Khamis, 26 November 2009

Salam Aiduladha

DARUSSYIFA' PERAK MENGUCAPKAN SALAM AIDILADHA BUAT SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT. SEMOGA HARI AIDILADHA YANG BAKAL TIBA MEMBENTUK SIFAT BERKORBAN DEMI AGAMA TERCINTA.

Jauhi Rokok....


Jumaat, 20 November 2009

PENGUMUMAN: SEMINAR MAKHLUK HALUS MENURUT AL-QURAN & AS-SUNNAH

Satu seminar akan diadakan pada masa dan tarikh berikut:-

TAJUK : SEMINAR MAKHLUK HALUS MENURUT AL-QURAN & AS-SUNNAH

TARIKH : 21 NOVEMBER 2009 (SABTU)

MASA : 8. 00 PAGI

TEMPAT :DEWAN KULIAH INSTITUT LATIHAN PERINDUSTRIAN (ILP) BERTAM
PULAU PINANG

PEMBENTANG : TUAN GURU PROF. DATO' DR HARON DIN

Khamis, 19 November 2009

Banjir



Gambar: Kejadian Banjir



Gambar: Imej Satelit Menunjukkan Pergerakan Awan (Hujan)


Banjir dikatakan berlaku apabila air dalam kuantiti yang banyak mula menakung dipermukaan bumi dan tidak dapat disalirkan keluar dengan selamat. Menurut Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia, terdapat dua kategori banjir. Banjir Monsun merupakan banjir yang sering berlaku pada bulan atau masa tertentu yang mengalami pusingan tertentu. Banjir ini biasanya wujud di kawasan-kawasan rendah dan lembah dan akan surut seperti sediakala apabila melepasi tempoh masa yang ditetapkan oleh PenciptaNya. Banjir kategori kedua pula dikenali sebagai banjir kilat. Ia berlaku akibat daripada pembangunan manusia yang tidak terancang. Banjir sebegini biasanya berlaku dalam tempoh yang amat singkat. hanya beberapa minit sahaja mampu menenggelamkan sesuatu bandar akibat pengaliran air yang tidak teratur. Banjir kilat biasanya berlaku di bandar serta mendatangkan kerosakan yang amat tinggi. Bagi penduduk di kawasan lembah, biasanya banjir monsun sering berlaku. Penduduk-penduduk disekitar kawasan bertanah rendah sebegini biasanya sudah maklum akan kejadian banjir yang biasa ditempuhi. Atas sebab ini, mereka akan membina rumah-rumah bertiang agar dapat menyelamatkan kerosakan harta benda mereka. Bot-bot atau sampan juga sering kelihatan dibawah rumah mereka.

Gambar: Rumah Penduduk di Kawasan Lembah yang terlibat dengan banjir monsun adalah tinggi bagi mengelakkan air merosakkan perabot rumah

Pada kebiasaannya aliran air hujan akan dikeluarkan sama ada melalui proses pengaliran ke laut atau melalui resapan ke dalam bumi. Sekiranya proses-proses ini berjalan lancar, maka dengan kehendak Allah, banjir tidak akan berlaku. Namun ketiktentuan proses tersebut menyebabkan berlakunya banjir. Mengikut kajian, banjir merupakan satu proses alam yang sentiasa berlaku akibat perubahan kitaran hidrologi. Kuantiti air hujan juga punyai pusingan tertentu dalam tempoh beberapa tahun. Namun akibat pembangunan tidak terancang yang dilakukan oleh manusia menyebabkan kitaran hidrologi ini terganggu menyebabkan kandungan kuantiti hujan yang turun mungkin berubah dan bertambah. Perubahan keadaaan permukaan bumi serta sistem salirannya yang tidak terancang juga menjadi faktor utama berlakunya banjir kilat. Sesungguhnya Allah menciptakan setiap tumbuhan dan setiap makhluk ciptaannya dengan perbagai faedah dan kegunaan. Tumbuh-tumbuhan amat penting selain membekalkan oksigen kepada manusia, membekalkan sumber perabut dan bahan binaan, ia juga penting dalam memelihara aliran hidrologi serta menghidupkan tanah. Pokok-pokok yang tumbuh melata di hutan amat berfungsi untuk mengurangkan kejadian banjir selain pokok tersebut menyedut air untuk kegunaannya, tumbuhan sebegini juga turut memudahkan resapan air ke permukaan bumi mengikut kadar waktu (time consentrantation) yang sesuai. Hujan yang turun ke bumi tidak akan terus menghentam tanah sebaliknya akan sangkut di celah-celah daun dan dahan pokok dan barulah mengalir ke tanah menyebabkan aliran air yang meresap ke dalam tanah tidak terlalu drastik. Jika aliran ini turun ke dalam saliran atau sungai, permukaan lilitan basah yang ada di sungai juga akan meresapkannya ke dalam bumi selain mengalirkan aliran air ini ke laut secara pelahan-lahan tanpa kesesakan. Kesemua suasana ini menyebabkan aliran berlaku secara baik dan teratur yang menyebabkan tidak berlakunya banjir. Lengkokan sungai turut membantu melambatkan aliran air ke laut seterusnya menjamin aliran yang teratur dan beransur-ansur. SubhanalLah...agung sungguh penciptaanNya sehinggakan setiap lengkok sungai dan setiap tumbuhan ada fungsi dan kepentingannya dalam memelihara alam.


