Isnin, 27 Julai 2009

Tangkal, Azimat dan Wafaq



Contoh Wafaq

Tangkal pada masa kini





Tangkal dan Wafaq dalam bentuk moden. Hari ini tangkal bukan sahaja diphotostet, malah terdapat juga tangkal yang diukirkan pada gelang, mangkuk dan sebagainya dalam mengelirukan umat Islam. Tangkal pada hari ini mudah didapati dijual di pasar-pasar tani, pasar malam malah tidak kurang juga diluar-luar masjid utama di negeri. Para penjualnya biasanya berketayap atau memakai songkok. Janganlah mudah terpedaya dengan tangkal yang tidak mampu berbuat apa-apa ini. Yakinlah pada Allah...sesungguhnya meyakini tangkal sedemikian dapat menjaga diri adalah satu perbuatan syirik dan beertentangan dengan ajaran Islam. Tok-tok bomoh membekalkan wafaq kepada pesakit untuk menampalkannya di dinding rumah mahupun kedai bagi tujuan melariskan kedainya atau melindungi rumah agar terhindar daripada sihir dan ilmu hitam. Kesemua tindakan ini adalah syirik iaitu menyekutukan Allah dengan helaian wafaq dan barangan tangkal yang lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa. Ketahuilah sesungguhnya semua perkara adalah atas izin Allah dan perlulah segala permohonan disandar dan dipohon hanya pada Allah Yang Maha Pencipta semata-mata.


Satu ketika dahulu, di negara kita sering kedapatan di sana-sini oarang menjual kayu kokka dengan beranggapan bahawa kononnya kayu kokka ini dapat menghindarkan pemakainya daripada terkena sihir hanya dengan memakainya. Bukankah tindakan sedemikian juga merupakan satu bentuk pemakainan tangkai? Ingatlah setiap pemakaian tangkai adalah syirik dan sesungguhnya dosa syirik adalah dosa besar yang Allah tidak akan ampunkan. Sebuah hadis menjelaskan perihal tangkal ini seperti berikut:-



Masyarakat Melayu dahulu, apabila ada anak kecil, maka dililitnya benang hitam pada pergelangan tangan atau pada pinggang mahupun pada lehir. Benang hitam ini telah dijampikan terlebih dahulu oleh tok mudim atau bomoh dengan harapan dapat memelihara sibayi yang comel daripada diganggu jin. Sebenarnya tindakan ini amat ditentang oleh Nabi besar kita Muhammad S.A.W sepertimana hadis berikut:-
Larangan ini diperkuatkan lagi dengan hadis berikut:-


Masalah gangguan ke atas kanak-kanak yang baru lahir sememangnya diakui nabi. Namun Islam mengajarkan untuk kaedah terbaik untuk keluar dari masalah sebegini adalah dengan bermohon dan bermunajat kepada Allah s.w.t. Malah digalakkan juga menemui mereka-mereka (para ustaz dan perawat Islam) yang memahami kaedah-kaedah yang betul yang tidak bertentangan Islam untuk mengatasi masalah-masalah gangguan sebegini. Jangan sesekali menemui bomoh mahupun 'ustaz' yang menggunakan tangkal atau wafaq atau apa-apa barang seumpamanya kerana sesungguhnya nabi besar kita bersabda:-

Justeru itu hendaklah kita fahami bahawa sesungguhnya dalam mencari kesembuhan mahupun dalam menghadapi masalah, baik disudut perniagaan, keselamat mahupun kesihatan mestilah dipastikan agar sumber dalam mendapatkan kesembuhan tersebut mestilah selaras dengan kehendak Allah serta menjauhi perbuatan-perbuatan yang menjurus kepada Syirik terhadap Allah. Semoga artikel ringkas ini dapat memberi manfaat buat kita semua.
Wallahua'lam






