Jumaat, 30 Oktober 2009

Berhati-Hatilah Menggunakan Ubat Gigi. Pastikan ianya TANPA FLORIDA

Petikan ini dibawakan daripada sumber Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

APA ITU FLUORIDA?


Fluorida merupakan sisa keluaran industri baja, sejenis racun tikus dan digunakan dalam sektor industri sebagai racun serangga untuk menghapuskan semut dan lipas. Fluorida merupakan racun tersembunyi (seperti sianida) yang memudaratkan, bertoksik dan mampu berkumpul sungguhpun hanya sedikit ditelan.


MENGAPA FLUORIDA BERBAHAYA?


Pentadbiran Makanan & Ubatan Amerika (FDA) menganggap fluorida sebagai "ubat baru yang tidak diluluskan" kerana tidak ada bukti mengenai keselamatan mahupun keberkesanannya. Sesetengah kumpulan berkepentingan awam seperti Akademi Antarabangsa Bagi Ubatan, Makanan & Toksikologi (pertubuhan bukan kerajaan Kanada yang membiayai penyelidikan mengenai bahan bertoksik yang digunakan dalam pergigian) telah mengkelaskan fluorida sebagai "ubat untuk pergigian yang tidak diluluskan" disebabkan kadar keracunannya tinggi.Satu tinjauan yang dijalankan pada tahun 1997 dengan bantuan pengeluar ubat gigi dan Persatuan Pergigian Amerika Syarikat mendapati purata orang yang memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida walaupun sedikit (1 gram) mengikut sukatan yang disarankan, menelan antara 0.3-0.4 mg fluorida setiap kali memberus gigi.Ini bermakna anda menerima hampir separuh daripada kadar harian fluorida yang diterima cuma dengan memberus sekali sehari, tanpa membabitkan sumber lain.


MENGAPA KITA TIDAK MEMERLUKAN FLUORIDA PADA UBAT GIGI?


Dos fluorida harian yang diterima melalui pemakanan sudah mencukupi keperluan seseorang. Pihak berkuasa di Malaysia telah menambahkan fluorida kedalam sistem bekalan pengairan dan oleh sebab yang demikian, setiap titis air dalam bentuk teh, kopi, minuman berais dan sebagainya menyumbang kepada penambahan fluorida sedia ada. Makanan harian seperti sayuran juga terdedah kepada fluorida melalui racun serangga dan lain-lain. Fluorida juga terdapat pada tulang ikan seperti ikan bilis dan sardin. Sebagai rumusan, makanan lazim harian telah membekalkan sumber fluorida yang mencukupi untuk keperluan kita. Oleh sebab yang demikian, kita tidak lagi memerlukan tambahan fluorida melalui ubat gigi atau ubat kumur dan ini akan mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan seseorang itu.


KES MAHKAMAH


Kesan-kesan buruk fluorida pada masa lalu pernah dibawa ke mahkamah. Apa yang dipercayai merupakan yang pertama. Colgate-Palmolive membayar pampasan sebanyak £1,000 (kini dianggarkan kira-kira RM 6,000) kepada keluarga seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di Essex, England yang menderitai masalah "Dental Fluorosis" (enamel kotor dan berkarat), iaitu antara tanda pertama keracunan fluorida.


PENYELIDIKAN AWAM


Penyelidikan yang dijalankan pada pertengahan tahun 90-an oleh bekas ketua bahagian kimia Institut Penyelidikan Kanser Kebangsaan Amerika, mendapati kira-kira 10,000 kematian akibat kanser yang dikaitkan dengan penggunaan fluorida berlaku setiap tahun di Amerika Syarikat.Penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat bagi Program Toksikologi Kebangsaan (NTP) pada tahun 1990-1991 menunjukkan kecenderungan peningkatan dalam osteosarkoma (salah satu kanser peringkat awal yang menyerang kanak-kanak) dalam tikus jantan yang diberikan fluorida. Menurut NTP, fluorida berkemungkinan bahan penyebab kanser kepada manusia."




FLUORIDA MAMPU MENYEBABKAN:-



- Kematian


- Kanser


- Ruam Kulit


- Luka Kanser


- Kelunturan Warna Gigi


- Masalah Gastrik


- Penyebab atau Membantu Menyebabkan Kerapuhan Tulang


- Keracunan Saraf


- Kanser Tulang


- Keretakan Tulang


- Membantu Menyebabkan Kekurangan IQ di Kalangan Kanak-kanak


- Meransang Masalah Buah Pinggang di Kalangan Pesakit .




SUMBER MAKLUMAT:


Panduan CAP, Bahan Penyebab Kanser Dalam Kosmetik & Produk Kegunaan www.fluoridealert.org

Rabu, 21 Oktober 2009

HADIS-HADIS SAHIH TENTANG RAWATAN PENYAKIT (SIRI-1)

Insya’Allah, dalam ruangan ini akan disiarkan lebih dari sepuluh buah hadis-hadis sahih yang berkaitan dengan rawatan Islam. Semoga ia boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada kita semua.
Dalam siri yang pertama ini disiarkan hadis tentang rawatan penyakit dengan bacaan Surah al-Fatihah.


