Rabu, 29 April 2009

Tn Guru Menerima Anugerah Tokoh Pendakwah Selangor 2009




Y Bhg. Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah dianugerahkan Tokoh Pendakwah Peringkat Negeri Selangor kategori agensi bukan kerajaan bagi tahun 2009/1430H.Tuan Guru menerima anugerah tersebut ketika Majlis Perasmian Penutupan Bulan Dakwah Negeri Selangor 2009/1430H yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) pada 31 March 2009 yang lalu.
Berikut reaksi Tuan Guru ketika ditemui selepas majlis tersebut:

"Ini adalah satu penghargaan untuk saya. Saya hanya diberitahu pagi semalam dan saya tidak ada pilihan lain selain daripada menerimanya dengan besar hati. Jika perkara ini dirunding lebih awal, sudah tentu saya akan mengesyorkan orang lain yang jauh lebih layak daripada saya".

"Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor di atas penghargaan tanpa dipinta ini. Dakwah dirasakan semakin penting untuk dikembang dan diperluaskan untuk segenap lapisan masyarakat tidak kira generasi tua atau muda."

"Gejala sosial yang semakin parah pada masa kini dapat diminimakan sekiranya kita menyampaikan dakwah dengan efektif dan berkesan. Kerosakan nilai hidup muda-mudi sekarang bukan sahaja merosakkan maruah dan diri mereka malah lebih teruk daripada itu, ia memberikan kesan buruk kepada masyarakat, undang-undang dan Negara."
"Masalah anak luar nikah, derhaka kepada ibu bapa dan hidup berfoya-foya tanpa menghiraukan peraturan agama dan undang-undang hanya akan mengundang bala bencana yang besar kepada negara pada masa depan."

"Oleh kerana itu perhatian khusus mestilah diberikan kepada golongan muda ini bagi mendekatkan mereka kembali kepada jalan kebenaran iaitu hanya kembali kepada ALLAH sahajalah jalannya."

Pihak Darussyifa juga amat gembira dengan penganugerahan ini kepada yang Y Bhg. Tuan Guru dan mendoakan agar Tuan Guru sentiasa diberikan kesihatan agar boleh meneruskan kerja dakwah yang masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada Tuan Guru.
- Dipetik daripada laman www.darussyifa.org