Ahad, 26 Julai 2009

Ikhtiar Rawatan Di Pusat Latihan Uitm

Taklimat oleh Us Nasir


Majlis Bacaan Yasiin dan zikir diketuai oleh Us Mokti


Para perawat Darussyifa' sedang meniup air dan bahan rawatan


Para perawat Darussyifa' diberi penerangan berkenaan kawasan Pusat Latihan

Para perawat menjamu selera
Pada 24 Julai 2008 yang lalu, pihak Darussyifa' telah dijemput untuk merawat Pusat Latihan Uitm. Pusat itu yang dibuka pada tahun 90-an dikatakan seringkali menganggu para peserta kursus serta beberapa orang tenaga kerjanya. Pihak Pusat Latihan telah mencuba berbagai kaedah bagi mengatasi gangguan-gangguan yang berlaku. Pihak Pusat Latihan menghubungi Darussyifa' bagi mendapatkan khidmat bantuan dan akhirnya pada tarikh tersebut, beberapa ahli dari Darussyifa' Ipoh dan Darussyifa' Bota telah bersetuju untuk hadir bagi membantu bersama-sama bermohon kehadrat Allah agar dapat menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku. Seramai 6 orang perawat dari Darussyifa' Ipoh dan tiga orang perawat dari Darussyifa' Bota telah hadir pada majlis tersebut. Majlis diketuai oleh A.F Us Mokti ini bermula dengan solat Maghrib berjemaah, solat sunnat hajjat, bacaan yaasin, zikir dan diakhiri dengan solat isyak berjemaah yang dilakukan di surau Pusat Latihan Uitm.
Memandangkan kawasan Pusat Latihan yang luas (iaitu kira-kira 10 ekar)) dengan lebih 14 blok kawasan, pihak Darussyifa' terpaksa bergerak dalam 5 kumpulan dengan dibantu oleh staf Pusat Latihan dalam memohon agar segala makhluk halus yang menganggu meninggalkan kawasan Pusat Latihan. Darussyifa' mengucapkan ribuan terima kasih keatas pihak Pusat Latihan kerana sudi menjemput pihak Darussyifa' serta berharap dan berdoa agar Pusat Latihan Uitm tidak lagi diganggu dengan gangguan-gangguan sedemikian. Majlis tamat sekitar jam 11.30 mlm.

Selasa, 21 Julai 2009

Pengumuman: Kuliah Pengubatan Santau Oleh Us. Mokhtar Kassan

Kuliah Pengubatan Santau oleh Us Mohktar b. Kassan akan diadakan pada tarikh berikut:-

Tarikh : 1 hingga 2 Ogos 2009
Masa : Lepas Maghrib (1/8/2009) 9.00pg (2/8/2009)
Tempat: *Dewan Kuliah Institut ad Deen, Jalan Lapangan Terbang, Ipoh
Semua ahli Darussyifa' dijemput hadir

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Us Najib b. Mat Lazim 012-5201140

* Tempat adalah tertakluk pada perubahan semasa

Rabu, 15 Julai 2009

MAJLIS PELANCARAN BUKU TERBARU KARANGAN TUAN GURU DATO' DR. HARON DIN (29-JUN-2009)



Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din pada hari Isnin, 29-Jun-2009 telah melancarkan buku karangan terbaru beliau yang bertajuk "Menjawab Persoalan Makhluk Halus, Kaitannya dengan Penyakit dan Pengubatan".
Majlis pelancaran telah diadakan di Dewan Solat Bangunan Darussyifa' Bandar Baru Bangi sebaik sahaja selepas majlis zikir mingguan. Majlis ini bermula dengan pengerusi majlis, Ustaz Abdul Razak Mahadi mempersilakan Tuan Guru menyampaikan ucapan. Selepas menyampaikan ucapan Tuan Guru telah memotong reben menandakan pelancaran buku ini.



