Isnin, 4 Januari 2010

2010: Peranan Kita


‏قَالَ النَّبِيُّ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ كَمَثَلِ الْبَهِيمَةِ تُنْتَجُ الْبَهِيمَةَ هَلْ تَرَى فِيهَا‏ ‏جَدْعَاءَ

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. kedua ibu bapanyalah yang membuatnya menjadi yahudi, nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong.”
Kita seringkali membaca dan mendengar para pendakwah dan penceramah agama melontarkan hadis diatas dalam siri-siri ceramah agama yang menyentuh perihal dan kewajiban ibubapa dalam mendidik anak-anak. Keruntuhan akhlak muda-mudi kini dengan perbagai aktiviti tidak sihat amat membimbangkan. Darussyifa' sendiri seringkali berhadapan dengan beberapa ibubapa yang datang memohonkan agar diikhtiarkan supaya anak mereka dijauhi daripada perbuatan terlarang. Seorang ibubapa memaklumkan bahawa anak gadisnya kini pantang ditegur. Apabila ditegur anak gadisnya itu akan melarikan diri dari rumah berhari-hari. Siibu kian merasa risau akibat tindakan anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun sudah pandai membonceng motosikal bersama laki-laki. Demikian juga dalam kes yang lain pula seorang ibu memaklumkan kerisauannya terhadap anak gadisnya yang gemar melakukan hubungan sejenis bersama teman wanitanya. Kesemua kes-kes yang dirujuk ke Darussyifa' ini hanyalah sebahagian kecil sahaja masalah masyarakat ini yang diketahui. Darussyifa' percaya diluar sana banyak lagi kes-kes seumpama ini yang mungkin wujud akibat kelalaian ibubapa dalam mendidik anak-anaknya. Sesungguhnya amat tepat dan benarlah sabdaan baginda " Sesungguhnya anak yang lahir ke bumi ini adalah dalam keaadaan fitrah iaitu bersih dan suci daripada dosa dan noda dan ibubapanya lah yang akan mencorakkannya sama ada ia bakal menjadi YAHUDI atau NASRANI atau MAJUSI. Ini kerana pendidikan awal anak-anak itu bermula daripada ibubapa. Islam menganjurkan agar anak yang lahir agar diazan dan diiqomahkan di telinga kanan dan kirinya menunjukkan Islam amat memberatkan pendidikan awal kanak-kanak.



Ibubapa yang menerapkan nilai dan ajaran Islam yang sempurna pada anak-anak memungkinkannya menjadi anak yang soleh. Namun sekiranya ibubapa tidak mengambil endah perihal penerapan nilai-nilai Islam ini, maka ada kemungkinan anaknya kelak akan menjadi atau mencontohi perilaku yang dibawakan oleh YAHUDI mahupun NASRANI atau MAJUSI.

Gambar: Masalah Sosial Remaja Kini


Dewasa kini, ramai para ibubapa yang tidak melihat kepentingan mendidik anak-anak diperingkat awal. Masyarakat pada hari ini lebih gemar memandang meterial dan kebendaan semata-mata. Maka para ibu tidak lagi gemar duduk di rumah untuk mendidik anak sebaliknya merasakan lebih untung bekerja di kilang dan pejabat apatahlagi kiranya siibu punyai kelayakan tinggi tentulah jawatan executive diimpi-impikannya. Maka diswastakanlah tugas mendidik anak-anak ini. Anak-anak dari kecil telah dihantar ke nursery...bila dah sekolah menengah dihantarnya pula ke asrama dan akhirnya ke universiti. Kesan daripada tindakan ini, ada ibubapa yang tidak mengerti sifat dan sikap sebenar anak-anak mereka. Malah lebih malang lagi longgarnya ikatan kekeluargaan akibat kealpaan kita dalam mengambil berat perihal pendidikan anak-anak. Dewasa kini, apabila anak dah jadi setan dah buat perbagai masalah, barulah ibubapa nak hantar anak-anak mereka ke sekolah pondok atau sebagainya yang mungkin untuk menutup malu dengan harapan anak mereka boleh berubah. Pepatah melayu sendiri menyebutkan : "Melentur buluh biarlah dari rebungnya" menunjukkan peri pentingnya didikan awal anak-anak untuk membentuk anak yang soleh. Ibubapa tidak sepatutnya meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak pada sekolah semata-mata sedangkan masa anak-anak di sekolah adalah lebih kecil berbanding masa anak-anak berada di rumah. Namun bagi ibubapa yang sentiasa sibuk, tentulah masa bersama anak-anak amat terhad menyebabkan ibubapa langsung tidak dapat memahami karekter anak-anaknya sendiri dan inilah yang amat menyedihkan. Jika dilihat pada hadis diatas, cenderongnya anak-anak kepada perbuatan atau tingkahlaku orang YAHUDI atau NASRANI atau MAJUSI itu juga ada kaitan dengan ibubapa. Hari ini ramai ibubapa yang terlalu sporting dengan anak-anak dengan beralasankan pemikiran yang terbuka atau didikan yang moden membiarkan anak-anak meminati lagu, pakaian atau apa sahaja yang dibawakan dari barat. Tiada teguran dan larangan. Tiada penjelasan berkenaan pakaian dan seni Islam sebenar. Malah terdapat ibabapa yang berbangga dengan anak gadisnya yang pandai berfesyen, pandang menyanyi dan menari kononnya anaknya itu "up to date" tanpa disedari inilah perkara-perkara yang membawa kepada maksud hadis diatas. Lihat sahaja pembabitan anak-anak mereka dalam program realiti tv yang ada.


