Isnin, 31 Mei 2010

Rasmi Serangan Rejim Zionis Terhadap Kapal Konvoi LL4G.


Laluan LL4G dari Malaysia ke Gaza, Palestin

Konvoi Lifeline4Gaza dari Malaysia selamat berlepas ke Turki jam 12.30 tengah malam tadi (18.05.2010) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Konvoi ini diketuai oleh Noorazman Mohd Samsuddin yang juga merupakan Pengerusi Biro Haluan Palestin dan Pengarah Projek Lifeline4Gaza. Konvoi antarabangsa yang melibatkan wakil NGO dari 50 buah negara ini membawa 10,000 tan barangan keperluan untuk diagihkan kepada warga Palestin di Gaza. Lebih 80 orang hadir di malam tadi di KLIA untuk memberikan sokongan termasuk wakil-wakil daripada NGO-NGO disamping ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai peserta konvoi. Namun dari maklumat yang diterima, pasukan konvoi telah mula menghadapi ancaman dari tentera Israel pada malam tadi. Tentera Israel sudah mula menaiki kapal. SMS yang saya terima malam tadi menyatakan ketua misi Tuan Haji Noorazman: Kami sedang berada di Perairan Gaza dalam jam 4:30 petang (waktu Malaysia), kami sedang berdepan dengan kapal Israel. Pasukan konvoi LL4G Malaysia dan Indonesia diberi amanah untuk menjaga keselamatan kapal konvoi. Dijangkakan pasukan Komanso Israel akan turun ke kapal melalui helikopter dan cuba merampas kapal konvoi tersebut.Mohon diadakan solat hajat dari semua Muslimin dan Muslimat diseluruh dunia. Takbir..!

Marilah sama-sama kita doakan mereka antara 2 kemenangan, SYAHID atau MENANG DAN SAMPAI KE TEMPAT TUJUAN!

Jumaat, 28 Mei 2010

Program Rawat Sekolah

Program Rawat Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Damai, Tasek, Ipoh telah berjaya dilaksanakan pada 27.05.2010. Program dimulakan dengan solat maghrib berjemaah ini diteruskan solat hajat, bacaan yaasin, zikir dan diakhiri dengan solat isyak berjemaah. Majlis zikir diketuai oleh Us Najib b. Mat Lazim manakala solat hajjat, maghrib dan isyak diimamkan oleh Us Kamarul al Hafiz, Us Azmi pula mengetuai bacaan doa.
Darussyifa' berharap agar suasana sekolah tersebut akan aman bagi memudahkan pembelajaran pelajar-pelajar di sekolah berkenaan. Darussyifa' turut berterima kasih kepada Us Nasir kerana sudi bersama merawat sekolah berkenaan.
Program berakhir pada jam 10.00 malam.

Selasa, 25 Mei 2010

Pengumuman : Program Rawat Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Damai

Adalah dimaklumkan satu siri rawatan Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Damai, Tasek Ipoh akan diadakan pada tarikh dan masa berikut:-

Tarikh : 27.05.2010
Masa : 7.00 mlm
Tempat : Surau Sekolah Menengah Tasek Damai, Ipoh

Kepada para perawat yang punyai kelapangan waktu adalah dijemput hadir bersama-sama. Untuk maklumat lanjut sila hubungi Saiful : 019-4638314