Isnin, 13 April 2009

Makanan Halal-Satu Tuntutan


Allah S.W.T tidak pernah menghalang manusia menikmati makanan yang baik malah ia amat dianjurkan. Namun Allah menganjurkan bahawa setiap makanan yang diambil hendaklah baik dan halal. Makanan yang baik mendatangkan kesan yang baik pada tubuh badan manakala makanan yang halal bukan sahaja memberi kebaikan malah turut memberi keberkatan pada diri dan kehidupan. Makanan yang baik tidak semestinya mahal tetapi makanan yang baik itu mestilah makanan yang dihasilkan melalui proses yang bersih dan teratur serta tidak mengandungi bahan-bahan syubhat dan bahan yang boleh memudaratkan. Ummat Islam kini dilambakkan dengan perbagai bahan sama ada bahan makanan, produk kecantikan, produk penjagaan dan kesihatan serta perbagai produk baru yang diperkenalkan yang mana kandunganya kadangkala tidak diketahui punca serta kesan baik dan buruknya. Umumnya produk-produk baru sebegini seringkali digambarkan dengan perbagai kebaikan seolah-olah ia tidak mendatangkan kesan buruk sedikitpun. Namun, awas, produk-produk sebeginilah yang sering menjerat pembelinya. Berapa ramai wanita yang menderita perbagai penyakit barah dan misteri hasil mengambil pil-pil langsing, ubat-ubat kecantikan dan perbagai produk kesihatan yang tidak dapat dipastikan kebenaran keberkesanan dan kebaikannya melalui badan-badan yang diiktif. Kebiasaannya produk sebegini sememangnya mampu memberi kesan seperti yang dihajati, namun kesan sampingan hasil pengambilannya biasanya tidak diketahui. Akibatnya ummat Islam tertipu dan menderita akibat kecuaian dan keghairahan mereka untuk kelihatan cantik sepanjang masa dengan mengambil produk tersebut. Kebanyakan produk-produk sebegini datangnya daripada negara barat yang dikatakan maju dalam segala macam teknologi. Sememangnya negara barat seperti Amerika, Jepun, Britain dan lain-lain negara merupakan antara negara yang maju dalam perbagai lapangan bidang. Namun, teknologi dan kecanggihan mereka kadang-kala tidak sehebat seperti yang mereka gambarkan dalam filem-filem keluaran mereka. Kesemua instrumen mereka mainkan agar kita mengaungkan mereka dengan paparan seolah-olah mereka terlalu maju sehinggakan apa sahaja bahan dan produk dari mereka kita telan tanpa kaji dan selidik apakah kesan sampingan hasil mengambilnya apatahlagi sumber dalam menghasilkannya apakah halal atau sebaliknya. Bahan-bahan ini kadangkala dijual melalui agen tertentu ataupun melalui progrem yang dikenali sebagai MLM (Multi Level Marketing) atau yang seumpamanya yang pakar-pakar syariah telah berpendapat terdapat sesetengah konsep MLM yang HARAM.
Produk-produk kecantikan yang halal yang dihasilkan oleh orang Islam bukan tiada tetapi sukar menembusi pasaran disebabkan kesan pengambilannya yang lambat berbanding bahan yang didatangkan daripada negara barat. Biasanya produk-produk dari Barat ini meletakkan kenyataaan kandungannya dengan menggunakan perkataan saintifik. Kurang minat mengkaji makna perkataan saintifik tersebut telah menyebabkan umat Islam terus menjadi pengguna kepada bahan yang HARAM. Inilah lemahnya ummat Islam, sifat malas dalam menuntut ilmu menyebabkan mereka terus dipermain-mainkan oleh musuh-musuh Islam tanpa mereka sedari. Ummat Islam adalah antara penghuni terbesar didunia ini, namun ia menjadi pengguna setia kepada barangan musuh mereka sendiri tanpa prejudis sedikit pun!! Paling menghairankan terdapat sesetengah barangan yang digunakan ummat Islam sebut dihasilkan oleh musuh Islam tetapi musuh Islam yang menghasilkan produk tersebut tidak pernah menggunakan barangan tersebut. Islam sememangnya menganjurkan agar ummatnya memelihara kesihatan. Namun, kesihatan yang dicari mestilah mengikut batas-batas yang ditetapkan syarak. Terdapat juga umat Islam kini yang tidak memperdulikan bahan makanan yang dimakan seperti mee, fishball, kicap, sos yang digunakan sehingga sanggup menggunakan barangan buatan orang kafir hanya kerana bahan tersebut dikatakan mampu menghasilkan makanan yang sedap.

Ummat Islam hari ini bukan sahaja tidak teliti dalam hal-hal halal-haram dalam produk kesihatan dan kecantikan, malah turut tidak teliti status halal-haram dalam perkara muammalah seperti pelaburan di internet yang pernah digemparkan pada satu ketika dahulu. Konsep perniagaan yang menjanjikan pulangan lumayan serta kaedah ala skim cepat kaya yang kadangkala konsepnya amat diragui tetap menjadi pilihan umat Islam Malaysia untuk menyertainya. Kerakusan dalam memiliki harta tanpa memikirkan halal-haram ini bukan sahaja amat mendukacitakan malah lebih parah lagi apabila ada pihak beraotoriti tertentu mengeluarkan Fatwa mendakwa skim pelaburan tertentu HALAL hanya dengan dakwaan "Kedudukan ekonomi anak bumi khasnya Islam dinegara ini dalam keadaan tenat dan sampai ke tahap dharurat yang dimaksudkan itu ialah dari aspek ekonomi umat secara berkelompok bukan dari sudut individu.“ Bermuamalah dengan skim ASN dan ASB adalah harus dan segala keuntungannya berupa dividen atau bonus hukumnya halal” (petikan daripada Jabatan Fatwa Negeri Perak). Ulama' yang sangat berhati-hati pastinya tidak akan mengizinkan fatwa dangkal ini dikeluarkan kerana sesungguhnya harta yang HARAM ini jika mendarah daging hanya api neraka sahaja yang layak baginya!! Inilah penegasan hadis nabi sebagaimana sabda baginda :