Hadis-1
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a.; Bahawa beberapa orang di kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. sedang berada dalam perjalanan melalui salah satu dari perkampungan Arab. Mereka berharap dapat menjadi tetamu penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka sebagai tetamu. Namun begitu ada yang bertanyakan kepada mereka; ”Adakah di antara kalian yang boleh menjampi? Karana ketua kampung kami terkena sengatan binatang. Salah seorang daripada para sahabat itu menjawab: Ya, ada. Sahabat tersebut kemudiannya melawat ketua kampung yang sedang sakit itu dan menjampinya dengan Surah Al-Fatihah. Ternyata ketua kampung itu sembuh, lalu diberikanlah kepadanya beberapa ekor kambing. Sahabat itu menolak untuk menerimanya dan berkata: Aku akan bertanyakan dahulu kepada kepada Nabi s.a.w. Dia pun pulang menemui Nabi s.a.w. lalu menceritakan peristiwa tersebut kepada Rasullullah. Dia berkata: Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan Surah Al-Fatihah. Mendengar kata-kata itu lalu Rasulullah s.a.w. tersenyum dan bersabda: Tahukah engkau bahwa Al-Fatihah itu merupakan jampi? Kemudian baginda bersabda lagi: Ambillah pemberian dari mereka itu dan asingkan sedikit untuk bahagianku. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Hadis-2

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a.; bahawa pada suatu ketika beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w. telah datang ke sebuah perkampungan Arab, akan tetapi penduduk kampung itu tidak menerima kedatangan para sahabat tersebut, tiba-tiba ketua kampung itu disengat ular, (lalu wakil penduduk kampung berjumpa dengan para sahabat tersebut) dan bertanya: Adakah kamu mempunyai ubat penawar sengatan ular atau adakah di antara kalian ahli perubatan?, para sahabat menjawab: Kalian telah tidak menerima kedatangan kami di kampung ini, kami tidak akan melakukannya sehingga kalian membayar upah untuk kami. Akhirnya mereka berjanji akan memberikan beberapa ekor kambing sebagai upahnya. Kemudian salah seorang sahabat membaca Surah al-Fatihah, kemudian mengeluarkan sedikit ludah (diletakkan di bahagian sakit), dengan serta merta ketua kampung sembuh, kemudian mereka membawa kambing-kambing kepada para sahabat. Para sahabat tersebut berkata: Jangan kita ambil upah ini, sehingga kita bertanya kepada baginda Rasulullah s.a.w, kemudian mereka menanyakannya, lalu Rasulullah tersenyum dan berkata: Ketahuilah bahawa Surah al-Fatihah itu adalah ubat penawar, ambillah upah itu dan bagi aku sedikit (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Ulasan:
Hadis 1 dan 2 di atas mempunyai maksud yang sama yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Imam Bukhari. Daripada kedua-dua hadis ini dapat disimpulkan seperti berikut:-


1. Surah al-Fatihah boleh digunakan sebagai jampi untuk rawatan sengatan bisa binatang.

2. Secara umumnya Surah al-Fatihah boleh digunakan untuk rawatan semua jenis penyakit.

3. Boleh menerima upah daripada khidmat rawatan yang diberikan dengan bacaan ayat-ayat al-Quran. Bagi pengamal ilmu perubatan Islam, Surah al-Fatihah adalah bacaan utama dalam setiap rawatan. Keberkesanan jampi menggunakan bacaan Surah al-Fatihah bergantung kepada keikhlasan dan keyakinan kita kepada Allah s.w.t.. Selain daripada itu bacaan Surah al-Fatihah perlu dipelajari secara talaqi daripada guru. Guru hendaklah mendengar bacaan dari mulut kita dan membenarkan bahawa bacaan kita itu adalah betul.
Bagi mereka yang bukan pengamal perubatan Islam, Surah al-Fatihah boleh dijadikan jampi bila dalam keadaan kecemasan atau terdesak. Contohnya anak yang sakit ditengah malam atau anak yang terjatuh dari pokok dan seumpamanya, sebagai rawatan permulaan sebelum ke hospital atau klinik, bacakan Surah al-Fatihah sebanyak tujuh kali dengan niat supaya Allah s.w.t. menyembuhkan penyakit, kemudian tiup pada air. Air diminum dan disapukan pada tempat sakit.


Bersambung.........

Selasa, 20 Oktober 2009

Darussyifa' : Satu Penilaian




Rawatan Pengubatan Islam umumnya sinonim dengan rawatan yang menggunakan al-Quran dan doa-doa yang tsabit daripada hadis rasulullah s.a.w. Rawatan sebegini pernah ditunjukkan oleh baginda melalui hadis-hadisnya antaranya kisah Abu Said al Khudri r.a juga kisah-kisah yang lain yang mana kesemuanya menunjukkan baginda rasulullah membenarkan serta mengajarkan satu kaedah pengubatan dalam mengatasi masalah manusia. Pengubatan yang dibawakan oleh baginda rasullullah s.a.w ini mengajak kepada manusia agar meletakkan pergantungan kepada Allah s.w.t semata-mata dalam menghadapi masalah.


Sejarah merakamkan, manusia sejak zaman jahiliyyah lagi telah mengetahui dan mengamalkan beberapa petua dan kaedah pengubatan sama ada ia berasaskan herba, urutan mahupun menggunakan jampi atau mentera. Namun kehadiran rasulullah yang membawa rahmat ke atas sekalian alam ini telah memberikan petunjuk buat ummat manusia agar meninggalkan segala bentuk amalan yang bercanggah dengan syariatNya.


Umumnya manusia sememangnya dijadikan Allah dengan sifatnya yang suka mengkaji dan berinovasi dari satu masa ke satu masa sehingga menghasilkan teknologi yang canggih pada masa kini. Namun demikian, kehadiran agama ini sebagai pembeza sama ada setiap yang dilakukan itu bertepatan dengan keredhoan Allah atau sebaliknya. Atas dasar ini agama ini diturunkan. Islam sebagai pembeza dan pembawa kebenaran buat sekalian alam.


