Ahad, 14 Jun 2009

PENGUMUMAN !!!

Klinik Darussyifa' Batu Gajah di Kg Changkat Larang akan dibuka dua kali sebulan


Changkat Larang-15 Jun: Klinik Darussyifa' Changkat Larang mengorak langkah setapak kehadapan dengan menambah waktu rawatan daripada sekali sebulan kepada dua kali sebulan. Klinik Darussyifa' yang mula dibuka di awal tahun 2009 ini akan memulakan operasinya dua kali sebulan iaitu pada setiap hari jumaat minggu pertama dan jumaat minggu ketiga setiap bulan mulai 19 Jun 2009 ini. Jurucakap Darussyifa' Cangkat Larang menyatakan penambahan waktu rawatan ini dilakukan atas permintaan ramai. Klinik Darussyifa' Changkat Larang berkemungkinan akan melakukan rawatan setiap minggu apabila kesemua perawatnya bersedia. Pada awal pembukaannya Klinik Darussyifa' Changkat Larang hanya beroperasi sebulan sekali. Pembukaan sebanyak dua kali sebulan dilihat dapat memudahkan para pesakit mendapatkan rawatan tanpa perlu menunggu pada bulan berikutnya.


Jampi & Mentera: Tipu Daya Jin & Syaitan

Seorang pesakit datang mengadu hal kepada saya perihal isterinya yang mula mencari lelaki lain. Isterinya dikatakan mula bercinta dengan seorang lelaki yang jauh muda darinya. Kes ini bukanlah kes pertama malah sebelumnya seorang pesakit yang lain turut mengadu masalah yang hampir sama. Keluarganya hampir bercerai-berai hanya kerana kehadiran orang ketiga. Seorang jejaka yang muda belia!! Jika dulu, isu begini seringkali dilontarkan oleh isteri yang resah gelisah melihat suami mula mencari ganti, kini berlaku sebaliknya.

Seorang pesakit datang memberitahu dia sangup lakukan apa sahaja untuk memenangi hati isterinya kembali. Perbagai cara penyelesaian dibuat, namun isterinya tetap dengan tindakannya meneruskan perhubungan dengan lelaki lain. Akibatkan peristiwa itu, kebajikan dan kewajiban terhadap anak-anak mula diabaikan. Pesakit yang datang memberitahu saya, dia pernah meminta ilmu pengasih dari seorang 'ustaz' untuk mempastikan isterinya kembali kepangkuannya! Saya menanyakan apakah ilmu pengasih tersebut?

Pesakit itu memberitahu bahawa 'ustaz' tersebut memintanya agar mengamalkan selawat nabi sebanyak 300 kali, ayatul kursyi sebanyak 300 kali dan al-ikhlas sebanyak 300 kali. Selepas mandi junub (mengangkat hadas besar) air yang telah digunakan untuk mandian tadi di ambil dan ditakungkan semula untuk dibuat air minuman dan dicampur dalam masakan untuk diberi kepada siisteri. Pesakit itu menanyakan kepada saya: Boleh ke ustaz buat macam tu ?