Gambar: Proses Kitaran Hidrologi (Kitaran air)


Gambar: Pencemaran Udara Akibat Kilang


Gambar: Penebangan Hutan


Namun, kerakusan manusia dan kemaksiatan yang dilakukannya menyebabkan bala kepada manusia dan alam ini. Kewujudan bandar-bandar yang tidak terancang telah menyebabkan permukaan bumi di lapisi dengan lapisan yang tidak telap air. lapisan-lapisan seperti jalan-jalan raya berbitumin (bertar), permukaan bersimen dan konkrit dan dataran-dataran awam menyebabkan aliran resapan air ke bumi terganggu. Penebangan pokok menyebabkan berlakunya pengurangan oksigen dan pertambahan gas karbon dioksida yang mendadak sehingga meninggalkan kesan rumah hijau sehingga mewujudkan pemanasan global (Global warming) seterusnya meningkatkan paras ketinggian air laut. kajian mendapati purata peningkatan air laut berlaku setiap 1 mm bagi setiap tahun. Tarahan lereng-lereng bukit serta aktiviti membina longkang konkrit dan pelurusan sungai menyebabkan aliran air semakin laju ke laut sehingga menyebabkan kesesakan aliran. Kesesakan aliran ini serta pengurangan penyerapan air bumi yang berlaku ditambah pula dengan kehilangan kawasan tadahan dan kawasan penampan akibat penebangan pokok dan penggondolan hutan menyebabkan banjir-banjir besar mudah berlaku. Benarlah firman Allah s.w.t dalam surah ar-Rum ayat 41:




Gambar : Kejadian Tanah Runtuh



Gambar: Kejadian Banjir di Ibu Negara


Namun demikian, perlulah juga diyakini kejadian banjir adalah juga atas keizinan Allah S.W.T. Sungguhpun fakta-fakta sains menyebut akan punca-punca diatas, ketentuan Allah juga boleh menyebabkan banjir berlaku atau sebaliknya tanpa ketentuan diatas. Ini kerana hujan dan air serta tumbuhan dan tanah (bumi) yang menyebabkan banjir itu sendiri adalah merupakan makhluk Allah yang sangat taat menjunjung perintahnya. Sungguhpun begitu kebiasaanya Allah menurunkan bala kepada kita dengan disertakan logik sains supaya kita berfikir disamping ia turut menguji tahap keimanan kita. Bagi mereka yang tidak beriman, golongan-golongan orentalis akan mendakwa kejadian banjir hanyalah putaran kejadian alam atau hukum fizik (sunnahtullah) semata-mata sedangkan bagi orang beriman tetap menyakini turunnya banjir adalah atas peringatan Allah dan ujianNya terhadap hamba-hambaNya. Perlulah diperhalusi dan memuhasabah diri apakah ada perbuatan maksiat mahupun sifat-sifat mazmumah seperti tamak, rakus, ego dan sebagainya yang menyebabkan turunnya bala Allah tersebut.
Sifat tamak dan kerakusan manusia ini berpunca daripada hasutan syaitan di hati manusia. Hasutan ini menyebabkan manusia melakukan maksiat kepada Allah sehingga mengundang bala dari Allah. Firman Allah :


Sesungguhnya angkuhnya manusia menentang hukum Allah bukan kerana tiada peringatan yang disampaikan kepada mereka tetapi penentangan ini adalah disebabkan kelalaian mereka terhadap akhirat dikeranakan hawa nafsu mereka. Firman Allah:-


Semoga artikel ringkas ini dapat memberi manfaat. Walahua'lam



Saiful Adli b. Samsudin











Rabu, 18 November 2009

Ada apa pada babi ???