"Adapun hamba yang dagingnya tumbuh daripada makanan yang HARAM dan RIBA, maka neraka itu lebih utama baginya"

Apakah umat Islam di Malaysia terlalu tenat dan dharurat sampai memerlukan kepada sumber kewangan yang bercampur halal-haramnya? Berani sungguh si mufti dan ahli agama kini yang sanggup menyatakan sesuatu tanpa dilihat situasi dharurat itu sepertimana yang didifinasikan syarak. Syarak membenarkan perkara terlarang dalam hal-hal dharurat untuk tempoh dan waktu tertentu. Tetapi tidak sekali-kali mengizinkan dalam waktu yaang bukan dharurat.


Sesungguhnya setiap harta yang diperolehi kelak akan dipersoalkan. Maka sikap segelintir umat Islam yang memperolehi harta dengan jalan yang HARAM seperti mencuri, merampas hak orang lain sama ada melalui kegitan jenayah ragut mahupun melalui RASUAH, kesemuanya akan dihukum di mahkaamah Allah kelak. Malah kadangkala adanya golongan ini yang telah dihukum di dunia. Nikmat keberkatan tidak akan diperolehi pada mereka yang memakan harta yang HARAM. Jika kaya, pasti tidak ada rasa keamanan pada diri. Tiada anak yang berjaya. Jika ada anak yang berjaya sekalipun, barangkali anak yang dibesarkan tidak menghormati diri seterusnya bersikap kurang ajar. Hilangnya nikmat berkeluarga, sering dirundung perbagai masalah merupakan antara ujian mahupun kiffarah Allah atas perbuatan yang kita lakukan.

Ambillah berat akan makanan yang halal dan sumber yang HALAL kerana ia memberikan nilai didunia dan di akhirat. Ingatlah pesanan rasulullah S.A.W bermaksud:


"Wahai semua manusia, makanlah benda yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi".
Lalu Saad bin Abi Waqqas yang ketika itu berhampiran dengannya berkata:
"Ya Rasulullah, tolong pohonkan kepada Allah agar Allah jadikan daku seorang yang mudah diperkenankan doa."
Mendengar kata-kata Saad itu, lalu Baginda bersabda:
"Wahai Saad, perbaikilah makananmu, kau akan jadi seorang yang mustajab doa. Demi Tuhan dimana diri Muhammad dalam tanganNya, seseorang lelaki yang menelan seketul daging haram dalam perutnya tidak akan diterima doa daripadanya selama empat puluh hari. Adapun hamba yang dagingnya tumbuh daripada benda haram dan riba, maka neraka itu lebih utama baginya."


Jumaat, 10 April 2009

Jin Dan Hakikat Kewujudannya 2


Hikmah Diciptakan Makhluk-makhluk halus ialah:-
  1. Sebagai menguatkan iman seseorang kepada Allah S.W.T. Menyakinkan akan kebesaran dan keagungan Ilahi.
  2. Agar manusia sentiasa berwaspada terhadap musuh-musuh yang tidak kelihatan yang sentiasa berazam dan berusaha untuk menyesatkan manusia
  3. Untuk menguji iman manusia, setakat mana manusia dapat menggunakan akal fikiran dan anggota tubuh dengan bijaksana dan tidak terpesona dengan tipu helah pujukan syaitan
  4. Hanya dengan adanya dugaan, kekuatan iman seseorang manusia itu akan diketahui.
  5. Kewujudan makhluk halus yang melakukan kejahatan, seseorang yang beriman akan terus merasa yakin tentang adanya pertolongan Allah S.W.T