Sebelum majlis pelancaran, Tuan Guru telah menurunkan tandatangan di muka hadapan naskah buku ini. Sebanyak seratus naskah telah ditandatangan. Pada majlis pelancaran tersebut, naskah istimewa ini telah diberikan kepada semua yang berikut:-
1. AJK Darussyifa'
2. AJK Koperasi Darussyifa'
3. AJK Unit Penerbitan Darussyifa'
4. Ahli Darussyifa' yang membeli sambil menderma naskah istimewa tersebut.

Berikut dipetik Mukadimah Tuan Guru dari buku tersebut.


MUKADIMAH PENGARANG

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Kepada-Nya kami meminta pertolongan dalam urusan-urusan dunia dan akhirat. Selawat dan salam ke atas Rasul kami yang sangat amanah, penghulu kami Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda sekalian.
Saya sering menerima soalan sama ada melalui surat atau yang bertanya terus di majlis-majlis kuliah. Di antara soalan yang berulang kali diajukan kepada saya ialah yang berkaitan dengan makhluk halus seperti jin, qarin, sihir, rasukan, bunian, saka, orang mati hidup semula, penggunaan tangkal, penyakit yang disebabkan oleh jin dan sebagainya.
Mereka meminta pendapat saya walaupun ramai alim ulama’ lain di Malaysia yang boleh memberikan jawapan yang sama dengan saya.
Memandangkan persoalan ini berhubung kait dengan soal aqidah, maka menjadi suatu kefarduan kepada saya untuk menjelaskannya. Persoalan masyarakat ini perlu dirungkaikan supaya mereka tidak terus terjebak dengan amalan syirik.
Masyarakat perlu didedahkan dengan maklumat daripada sumber yang sahih terutama sekali jika ia melibatkan soal aqidah.
Saya telah berusaha menjawab setiap persoalan dengan berlandaskan hujah-hujah yang sahih daripada al-Quran dan al-Hadith.
Kesemua jawapan ini sebenarnya merupakan respon saya kepada soalan yang diajukan melalui akhbar Harakah. Saya telah melahirkan hasrat saya kepada Ahli Jawatankuasa Darussyifa’ supaya koleksi soal jawab yang pernah tersiar dalam akhbar Harakah ini dibukukan.
Saya amat berharap usaha pembukuan soal jawab ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat bahkan saya berdoa moga buah tangan saya ini dapat mengurangkan seterusnya menghapuskan fahaman dan amalan khurafat yang masih berakar umbi di dalam masyarakat kita.
Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Sempurna lagi Maha Benar, manakala yang salah dan silap adalah daripada insan yang bersifat lemah.
Semoga Allah SWT mengampuni kesalahan dan kekhilafan yang tidak disengajakan. Kepada Allah SWT kita memohon rahmat dan berkat. Semoga Allah SWT sentiasa mengabulkan usaha kita dan menjadikannya sebagai amalan soleh.
Ikhlas daripada saya,

Dato’ Dr. Haron Din
Pengasas dan Penasihat Darussyifa’

30 Mac 2009M / 3 Rabiul Akhir 1430H

ISI KANDUNGAN BUKU INI

BAB-1: PERSOALAN UMUM BERKAITAN MAKHLUK HALUS
BAB-2: PERSOALAN BERKAITAN JIN, BUNIAN, QARIN DAN SAKA
BAB-3: PERSOALAN BERKAITAN TANGKAL
BAB-4: PERSOALAN BERKAITAN SIHIR
BAB-5: PERSOALAN BERKAITAN ILMU GHAIB
BAB-6: PERSOALAN UMUM
BAB-7: DOA-DOA DAN AYAT-AYAT AL-QURAN UNTUK MENGATASI GANGGUAN MAKHLUK HALUS

Khamis, 9 Julai 2009

Bersama Tn Guru Dato' Dr Haron Din-Terus berdoa, sekalipun zahirnya seperti tidak dimakbul