Klik pada gambar untuk maklumat lebih jelas


Allah mengharamkan babi kepada ummat Islam. Namun, musuh-musuh Islam melakukan perbagai tipu daya dan muslihat supaya ummat Islam melanggarinya. Sungguhpun ummat Islam tidak di suruh agar memeriksa sedetailnya setiap makanan atau barangan yang dimiliki sekiranya menyakini barangan tersebut halal dengan melihat cop halal yang dikeluarkan oleh badan-badan diiktiraf kerajaan seperti JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri, namun gambarajah diatas hanyalah satu penerangan ringkas menunjukkan keperbagaian penggunaan barangan yang boleh terhasil daripada makhluk BABI. Sungguhpun begitu, perlu diingat makhluk ini juga merupakan makhluk Allah yang diciptakan tentunya punyai sebab tersendiri mengapa ia diciptakan dan tentunya juga punyai sebab tersendiri mengapa ia diharamkan selain mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan malah pengharamannya juga perlulah dilihat disudut keimanan. Sekiranya babi yang diciptakan tidak mendatangkan kesan buruk pada kesihatan sekalipun, maka hendaklah setiap orang beriman menjauhinya atas prinsip KEIMANAN kepada Allah s.w.t


wallahua'lam.

Selasa, 17 November 2009

Bahayanya Ubat Gigi Berflorida

Dental Fluorosis


Fakta berikut berkenaan dental fluorosis



Dental Fluorosis
Gambar di bawah adalah antara masalah Dental Fluorosis
Perhatikan gambar-gambar berikut:-

Isnin, 16 November 2009

Ikhlaskan niat...



Penyertaan masyarakat dalam perubatan Islam amat menggalak sekali. Ada yang mendaftarkan diri ke dalam kursus-kursus perubatan atas dasar ingin menimba ilmu tanpa ada niat langsung untuk menjadi perawat, ada yang masuk untuk mendapatkan maklumat atau arahan, ada yang masuk dengan niat ihklas untuk membantu masyarakat malah ada juga yang nak masuk kerana bercita-cita untuk buat duit. Melihatkan prospek dan sambutan terhadap rawatan perubatan Islam yang semakin menggalakkan. Namun, dimanakah kita ? adakah kita kategori ingin mendalami ilmu semata-mata atau kita ingin mendalami ilmu dan membantu masyarakat tanpa mengharapkan ganjaran manusia...atau adakah kita mendalami ilmu ini untuk mendapatkan habuan dunia yang sedikit ini.. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui niat hamba-hambanya...dan setiap amalan yang dilakukan kita dikira berdasarkan apa yang diniatkan. Penulis mengigatkan pada diri penulis dan sahabat-sahabat perawat agar memuhasabah diri bersama-sama agar mempastikan niat kita dalam merawat dan mendalami ilmu rawatan ini hanya untuk Allah semata-mata tanpa mengharapkan ganjaran manusia. Inilah pesanan yang seringkali diungkapkan oleh Tuan Guru Kita, Dato' Dr Haron Din dalam setiap ceramah dan pesanannya. Seorang rakan perawat pernah menyatakan pada saya : "Us X di Bangi dah merata tempat pergi dah hasil daripada merawat. Mana tempat yang dia tak pernah pergi ?". Saya amat tidak senang dengan kata-kata sebegini. Terus terang saya katakan, Ustaz X yang rakan saya maksudkan itu sememangnya merata tempat dah pergi mengubat tapi bukan dia pergi bercuti atau berseronok...sebaliknya dia pergi hanya mengubat...itupun atas permintaan pesakit. Bersangka baiklah wahai rakan ku...jangan ada sangkaan buruk pada dia sedang dia pernah menjadi guru kita!! Demikian juga kata-kata seorang rakan yang baru diijazahkan beberapa tahun lalu. Perbualan dengan Ustaz A bermula selepas sesi rawatan. Ustaz A menyatakan " Orang Darussyifa' ni Ustaz ana tengok kena tanamkan ilmu 'tasawwuf'...ana tengok mereka ni kurang ilmu tasawwuf ". Kata ustaz A pada saya. Saya menganggukkan kepala tanda setuju jika diselitkan ilmu tasawwuf dan akhlak dalam silibus akan datang. Selang beberapa minit kemudian ustaz A membalas lagi kata-katanya..."Kalau anta nak tahu, ana suka ajar ilmu tasawwuf...ana mengajar merata ilmu tasawwuf dan kalau Darussyifa' nak ana sudi tawarkan diri untuk ajar ilmu tasawwuf kat Darussyifa'....Ana senang je sheikh, ana mengajar kat sekolah...abis kelas ana ajar kat masjid atau surau ilmu tasawwuf...Ana tak suka ajar feqah...ilmu feqah susah...banyak sangat khilaf....ilmu tasawwuf mudah...tak de khilaf...Ana mengajar mudah jer...Ana tak ambik banyak tempat...dapat 12 tempat cukupla...kalau satu tempat bayar RM 50 sekali...12 tempat dah RM 600.!! sapa nak bagi....lepas dah kereta Avanza ana!!" Tersedak saya mendengar kata-kata dari Ustaz tasawwuf ni...astagfirullahal a'zim....ada juga ustaz macam ni!!! tapi ajar tasawwuf...masyaAllah.