Kewujudan makhluk halus merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah bagi menambah iman manusia. Makhluk halus seperti jin juga dikenakan tuntutan dalam hal agama sepertimana manusia yang kelak akan di adili di mahkamah Allah seterusnya diberikan syurga atau neraka. Firman Allah :

" Masuklah kamu sekalian ke dalam neraka bersama umat-umat jin dan manusia yang telah terdahulu sebelum kamu. Setiap suatu ummat masuk (ke dalam neraka) dia mengutuk kawannya (yang menyesatkannya) sehingga apabila mereka masuk semuanya berkatalah orang-orang yang masuk kemudian antara mereka kepada orang-orang yang masuk terdahulu: "Ya Tuhan kami, mereka telah menyesatkan kami, sebab itu datangkanlah kepada mereka siksaan yang berlipat ganda dari neraka". Allah berfirman: " Masing-masing mendapat (siksaan) yang berlipat ganda akan tetapi kamu tidak mengetahui"

(al A'raf: 38)

Masyarakat Melayu umumnya mengenali makhluk halus dengan gelaran tertentu seperti bunian, hantu raya, polong, toyol, langsuir dan sebagainya. Toyol dikatakan makhluk kecil seperti kanak-kanak yang bogel dan sering mencuri duit. Hantu raya dikatakan sejenis hantu berbulu dan berbadan besar yang sering menganggu manusia. Pelesit dikaitkan dengan makhluk belaan wanita manakala bunian dikatakan sejenis kelompok masyarakat yang berkampung dan tidak kelihatan kampungnya dimata kasar. Kesemua istilah ini sebenarnya tidak ada dalam bahasa arab, dalam al Quran mahupun al Hadis. Al-Quran hanya menyebut kewujudan makhluk yang tidak kelihatan ini dengan nama Jin, malaikat, syaitan dan iblis yang mana setiap satunya punyai perbezaan yang ketara. Pada pengamatan penulis, mungkin jin inilah yang dikategorikan oleh orang melayu sebagai toyol, hantu galah, hantu raya, polong dan sebagainya yang sering menganggu dan menghantui manusia. Kajian menunjukkan antara usaha tukang tilik, bomoh mahupun pawang dalam melaksanakan rawatan mahupun mereka yang terlibat dengan ilmu kebatinan menunjukkan adanya permohonan bantuan daripada jin untuk merealisasikan matlamatnya. Kenyataan ini dibenarkan oleh firman Allah :

"Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki diantara manusia meminta pertolongan kepada beberapa lelaki diantara bangsa jin, maka jin-jin itu menambah dosa dan kesalahan mereka"

(al- Jin: 6)

Hadis nabi memberikan jin kepada beberapa nama seperti ifrit yang mana ianya dikenali sebagai jin yang besar dan kuat. Sebuah hadis dari Abu Hurairah menyebut antaranya rasulullah S.A.W bersabda :

" Sesungguhnya ada satu ifrit daripada golongan jin mencuba ke atasku (lalu lintas dihadapanku) malam tadi untuk menggoda agar sembahyangku putus"

Selain jin, Allah juga menciptakan iblis, syaitan dan malaikat. Terdapat banyak pendapat yang berbeza-beza tentang iblis sama ada ia berasal daripada jin atau malaikat. Terdapat pendapat yang menyatakan iblis berasal daripada golongan malaikat yang dinamakan jinn yang dijadikan daripada api yang panas. Namanya lainnya dalam bahasa Siryaniyyah adalah Azazil dan dalam bahasa Arab namanya al-Harith. Dinamakan al-Harith kerana ia menjaga syurga dan ketua langit dunia yang berkuasa di bumi dan di syurga. Ibnu Masud menyatakan dinamakan jinn kerana ia dinisbahkan namanya kepada jannah yakni syurga kerana tugas yang diberi padanya. Tafsir Fi Zilali il Quran dalam mentafsirkan ayat al Quran surah al Baqarah: 34 menjelaskan bahawa iblis bukan dari kalangan malaikat. Sekiranya iblis dari jenis malaikat tentunya ia tidak akan ingkar dengan perintah Allah kerana sifat malaikat itu sendiri yang tidak akan ingkar kepada Allah sepertimana yang dijelaskan dalam surah at Tahrim:6 :