SOALAN: Berdoa kepada Allah untuk memohon sesuatu adalah digalakkan, dan yang paling makbul doanya adalah yang paling hampir kepada Allah. Kita telah banyak berdoa, termasuk orang-orang yang soleh di kalangan kita, tetapi semacam tidak dimakbulkan, mengapa berlaku demikian, pernahkah doa Rasulullah s.a.w., tidak dimakbulkan Allah SWT. Tolong Dato' jelaskan. - MOHD ALI BAHAROM, Hulu Langat

JAWAPAN: Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Mereka yang enggan berdoa kepada Allah, adalah orang yang bongkak.
Al-Quran memaparkan banyak ayat, antaranya firman Allah (mafhumnya):

"Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu..." (Surah al-Ghafir, ayat 60)
Firman Allah (mafhumnya): "Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah, ayat 186)
Dalam as-Sunnah, terdapat banyak hadis-hadis fi'li (perbuatan) dan hadis-hadis qauli (percakapan) yang jelas baginda Rasulullah s.a.w., berdoa ke hadrat Allah SWT. Berdoa sememangnya dituntut, itu tugas kita sebagai hamba Allah. Sama ada terima atau tidak, ianya adalah urusan Allah SWT. Terserahlah kepada Allah dan memohonlah apa sahaja dengan penuh yakin bahawa Allah akan mengkabulkan doa kita. Nescaya Allah akan memenuhinya sama ada cepat atau lambat.
Nabi Allah Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah berdoa ke hadrat Allah agar hati-hati manusia tertarik untuk mengunjungi Makkah beramai-ramai, pada waktu Makkah masih menjadi sebuah lembah yang gersang. Baginda berharap umat manusia datang beramai-ramai menunaikan haji dan membuat umrah, dan dipohonkan rezeki mereka melimpah ruah. Doa itu dilafazkan ribuan tahun dahulu ketika baginda mendatangi Makkah bersama anak dan isterinya.
Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa baginda selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w., malah sehingga hari ini semakin jelas doa Nabi Ibrahim a.s., seolah-olah baru dimakbulkan.
Cuba bayangkan, doa Nabi Ibrahim yang disebut sebagai 'khalilullah' - kekasih Allah - sahabat setia Allah, berdoa ke hadrat Allah, ribuan tahun kemudiannya baru jelas dimakbulkan.
Apabila kita sering berdoa, jangan sesekali membuat kesimpulan bahawa doa kita tidak akan dimakbulkan. Mungkin Allah telah makbulkan doa itu, mungkin dalam bentuk diberikan yang lebih baik daripada apa yang kita pinta. Kadang-kadang doa kita dimakbulkan cepat, kadang-kadang lambat. Ertinya, apa yang dipohon, tidak semestinya diberi atau ditolak. Ia adalah suatu ujian kepada kesabaran seseorang hamba. Sama ada Allah berikan sesuatu yang lebih baik, atau Allah berikan ganjaran sewajarnya pada hari akhirat kelak dalam bentuk pahala yang banyak. Antara sebab-sebab nyata Allah tidak makbulkan doa, seperti yang difirmankan Allah dalam ayat 186, Surah al-Baqarah tadi, iaitu orang-orang yang keimanannya kepada Allah itu, masih berada pada tahap yang boleh dipersoalkan dan kemaksiatan yang dilakukan. Ada hadis Nabi s.a.w. yang menyebut tentang doa yang tidak dimakbulkan, antaranya (mafhum): "Makan minumlah kamu dengan yang halal, nescaya doamu akan dimakbulkan."
Pada suatu ketika ada seorang yang keadaannya begitu terdesak, mengangkat tangan setinggi-tinggi yang boleh, dan berdoa ke hadrat Allah SWT, memohon kepada Allah, tatkala Nabi s.a.w. melihatnya, lalu baginda bermadah kepada para sahabat, mafhumnya: "Lihat orang itu, makan minumnya haram, pakai memakainya haram, bagaimana mungkin Allah menerima doanya."