Itu kata-kata dari ustaz A semasa dia belum diijazahkan!! Sekarang dia dah diijazahkan...dan dah merawat...saya kerap menegurnya kerana merawat dengan cara yang kasar dan menyakitkan...namun teguran saya tidak diterimanya!! Saya mendapat tahu daripada rakan-rakan, Ustaz A sekarang membuka klinik dirumahnya di Kampung B. Bukan tak boleh buka klinik...tapi kalau nak bukak klinik sendiri jangan lah gunakan perkataan Darussyifa' dan logonya kerana Darussyifa' adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar. Jika gunakan nama Darussyifa' silalah mengubat di Klinik Darussyifa yang telah diwujudkan. Jika tak nak mengubat di klinik...nak bukak klinik...tulislah rawatan perubatan Islam Oleh Ustaz A sahaja!! Tindak tanduk dan cara bercakapnya menampakkan seolah-olah dia masuk perubatan ini hanya untuk pulus wal fulus...wallahua'lam...Hayatilah hadis berkenaan niat yang sering kita pelajari dulu ya akhi....Amat malang lah jika kita mengubat atau mengajar kerana fulus....duit itu memang penting...tapi jangan sampai ia menjadi matlamat utama kita...Sedangkan keredhoan Allah itulah sepatutnya yang diutamakan...Teguran-tugaran sebegini bukan hanya datang dari Tuan Guru sendiri, malah cukup ramai guru-guru kita sama ada Us. Mokhtar, Us Rashid dan sebagainya mengigatkan kita bahawa tugas kita hanya merawat dan pohonkan kesembuhan sedang imbuhan duit adalah imbuhan sampingan semata-mata. Janganlah ia menyebabkan amalan kita terjejas hanya kerana imbuhan yang sedikit. Ingatlah sesungguhnya imbuhan dari Allah adalah lebih utama. Saya tidak berani menyatakan Ustaz A bersikap fulus...tetapi tindakannya seolah-olah mengiyakan andaian berkenaan hanya Allah sahaja yang mengetahui...saya berdoa dan berharap agar Ustaz A tidak begitu dan dalam masa yang sama saya mendoakan diri ini dan sahabat semua agar Allah tetapkan hati ini dalam melakukan tindakan hanya untuk Allah semata-mata. Ya Allah jauhkanlah sifat keji dalam amalan kami ya Allah...Ya Allah jauhkanlah hati ini daripada tersasar niat dalam mengikhlaskan diri pada Mu...

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

- Riwayat Dua imam Muhaddisin - Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al Mughirah ibn Bardizbah Al Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Al Hujjaj bin Muslim Al Qusyairi An Naisaburi dalam sahih keduanya.