Isnin, 24 Mei 2010

Peranan wanita dalam isu-isu pemakanan keluarga




Pendahuluan
Di alaf yang serba moden ini, industri makanan tidak ketinggalan mengalami revolusinya yang tersendiri. Setiap hari, kita dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan komersial yang bukan sahaja menarik dan sedap dipandang malah tentunya enak dimakan.
Persoalan pertama: Sejauh manakah jaminan kehalalan makanan yang dilambakkan di pasaran hari ini?“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Namun di antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (yakni samar-samar antara halal dan haram), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia (samada halal atau haram)” (Petikan hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Persoalan kedua: Adakah makanan tersebut selamat dimakan dan tidak memudaratkan kesihatan?Umat Islam secara khusus diperintah supaya memakan hanya yang halal.Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 168 bermaksud:-
“Wahai manusia, makanlah daripada apa yang kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata.”
Jelas, kepentingan makanan yang halal telah disebut oleh Allah dalam Al-Quran lebih 1400 tahun yang lampau menjelaskan betapa pentingnya konsep pemakanan halal yang sempurna. Malah, mengikut maksud ayat 88, Surah Al-Maidah, Allah menegaskan:-
“Dan makanlah dari apa yang telah diberikan Allah kepadamu sebagai rezeki yang halal dan baik dan bertawakkallah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya.”
Mafhum ayat menjelaskan cara pemilihan makanan dan minuman itu membuktikan nilai iman seseorang.Persoalan-persoalan sebegini tidak boleh dipandang remeh oleh umat Islam. Ini kerana sama ada kita sedar ataupun tidak, semakin banyak pendedahan dan pembongkaran yang dibuat tentang makanan yang dijual secara berleluasa sebenarnya mengandungi bahan-bahan dan sumber-sumber yang tidak halal untuk dimakan atau memudaratkan kesihatan dan toksik pada tubuh sekiranya diambil dalam tempoh masa yang panjang.Rujuk buku ‘Makanan Berbahaya’ oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang 2002. Terbaru dalam negara kita, pendedahan eksklusif yang dibuat oleh majalah Al-Islam keluaran Februari 2010 agak membimbangkan. Rupa-rupanya jika diselidiki banyak produk makanan yang menggunakan label halal palsu terdapat dalam pasaran kita. Ada antara syarikat atau kilang-kilang ini menggunakan logo halal JAKIM secara tidak sah dengan cara membeli daripada syarikat-syarikat lain. Sila semak status halal barang-barang dapur anda melalui laman web JAKIM atau melalui SMS. Caranya, taip Halal (kodbar), hantarkan ke 32728. Anda juga boleh membuat semakan melalui internet menerusi laman web JAKIM. Di negeri Pahang sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian pada 5 Februari 2010 bahawa tiada satupun kedai berkonsepkan kopitiam yang mendapat sijil halal samada dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP). Sekiranya mereka mendakwa ada sijil halal maka ianya dikeluarkan oleh badan swasta yang tidak diiktiraf oleh pihak berwajib.
Panduan Am
Sebagai panduan am untuk para pembaca, semua makanan boleh dikategorikan halal selagi tidak mempunyai kaitan dengan daging babi, anjing dan keturunannya, arak dan alkohol, darah, binatang karnivor yang makan daging, binatang halal yang disembelih tidak memenuhi hukum syarak, sesuatu yang datang daripada manusia seperti uri, mengandungi bahan yang memudaratkan dan beracun. Dalam merealisasikan perlaksanaan pemilihan makanan yang halal dalam kehidupan berumahtangga, maka siapakah yang lebih menonjol peranannya jika bukan seorang isteri atau ibu. Meskipun kita mungkin memandang enteng akan isu ini, namun apa yang lebih dibimbangkan adalah kesannya kepada diri dan keluarga dalam membina masyarakat. Sebagai wanita, kita berperanan besar untuk memastikan pengambilan makanan daripada sumber yang halal dan baik oleh ahli keluarga kerana wanitalah yang biasanya dipertanggungjawabkan untuk mengawal dan menjaga hal ehwal pemakanan keluarga. Apa yang boleh dilakukan dalam memastikan pengambilan makanan yang halal lagi baik di kala industri makanan berkembang dengan pesat di seluruh dunia?
Pertama, wanita perlu menguasai dan memanfaatkan kemudahan teknologi dan internet yang kini semakin mudah untuk didapati berbanding 10 atau 20 tahun yang lalu. Segala maklumat yang diperlukan tentang sumber makanan tertentu – yang sudah tentu tidak akan didedahkan oleh pengilang atau pengeluar makanan – kini hanya di hujung jari. Walaupun tidak dinafikan bukan semua maklumat tersebut adalah benar dan perlu ditapis untuk memastikan kesahihannya, tetapi kita juga tidak dapat menafikan peranan maklumat daripada sumber internet yang mendedahkan fakta dan kebenaran yang tidak pernah kita ketahui atau sedari. Tentu ramai yang pernah menerima beberapa email tentang produk-produk tertentu yang mengandungi lemak khinzir dan juga bahan-bahan kimia lain yang tidak selamat untuk dimakan. Yang lebih merisaukan adalah bahan-bahan yang dikategorikan haram untuk dimakan oleh umat Islam seperti lemak khinzir dilabelkan dalam bentuk kod. Jadi bagi mereka yang tidak tahu dan faham tentang kod-kod makanan pasti tidak mengambil endah tentang maksud kod-kod tersebut. Di sinilah kita boleh nampak keperluan menguasai teknologi dan internet supaya kita dapat mengikuti perkembangan dan penemuan semasa tentang produk-produk makanan yang mungkin tidak didedahkan di akhbar dan televisyen. Penguasaan teknologi juga membolehkan kita untuk menyebarluaskan kepada orang Islam yang lain tentang fakta-fakta sebenar yang diperoleh mengenai sesuatu sumber bahan atau produk serta kewajipan dan kepentingan memilih makanan yang halal dan baik. Sebenarnya kesedaran tentang perkara ini masih belum wujud secara total di