Sememangnya semakin hampir seseorang hamba kepada Allah, semakin suci bersih jiwa dan amalannya, maka semakin mudah Allah memakbulkan doanya.
Seperti yang disebut dalam sebuah hadis qudsi, mafhumnya: "Apabila hambu-Ku mendampingi daku, dengan amalan-amalan yang banyak, khususnya amalan-amalan sunat, maka Aku menyukainya, maka apabila Aku menyukainya, akan-Ku tunaikan doanya (hajat)."
Walau hampir dan akrabnya seseorang insan kepada Allah SWT, tidaklah menjadi syarat utama untuk Allah memakbulkan doanya. Ini kerana, hanya Allah sahaja yang mengetahui kemaslahatan hamba-hamba-Nya. Allah amat mengetahui apa yang hendak diberi dan apa yang tidak perlu diberikan.
Harus kita sedari bahawa dalam kehidupan kita, selain daripada Allah memberi apa yang kita minta, banyak juga kebaikan, rezeki dan sebagainya Allah berikan kepada kita walaupun tidak kita diminta. Amat sedikit yang tidak diberi, itu pun ada kemaslahatannya. Mengenai soalan saudara, pernahkah doa Rasulullah sendiri ditolak Allah, jawapannya, ya. Memang doa Nabi s.a.w. pernah ditolak. Kadangkala doa baginda pun ditolak. Ketika Nabi Muhammad s.a.w., pada zaman awal kebangkitan baginda sebagai Rasul, menghadapi banyak tekanan daripada kaum Quraisy dan anggota keluarganya tidak mahu memeluk Islam. Malah baginda pernah disakiti sehingga berdoa ke hadrat Allah (mafhumnya): "Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kaumku, mereka ini tidak mengetahui."
Doa Nabi ini tidak ditunaikan sepenuhnya. Bukan orang lain, kalangan anggota keluarga, bapa saudaranya, seperti Abu Lahab meskipun didakwah bertubi-tubi, namun mereka lebih bertegas mempertahankan kekufuran mereka. Malah sampai kepada peringkat menantu Nabi s.a.w sendiri, ada yang tidak beriman, atau lambat beriman. Apa yang nyata, kaum kerabat Nabi, yang didoa dan diusahakan untuk mereka beriman, akhirnya mati dalam keadaan kufur.
Dalam Kitab Sahih Muslim, hadis 2889 disebut (mafhumnya): "Suatu hari Rasulullah s.a.w. singgah di masjid Bani Muawiyah, ditunaikan solat sunat dua rakaat bersama sahabat, selepasnya baginda berdoa panjang dengan doa yang panjang. Selepas berdoa baginda berpaling ke arah sahabat dan bersabda, "Saya berdoa kepada Allah, tiga perkara, Allah tunaikan dua sahaja dan menolak yang satu lagi. Saya memohon agar umat Muhammad tidak dibinasakan dengan kelaparan, Allah tunaikan. Saya memohon agar jangan mereka dibinasakan dengan banjir yang menenggelamkan mereka, Allah tunaikan. Namun apabila saya berdoa agar jangan mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri, Allah tidak tunaikan."
Bagaimanapun kebanyakan doa-doa Nabi s.a.w. dimakbulkan Allah SWT. Doa yang tidak dimakbulkan itu memang ada kemaslahatannya. Oleh itu berdoalah ke hadrat Allah SWT, kerana ia adalah ibadah. Ibadah dilakukan bukan semata-mata untuk keperluan keduniaan.
Jika kita ikhlas beribadah, insya-Allah Allah akan memberikan ganjaran yang sebaiknya di hari kemudian. Solat, puasa, zakat, haji, berjihad dan ibadah-ibadah, kita lakukan kerana berhajatkan keredaan Allah atau pahala yang dijanjikan kepada kita pada hari akhirat.

Wallahua'lam.