya akan terus berusaha memartabatkan perubatan Islam ini. MoU yang berlangsung ini merupakan sebahagian langkah yang diizinkan Allah dalam usaha tersebut. Darussyifa' kini sedang mendapatkan pengiktirafan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia agar perubatan Islam yang diamalkan mampu memberikan khidmat kepada masyarakat melalui hospital-hospital kerajaan terpilih melalui kaedah rawatan Ruqyah as Syariah. Semoga usaha ini memberikan ganjaran disisi Allah dan keredhoaanNya.
Wallahua'lam

Rabu, 2 Jun 2010

12 sukarelawan Malaysia di Israel sudah dibebaskan

KUALA LUMPUR: Semua 12 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan komando rejim Israel ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, sudah dibebaskan dan kini berada di sempadan Jordan.Pembebasan mereka itu dibuat awal hari ini, menurut laporan langsung dari wartawan Astro Awani yang turut ditahan.

Sumber : Berita Harian Online

Masjid, surau digesa solat hajat mohon keselamatan misi bantuan ke Gaza


PUTRAJAYA 1 Jun - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah bagi memohon keselamatan semua anggota misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, solat hajat itu diharap dapat diadakan serentak di seluruh negara mulai selepas solat Maghrib hari ini dan juga selepas solat Jumaat 4 Jun ini.

Katanya, khutbah Jumaat di masjid-masjid di bawah Jakim di Wilayah Persekutuan juga akan menyentuh isu tersebut kerana misi kemanusiaan itu melambangkan keprihatinan rakyat negara ini terhadap nasib penduduk Gaza.
"Jakim memohon kerjasama dan jasa baik pihak pengurusan masjid dan surau di seluruh negara agar mengadakan majlis solat hajat khususnya hari ini.
"Kita mendoakan kesejahteraan sukarelawan yang menjadi mangsa kekejaman Israel, kita mohon Allah selamatkan mereka khususnya rakyat Malaysia sama ada Islam atau bukan Islam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini

Beliau memberikan reaksi terhadap keganasan tentera Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang terlibat dalam misi 'Flotila Kebebasan' bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza semalam.
Setakat ini, seramai 11 rakyat Malaysia termasuk dua wartawan Astro Awani yang berada dalam kapal milik Turki itu belum diketahui nasib mereka.
Wan Mohamad berkata, pendekatan melalui solat hajat perlu dilaksanakan segera kerana misi bantuan kemanusiaan itu adalah bagi membantu penduduk Gaza yang selama ini terseksa akibat kekejaman rejim Zionis.
"Kita menyambut baik usaha dan ikhtiar sukarelawan antarabangsa termasuk dari Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan melalui jalan laut ke Gaza.
"Sebab itu, kita kita amat kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam Israel ke atas misi bantuan itu," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Jakim tidak menghalang umat Islam yang ingin memberikan dan sokongan kepada misi tersebut melalui perhimpunan aman termasuk di kawasan masjid.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan pihak penganjur agar memohon kebenaran daripada pengurusan masjid, Jakim dan pihak berkuasa agama negeri-negeri serta polis.
"Reaksi rakyat Malaysia terutamanya umat Islam sewajarnya melambangkan kematangan dalam tangani isu mencabar ini.
"Kita boleh zahirkan rasa marah malah kita berhak rasa marah terhadap pihak yang zalim namun tindakan kita mesti selaras dengan undang-undang sedia ada.
"Jika perhimpunan mahu dilakukan di masjid-masjid di bawah Jakim, kita akan pertimbangkan sebarang permohonan manakala di negeri-negeri perlu memohon kebenaran daripada pihak berkuasa agama negeri tersebut," katanya.
Mengenai usaha boikot berterusan terhadap produk-produk berkaitan Israel, Wan Mohamad menyerahkan gerakan itu kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kita percaya umat Islam dan rakyat tentunya tidak rela dan berasa malu untuk bersekongkol dengan rejim yang zalim sama ada Israel atau mana-mana negara," katanya.

Pengumuman

Forum Penyakit dan Psikatri di Herritage Hotel, Ipoh pada 5.6.2010 jam 2 ptg hingga 5 ptg.
Kepada para perawat Darussyifa' yang berminat, anda diminta menghantar nama dan no. k/p kepada Us. Zakaria Nasiruddin dengan kadar SEGERA!

Perhatian Kepada Semua Muslimin & Muslimat

Semua muslimin dan muslimat diminta untuk mengadakan solat hajjat & Qunut Nazilah Sekarang!! Hancurkan Israel Laknat kerana telah menyerangLLG4Gaza di perairanGaza dimana beberapa orang telah syahid dan cedera termasuk para relawan kita (Malaysia). IHZIMHUM WAN SURNA A'LAIHIM....
-Us. Zakaria Nasiruddin
Darussyifa' Kemunting