kalangan umat Islam. Rata-rata hanya mengambil kira faktor harga yang murah, rasa yang sedap, atau mungkin juga memilih makanan yang sering diiklankan di televisyen, sementara isu halal langsung ditolak ke tepi ataupun hanya dipandang sebelah mata. Padahal, makanan yang halal dan baik menjadi antara punca kepada pembinaan jiwa dan rohani yang bersih. Jika diteliti keadaan masyarakat pada hari ini, mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan antara punca berlakunya masalah sosial adalah kerana pengabaian terhadap kebersihan makanan yang diambil dari sudut syara’.Daripada Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang dengan apa yang diperintahkanNya kepada semua rasul dengan firmanNya (seperti yang tersebut di dalam hadis yang bermaksud): Wahai sekalian rasul, makanlah dari makanan yang baik dan beramallah dengan amalan yang soleh. FirmanNya lagi: Wahai sekalian orang yang beriman, makanlah makanan yang baik yang telah Kami beri rezeki kepada kamu. Kemudian baginda menyebut seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya dan berdebu mukanya menghulur kedua-dua tangannya ke langit (berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya.”
Peranan Muslimah
Seiring dengan perkembangan industri makanan, pelbagai syarikat dan kilang pengeluar produk makanan juga tumbuh melata seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Mereka termasuklah kalangan usahawan bumiputera Islam yang sensitif dengan keperluan umat Islam untuk mendapatkan dan menggunakan produk makanan yang halal dan baik, halalan thoyyiban. Mereka berusaha menghasilkan produk makanan alternatif kepada umat Islam yang tidak kalah kualitinya berbanding produk-produk komersial yang dijual di pasaran. Contoh terdekat produk-produk muslim yang sedang meningkat maju hari ini yang dikeluarkan oleh syarikat 100% bumiputera Islamseperti HPA dan Halagel. Jadi, seharusnya kita sebagai golongan yang paling berpengaruh dalam mengawal keperluan pemakanan keluarga turut serta menyokong dengan membeli dan menggunakan produk-produk keluaran muslim yang lebih diyakini status halalnya. Kita bukan sahaja dapat menyediakan makanan yang halal dan baik untuk keluarga tetapi juga secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan penguasaan umat Islam dalam bidang keusahawanan dan ekonomi.
Periksa Dapur Anda
Cuba puan-puan ke dapur sebentar, menjenguk bahan apa yang kita gunakan untuk memasak? Ada logo halal tak? Jika ada, adakah ia disahkan oleh JAKIM? Cuba kita ingat-ingat kembali dari mana kita dapatkan sumber makanan tersebut? Dalam memastikan bahan-bahan asas masakan yang dibeli terjamin halal, bersih dan baik, tidak salah kiranya sambil membeli kita meninjau keadaan sekeliling kedai, bagaimana kebersihannya, pekerja-pekerjanya adakah menutup aurat, berpakaian kemas, terurus atau berteraburkah susun aturnya. Selesai menyediakan bahan asas yang halal untuk dimasak, sudah tentu puan-puan akan memikirkan menu yang akan dimasak. Mungkin persoalan makanan berkhasiat adalah persoalan remeh bagi ibu-ibu yang tidak bekerja kerana mereka mempunyai waktu yang cukup untuk ke pasar dan memasak sendiri menu keluarga masing-masing. Namun, persoalan makanan berkhasiat merupakan isu yang tidak selesai bagi ibu-ibu yang bekerja. Agak mustahilkan bagi ibu-ibu yang bekerjaya ini untuk pulang pada tengah hari semata-mata untuk menyediakan makan tengah hari untuk suami dan anak-anak? Akibatnya, anak-anak diberi wang saku yang agak banyak agar mereka dapat membeli sendiri makanan tengah hari atau mungkin makan malam sekali.Natijahnya, ramai di kalangan anak-anak ini menjadi pelanggan tetap makanan segera seperti KFC, McDonald, Pizza Hut dan yang seangkatan dengannya di mana kesan negatif jangka panjangnya memang diketahui ramai. Walaupun mudah didapati dan dikatakan enak, makanan segera sebegini memang diiktiraf oleh pengamal perubatan sebagai penyumbang kepada gejala obesiti di kalangan kanak-kanak dan seterusnya mengakibatkan penyakit salur darah tersumbat (atherosclerosis), masalah koronari dan akhirnya masalah jantung. Jika penyakit itu tidak datang cepat, lambat laun akan kena juga. Sebagai penyelesaian bagi ibu-ibu yang bekerja ini, adalah lebih baik memantau di mana anak-anak mendapatkan makanan mereka, atau lebih baik jika ibu bapa boleh meluangkan sedikit masa untuk makan bersama-sama anak-anak jika tidak sempat menyediakan bekalan makanan untuk mereka.Selain itu, para ibu seharusnya lebih kreatif dalam mendepani cabaran pelbagai aneka makanan yang lebih menarik di luar rumah. Anak-anak adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan persekitaran mereka, dan pemakanan adalah antara cabang yang mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan anak-anak. Mereka sering sahaja meminta supaya dibelikan makanan-makanan yang diiklankan di televisyen yang menarik perhatian mereka tanpa mempedulikan halal dan baik atau tidak makanan tersebut. Sebagai tonggak utama keluarga dalam mendidik anak-anak, golongan ibu bukan sahaja berperanan mendidik mereka supaya sentiasa menitikberatkan pengambilan makanan yang halal dan baik; tetapi pada masa yang sama berusaha menyediakan resepi atau menu sendiri yang lebih kurang sama rupa dan rasanya dengan yang terdapat di pasaran komersial. Inilah kreatif yang dimaksudkan. Kreatif dalam mencipta resipi sendiri yang dapat memuaskan hati, bermutu dan halal untuk dimakan.
Penutup
Ringkasnya, wanita sebenarnya mempunyai autoriti dan peranan yang besar dalam mengawal selia pengambilan dan pemilihan makanan yang halal, bersih dan baik dalam sesebuah institusi keluarga. Namun begitu, masih ramai yang kurang mempunyai kesedaran tentang hakikat ini lantas membiarkan sahaja isu pemakanan halal ini tanpa ada rasa tanggungjawab untuk menanganinya.