Saya agak terkejut dengan pertanyaannya serta kaedah pelik daripada bomoh yang bergelar 'ustaz' tersebut!! Saya menjawab: Perbuatan itu haram lagi berdosa kerana memberikan siisteri air sisa daripada mandian tubuh badan. Ia seolah-olah satu penganiayaan keatas siisteri. Bacaan dan amalan yang terdiri daripada al-Quran sengaja dicampur-adukkan agar masyarakat melihat ia sebagai amalan yang tidak bercanggah dengan Islam. Sedangkan Islam tidak pernah mengizinkan perbuatan sedemikian. Sememangnya al-Quran adalah mukjizat dan mampu melembutkan hati manusia. Mampu membuatkan manusia mengasihi dan mencintai sebagaimana kisah Umar al Khattab yang lembut hatinya serta jatuh cinta pada agama ini hanya kerana alunan dan maksud yang dinyatakan oleh al-Quran sebagai kalamullah. Penggunaan al-Quran dalam ilmu pengasih tidak lebih hanya satu bentuk amalan dan permohonan kepada Allah semata-mata. Penggunaan bahan-bahan yang kotor seperti sisa air dibadan, kotoran-kotoran dan sebagainya dicampur aduk bersama bacaan al-Quran adalah merupakan salah satu bentuk sihir yang didatangkan oleh syaitan dalam usaha menyesatkan manusia. Seorang perempuan menelefon saya mengkhabarkan bahawa dirinya baru mendirikan rumahtangga. Dalam usia 18 bulan, dirinya sentisa menjadi mangsa pukulan suaminya. Lebam-lebam akibat pukulan suaminya itu menyebabkan sanak saudara memintanya agar melaporkan kepada pihak berkuasa akan tindakan ganas suaminya. Namun, setiap kali mengigatkan suaminya, dirinya tiba-tiba jatuh kasih dan kasihan sehinggakan terasa seronok amat sangat untuk tinggal bersama suaminya sungguhpun dirinya menderita akibat dipukul tanpa sebab yang khusus. Setiap kali bersama suami dia seolah tidak mampu berkata apa-apa melainkan akan mengikut segala kehendak suaminya. Suatu hari, siisteri telah terjumpa satu mentera yang tertulis namanya dibintikan nama ibunya. Mentera yang membawa erti pengasih itu mengandungi ungkapan kata yang tidak difahami disamping meminta pengamalnya agar mengamalkan beberapa surah al-Quran terlebih dahulu untuk mendapatkan keberkesanannya. Ini semua merupakan contoh-contoh sihir yang diharamkan oleh Islam malah perbuatan ini adalah perbuatan syirik yang menjejaskan aqidah pengamalnya. Menurut Sheikh Wahid Abdul Salam Bali, antara sihir yang seringkali juga digunakan ialah dengan menulis kalimah ayatuk kursyi dalam kalimah yang diterbalikkan dengan menggunakan darah haid. Demikian juga terdapat amalan masyarakat melayu yang menggunakan surah al-ikhlas yang ditulis secara songsang atau diamalkan secara songsang untuk mendapat hajat tertentu. Kesemua ini adalah sihir yang pastinya dijanjikan dengan balasan neraka Allah yang amat dahsyat. Perbuatan mengubah ayat Allah dengan menyongsangkannya seolah-olah Allah silap dalam menurunkan wahyu satu tindakan yang terang-terangan menghina Allah selaku zat yang Maha Mengetahui. Penggunaan bahan-bahan kotor seperti darah haid mahupun sisa-sisa dibadan juga merupakan satu bentuk perbuatan yang menghina ayat-ayat Allah. Hendaklah manusia keseluruhannya meninggalkan amalan-amalan batil tersebut dan rujuklah kepada mereka yang mengetahui sebelum melakukan sesuatu tindakan agar kita selamat di dunia dan di akhirat.

Wallahua'lam

Saiful Adli b. Samsudin

Khamis, 4 Jun 2009

Sihir

SEJARAH SIHIR
Sihir diterjemahkan dengan terjemahan yang perbagai oleh para pengkaji Timur dan Barat. Namun, secara keseluruhannya sihir bolehlah diertikan sebagai satu ilmu jahat yang diamalkan atau digunakan dengan bantuan jin bagi menghasilkan satu tindakan yang sukar diterima akal. Firman Allah dalam surah al-Jin ayat 6 yang bermaksud:-

"Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki diantara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki kalangan jin. Maka jin itu menambahkan mereka dosa dan kesalahan".

Al-Quran telah merakamkan kewujudan sihir sebagaimana firman Allah s.w.t.:-

"Dan mereka mengikut apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka menyatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir) padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir) hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seseorang pun sebelum mengatakan: Sesungguhnya kami hanyalah cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kamu kafir. Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seseorang pun kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa barangsiapa yang menukarkannya (kitab Allah) dengan sihir itu. Tiadalah baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahuinya"
(al-Baqarah :102)

Kisah bermulanya sihir telah dirakamkan di dalam al-Quran apabila dua orang malaikat bernama Harut dan Marut yang membawanya ke bumi. Ilmu ini akhirnya digunakan oleh jin dan syaitan untuk menyesatkan manusia melalui pengamalnya terdiri daripada bomoh, pawang, dukun dan sebagainya.