Kewujudan teknologi yang semakin canggih kini memaksa ibubapa melakukan tugas dengan lebih banyak bagi mempastikan anak-anak tidak terlibat dengan budaya kuning dan kebaratan memaksa ibubapa memeriksa setiap kawan-kawannya, setiap kandungan dalam telefon bimbitnya mahupun laptopnya dan segala gerak-gerinya. Ibubapa sebenar ialah ibubapa yang amat memahami jiwa anak-anaknya. Amat memahami karekter, sifat dan sikap anak-anaknya. Amat mengenali kawan-kawan anak-anaknya. Ibubapa sebegini tentunya ada pertalian yang kuat dari sudut spritualnya dengan anak-anaknya sehinggakan anak-anak tidak akan mampu berbohong pada ibubapanya.
Sungguhpun demikian, tidak dinafikan juga terdapat segelintir kecil ibubapa yang amat menjaga anak-anaknya. Mendidik anak-anaknya dengan didikan Islam yang sempurna. Namun takdir Allah meletakkan satu ujian berat buatnya sehinggakan anak yang ditatang tadi melakukan perbuatan dosa dan kemaksiatan. Jika ini yang berlaku apakah hadis diawal tadi telah tersalah mahupun tersilap?


Gambar: Banyak duit dihabiskan setiap kali mengadakan sambutan tahun baru Masehi

Gambar: Sambuatan tahun baru dalam suasana yang bertentangan dengan Islam


Sesungguhnya Rasulullah tidak silap dalam menyampaikan sabdanya. Hadis tersebut meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak ini pada ibubapa. Jika dilihat pengertian ibubapa dalam konteks lebih besar, maka tentulah ibubapa ini boleh dirujuk sebagai Menteri Besar atau Perdana Menteri yang memimpin dan bertanggungjawab terhadap seluruh rakyatnya yang bertindak sebagai anak-anaknya. Maka Perdana Menteri atau Menteri Besar amat bertanggungjawab dalam membentuk rakyatnya sama ada menjadi YAHUDI atau NASRANI atau MAJUSI. Ibubapa dirumah hanya terhad mendidik anak-anaknya dirumah semata-mata. Suasana masyarakat yang buruk merupakan satu badai yang cukup besar untuk dihadapi anak-anak dan ia hanya boleh ditanggani oleh ibubapa yang berjawatan Perdana Menteri sahaja. Ibubapa berjawatan Perdana Menteri ini bukan sahaja boleh mencorakkan anak-anaknya malah seluruh rakyatnya sepertimana yang dikehendaki Allah. Ibubapa berjawatan Perdana Menteri boleh mengawal dari sudut perundangan, pendidikan, kawalan internet, kawalan elektronik daripada bahan radio dan televisyen serta bahan cetak yang lebih menjurus keislaman yang mana kesemua ini akan mewujudkan masyarakat yang lebih baik dan terjamin. Namun, sekiranya ibubapa berjawatan ini tidak memainkan peranannya dan hanya memahami hadis diatas dalam konteks yang sempit semata-mata, sudahtentu dibiarkannnya masyarakat dalam suasa yang ada pada hari ini sehingga memungkinkan ujian yang besar buat ibubapa yang beriman. Sesungguhnya tanggungjawab mencegah kemungkaran ini bukan hanya tanggungjawab ibubapa mahupun guru atau pegawai penguatkuasa agama semata-mata. Tetapi ia adalah tugas dan tanggungjawab semua. wallahua'lam

0 ulasan:

Catat Ulasan