Abd Qahhar Ismail
Ibu Pejabat Penjara Malaysia
Bukit Wira 43000 Kajang
SELANGOR

Khamis, 20 Mei 2010

Pengumuman : Forum Penyakit Fizikal & Menifistasi Psikatri


Forum Penyakit Fizikal & Menifistasi Psikatri akan di laksanakan pada masa dan tarikh berikut:-


Tarikh: 5.6.2010 (Sabtu)

Masa : 2.00ptg - 5.00ptg

Tempat : Hotel Heritage, Ipoh

Anjuran : Hospital Bahagia Tanjung Rambutan


Masuk adalah percuma. Kepada para perawat yang berminat diminta menghubungi Us. Zakaria b. Nasiruddin di talian 012-4315349 untuk pengesahan. Harap maklum

Rabu, 19 Mei 2010

Aurat Wanita: Dimanakah Perhatian Wanita?

Gambarajah A
Gambarajah B

Zaman muta'akhir ini ramai wanita islam kini yang semakin hari semakin berpakaian tidak mengikut garispanduan yang telah ditetapkan Allah dan rasulnya. Ramai juga dikalangan pesakit wanita yang mengunjugi Darussyifa' tidak menutup aurat atau menutup aurat dengan fesyen yang perbagai. Kehadiran artis yang bertudung dengan fesyen perbagai ini telah menjadi ikutan buat masyarakat kini. Lahirlah tudung dengan perbagai nama dan bentuk serta warna-warni dengan disesuaikan dengan fesyen yang berbagai sehinggakan tujuan asal atau matlamat asal bertudung itu tidak tercapai. Akibatnya, wanita islam bukan sahaja di eksploitasi dan diganggu oleh laki-laki yang jahat malah ianya juga turut menarik minat makhluk-makhluk halus diluar sana. Seorang pesakit wanita yang asalnya tidak menutup aurat...alhamdulillah setelah menerima rawatan berkali-kali di Darussyifa' akhirnya membawa kepada perubahan penampilan diri ke arah wanita yang bertudung serta menunaikan suruhan agama. Sesungguhnya Gambarajah B diatas telah menunjukkan beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh generasi kini dan gambarajah A pula menunjukkan kaedah bertudung yang ditetapkan oleh syarak. Kesalahan dalam gambarajah B dijelaskan sepertimana berikut:-
KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt’ berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda’.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :
“Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR.” (an-Nur: 31)
KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.
KESALAHAN KESEPULUH : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. Samada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaj ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.
Larangan ini datang dari Firman Allah SWT :


“Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit.”


(al-Ahzab: 32)

Isnin, 17 Mei 2010

SAKA:Boleh Sakiti Orang Lain Dan Diri Sendiri




llmu Saka Boleh Sakiti Orang Lain Dan Diri Sendiri

Membicarakan tentang SAKA adalah satu perkara sensitif. Sesuatu yang tidak nampak dan tidak mudah untuk diyakini. Masyarakat melayu memahami saka sebagai ilmu yang diperturunkan atau dipusakai daripada waris teratas kepada waris di bawahnya daripada ibu ataupun bapa kepada anak, daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucu atau cicitnya, ataupun ilmu yang dipusakai daripada seorang bapa saudara kepada anak saudara atau kepada seseorang yang berada dalam lingkungan keluarga.Saka adalah sejenis gangguan makhluk halus yang berpunca sama ada daripada jin atau syaitan. Kebiasaannya proses terjadinya saka ini bermula apabila ada manusia yang ingin berdamping dengan makhluk halus dan akhirnya menggunakan kebolehan yang ada pada makhluk halus tersebut untuk tujuan-tujuan tertentu.Yang dimaksudkan dengan ‘ilmu yang dipusakai’ itu ialah ilmu yang ada kaitan dengan jin-jin, sama ada jin berkenaan dibela, dibuat sahabat ataupun dibuat saudara, disedari atau tidak disedari. Dengan perantaraan makhluk tadi, waris berkenaan berupaya melakukan rawatan penyakit, menilik dan sebagainya dalam keadaan menurun atau tidak menurun. Hasil daripada penglibatan makhluk ini juga waris adakalanya melibatkan diri dengan ilmu kebatinan mempertahankan diri seperti ilmu amalan wali suci, budi suci dan lain-lainnya atau ilmu kebatinan yang dinamakan amalan Al-Fatihah, silat syeikh, amalan sinar Islam dan sebagainya. Amalan kebatinan mempertahankan diri ini juga melibatkan ilmu kebal, ilmu penggerun, ataupun amalan yang lebih bersifat peribadi seperti ilmu seri muka, ilmu kebidanan tradisional atau ilmu andaman tradisional. Pemilik saka yang melibatkan ilmu perbomohan ataupun dukun yang diwarisi oleh seseorang akan membolehkan pewaris memiliki kebolehan untuk melakukan rawatan dan sebagainya yang berkaitan dengan ilmu kebatinan seperti yang pernah dilakukan oleh pewaris tadi, berupaya melakukan rawatan dalam keadaan menurun biarpun dia tidak pernah mempelajari ilmu kebatinan yang khusus.Dari sinilah lahirnya orang yang tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri, menurun lalu melakukan rawatan, berupaya menilik sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan sebagainya. Hal demikian berlaku kerana makhluk tadi meresap dalam tubuh orang berkenaan, menguasai otak, jasad, lidah dan pergerakkan lalu menggunakan jasad manusia untuk bertindak.