Selain itu kisah sihir dirakamkan juga pada zaman nabi Musa a.s dalam surah Yunus ayat 81 bermaksud:

" Maka setelah mereka lemparkan, Musa berkata: " Apa yang kamu lakukan itu, itulah sihir! Sesungguhnya Allah akan menampakkan ketidakbenarannya.Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan terus berlangsungnya pekerjaan orang-orang yang membuat kerosakan"


"Maka Musa merasa takut dalam hatinya. Kami berkata: Janganlah kamu merasa takut, sesungguhnya kamulah yang paling unggul. Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu nescaya ia akan menelan apa yang mereka perbuat. Sesungguhnya apa yang mereka perbuat itu adalah tipu daya tukang sihir (belaka). Dan tidak akan menang tukang sihir itu dari mana sahaja ia datang."

(Toha: 67-69)


ADAKAH NABI PERNAH TERKENA SIHIR?

Persoalan sama ada nabi pernah disihir ataupun tidak telah menjadi pertikaian dikalangan para ulama Islam. Sebahagian ulama' menolaknya kerana merasakan kejadian sedemikian mengaibkan martabat nabi yang merupakan hamba yang terpelihara. Manakala sebahagian ulama' pula tidak menafikan malah membenarkan kenyataan nabi disihir sepertimana hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

Dari Aisyah: “Nabi pernah disihirkan sehinggalah Baginda menyangkakan bahawa ia telah mendatangi mereka (isteri-isteri) sedangkan ia tidak mendatangi mereka”

(Bukhari dan Muslim)

Menurut Qadhi Iyadh, katanya” (kejadian sihir) ini tidak mencacatkan kebenaran Baginda kerana telah jimak bahawa Nabi dipelihara dari sudut itu. Cuma yang berlaku hanyalah di bidang yang harus berlaku di atasnya, di bidang duniawi semata-mata”.Juga Qadhi “Iyadh menegaskan: “Dan sihir adalah merupakan satu daripada penyakit-penyakit”. Dengan ini jelas bahawa adalah tidak mustahil bagi seseorang itu ditimpa penyakit yang disebabkan oleh sihir, akan tetapi hendaklah diingat bahawa ia berlaku atas keizinan Allah s.w.t. Sihir adalah sejenis ilmu yang dikuasai oleh golongan jin dan syaitan. Oleh itu bagi manusia yang mengamalkan ilmu bererti mereka akan memperalatkan dan bekerjasama dengan syaitan bagi tujuan-tujuan tersebut. Malah jika diteliti asbab un nuzul (sebab-sebab penurunan ayat al-Quran) bagi surah al-falaq dan an-nas sendiri memperihalkan peristiwa baginda disihir oleh seorang yahudi bernama Lubait b. Al Aqsam. Peristiwa ini dirakamkan oleh Saidatina A'isyah r.a dimana seorang lelaki dari Bani Zuraiq bernama Lubaid b. al Aqsam telah melakukan sihir keatas baginda sehinggakan nabi berdoa dan terus berdoa dan bersabda:-

"Wahai A'isyah, apakah engkau merasakan bahawa Allah s.w.t telah mendatangkan fatwa ketika aku benar-benar memerlukannya? Telah datang kepadaku dua orang lelaki lalu salah seorang daripadanya duduk berhampiran kepalaku dan seorang lagi berhampiran kakiku".

Lelaki yang berhampiran kepala baginda berkata kepada temannya yang berada dikaki:-

"Apa sakit lelaki ini?"

Ia menjawab: "Terkena sihir"

"Siapa yang menyihirnya ?"

Ia menjawab: "Lubaid b. al a'sam"

"Dengan bahan apa?"

"Pada sikat dan rambut kemudian dibungkus dengan seludang tamar jantan muda"

"Dimana letaknya benda itu?"

Di dalam telaga Zarwan".

Lalu baginda menemui sahabatnya agar pergi meninjau. Setelah kembali sahabat tadi berkata:-
"Wahai A'isyah, Demi Allah! Air telaga itu berwarna kemerah-merahan seolah-olah warna inai. Rupa pohon tamar itu seperti kepala-kepala syaitan.