Saiful Adli b. Samsudin


Jumaat, 13 November 2009

Jangan Memicit dan Melakukan Kekasaran Ketika Merawat



Sebuah laman blog pernah menulis mengenai beberapa kaedah rawatan yang dikatakan pernah berlaku di Darussyifa' pada satu ketika dahulu. Penulis blog tersebut seorang perawat perubatan Islam kononnya juga pernah mempelajari kaedah rawatan di Darussyifa'. Perawat berkenaan kini giat merawat pesakit selain menganjurkan perbagai kursus perubatan Islam kepada masyarakat. Sungguhpun barangkali benar perawat demikian mungkin bekas ahli Darussyifa'. Namun, mengaitkan Darussyifa' dengan kaedah-kaedah tertentu adalah tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana Darussyifa' amat memberikan perhatian khusus dalam kaedah merawat pesakit ini. Setiapkali majlis pembukaan dan penutupan kuliah pengubatan Islam, Penasihat dan pengasas Darussyifa' akan senantiasa mengigatkan pada perawat dan bakal perawat agar sentisa berhemah dan berlembut ketika berhadapan pesakit. Para perawat diingatkan agar tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kecederaan mahupun tindakan kasar yang lain. Saranan ini bukan terhenti setakat ini sahaja malah sejak tahun 2003 lagi Pengerusi Darussyifa' Pusat telah mengeluarkan surat arahan berkenaan 'Tatakelakuan Perawat Semasa Merawat" yang disertakan bersama Surat Edaran PKPI 1/2002. Dalam surat edaran tersebut jelas menyebut bahawa setiap perawat Darussyifa' agar hanya melakukan rawatan sepertimana kaedah yang diamalkan oleh Tuan Guru sendiri tanpa mencampuradukkan dengan ilmu-ilmu lain yang dikhuatiri ilmu tersebut bertentangan dengan aqidah Islamiyyah yang mana kelak ianya akan memburukkan nama baik Darussyifa' selaku pelopor utama rawatan Islam.


Tindakan-tindakan yang boleh menyakitkan pesakit seperti memicit jari, menunjal tangan pada mata, memicit dipergelangan tangan atau ditempat-tempat tertentu terutamanya bagi kes-kes gangguan makhluk halus juga tidak dibenarkan dilakukan oleh para perawat. Demikian juga menggunakan pencil, gunting atau sebarang alat termasuk kayu mahupun tongkat yang dikhuatiri boleh membahayakan pesakit. Kesemua perbuatan ini boleh menjurumuskan perawat dan pesakit dalam kancah fitnah yang besar ke atas sistem perubatan Islam. Barangkali perbuatan ini pernah berlaku satu ketika dahulu di Darussyifa', namun atas tindakan yang pantas, barisan Jawatankuasa Darussyifa' telah mengambil tindakan tegas dengan mengemukakan garispanduan tersebut agar para perawat lebih memahami konsep perubatan Islam. Hendaklah semua perawat meyakini bahawa yang menyembuh, menyakitkan dan mengeluarkan jin dalam tubuh bukanlah picitan pada tangan atau tunjalan pada mata. Sebaliknya yang melaksanakan semuanya adalah kehendak Allah S.W.T semata-mata. Malah Tuan Guru sendiri ketika merawat tidak pernah melakukan perbuatan-perbuatan sedemikian.


Darussyifa' tidak pernah pula menafikan kaedah-kaedah tersebut seandainya diamalkan oleh perawat lain (yang bukan ahli Darussyifa') memandangkan ilmu perubatan ini merupakan satu ilmu yang luas. Namun arahan ini hanya tertumpu kepada perawat Darussyifa' dan mereka yang pernah diijazahkan dengan kaedah rawatan Islam yang dipelopori oleh Darussyifa'.


Perawat juga mestilah menjauhi sejauh-jauhnya perbuatan yang boleh mendatangkan fitnah terutamanya ketika merawat pesakit wanita. Perawat diingatkan selalu agar sentisa bersama mahramnya ketika melakukan rawatan. Kesemua perbuatan dan tingakahlaku ini sekiranya dilaporkan oleh pesakit dan sekiranya jawatankuasa mendapati ia benar-benar berlaku, Jawatankuasa Disiplin Darussyifa' Pusat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk menarikbalik ijazah yang diberi serta dinafikan sebagai bekas pelajar Darussyifa'. Semua tindakan ini pernah dilakukan. Surat Edaran tersebut turut mengigatkan perawat agar tidak lagi mengamalkan kaedah tidur. Kaedah ini dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham masyarakat yang tidak mendalami ilmu perubatan Islam. Malah kaedah-kaedah tidur, bakar bata dan sebagainya sudah tidak diajarkan lagi demi menjaga nama baik Darussyifa' daripada fitnah dizaman yang makin mencabar ini. Tuan Guru turut mengigatkan agar perawat sentiasa mengikhlaskan diri dalam merawat dan sepertimana juga etika pengubatan Islam yang dinyatakan bahawa para perawat tidak dibenarkan sama sekali menonjolkan diri dalam merawat demi menjaga hati dan keikhlasan. Semoga peringatan ringkas ini dapat dimanfaati bersama.