Nabi mengajarkan kita semua berdoa dalam menghadapi penyakit dan musibah. Nabi ajarkan kaedah-kaedah rawatan yang menggunakan air, daun bidara, kurma dan sebagainya yang mana jika dilihat pada hari ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan perubatan menggunakan herba atau menggunakan ubat-ubatan yang diperakui dapat membantu melegakan penyakit boleh digunakan dalam usaha-usaha kesembuhan. Malah nabi juga mengiktiraf penggunaan jampi selagi mana kandungannya tidak membawa syirik kepada Allah. Ini dijelaskan melalui hadis baginda:-


" Auf bin Malik berkata, kami pernah menggunakan jampi mentera ketika jahiliyyah dahulu lalu kami bertanya: "Wahai rasulullah apakah pendapat kamu tentang perkara ini ?" Baginda menjawab: " Kemukakan padaku mentera kamu itu. Tidak mengapa jampi mentera itu selagi tidak mengandungi syirik".

Penjelasan mengenai jampi mentera ini telah dinyatakan dalam siri artikel yang lalu.


Sesungguhnya para ulama' dalam meneliti hadis rasulullah s.a.w telah menggariskan beberapa panduan dalam mengamalkan perubatan iaitu :-


1. Setiap perubatan yang dilakukan hendaklah menggunakan bahan yang halal.


2. Tidak menggunakan bahan yang berunsur najis


3. Menggunakan jampi yang difahami maknanya serta tidak mengandungi kata-kata lucah, penipuan serta syirik kepada Allah.


4. Meletakkan keyakinan bahawa kesumbuhan hanyalah dari Allah semata-mata


Berdasarkan kenyataan diatas juga, jelas menunjukkan Islam mengiktiraf perubatan-perubatan yang telah diamalkan oleh ummat manusia selagi mana ia tidak mendatangkan syirik kepada Allah.

Kewujudan Darussyifa' pada tahun 1980-an (didaftarkan) merupakan satu usaha murni yang telah dilakukan oleh Tn Guru Dato' Dr Haron Din dalam usaha memberi kefahaman serta menentang perlakuan syirik yang merupakan amalan sebahagian masyarakat malayu. Tuan Guru Dato' Dr Haron Din telah mendalami perubatan Islam ini bukan sahaja dikalangan pengamalnya dari kalangan bangsa Melayu, malah turut mempelajarinya daripada bangsa arab sewaktu beliau belajar di Mesir satu ketika dahulu. Perbagai ilmu dan pengalaman yang ditimba beliau telah memberikan kepada beliau kefahaman yang mantap dalam membezakan antara setiap kaedah pengubatan sama ada ia selari dengan al-Quran atau sebaliknya.

Pada masa awal penubuhan Darussyifa' dahulu, perbagai teknik dan kaedah rawatan diperkenalkan. Kaedah rawatan menggunakan kaedah tidur antara satu teknik rawatan yang popular. Malah Tuan Guru turut mengajarkan kaedah rawatan menggunakan jampi-jampi melayu yang dilihat tidak membawa kepada Syirik kepada Allah.
Namun demikian, setelah diperhalusi, Tuan Guru mendapati, terdapat beberapa kaedah pengubatan sungguhpun ia tidak bercanggah dengan al-Quran, namun ia boleh mendatangkan fitnah atau salah tanggapan masyarakat keatas pengubatan Islam seterusnya boleh melumpuhkan keseluruhan sistem pengubatan Islam yang didokong. Atas kesedaran ini, Tuan Guru Dato' Dr Haron Din telah mengambil inisiatif agar beberapa kaedah rawatan tidak diajarkan dan diamalkan lagi. Kesemua kaedah termasuklah penggunaan jampi melayu dan kaedah rawatan tidur juga tidak diamalkan. Malah Darussyifa' sendiri telah mengeluarkan arahan kepada para perawatnya agar tidak lagi melakukan kaedah-kaedah tersebut dalam melakukan rawatan. Silibus pendidikan dan pengajian perubatan Islam yang diajarkan di Darussyifa' turut diubah dimana, Tuan Guru hanya akan mengajarkan kaedah-kaedah yang lebih banyak menggunakan ayat al-Quran serta doa-doa yang tsabit daripada nabi mahupun doa-doa daripada para aulia dan ulama'-ulama' muktabar. Ini selaras dengan Hadis nabi yang bersumberkan Saidina Ali b. Abi Talib r.a : "Sebaik-baik ubat itu adalah al-Quran" (Riwayat Tirmizi). Jika terdapat mana-mana pelajar mahupun bekas pelajar Darussyifa' mahupun mereka-mereka yang pernah mendalami ilmu perubatan Islam daripada Tuan Guru Dato' Dr Harun Din serta pernah mendalami ilmu berkenaan, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Tn Guru tidak lagi mengajarkannya bagi mengelakkan perkara salah faham ini timbul dan berlaku. Terdapat sebahagian pelajar yang pernah mendapatkan ijazah pengubatan Islam di Darussyifa' mendakwa Darussyifa' membenarkan tindakan merawat menggunakan tongkat, menggunakan besi kuning, picitan dijari atau tunjalan pada mata serta sebagainya. Adalah dijelaskan disini bahawa sesungguhnya dakwaan itu tidak benar sama sekali. Darussyifa' amat menentang keras perlakukan sedemikian. Darussyifa' tidak pernah malah melarang penggunaan kayu atau sebagainya dalam merawat pesakit. Sekiranya ada perawat menggunakan kaedah demikian ianya mungkin selari dengan kaedah yang mereka pelajari tetapi tindakan sedemikian tidak dilakukan oleh Darussyifa'. Darussyifa' merasakan kuasa mutlak penyembuh penyakit bukanlah pada doa yang dibaca, atau mana-mana perawat Darussyifa'. Sebaliknya kuasa penyembuh adalah hak mutlak Allah. Doa dan kaedah rawatan hanyalah wasilah dalam mendapatkan kesembuhan semata-mata. Justeru, kaedah rawatan doa sama ada bersumber al-Quran, al-Hadis mahupun amalan ulama' dirasakan amalan terbaik dalam pengubatan jika dibandingkan kaedah lain seperti kaedah tidur, kaedah jurus atau lain-lain kaedah yang sungguhpun ia nampak menarik tetapi demi agama ini sesungguhnya setiap yang beriman wajib menyakini hanya kaedah bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah sahaja yang terbaik mengatasi segalanya walaupun ianya kelihatan agak lambat dalam kesembuhan. Sesungguhnya cemat atau lambatnya sembuh seseorang pesakit bukan kerana kaedah-kaedah jurus atau sebagainya tetapi kesemuanya atas kehendak Allah s.w.t. Mengubati pesakit menggunakan kaedah yang digarap di Darussyifa' melatih setiap perawatnya agar bergantung harap hanya pada Allah semata-mata. Kekurangan dan lambatnya kemakbulan doa perlu dilihat pada kualiti diri perawat agar meningkatkan amalan dan keihlasan selain bahan makan minuman seharian sepertimana yang disebutkan dalam sunnah rasulullah s.a.w.
Kaedah-kaedah yang kelihatan hebat sungguhpun ia tidak bertentangan Islam, dikhuatiri akan menimbulkan riyak dihati perawat. Merasakan dirinya mampu mengubati segalanya sedangkan ujian riyak ini merupakan ujian paling berat bagi semua perawat Islam. Terdapat sesetengah orang yang telah diijazahkan dengan ijazah pengubatan Islam di Darussyifa' kemudian merasakan ilmu Darussyifa' tidak power! lambat sembuh dan sebagainya menyebabkan ia mengambil ilmu perubatan lain tanpa mengetahui rahsia ilmu tersebut telah menyebabkan dirinya tertipu dengan permainan syaitan. Lebih parah lagi apabila perawat berkenaan murid Us Haron Din tetapi dalam masa yang sama telah mencampur adukkan ilmu Perubatan Islam dengan ilmu yang bertentangan dengan Islam-Nauzubillah. Kes-kes sebegini, sememangnya diperhatikan oleh Darussyifa'. Sekiranya kes sebegini diketahui oleh Jawatankuasa Disiplin Darussyifa'. Maka pihak Jawatankuasa akan mengambil tindakan membatalkan ijazah yang dikeluarkan serta tidak lagi mengiktirafnya sebagai ahli atau murid kepada Tuan Guru Dato' Dr Haron Din.
Sepanjang lebih 20 tahun penubuhannya, Darussyifa' telah melalui perbagai ragam sama ada dikalangan ahli mahupun pesakit yang datang menemuinya. Ragam-ragam ini telah menjadi rencah dalam melayari bahtera dakwah kepada ahli dan pesakit agar syariat Allah dapat berkembang di bumi Malaysia yang tercinta. Melalui pengubatan ini, pengetahuan dan kesedaran agar meninggalkan perbuatan syirik telah berjaya di sampaikan kepada masyarakat. Malah perkembangan positif turut berlaku kepada pesakit bukan Islam yang akhirnya memeluk Islam melalui program-program yang dilaksanakan oleh Darussyifa'. Sesungguhnya Tuan Guru Dato' Dr Haron Din amat menitik beratkan kefahaman yang betul kepada setiap ahli dan perawat agar menjadi hamba Allah yang ikhlas dan benar dalam setiap tindakan.