Keadaan seperti ini dikenali sebagai ‘menurun’ dimana makhluk halus tadi telah menurun atau meresap dalam tubuh manusia lalu bertindak melakukan sesuatu menurut tujuan asal makhluk ini meresap dalam tubuh manusia. Pelbagai natijah luar biasa (nadir) mencarik kebiasaan adat dan tidak dapat difikiri oleh akal punca dan sebab musabab berlaku seperti yang dijelaskan. Iaitu boleh melakukan rawatan, menilik benda-benda ghaib, menjadi kebal, digeruni, mengangkat benda-benda berat dan sebagainya yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasaMakhluk yang berdampingan itu dalam proses masa tertentu menjadi sebahagian daripada dampingan manusia menyebabkan orang yang seumpama ini berupaya melakukan sesuatu yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa. Jin atau makhluk halus yang dibela oleh manusia, pada kebiasaannya memerlukan manusia yang biasanya terdiri daripada kaum keluarga atau terus berdampingan dengan manusia setelah tuan yang asal tadi meninggal dunia. Makhluk yang seperti inilah yang dinamakan SAKA yang diperturunkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya. Penurunan saka boleh berlaku dengan sengaja atau tidak sengaja.
Dilakukan dengan sengaja apabila seseorang itu secara berterangan menyatakan pada waris tertentu seperti anaknya yang dia adalah orang yang paling sesuai atau berkelayakkan mewarisi ilmu pemiliknya yang dimiliki selama ini. Apabila orang yang berkenaan menyatakan kesanggupannya menerima, maka bermula dari tarikh itu dia telah mewarisi saka tadi.Penurunan saka juga boleh berlaku secara tidak langsung apabila seseorang waris itu menerima barang-barang tertentu, yang pada kebiasaannya terdiri daripda keris, lembing ataupun tombak atau objek lain seperti tangkal, azimat, batu geliga, akik dan sebagainya.Apabila seseorang itu menerima saka tadi, tidak kira samaada pada asalnya pewaris itu redha atau tidak lalu akhirnya tunduk menerima dan melakukan upacara atau syarat-syrat yang diajar secara langsung atau tidak langsung termasuk ketika mimpi, makhluk tadi akan semakin rapat dengan ‘tuan’ barunya yang boleh ‘diperintahkan’ melakukan sesuatu. Iaitu untuk tujuan rawatan seperti yang dijelaskan. Untuk membinasakan lawan atau orang lain dengan permintaan pelanggan yang datang menemuinya.
Dari sinilah lahirnya pelbagai jenis amalan kebatinan seperti ilmu pengasih, ilmu penunduk, ilmu seri muka, ilmu pemisah iaitu untuk memisahkan antara suami isteri, ilmu pelalau iaitu ilmu menyebabkan seseorang itu tidak kira lelaki atau perempuan tidak mendapat jodoh atau premis perniagaan yang tidak didatangi oleh pelanggan.Termasuk dalam ilmu kebatinan ini ialah khidmat daripada pemilik saka yang boleh digunakan untuk menyakiti seseorang yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak normal atau bertindak seperti orang yang tidak waras, santau dan sebagainya. Semua amalan ini termasuk dalam kategori ilmu sihir iaitu tindak tanduk manusia yang melibatkan jin-jin atau yang dikenali sebagai makhluk-makhluk halus. Perlu dijelaskan bahawa amalan sihir adalah salah satu perbuatan dosa besar yang membinasakan.

Ilmu Yang Diwarisi Melalui Saka Ada Dua Jenis

Jenis Pertama

Adalah seperti yang dijelaskan diatas yang ada kalanya boleh digunakan untuk sesuatu yang dianggap boleh memberi manfaat seperti untuk tujuan rawatan, ilmu pengasih, digunakan untuk mencari barang hilang dan sebagainya. Selain mencari barang hilang saka juga boleh digunakan untuk mencuri barang kepunyaan orang lain seperti mencuri wang, barang kemas, pakaian termasuk seluar dalam dan baju dalam. Terlalu banyak hadis membicarakan tentang keupayaan jin-jin yang mencuri bahan makanan iaitu kurma dizaman Nabi s.a.w.Selain boleh ‘digunakan’ untuk tujuan yang dijelaskan tadi, makhluk ini juga sering menyakiti orang lain, jiran-jiran termasuk kaum keluarga tuan saka tadi malah dalam keadaan tertentu makhluk ini boleh menyesatkan iman si empunya diri yang dianggap sebagai tuan tadi akan menyerang tuannya terutama ketika telah uzur,sakit atau ketika tua. Orang Melayu yang memahami hal-hal yang berkaitan dengan saka ini sering beranggapan bahawa makhluk ini seumpama tidak terkawal apabila tuannya meninggal dunia dan tidak ada dikalangan keluarga yang sedia untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh pewaris selama ini. Keadaan akan menjadi redha apabila salah seorang daripada waris sudi menjadi tuan kepada makhluk ini. Anggapan ini ada kebenarannya tetapi pada hakikatnya biarpun makhluk ini mempunyai tuan baru ia tetap menjadi masaalah kepada manusia terutama kepada keluarga yang terlibat kerana antara tujuan utama iblis dan syaitan itu ialah untuk menyesatkan manusia seberapa banyak yang boleh agar mereka dapat masuk ke neraka bersamanya.