Aku (A'isyah) bertanya:- "Ya Rasulullah kenapa tidak dibakar sahaja benda itu?"

Baginda menjawab: " Jangan, Allah telah menyembuhkan daku. Aku tidak suka mengenakan kejahatan seperti ini ke atas orang lain." lalu baginda menyuruh agar ditanam sahaja bahan-bahan sihir tersebut."

Peristiwa ini mengisahkan bagaimana baginda pernah disihir dengan menggunakan sikat dan rambut dan janggut baginda (yang gugur). Bahan lain seperti pelepah tamar turut digunakan sebagai bahan sihir yang diletakkan di dalam telaga Zarwan iaitu sebuah telaga milik Bani Zuraiq. Setelah Jibril mengkhabarkan baginda apa yang dilakukan oleh Lubaid ke atas baginda. Baginda telah pergi ke telaga tersebut bersama sahabat. Setelah pulang, baginda menyuruh Ali dan Ammar pergi ke telaga berkenaan lalu mereka mengeringkan airnya. Qays telah mengangkat batu yang menindih bahan-bahan sihir di dasar perigi. Sebahagian riwayat menyebut bahawa ia mendapati satu patung lilin yang dicucuk dengan jarum yang dililit dengan sebelas ikatan. Allah telah menurunkan al-Mu'awwizataini dimana setiap ayat yang dibacakan telah menguraikan satu ikatan sihir yang menimpa baginda sehingga baginda mampu berdiri dan sembuh seperti sediakan.

TANDA-TANDA TERKENA SIHIR

Tanda-tanda gejala sihir begitu banyak. Malah setiap orang yang terkena sihir kadang-kala punyai tanda-tanda yang agak berbeza. Tanda-tanda sihir telahpun dijelaskan dalam artikel yang lalu.

CARA MENGHADAPI SIHIR

Orang-orang yang beriman dengan Allah mempunyai banyak kelebihan di dalam menghadapi sihir. Pertamanya mereka mempunyai tempat pergantungan dan tempat berlindung yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa iaitu Allah 'Azza Wajalla'. Imam Ibnu Qayyim telah berkata, “Ubat yang paling bermanfaat untuk penyakit sihir ialah Al Adahihiyah Al Ailahiyah (penawar Ketuhanan) iaitu dengan banyak berzikir, membaca Al-Quran dan berdoa. Seseorang yang beriman itu menganggap bahawa sihir yang menimpanya sebagai satu ujian dari Allah. Sekiranya ia melalui ujian ini dengan cara yang betul sepertimana yang dikehendaki oleh Allah maka Insya Allah bertambahlah imannya. Kaifiat penghadang sihir ini seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. telahpun dijelaskan di dalam tajuk Tibb Nabawi. Orang-orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa kuasa Allah s.w.t. mengatasi segala-galanya baik yang ada di langit mahupun yang ada di bumi dan bahawa interaksi dengan Ayat-Ayat Allah (Al-Quran) itu sebesar-besar penawar. Oleh itu mereka tidak perlu berubat dengan cara-cara yang memudaratkan aqidah seseorang seperti dengan berlindung dengan jin dan syaitan melalui perantaraan bomoh atau dukun dan jin-jin yang tidak beramal dengan petunjuk Allah s.w.t.

wallahua'lam.

Saiful Adli b. Samsudin

Isnin, 1 Jun 2009

Bersama Tn Guru Dato' Dr Haron Din: Berpolitik tidak kena mengena dengan akhirat?