Wallahua'lam

Saiful Adli b. Samsudin

Makanan segera punca kanak-kanak darah tinggi




KUALA LUMPUR 19 Okt. - Penyakit darah tinggi yang sebelum ini kerap dikaitkan sebagai 'penyakit orang tua' kini turut dihidapi oleh kanak-kanak yang mengalami obesiti akibat pengambilan makanan segera yang tidak dikawal.
Kandungan garam dan lemak yang berlebihan dalam makanan tersebut boleh memudaratkan kesihatan tambahan pula jika mereka kurang melakukan aktiviti fizikal.
Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Norlizawati Che Lah mendedahkan, terdapat kes seorang kanak-kanak lelaki terpaksa dimasukkan di Pusat Rawatan Rapi (ICCU) selama dua minggu akibat diserang darah tinggi.
Katanya, kanak-kanak yang dirawat di ICCU hospital berkenaan itu mempunyai berat badan berlebihan sebanyak 30 kilogram daripada berat sepatutnya dimiliki oleh kanak-kanak yang berusia 12 tahun.
''Kanak-kanak tersebut menghidap darah tinggi kesan daripada pemakanan tidak seimbang dalam menu hariannya.
''Hampir setiap hari kanak-kanak itu menjadikan kentang goreng, piza dan ayam goreng sebagai makanan hariannya dan amalan pemakanan tidak sihat itu berlarutan dua tahun hingga menyebabkan dia diserang penyakit darah tinggi,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan rasa tidak gembira dengan keadaan rakyat Malaysia yang berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan terutama obesiti dan sakit jantung.
Kenyataan spontan bekas Perdana Menteri itu menggambarkan rasa kecewa beliau dengan sikap rakyat Malaysia yang malas untuk menjaga kesihatan mereka.
Norlizawati menambah, lebih memburukkan keadaan, kanak-kanak obesiti ini tidak suka melakukan aktiviti fizikal dan lebih gemar bermain play station atau menonton televisyen.
Beliau memberitahu, berdasarkan kes yang dirujuk kepadanya, 30 peratus kes obesiti berkenaan melibatkan golongan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.
''Sementara itu, selebihnya adalah golongan wanita yang datang sendiri berjumpa saya untuk mendapatkan panduan menurunkan berat badan,'' katanya.
Beliau memberitahu, bagi golongan lelaki pula mereka jarang mahu berjumpa pakar pemakanan.
''Kalau ada pun, kes adalah yang dirujuk oleh doktor,'' jelasnya.