Jenis Kedua

Saka ataupun penyakit yang diwarisi daripada seorang pewaris kepada seorang atau beberapa orang waris akibat daripada gangguan atau serangan iblis dan syaitan yang berlaku turun temurun. Bermaksud sekiranya seorang pewaris itu sakit, sakit yang sama akan dideritai oleh warisnya.Pada kebiasaannya sakit yang berpunca daripada saka tidak kira samada saka jenis pertama atau kedua adalah sama. Sebagai contoh sekiranya seseorang itu tidak boleh tidur malam, selalu termenung, berasa sakit kepala seperti dibaji-baji lalu dia menghantuk-hantukan kepala maka keadaan yang sama akan dialami oleh keturunannya atau mereka yang diserang oleh saka tadi yang terdiri daripada kaum keluarganya.
Tidak mudah untuk memberi penjelasan bahawa seseorang itu sakit akibat saka. Umumnya apabila sesuatu masaalah atau sakit itu dirujuk kepada mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan, maka selalunya dikatakan bahawa penyakit tersebut dirujuk sebagai kena buatan orang, kena sihir, gangguan, saka dan sebagainya.Hakikatnya masaalah penyakit perlu dirujuk kepada pakar kerana punca penyakit itu adalah pelbagai akibat kecederaan seperti luka,patah, keracunan, stress, depress dan sebagainya akibat gangguan ataupun sihir.Segala punca gangguan ini sukar diakui oleh pengamal perubatan moden tetapi kesemua faktor yang dijelaskan berlaku kepada mangsa.


PROFESION SAKA


Sesetengah ilmu saka ini juga melibatkan makhluk halus yang berkaitan dengan profesion tertentu yang kadang-kala melibatkan haiwan tertentu seperti :-


1.SAKA HARIMAU.

Saka jenis inilah yang menjadi pilihan kebanyakan pembelanya sebab ia lebih berani dan mampu menakutkan orang ramai apatahlagi musuh-mush ‘tuannya’. Bagi mereka yang berniat tidak baik kepada pembela saka ini atau ahli keluarganya atau rumah kediamannya atau kebunnya maka jin peliharaan tadi akan menjelma menjadi seekor harimau bagi tujuan menakutkan orang berkenaan.


2. SAKA BUAYA.

Kebiasaannya saka jenis ini digunakan untuk tujuan mengawal atau menjinakkan haiwan buaya.


3. SAKA ULAR.

Kebiasaannya saka jenis ini digunakan untuk tujuan mengawal atau menjinakkan haiwan ular.


4.SAKA BOMOH.

Kebiasaannya saka jenis ini digunakan untuk tujuan mengubat pesakit-pesakit yang ada kaitan dengan makhluk halus.


5. SAKA KUAT.

Kebiasaannya saka jenis ini digunakan untuk tujuan supaya ‘tuannya’ menjadi kuat boleh mengangkat barang-barang yang berat atau menjadikan ‘tuannya’ kebal daripada sebarang tikaman objek tajam.


6. SAKA SUSUK.

Kebiasaannya saka jenis ini digunakan untuk tujuan supaya ‘tuannya’ lebih kelihatan cantik pada pandangan mata yang melihatnya walaupun hakikatnya dia tidak lagi cantik. Biasanya diamalkan oleh kaum wanita.


7. SAKA BIDAN.

Kebiasaannya saka jenis ini digunakan untuk tujuan perbidanan dan urutan selepas bersalin.
KESAN-KESAN BAIK KONONNYA YANG BOLEH DIPEROLEHI OLEH SESEORANG DARIPADA AMALAN SAKA ( jadi janganlah menerima saka ini)


1. Boleh melindungi diri,ahli keluarga dan harta benda.

2. Boleh mengawal banatang buas.

3. Boleh memberikan kekuatan dan kekebalan kepada pengamalnya.

4. Boleh menghasilkan daya tarikan yang berbentuk khayalan kepada orang yang memandangnya.

5. Boleh menguruskan lading dan kebunnya.

6. Boleh membuat orang sakit melalui bisikan-bisikan jin peliharaannya di telinga pembelanya.

7. Boleh meramalkan perkara-perkara ghaib.
KESAN BURUK DARIPADA SAKA


Sukar untuk melihat secara zahir kesan buruk daripada saka ini, namun apabila menggunakan kacamata agama berasaskan al-Quran dan as-Sunnah maka kelihatanlah kesan buruk diantaranya ialah :-


1. Boleh membawa syirik kepa Allah SWT kerana manusia bergantung kepada yang selain daripada Allah iaitu jin, syaitan dan makhluk halus.

2. Boleh mengganggu pembelanya jika pembelanya melanggar pantang larang seperti tidak menjamunya pada masa-masa tertentu. Atau tidak mengasapkan objek tertentu seperti keris dan sebagainya dengan asap kemenyan pada malam jumaat.

3. Boleh merosakkan hubungan suami isteri di mana makhluk halus saka ini boleh berupa dalam bentuk tuannya(pembela) dan menyetubuhi isteri tuannya sedangkan tuannya yang sebenar di tempat lain tanpa pengetahuan isteri tersebut.

4. Boleh memecah belahkan keluarga dan masyarakat selepas sesi rawatan di mana makhluk halus tadi akan memberitahu kepada pesakit kononnya yang membuatkan dia sakit ialah si fulan bin si fulan yang dengki kepadanya.

5. Boleh menipu daya pembelanya kerana mereka akan beramal dan berzikir dengan jumlah yang tertentu dalam tempoh tertentu kerana arahan makhluk halus.

6. Boleh menyebabkan pembelanya menjadi malas kerana bergantung harap kepada jin peliharaannya untuk menguruskan kerja sehariannya seperti menguruskan lading, menjaga ternakan, berburu, turun ke laut menangkap ikan, mengarahkan toyol mencuri duit dan sebagainya.