Wallahua'lam


Bersama Tuan Guru Dato' Dr Haron Din:Perihal batu besar tergantung di Masjidil Aqsa




SOALAN: Dato', saya telah melihat gambar dalam internet dan mendengar beberapa ceramah Israk Mikraj, ada penceramah menunjukkan gambar batu besar yang tergantung-gantung di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis. Adakah benar batu itu tergantung-gantung (tidak berpihak di bumi) dan terlepas daripada tarikan graviti. Pohon Dato' perjelaskan apakah yang sebenarnya. - ZAINAL AHMAD



JAWAPAN: Ulama umumnya berpendapat Rasulullah s.a.w. bermikraj dari satu tempat di Biatulmaqdis yang disebut sebagai Qubbatul Mikraj (kubah tempat dimikrajkan). Tempat itu juga dikenali sebagai Sakhrah Baitulmaqdis. Dalam kitab al-Israk wal-Mikraj oleh Khalid Saiyyid Ali di halaman 82, atas tajuk yang bermaksud 'Tempat Nabi bermikraj', disebut di bawahnya suatu penulisan (yang bermaksud): "Berkatalah al-Imam Aku Bakar Ibnul 'Arabi, ketika membuat penjelasan (syarah) Kitab al-Muwattak oleh Imam Malik disebutkan, batu besar di Baitulmaqdis adalah suatu keajaiban Allah SWT.
"Batu itu berdiri sendiri di tengah-tengah Masjidil Aqsa, tergantung-gantung dan terpisah daripada semua bahagiannya dengan bumi. Tidak ada yang memegangnya, melainkan Yang Memegang langit, daripada jatuh menimpa bumi".
"Di puncaknya dari arah selatan, itulah tempat kaki Nabi s.a.w. berpijak untuk menaiki Buraq, di sebelah itu agak condong. Dikatakan kerana kegerunannya atas kehebatan baginda s.a.w maka batu itu tergantung, saya sendiri takut untuk berada di bawahnya, kerana takut batu itu menghempap saya kerana dosa-dosa saya.
"Setelah beberapa ketika kemudian, saya pun memberanikan diri dan masuk berteduh di bawahnya, maka saya dapat melihat pelbagai keajaiban. Saya dapat menyaksikan ia dari semua arah. Saya benar-benar melihatnya terpisah dari bumi. Ada arah yang lebih jauh terpisah dari bumi daripada arah yang lain."
Inilah penulisan yang saya rujuk daripada penulisan seorang ulama besar yang dikenali dengan nama Ibnul 'Arabi.
Gambar: Mungkin beginikah keadaan batu tergantung-wallahua'lam (Gambar sekadar hiasan)

Daripada sinilah timbul cerita demi cerita yang menyatakan batu tempat Nabi Muhammad s.a.w tergantung-gantung. Itu adalah cerita dahulu. Ada sandarannya, ada catatannya dalam kitab-kitab yang berautoriti, termasuk daripada kitab yang saya sebutkan tadi. Ada pun mutakhir ini, saya sendiri berpengalaman, telah masuk dan melihat batu tersebut, yang sekarang tempat itu dikenali sebagai Qubbatul Sakhrah (kubah yang di bawahnya ada batu). Sekarang ini sudah berada di belakang daripada Masjid al Aqsa. Jika dilihat Masjid al-Aqsa, imam akan dilihat berada nun jauh daripada arah kiblat dan berakhir kawasan masjid dengan Qubbatul Sakhrah ini. Saya telah memasuki tempat ini, berpeluang melihat batu itu dan masuk ke bawahnya. Memang batu itu benar-benar wujud dan terletak di tengah-tengah bangunan.
Gambaran sekarang ini, batu itu jika dilihat daripada bawah, seolah-olah seperti sebuah payung besar, seperti gua yang kita berada di bawahnya.
Saya menganggarkan keluasan tempat itu, sebesar ruang solat untuk 20 atau 25 orang, jika untuk masuk bersesak-sesak boleh sampai 150 orang.
Merenung batu itu dengan cermat, saya dapati ia sekarang terletak di atas fondisi konkrit batu yang kukuh. Di segenap arahnya berpijak ke atas fondisi itu dan tidak nampak pun ia tergantung seperti yang dijelaskan di atas.