Agensi Berita gesa Israel hapus sekatan media mengenai serangan Konvoi Gaza

Rabu, 02/06/2010 – Tentera Laut Israel telah menyekat semua talian komunikasi di atas kapal Konvoi Kebebasan, menyekat isyarat telefon dan sambungan internet yang terdapat di atas kapal tersebut. Sebagai mana gambaran foto yang kini disiar berulang kali di seluruh dunia, agensi berita dari Qatar sehingga ke Malaysia menyeru Israel untuk membenarkan mereka untuk melaporkan serangan keadaan terkini di atas kapal tersebut yang telah meragut 15 orang aktivis kemanusian.
Agensi Berita Malaysia, Astro Awani meminta kerajaan Israel untuk memberikan maklumat tentang dua orang wartawan mereka di atas kapal Mavi Marmara, yang diserang oleh komando Israel pada pagi Isnin, manakal stesen TV Al-Jazeera juga meminta perlindungan bagi tiga wartawan mereka. Kedua-dua agensi berita ini mengatakan mereka terputus hubungan dengan wartawan mereka sejurus serangan ganas Israel itu. Kerajaan Israel cuba untuk mengawal dan mereka cerita berhubung serangan itu, tetapi gagal kepada kepantasan jaringan internet yang banyak menyiarkan gambar serangan ganas mereka ke atas konvoi keamanan tersebut.
Tentera Israel mendakwa, kapal-kapal tersebut telah membawa barang-barang “risiko keselamatan” – termasuk krayon, pensil, peralatan perubatan dan bahan bangunan yang dikhuatiri digunakan untuk membuat bahan letupan. Media Israel sebelum ini melancarkan kempen propaganda besar-besaran bagi menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa sekatan di Gaza tidaklah seteruk mana, namun usaha jahat mereka itu turut gagal.
sumber : http://www.imemc.org

Kempen antarabangsa menyiapkan armada baru ke Gaza


Rabu, 02/06/2010 – Ketua Pusat Pengembalian Semula Palestin, Majid al-Zir al-Naqqab memaklumkan kempen antarabangsa bagi memecahkan kepungan terhadap semenanjung Gaza mula menyediakan armada kapal laut baru yang akan dihantar ke gaza dalam tempoh enam minggu dari sekarang, bagi menunjukkan solidariti antarabangsa yang besar terhadap semenanjung Gaza serta mencabar ugutan dan jenayah yang dilakukan regim Zionis.
Dalam kenyataan akhbarnya pada hari Isnin (31/5) ketika penyertaannya dalam demonstrasi besar yang mengumpulkan beberapa ribu rakyat Palestin dan minoriti Islam lain di Britain, di hadapan pejabat kerajaan British di London hari ini, beliau menjelaskan: “Para penunjuk perasaan ingin menunjukkan kepada dunia bahawa tindakan ganas yang dilakukan oleh regim Zionis di hadapan kamera televisyen antarabangsa terhadap para aktivis pro Palestin yang tidak bersenjata itu, tidak bernilai apa-apa jika dibandingkan dengan tindakan keji yang dilakukan mereka di belakang kamera terhadap rakyat Palestin yang terkepung sejak sekian lama.”
Beliau juga menambah bahawa kempen antarabangsa bagi memecahkan kepungan yang dikenakan terhadap Gaza sudah membuat persiapan bagi menggerakkan armada laut yang baru untuk dihantar ke semenanjung Gaza dalam tempoh enam minggu lagi. Segala gerakan dan aktiviti massa secara aman yang memberikan sokongan kepada rakyat Palestin akan sentiasa diteruskan. Kami sentiasa berhubung dengan kerajaan-kerajaan negara Eropah yang menunjukkan keprihatinan terhadap apa yang menimpa rakyat mereka yang turut memberikan sokongan kepada rakyat Palestin. Kami adalah sebahagian daripada persepakatan antarabangsa bagi membatalkan sekatan yang dikenakan terhadap rakyat Palestin. Kami akan sentiasa mendedahkan kepada dunia jenayah yang dilakukan oleh Zionis.
sumber : http://www.palestine-info.info/ar

Selasa, 1 Jun 2010

12 Rakyat Malaysia di atas Kapal Mavi Marmara


Selasa, 01/06/2010 – Berikut adalah nama-nama rakyat Malaysia yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G) yang berada di atas kapal penumpang “Mavi Marmara” milik IHH, Turki ketika diserang oleh komando laut Israel di perairan antarabangsa hari ini.
1. Tn Hj Noorazman bin Mohd Samsuddin, HALUANPalestin
2. Dr Mohd Arbai’e bin Syawal, HALUANPalestin
3. Dr Syed Muhammad Haleem bin Syed Hasan al-Haddad, HALUANPalestin
4. Ust Al-Hami Husain bin Suhaimi, HALUANPalestin
5. Mohd Nizam bin Mohd Awang, HALUANPalestin
6. Ust Hasanuddin bin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
7. Tn Hj Jamuliddin bin Elias, Yayasan Amal
8. Dr Selamat bin Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
9. Abdul Halim bin Mohd Redzuan, Muslim Care
10. Mustafa bin Mansur, MAPIM
11. Ashwat bin Ismail, Wartawan ASTRO
12. Shamsul Kamal Latif, Juru kamera ASTRO
Mustafa Mansur yang mewakili MAPIM menaiki kapal Mavi Marmara pada 29hb Mei setelah kapal Challenger II yang dinaiki beliau mengalami kerosakan di tengah perjalanan.
sumber : CMT-LL4G


Selasa, 01/06/2010 – Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah memberi persetujuan untuk mengeluarkan arahan kepada masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan untuk melakukan solat hajat.
Wakil Dewan Pemuda Masjid di dalam CMT-LL4G, Ust Taqiudin, memaklumkan telah mengajukan kepada JAKIM permohonan agar masjid-masjid di seluruh negara melakukan solat hajat. Permohonan telah diterima oleh pihak JAKIM dan tindakan susulan akan dibuat.
Solehuddin ShuibSetiausaha CMT-LL4G


Sumber: Palestinkini.info