Sumber: Utusan Malaysia

Isnin, 19 Oktober 2009

Haramkan makanan GM

RAMAI pengguna di seluruh dunia memakan makanan yang dihasilkan daripada tanaman yang diubah suai secara genetik atau GM (genetically modified) secara tidak sengaja. Tidak ketinggalan di Malaysia, ramai di antara kita yang tidak tahu yang kita memakan makanan GM sebab makanan yang mengandungi ramuan GM juga dijual di sini.
Pengguna membelinya tanpa mengetahui hal sebenar kerana makanan dengan ramuan GM adalah tidak ketara, kecuali jika ia dijelaskan dalam label.
Makanan yang diimport oleh Malaysia merupakan pintu masuk makanan GM. Makanan untuk ternakan juga adalah pasaran besar bagi tanaman GM. Di kebanyakan negara, daging, hasil tenusu dan telur yang dihasilkan daripada haiwan ternakan yang diberi makanan GM tidak perlu dilabelkan kerana wujudnya kelemahan dalam undang-undang penglabelan makanan.
Ramuan GM juga banyak digunakan dalam makanan diproses, contohnya di Amerika Syarikat, di mana kebanyakan tanaman GM adalah ditanam. Ini adalah alasan kenapa kerajaan Malaysia mengalami tekanan untuk membatalkan penglabelan wajib bagi makanan dan produk GM semasa perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas di antara Amerika Syarikat dan Malaysia kerana ia didakwa akan menghalang peluang pasaran bagi syarikat bioteknologi Amerika Syarikat.
Melalui makanan ternakan, GM juga memasuki rantaian makanan manusia. Di United Kingdom (UK), menurut kajian Soil Association, hampir semua susu, hasil tenusu dan khinzir di pasar
raya UK adalah dihasilkan daripada haiwan yang diberi makanan tanaman GM dan semuanya tidak berlabel. Laporan 2007 ini mendapati 60 peratus daripada jagung dan 30 peratus daripada soya yang diberikan sebagai makanan lembu dan khinzir adalah yang diubah suai genetik.
Kenapakah kita sebagai pengguna harus was-was dengan makanan GM? Kejuruteraan genetik melibatkan pemindahan asid nukleik daripada satu konteks genetik ke yang lain, kerapnya dengan spesies lain atau secara kombinasi, dan ini adalah tidak wujud secara semula jadi. Perubahan genetik ini adalah amat berbeza daripada kaedah pembiakan tradisional.
Oleh kerana organisma hidup adalah amat kompleks, jurutera genetik tidak boleh meramalkan semua kesan daripada pengenalan perubahan genetik ini. Makanan yang diubah suai genetik diperkenalkan tanpa mengira risiko kepada kesihatan dan yang amat dibimbangkan adalah kesan buruknya tidak boleh dipulihkan semula.
Tanaman yang diubah suai genetik adalah ditanam dan dimakan oleh pengguna, walaupun kurang kajian saintifik mengenai risiko kepada kesihatan, kaedah mengkaji keselamatan adalah tidak memadai untuk menilai bahaya yang mungkin berlaku, ia mungkin membawa toksin yang tidak diketahui dan juga mampu meningkatkan risiko reaksi alahan.
Pada bulan Mei 2009, Akademi Perubatan Persekitaran Amerika (American Academy of Environmental Medicine - AAEM), sebuah persatuan antarabangsa berpusat di Amerika Syarikat menggesa satu moratorium ke atas makanan ubah suai genetik, menyatakan yang ia membawa kepada 'risiko kesihatan yang serius'.
AAEM merumuskan bahawa 'wujud lebih daripada perkaitan kasual di antara makanan GM dan kesan buruk kesihatan' dan 'makanan GM membawa risiko kesihatan serius dari segi toksikologi, alahan dan fungsi imun, kesihatan reproduktif, metabolik, fisiologi dan kesihatan genetik'.
Oleh kerana makanan GM membawa kepada risiko kesihatan serius, AAEM percaya bahawa kita perlu mengambil prinsip mencegah dan berhati-hati.
Di Malaysia, terdapat lima jenis transgenik yang telah diluluskan iaitu 'kacang soya Roundup Ready, jagung MON 810, jagung MON 863 dan jagung NK 603 untuk kegunaan sebagai makanan, untuk ternakan dan pemprosesan, serta juga protein membentuk ais yang dihasilkan daripada yis GM, yang digunakan dalam aiskrim. Kelima-lima ini telah diluluskan sebelum undang-undang bio-keselamatan wujud di Malaysia.
Kini kita mempunyai perlindungan undang-undang dengan adanya Akta Biokeselamatan 2007 (Akta 678), tetapi Akta ini masih belum dilaksanakan sepenuhnya kerana peraturan untuk perlaksanaan masih dalam bentuk draf.
Di samping kesan kepada kesihatan yang mungkin berlaku apabila kita memakan makanan GM, pengenalan tanaman GM yang toleran racun rumpai adalah dikaitkan dengan peningkatan penggunaan racun perosak. Ini membawa kepada kesan kesihatan berkaitan dengan residue racun perosak dalam makanan kita.
Bagaimanakah pengguna boleh membuat keputusan mengenai makanan GM memandangkan kita kurang mempunyai maklumat mengenai keselamatannya atau kewujudannya dalam makanan kita?
Daripada perspektif pengguna, penglabelan penuh yang wajib untuk makanan dan barangan GM adalah perlu agar pengguna boleh memilih sama ada hendak memakan makanan GM. Dengan penglabelan, pengguna boleh tahu ramuan, kandungan GM dalam makanan dan memberi amaran kepada yang mempunyai alahan atau bimbang tentang kesihatan mereka. Label juga akan membantu mengesan punca masalah kesihatan yang berbangkit daripada makanan GM ini.
Penglabelan mestilah diwajibkan untuk sebarang makanan, walaupun dengan satu ramuan GM; tidak kira peratusan kandungan GM; serta yang dihasilkan dengan organisma atau enzim yang diubah suai genetik. Penglabelan akan membantu pengguna memilih, khasnya dari segi pandangan agama, etika dan moral.
Makanan dan tanaman GM telah menunjukkan ada risiko kepada kesihatan manusia dan binatang, serta menyebabkan masalah sosio-ekonomi dan alam sekitar. Dengan adanya kaedah yang selamat untuk memenuhi keperluan makanan dunia pada masa kini dan akan datang, contohnya dengan pertanian organik yang mapan, tanaman GM adalah suatu risiko yang tidak diperlukan.
Sehubungan ini, kami menyeru kepada kerajaan Malaysia untuk mengharamkan semua makanan yang dihasilkan melalui kejuruteraan genetik, mengharamkan pengimportan makanan mengandungi ramuan GM dan membatalkan kelulusan yang diberikan kepada lima bahan transgenik di Malaysia. Selain daripada ini, semua kajian kejuruteraan genetik yang dijalankan perlu dibatalkan dan bahan kajian adalah dilupuskan dengan selamat untuk mencegah sebarang kontaminasi.