7. Boleh menyebabkan ‘tuannya’ susah keluar ruh ketika hendak mati seperti kehausan yang amat sangat dan sebagainya.

HUKUM SAKA PADA PANDANGAN AGAMA

Hukumnya adalah haram dan berdosa serta boleh menyebabkan syirik kepada Allah. Jika kita telah memilikinya maka berusahalah untuk membuannya. Jika kita bakal memilikinya, maka tolaklah daripada menerima saka tersebut.Ini keraana iblis dan syaitan telah bersumpah di hadapan Allah SWT bahawa dia dan kuncu-kuncunya akan terus berusaha mengganggu, menipu danmenyesatkan manusia sehinggalah ruh manusia berpisah dar jasadnya sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Hijr ayat 39 yang bermaksud :


“Iblis berkata : Wahai Tuhanku, oleh kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, maka sesungguhnya aku akan menghiaskan segala jenis maksiat kepada manusia di muka bumi ini dan aku pasti akan menyesatkan mereka kesemuanya”.


Al-Quran telah menjelaskan bahawa manusia adalah khalifah Allah di atas muka bumi ini bukannya malaikat atau jin yang merangkumi iblis dan syaitan. Mengapa manusia harus merendahkan darjatnya yang lebih tinggi daripada jin yang akhirnya terpengaruh dengan tipudaya jin.Allah SWT telah memberi amaran kepada umat manusia supaya sentiasa berwaspada daripada iblis dan syaitan kerana makhluk halus ini ialah musuh ketat manusia sebagaiman ayat 60 Surah Yasin yang bermaksud :


Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak Adam agar kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang jelas”.


RAWATAN TERHADAP SAKA

Cara membuang saka bukanlah dengan cara bersemah, membuang ancak dan sebagainya yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi kita disuruh oleh Islam supaya membina pertahanan diri dengan amalan yang fardhu mahupun yang sunat. Banyakkan zikir dan doa yang boleh melindungi kita daripada gangguan syaitan seperti :-


1. Melazimkan diri dengan membaca ayat kursi selepas solat dan sebelum tidur atau ketika diganggu oleh makhluk halus.


2. Lazimmembaca doa mengusir syaitan dalam ayat 97-98 surah al-Mukminun.


2.1. Sentiasa membaca al-Quran terutamanya surah al-Baqarah

2.2. Sering membaca ta’awwuz ketika hendak memulakan sesuatu kerja.

2.3. Amalkan pada setiap pagi dan petang dengan membaca al-Mu’awwizat (surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas) dengan duduk menghadap kiblat sambil menadah kedua belah tangan seperti orang berdoa. Selepas membaca Fatihah dan mu’awizzat tersebut, tiup ke tangan perlahan-lahan hingga habis nafas kemudian raup dua tapak tangan tadi ke muka, kepala dan seluruh anggota badan (yang boleh dicapai oleh tangan). Lakukanlah amalan ini sekali atau 3 kali sebagai perlindungan daripada gangguan jin dan syaitan. Ianya boleh dilakukan untuk diri sendiri atau anak isteri.


3. Bagi melindungi rumah kediaman pula hendaklah kita elakkan menyimpan sebarang patung di dalam rumah, pastikan bacaan al-Quran sering berkumandang di dalam rumah dan amalkan solat hajat beserta bacaan Yasin memohon kepada Allah SWT melindungi rumah kediaman kita.

4. Lazimkan diri untuk qiyammullail kerana syaitan akan kepanasan apabila mendekati manusia yang sentiasa melakukan ibadah di waktu malam.


5. Sentiasa berpuasa sunat pada hari-hari yang disunatkan berpuasa kerana ianya boleh menyempitkan saluran pergerakan syaitan dalam badan manusia.


6. Dapatkanlah rawatan daripada pengamal pengubatan Islam yang berasaskan syariat dan bukannya pengamal perubatan yang berasaskan makhluk halus atau berdampingan dengan jin dan syaitan.


7. Bakar tulisan, buku, tangkal azimat yang diterima.Boleh juga direndamkan ke dalam cuka atau garam dan kemudian dibuang ke sungai atau laut atau ditanam.


8. Jangan sebut nama pewaris atasnya.


9. Jangan jumpa pengamal ilmu saka itu.


10. Ingatlah, manusia hanya berikhtiar dan berusaha, kesembuhan milik Allah SWT. Yang penting jangan putus asa atau rasa jemu untuk terus berikhtiar mencari kesembuhan yang sebenar.

(Kertas kerja dibentangkan oleh Ust.Mohd Fauzi Mustaffa dalam seminar perubatan Islam anjuran Iq Insan Training & Consultancy)

Rabu, 12 Mei 2010

Bersama Tuan Guru Dato' Dr Haron Din:Mengundi babitkan dosa, pahala


SOALAN: Memilih atau mengundi mana-mana calon pada pilihan raya, adalah salah satu proses demokrasi. Seseorang itu boleh dan bebas memilih sesiapa yang dia suka. Ini adalah perkara dunia yang tidak ada kena mengena dengan dosa dan pahala. Hal sebegini pernah disebut oleh banyak orang, terutamanya orang politik. Apakah benar ia tiada kaitan dengan akhirat? Apa pandangan Dato'? � JEMAAH TABLIGH, Seri Petaling
JAWAPAN: Tanggapan sedemikian merupakan sesuatu yang sering dimomok-momokkan sebilangan orang, terutamanya mereka yang mengasaskan dasar politik mereka di atas dasar sekular. Tambahan pula, media massa di negara kita, sememangnya memihak kepada apa yang saudara dakwakan. Rakyat disajikan terus-menerus mengenai gagasan yang memisahkan antara politik dengan agama daripada penghidupan.