Gambar: Masjid al-Aqsa

Semasa lawatan itu, saya kebetulan bertemu dengan Imam Besar Masjid al-Aqsa yang berada di situ, di samping pemandu pelancong kami. Mereka menyatakan memang dahulu batu besar yang macam payung itu tergantung-gantung.
Oleh kerana banyak pembesar-pembesar negara dan banyak pelawat-pelawat luar datang, mereka terperanjat dan amat gerun dengan keadaan batu itu, banyak yang tidak berani masuk di bawah batu itu, kerana takut tiba-tiba batu itu menghempap.
Memandangan hal keselamatan penting dan mengelak daripada berlakunya berbagai tanggapan orang ramai ke atas keadaan yang unik itu, maka pihak berkuasa mengambil tindakan membina fondisi yang menyambung batu itu dari bumi.
Ketakutan pembesar-pembesar zaman ini samalah seperti yang dirasai oleh al-Imam Aku Bakar Ibnul 'Arabi seperti dalam bukunya.
Maka atas itulah batu tersebut sudah tidak lagi kelihatan tergantung-gantung, tetapi ia menjadi seperti sebuah bangunan yang di bawahnya boleh dimasuki, ia kelihatan seperti sebuah batu biasa yang dapat dilihat.


Wallahua'lam.

Khamis, 12 November 2009

Selawat Syifa’ bercanggah dengan Aqidah Islam?

Benarkah Selawat Syifa’ bercanggah dengan Aqidah Islam? Maka sesatlah para ulamak dan umat Islam yang mengamalkannya. Kafirlah hukumnya kerana sudah bertentangan dengan AQIDAH ISLAM. Perkara yang disentuh oleh pihak-pihak tertentu ini cuba mangaitkan perkara furuk (cabang) kepada perkara AQIDAH.
Tuduhan melulu ini telah dijawab oleh Darussyifa’ Online iaitu :
Akhir-akhir ini terdapat golongan tertentu yang mempertikaikan bacaan Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah. Mereka mengatakan bahawa mengamalkan selawat-selawat ini boleh membawa kepada syirik kerana membesarkan nabi Muhammad s.a.w. lebih daripada Allah SWT.
Untuk memperjelaskan tentang kekeliruan ini, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah menerangkannya dengan panjang lebar. Dalam buku Doa & Rawatan Penyakit yang di karang bersama oleh Y.Bhg Dato’ Dr. Haron Din & Y.Bhg Dr. Amran Kasimin menterjemahkan makna Selawat Syifa’ seperti berikut;
“Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya”
Dalam terjemahan makna ini ada sedikit timbul kekeliruan kerana menyebut “Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati”. Persoalannya siapa yang memberi kesembuhan. Dalam terjemahan ini jika dibaca secara langsung memang ada sedikit kekeliruan kerana seolah-olah nabi Muhammad yang menyembuhkan hati-hati.
Dalam persoalan Selawat Syifa ini Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menjelaskan seperti berikut: di dalam kamus Bahasa Arab yang masyhur iaitu Kamus al-Munjid, perkataan “Tib” adalah bermaksud “’ilaj” iaitu di dalam bahasa Melayu bermakna “Ubat” atau “Penawar”. Ia bukan bermaksud “Syafi’ iaitu menyembuhkan.
Dengan itu kalau diterjemahkan ِiaitu“Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi penawar kepada hati-hati”
‘Iktikad kita perlu diperbetulkan supaya tidak syirik kepada Allah SWT. Allah SWT. sahaja yang boleh memberi kesembuhan. Kesembuhan hanya milik Allah SWT.
Semoga Allah SWT. sentiasa menjauhkan kita daripada syirik kepada-Nya.
Wallahhu ‘alam Ustaz Azhar Idrus pula menjelaskan:-
Dalam lafaz selawat tersebut perkataan solat itu berada pada kedudukan maf’ul mutlak (kata kena buat mutlak) yang berfungsi sebagai penguat atau penentu bagi jenis kata kerja salli (selawatkanlah), disamping ia juga berada pada kedudukan mudhaf i (yang disandarkan) kepada perkataan tibb. Berdasarkan kedudukan ini, maka lafaz selawat yang diandaikan itu difahami dengan maksud:
Ya Allah! selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, dengan suatu selawat yang boleh menjadi rawatan bagi hati dan apa yang boleh menjadi ubat baginya (hati)… sehingga akhir.”
Berdasarkan maksud ini, maka tidak berlaku lagi apa yang dikatakan sebagai penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat Allah swt, kerana yang dilihat memberi khasiat perubatan bukan lagi zat nabi Muhammad saw. Oleh kerana membaca selawat itu adalah sejenis amal soleh, maka ia termasuk dalam jenis tawasul dengan amal salih yang disyariatkan oleh syara’ dengan maksud ini. Maka penyamaan sifat yang dipersoalkan itu tidak berlaku kerana memang tidak ada penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat penyembuh.
Dan boleh ditakdirkan juga antara lafaz muhammadin dan lafaz tiib itu dengan dengan sifat yg telah dihazafkan mausufnya..
SELAWAT SYIFA’ ini bukan sahaja diamalkan oleh ahli-ahli Darussyifa' malah telah diamalkan oleh para ulama sejak dahulu lagi. Ulama' kini yang mengamalkannya selain Tuan Guru Prof. Dato' Dr Haron Din, ia turut diamalkan oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat selain sekian ramai guru pondok, ulamak-ulamak nusantara mengamalkannya. Janganlah mudah melabelkan orang lain dengan label bid'ah atau pembuat bid'ah hanya kerana mereka tidak sependapat dengan kita sehingga sanggup menyatakan para pengamal selawat Syifa’ ini bercanggah dengan aqidah. Kesilapan kita dalam berkata-kata ini amat merbahaya bukan sahaja boleh memecah belahkan perpaduan ummah malah boleh menjurus kepada fitnah yang amat dahsyat. Ilmu Islam menggalakkan kepada sifat hormat menghormati dan beradab dalam betelingkah pendapat. Sifat berlapang dada inilah menghasilkan keperbagaian mazhab yang kekal sehingga ke hari ini yang membuktikan Islam amat berlapang dada dalam memberi dan menerima pandangan. Kelompok yang suka membid'ah ini kadang-kala sanggup menggunakan nama tokoh ulama' tertentu kononnya tokoh ulama' tersebut seolah-olah menyebelahi mereka walaupun sebaliknya tidak demikian.
Apa kata hadith mengenai mereka yang menghukum sesat, syirik dan kafir?
Hadith RasuluLLah yang terdapat dalam Sahih Bukhari no 5752 yang bererti :
“Barangsiapa mengatakan kepada saudaranya dengan Wahai Kafir, maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya “
Begitulah juga sesiapa yang menuduh seorang Muslim dengan tuduhan syirik maka orang yang menuduh itu sendiri akan jatuh ke dalam kesyirikan tersebut sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith dari Huzaifah bin Yaman di mana RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bererti :
Sesungguhnya perkara yang aku khuatirkan ke atas kamu semua adalah seseorang yang telah membaca al Quran sehingga apabila telah nampak kepandaiannya dalam al Quran dan dia telah menjadi pendokong Islam, tiba-tiba sahaja dia merubahnya kepada sesuatu yang dikehendaki oleh ALlah, maka iapun terlepas dari al Quran dan melemparkannya ke belakang serta mengancam tetangganya dengan pedang sambil melemparinya dengan tuduhan syirik. Aku bertanya : Wahai Nabi ALlah mana di antara keduanya yang lebih patut di anggap melakukan kesyirikan? Orang yang dituduh ataukah yang melemparkan tuduhan? Nabi menjawab : Yang melemparkan tuduhan.