S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan
Pengguna Pulau Pinang

Rabu, 14 Oktober 2009

PENGUMUMAN !!


SUKACITA DIMAKLUMKAN BAHAWA ARAHAN PEMBUKAAN KLINIK DARUSSYIFA' DI SELURUH MALAYSIA TELAH DIKELUARKAN PADA 13 OKTOBER 2009. KLINIK DARUSSYIFA' SELURUH MALAYSIA TELAH DIBENARKAN BEROPERASI SEPERTI BIASA.

Selasa, 13 Oktober 2009

Kenapa Darussyifa' Ditutup ?

Sebuah hadis rasulullah s.a.w menyatakan:
Dari Amir b. Sa'ad b. Abi Waqqas, daripada bapanya Usamah b. Zaid:- Bagaimana engkau dengar dari Rasulullah s.a.w tentang penyakit taun itu? Maka Usamah menjawab:- Rasulullah s.a.w bersabda:- " Penyakit taun merupakan (balasan) dosa yang dikirimkan kepada segolongan Bani Israel dan atas orang-orang yang sebelum kamu. Jika ada kamu mendengar sesuatu daerah yang dijangkiti penyakit itu, maka jangan kamu masuki daerah tersebut. Apabila penyakit iru berjangkit pada sesuatu daerah yang kamu tinggalpadanya, maka jangan kamu keluar dari daerah itu untuk melarikan diri dari penyakit itu"
( Riwayat Bukhari & Muslim)
Hadis diatas secara terang-terangan telah mengajar ummat Islam akan kepentingan mengasingkan diri daripada tempat-tempat yang dijangkiti wabak yang berjangkit. Istilah kuarantin yang digunakan oleh ahli perubatan moden hari ini sebenarnya telah lama diajarkan oleh nabi. Perintah kuarantin ini bukan setakat orang yang mendiami sesuatu tempat yang dijangkiti agar tidak keluar dari daerahnya malah termasuk juga orang luar tidak dibenarkan memasuki daerah yang telah dijangkiti. Hari ini perbagai penyakit berjangkit muncul dengan seribu satu nama baru. Penyakit-penyakit seperti selsema babi (H1N1) juga tidak terkecuali untuk menerima arahan rasullullah ini.
Sejak arahan kuarantin dan mengelakkan diri dari perhimpunan terbuka serta menjauhi tempat-tempat yang pernah mengalami kes H1N1 ini dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, disana masih ramai lagi masyarakat kita yang tidak mengendahkan arahan dan nasihat tersebut. Sedangkan mengikut kajian dan sumber maklumat yang diperolehi oleh Kementerian berkenaan, dijangkakan satu gelombang kedua wabak H1N1 akan melanda negara kita dan seluruh dunia menjelang penghujung tahun ini. Sesungguhnya setiap penyakit juga adalah makhluk Allah dan hanya Allah lah sahajalah yang akan menentukan bila masanya wabak ini akan mula menyerang dan akan menghentikan serangannya secara tepat. Namun begitu, saranan daripada pihak berwajib sepatutnya dipatuhi kerana mematuhinya juga merupakan pematuhan kepada tindakan yang pernah rasullullah s.a.w arahkan sepertimana hadis diatas.
Atas petunjuk rasullullah s.a.w serta nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai pihak yang arif akan hal-hal kesihatan di Malaysia, maka Tuan Guru Dato' Dr Haron Din telah mengarahkan agar seluruh Klinik Darussyifa' Malaysia ditutup sementara waktu sehinggalah wabak ini menjadi reda dan disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Arahan penutupan ini kadangkala menyebabkan ramai pesakit menghubungi saya. Malah ada yang tidak berpuas hati dengan arahan Tuan Guru tersebut. Ada yang menyatakan: Kenapa Darussyifa' ditutup pula ? bukankah sekaranglah masanya Darussyifa' harus menawarkan perkhidmatannya? Kenapa Darussyifa' mesti ditutup? apakah orang Darussyifa' takut kena H1N1? dan banyak lagi.
Sebenarnya ingin saya jelaskan disini, penutupan ini bukanlah penutupan yang berkekalan tetapi hanya ditutup sementara waktu bagi mengekang wabak H1N1 daripada terus merebak. Ini kerana umumnya apabila Darussyifa' dibuka ia merupakan juga tempat berkumpulnya orang ramai yang tentunya punyai penyakit berbeza. Sudah menjadi lumrah biasanya pesakit tidak memaklumkan dengan awal jenis penyakitnya sungguhpun ia sememangnya mengetahui dirinya berpenyakit H1N1 atau AIDS atau sebagainya. Tindakan pesakit yang merahsiakan penyakitnya menyebabkan dia bergaul dengan pesakit-pesakit lain di Darussyifa' secara tidak langsung telah menyebabkan wabak ini tersebar kepada orang ramai. Inilah perkara yang menyebabakan Darussyifa' mengambil keputusan untuk menutup operasinya buat sementara waktu. Adapun bagi pesakit-pesakit yang telah diketahui dan dipastikan penyakitnya terutamanya melibatkan penyakit gangguan makhluk halus, pesakit tersebut masih boleh mendapatkan khidmat rawatan dengan menghubungi terus kepada perawat Darussyifa' berkenaan yang berhampiran.
Sudah menjadi amalan setiap ahli dan merupakan juga satu program mingguan dan bulanan pihak Darussyifa' di seluruh Malaysia melaksanakan solat hajat berjemaah agar memohon kesembuhan kepada seluruh ummat Islam dari setiap penyakit. Darussyifa' juga turun memohon kepada Allah agar negara ini dijauhi segera daripada wabak H1N1.
Sesungguhnya hikmah penutupan dan kuarantin ini amat besar. Sheikh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menjelaskan antara hikmahnya ialah:-
  • Mendidik ummat Islam agar beriman kepada Allah dan bertawakkal kepada Allah. Mematuhi arahan kuarantin ini merupakan satu keyakinan bulat terhadap kekuasaan Allah dalam menanggani masalah wabak.
  • Bersabar dengan ujian wabak tersebut dengan bersungguh-sungguh. Kerana Allah yang menurunkan sesuatu penyakit dan hanya Allah jualah yang menyembuhkannya.
  • Menghindarkan penularan wabak tersebut ke tempat lain dan ini tentunya memudahkan proses penyembuhan.
  • Menggalakkan umat Islam agar berhati-hati dan menjaga kesihatan diri.