SOALAN: Ada pandangan mengatakan masalah berpolitik dalam mana-mana pertubuhan politik adalah masalah duniawi dan tidak ada kena mengena dengan akhirat. Perkara dunia habis di dunia, itulah realitinya. Oleh kerana itu tidak timbul soal parti politik mana harus diikut, mana yang harus ditolak, semuanya sama, apa pandangan Dato? - MOHD MUNIR
JAWAPAN: Tidak. Sama sekali tidak begitu. Islam adalah panduan hidup. Islam adalah cara hidup. Islam yang sebenar adalah yang tidak memisahkan di antara urusan dunia dan urusan akhirat. Kedua-duanya berjalan serentak. Ianya bergandingan antara satu sama lain. Dunia adalah jambatan ke akhirat, apa yang anda lakukan di dunia ini, akan diambil kira di akhirat.
Itulah yang disebut dalam firman Allah (mafhumnya):
"Maka sesiapa berbuat kebajikan meskipun seberat zarrah, nescaya akan diberi balasan di akhirat. Dan sesiapa yang berbuat kejahatan, meskipun seberat timbangan zarrah, akan diberi balasan di akhirat." (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kerja-kerja manusia di dunia ini hanya ada dua jenis sahaja. Sama ada kerja baik atau kerja jahat. Kerja politik pun demikian juga. Ada politik baik dan ada politik jahat. Kerja politik adalah kerja besar dan berat. Guna dan kesannya juga amat besar.
Ada orang yang seluruh hidupnya dihabiskan dalam berpolitik, siang dan malam berpolitik. Maka rugilah dia jika Allah tidak mengambil kira perjuangan dan pengorbanannya itu, jika ia melakukan politik yang baik. Dan, tidak adillah kepada Allah SWT jika dibiarkan orang yang melakukan politik jahat itu terus bermaharaja lela dan tidak dibalas di akhirat. Kuasa politik adalah kuasa yang menentukan hala tuju negara. Rakyat akan terbawa ke dalam penghidupan yang diwarnakan orang politik yang diberi kuasa oleh rakyat. Jika politik yang mementingkan parti dan kroni, maka untunglah yang mendapat habuan, manakala yang lain-lain akan menderita. Jika politik yang jujur serta ikhlas, berjuang untuk mengajak manusia memartabat dan melaksanakan hukum Allah, melaksanakan perintah Allah sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, maka akan untunglah insan yang akan mendapat ganjaran di akhirat.
Sekiranya politik itu zalim, yang berkuasa menindas rakyat dan mementing diri sendiri serta sanggup melakukan kezaliman, penindasan dan sebagainya, maka tentulah ada pembalasan di akhirat, atas perbuatan yang melanggar tatasusila dan undang-undang kemanusiaan yang wajib dipelihara. Meskipun sudah ada penjelasan dalam media massa tentang Islam itu sebagai suatu cara hidup yang lengkap dan tidak berpisah antara urusan dunia dan akhirat, tiada pemisahan itu dalam Islam, namun kekeliruan masih ketara. Saya cadangkan bagi mereka yang meragui tentang hakikat ini, merenung kembali kepada ikrar dalam solat kita hari-hari yang dibaca dalam doa iftitah (mafhumnya):
"Sesungguhnya solatku, ibadatku, cara hidupku dan matiku, semuanya dilakukan untuk Allah, Tuhan sekelian alam."

Setiap kali solat kita membuat pengakuan mutlak bahawa seluruh hidup kita semuanya kerana Allah, tidak ada yang lain hanya semata-mata kerana Allah. Berpolitiklah untuk Allah, bukan kerana dunia. Meskipun urusan di dunia, tetapi hendaklah kerana Allah. Berpolitik melalui jalan yang diredai Allah. Jika anda terbabit dengan politik yang menentang hukum Allah atau politik yang hendak dicapai itu bukan untuk memartabatkan agama Allah, maka ianya berlawanan dengan sifat manusia yang dijadikan sebagai khalifah Allah. Oleh yang demikian, anda akan mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang anda lakukan. Penderhakaan terhadap Allah adalah suatu jenayah agama yang amat besar. Allah mengingatkan kita dengan perintah-Nya seperti firman-Nya (mafhumnya):
"...Dan sesiapa yang menderhakai Allah, maka sesungguhnya dia berada dalam kesesatan yang amat nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Oleh kerana itu, berpolitiklah dengan politik yang betul, bukan main tangkap muat atau terikut-ikut atau terpengaruh dengan pujukan ahli-ahli politik yang tidak berpendirian. Anda ada panduan yang boleh menentukan sendiri politik yang sebenar, mana yang memberi keuntungan dunia dan di akhirat, atau pun sekurang-kurangnya anda akan memperolehi keuntungan di akhirat jika anda berpolitik untuk memartabatkan Islam sebagai agama yang suci murni. Wallahu a'lam.