Wallahua'lam

Rabu, 11 November 2009

Panduan CAP

UBAT GIGI BERTOKSIK
Tahukah anda banyak ubat gigi yang berada di pasaran mengandungi bahan ramuan yang lebih beracun daripada plumbum dan hanya kurang sedikit kadar keracunannya daripada arsenik? Bahan ramuan ini merupakan sisa keluaran industri baja, sejenis racun tikus dan digunakan dalam sektor industri sebagai racun serangga untuk menghapuskan semut dan lipas. Namanya? Fluorida (fluoride).Penggunaan fluorida yang tercatat di atas label sebagai "sodium monofluorophosphate (smlp) atau "sodium fluoride" dalam ubat gigi bagi mencegah kerosakan gigi juga dipertikaikan kerana terdapat bukti mengenai keracunannya.Menurut beberapa laporan, fluorida boleh mengubah sel-sel normal menjadi sel kanser. Tinjauan cap ke atas label mendapati semua ubat gigi berfluorida. Selain fluorida, ubat gigi juga mengandungi enam bahan kimia yang berkarsinogen atau berpotensi menyebabkannya. Jadi, sejauh manakah ubat gigi anda bertoksik? Untuk mengetahuinya, per-hatikan gambar-gambar yang berikut.
Sumber: Panduan Cap –Bahan Penyebab Kanser Dalam Kosmetik & Produk Kegunaan Harian