Atas penjelasan diatas serta arahan nabi sendiri yang mengarahkan agar kita mengamalkan kurantin, diharap agar pesakit serta seluruh perawat Darussyifa' memahami dan mematuhi arahan penutupan Darussyifa' secara sementara ini. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar penyakit ini ditamatkan segera dan bersama-sama mencegah kemungkaran kerana ianya merupakan penyebab turunnya bala Allah.

Wallahua'lam

Saiful Adli b. Samsudin

Jumaat, 9 Oktober 2009

PENGUMUMAN !!!

ADALAH DIMAKLUMKAN BAHAWA TN GURU DATO' DR HARON DIN SEMASA DI MESYUARAT AGUNG KALI KE 20 DARUSSYIFA' TELAH MENGIGATKAN BAHAWA KLINIK DARUSSYIFA' DI SELURUH MALAYSIA HENDAKLAH DITUTUP BUAT SEMENTARA WAKTU SEHINGGALAH KE SATU TARIKH YANG AKAN DIMAKLUMKAN KEMUDIAN. SAYUGIA JUGA DIINGATKAN AGAR SELURUH AHLI DARUSSYIFA' MEMATUHI ARAHAN INI. SESUNGGUHNYA ARAHAN INI PASTINYA MEMPUNYAI HIKMAH TERSENDIRI YANG HANYA ALLAH SAHAJALAH YANG MAHA MENGETAHUINYA.

Selasa, 6 Oktober 2009

Hilang keluarga ditipu bomoh

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Sebelum ini, Ng merupakan lelaki yang memiliki segala-galanya. Selain memiliki kerjaya stabil sebagai juruaudit, rumah tangganya juga bahagia.
Namun kebahagiaan yang dikecapinya itu retak pada 2003, sejak isterinya mengenali seorang bomoh wanita palsu dan mulai mempercayai perkara karut.
Kini, Ng bukan sahaja kerugian kira-kira RM192,000 diperdaya bomoh wanita itu, malah turut kehilangan isteri dan dua anak perempuan yang meninggalkannya kerana kepercayaan karut sejak dua bulan lalu.
Segala-galanya bermula enam tahun lalu, setelah bomoh tersebut menyatakan kepada isteri Ng bahawa suaminya itu dirasuk 'benda kotor'.
Sehubungan itu, Ng dinasihatkan supaya menjalani upacara membuang 'benda kotor' tersebut dan jika tidak dia akan membawa malapetaka kepada keluarganya.
Walaupun Ng tidak percaya perkara itu, tetapi kerana kasih sayang terhadap keluarga, dia mengikut kehendak isterinya.
Sejak itu, dia sering menjalani upacara itu dan membayar kira-kira RM3,000 kepada bomoh terbabit untuk setiap sesi upacara sehingga mencecah RM110,000.
Ng yang berusia 51 tahun, ketika ditemui di Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA hari ini berkata, dia percaya dirinya dipukau sehingga tidak sedar membuat bayaran kepada bomoh wanita itu.
"Saya rasa dipukau setelah minum air azimat yang diberikan bomoh itu," katanya yang kelihatan masih tidak bermaya.
Ng menambah, setelah enam tahun berlalu, isterinya masih mempercayai bomoh itu yang 'benda kotor' tersebut menghantui keluarga dan rumahnya di Subang Jaya.
"Isteri saya kemudian membawa saya menemui seorang bomoh lelaki pula. Saya telah menjalani upacara membuang 'benda kotor' itu dan lesap RM82,000.
"Malah Isteri dan dua anak saya pula telah meninggalkan saya atas nasihat bomoh itu, saya kini sudah hilang segala-galanya," jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Jumaat, 2 Oktober 2009