"Mereka tidak mengingkari Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan melakukan apa yang disuruh"

Selain itu surah al Kafh: 50 telah menjelaskan kenyataan bahawa sesungguhnya iblis adalah dari kalangan jin sepertimana firmannya :

"Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para maikat, sujudlah kamu kepada Adam. Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka dia menderhaka perintah tuhanNya"

Syaitan

Syaitan dikatakan sejenis makhluk halus dari golongan jin yang menderhaka, sombong, pengacau dan fasik. Firman Allah dalam surah an Nur: 21

"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar"

Firman Allah:

"Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni api yang menyala"

Qarin

Qarin adalah perkataan bahasa arab yang bermaksud teman atau rakan. Istilah Qarin disini adalah roh-roh jahat atau makhluk halus yang jahat yang menganggu manusia yang sering mengiringi kelahiran bayi. Kewujudan qarin adalah untuk menggoda manusia, menampakkan pekerjaan buruk dan maksiat sebagai baik dan menyeronokkan . Semua manusia mempunyai qarin termasuk nabi. Firman Allah :

"Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu"

(al An'am: 112)

Rasulullah S.A.W bersabda:

"Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan dengan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya dari kalangan malikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan saya pun. Akan tetapi Allah menolong saya daripada gangguannya, maka tidaklah ia mendorong saya kecuali kepada kebaikan"

Kesemua keterangan ringkas diatas menunjukkan dalil kewujudan makhluk halus dari kalangan jin yang sentiasa ada bersama kita. Kewujudan jin ini sentiasa ada dimana-mana cumanya gangguannya mungkin tidak semua orang melaluinya.

Apabila berlaku sakit yang diakibatkan oleh makhluk halus, maka hendaklah kita segera berubat dengan menggunakan kesembuhan berdasarkan al-Quran dan al Sunnah. Berjumpalah dengan mereka yang arif dalam melakukan rawatan tersebut. Jangan sekali-kali kita terlibat dengan rawatan yang bercanggah dengan al-Quran dan petunjuk nabi kerana setiap rawatan yang bercanggah dengan petunjuk nabi membawa kita ke lembah kehinaan serta boleh menggugat aqidah Islamiyyah.

Wallahua'lam

Saiful Adli b. Samsudin

Selasa, 7 April 2009

Boikot Motorola kerana membekalkan fius bom kepada Israel !


Isnin, 06/04/2009 - Motorola telah menjual satu unit kontroversial yang menghasilkan fius-fius bom dan peralatan lain untuk tentera Israel, menurut laporan sebuah akhbar kewangan Israel , Globes . Tiada penjelasan yang telah ditawarkan dalam laporan media tentang jualan oleh Motorola Israel — sebuah anak syarikat milik penuh Motorola — bagi unitnya yang dipanggil Government Electronics Department (GED) untuk syarikat Israel , Aeronautics Defense Systems Ltd. Jualan itu datang sehari selepas bantahan 30 Mac kempen boikot Isarel di Brooklyn anjuran The New York Campaign untuk Boycott Israel (NYCBI) memulau Motorola kerana sokongannya terhadap dasar aparteid Israel. Ryvka Bar Zohar daripada NYCBI berkata : “Kita akan lebih bersemangat sekiranya Motorola menyingkirkan sekurang-kurangnya pengeluaran fius-fius bom bom-bom yang Israel gunakan kepada penduduk Palestin dan rakyat Lebanon. Tetapi kita akan terus berkempen untuk memulau Motorola sehingga mereka menyingkirkan pengeluaran dan jualan bagi semua produk yang menyokong dasar aparteid Israel.”


sumber : http://electronicintifada.net/v2/
penterjemah : gunx

-->