Bersama Tn Guru Dato' Dr Haron Din:Taati agama ketika menyambut raya

SOALAN:Tidakkah sambutan hari raya di Malaysia sejak akhir-akhir ini menyimpang daripada ajaran Islam kerana lebih mementingkan adat daripada agama. Lebih bersukaria daripada mensyukuri nikmat Allah. Lebih berseronok daripada yang sepatutnya. Apakah pandangan Dato' dalam perkara ini. -RAUDAH SAKINAH, Bukit Jelutong, Shah Alam
JAWAPAN: Menyambut hari raya dalam erti kata bergembira dan bersukacita setelah sempurna berpuasa pada bulan Ramadan adalah dituntut oleh syarak.
Berpakaian baru dan indah sebagai menzahirkan tanda nikmat syukur kepada nikmat Allah adalah juga dituntut.
Berziarah mensiarahi, bermaaf-maafan juga adalah dituntut syarak.
Berjamu selera dan menjamu tetamu mengikut kemampuan masing-masing juga dituntut.
Menziarahi kubur, pada asasnya digalakkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana menziarahi kubur itu mengingatkan kita kepada kematian. Jika menziarahi kubur hanya dikhususkan pada hari raya sahaja, itu tidak betul kerana ziarahi kubur boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Akan tetapi di Malaysia, menziarahi kubur seolah-olahnya sudah menjadi suatu adat pada hari raya. Ziarah kubur bukan adat, ia adalah agama. Maka lakukanlah kerana agama, bukan kerana raya.
Mungkin secara kebetulan setahun tidak pernah pulang ke kampung dan pulang ke kampung hanya pada hari raya. Pada hari itulah ada kesempatan, tidak mengapa, berziarahlah ke kubur kerana itu suruhan agama.
Ada pun berlebih-lebihan dalam sambutan atau menunjuk-nunjuk seperti mengada-adakan keraian sehingga menjadi beban kepada diri sendiri dan keluarga adalah dilarang.
Berbangga dan bermewah-mewah hingga melampau-lampau adalah juga dilarang, apatah lagi jika berlakum pembaziran.
Firman Allah (mafhumnya): "Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau-lampau.
"Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya. (Surah al-Isra', ayat 26-27)
Perihal hiburan, memang menjadi kebiasaan apabila tiba hari raya, itulah hari kita hendak berhibur.
Dalam acara sambutan raya seperti menjamu selera, juga adalah suatu bentuk hiburan.
Sambutan raya di negara kita, ada yang menambah pula dengan bunyi-bunyian, nyanyian, muzik dan berbagai-bagai lagi.
Televisyen pula menyiarkan rancangan hiburan sepanjang beberapa hari, meskipun diselang selikan dengan sedikit berita dan rencana, pada hakikatnya hiburan itulah yang mendominasi sambutan hari raya selama beberapa hari.
Hiburan pada asasnya tidak dilarang oleh Islam, asalkan memenuhi kriteria yang digariskan oleh ilmuan Islam.
Pada zaman Nabi s.a.w pernah Aishah r.a. menjemput kanak-kanak perempuan (jariah) bermain bunyi-bunyian di samping menyanyi dengan Nabi sendiri berada sama dalam majlis itu.
Sedang mereka berhibur dan menyanyi Abu Bakar as-Siddiq kebetulan kerkunjung ke rumah Nabi ketika itu, tiba-tiba mengherdik mereka yang menyanyi dan bermain-main alat bunyian (mungkin ketika itu Abu Bakar tidak sedar Nabi ada sama).
Lalu Nabi s.a.w menegur Abu Bakar dengan mafhum sabdanya: "Tidak mengapa, biarlah mereka bermain hai Abu Bakar, kerana hari ini adalah hari raya."
Yang jelasnya hiburan dibenarkan oleh syarak, akan tetapi hiburan yang berlaku hari ini, tidak seperti yang disebutkan Nabi s.a.w di atas.
Hiburan yang berlaku di rumah Nabi s.a.w. ketika itu amat sederhana, tidak melampau dan tidak ada unsur-unsur yang bercanggah dengan hukum Allah SWT.
Hiburan di negara kita hari ini bukan seperti itu. Hiburan sempena hari raya mementingkan nilai estetika yang melampau. Mereka memaparkan kecantikan wanita lebih daripada sepatutnya, berpakaian, menari dengan lagu-lagu pula yang hit-hit sahaja.
Yang nyatanya, hiburan-hiburan ini melalaikan. Itulah yang lebih diutamakan. Inilah yang akan membawa kepada perlanggaran hukum syarak, yang pada saya tidak patut berlaku sedemikian.
Seandainya hiburan hari ini, khususnya pada hari raya, dijuruskan kepada pemujian Allah SWT, menghayati tuntutan Islam berhari raya, mensyukuri dan menzahirkan nikmat Allah yang tidak melampau, mengingatkan manusia agar jangan sampai melanggar hukum Allah, mengingatkan kepada nikmat Allah wajib disyukuri dengan membanyakkan kerja-kerja taat, maka jadilah hiburan itu sesuatu yang bermanfaat.
Kalau tidak ianya akan berubah menjadi 'niqmah' iaitu kemurkaan Allah.
Ada pun berjabat tangan sememangnya digalakan antara lelaki sama lelaki, perempuan sesama perempuan dan sesama mahram (yang diharamkan berkahwin).
Apa yang berlaku sekarang dalam hiburan sebagai contoh, yang mengambil bahagian sama ada lelaki dan perempuan, termasuk pengunjung-pengunjung rumah terbuka bebas bersalam-salaman antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Ini adalah sesuatu yang jelas dilarang.
Jika itulah yang diamalkan tatkala menyambut hari raya, maka jelas ianya bertentangan dengan kehendak syarak.
Oleh itu perlu diperbetulkan semua amalan ini demi mendapat reda Allah.
Wallahua'lam