Kebetulan di negara kita, parti politik yang memperolehi kuasa atas nama demokrasi, tidak berteraskan Islam. Malah kadang kala semacam memusuhi politik Islam.
Oleh kerana itu ia mencetuskan persepsi sebagaimana yang saudara sebutkan, iaitu menafikan kerja-kerja pilihan raya dengan belanja dan tenaga yang besar, dinafikan ia mendatangkan apa-apa pahala. Islam pada hakikatnya, tidak terpisah dan tidak akan sesekali berpisah dengan penghidupan secara total.
Islam itu adalah segala-galanya dalam kehidupan Muslim. Mahu tidak mahu sebagai umat Islam, kita mesti menerima hakikat bahawa Islam itu adalah cara hidup yang lengkap.
Inilah maksud sebenar daripada firman Allah (mafhumnya):

"...Pada hari ini (hari Nabi Muhammad s.a.w. mengerjakan haji wada'), Aku (Allah) telah sumpurnakan bagi kamu agama kamu (Islam), dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku, dan aku reda Islam itu menjadi agama (anutan) kamu..." (Surah al-Maidah, ayat 3)

Inilah ayat yang menyimpulkan kesempurnaan Islam itu sebagai suatu cara hidup.
Jika politik terpisah daripada Islam dan Islam tidak boleh dipolitikkan, bagaimana kita hendak memahami kesempurnaan Islam?
Rasulullah s.a.w. sendiri menghayati erti kesempurnaan Islam itu dengan baginda sendiri menjadi pemerintah negara dengan melaksanakan semua perintah Allah.
Bagaimana mungkin segala perintah Allah boleh dilaksanakan jika kuasa pemerintahan tidak ada di tangan baginda. Dan bagaimana mungkin umat Islam hari ini hendak melaksanakan perintah-perintah Allah, jika kuasa pemerintahan tidak berada ditangan orang-orang Islam.
Memerintah negara seperti yang dilakukan oleh Rasulullah di Madinah, adalah suatu realiti yang wajib diimani bahawa itulah Islam yang sempurna.

Islam yang syumul disandarkan kepada kuasa politik untuk kepentingan Islam itu sendiri.
Sebaik sahaja Rasulullah dipanggil pulang oleh Allah, dan belum pun disempurnakan jenazah baginda, sahabat-sahabat besar berkumpul dan berhempas pulas untuk menyelesaikan masalah besar ummah iaitu mencari pemimpin untuk meneruskan pemerintahan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah.
Sahabat-sahabat berijmak atau bermuafakat untuk mencari pengganti. Ini adalah urusan politik yang mesti dibereskan terlebih dahulu.
Sahabat berpendapat urusan politik untuk meneruskan pemerintahan untuk kepentingan ummah lebih penting dari menyegerakan pengkebumian Rasulullah s.a.w.
Akhirnya mereka memilih Abu Bakar as-Siddiq sebagai ketua negara, memenuhkan kekosongan yang ditinggalkan oleh Rasulullah.

Politik Islam asasnya suci murni, memegang kuasa untuk memimpin ummah bagi menuju keredaan Allah.
Islam menjadi juara politik di zaman-zaman silam. Pemerintahan Islam, terus menerus menerajui ummah, seluruh penduduk dalam masyarakat majmuk, silih berganti berada dalam pemerintahan Islam dalam keadaan aman damai sepanjang hayat.
Sehinggalah ke awal kurun ke-20, atau lebih khusus sehingga kejatuhan pemerintahan Othmaniyyah Turki pada tahun 1924, Mustafa Kamal Ataturk mengubah pemerintahan kepada dasar sekular.
Bagi orang yang faham ilmu politik dan memahami hukum Islam, tentulah akan mengetahui kaitannya dengan dosa pahala.
Dalam amalan kehidupan, Allah memerintah manusia melakukan kebaikan (makruf) akan diberikan pahala, manakala yang melakukan kejahatan (mungkar) akan memperolehi dosa.
Membuat kebaikan walaupun seperti membuang seketul batu dijalan yang menghalang laluan orang ramai, nampaknya enteng tidak ada apa-apa, namun jika ia dibuat kerana Allah, ia adalah salah satu cabang iman yang akan diberikan pahala yang besar.
Begitu juga menegur atau menasihati orang supaya tidak melakukan sesuatu yang tidak baik dan mengalakkannya berbuat baik, sudah mendapat pahala yang besar.
Inikan pula kerja mengundi dan bekerja dalam pilihan raya dengan tenaga dan wang yang banyak. Mengundi adalah kerja besar.
Dengan mengundi, kita boleh menukar kerajaan yang melakukan kemungkaran kepada sebuah kerajaan yang baru.
Sekiranya yang dijatuhkan itu adalah sebuah kerajaan yang tidak Islam, ditukar kepada kerajaan yang mendaulatkan Islam, bayangkan betapa banyaknya ganjaran yang akan diperolehi.
Bagaimana hendak dinafikan mengundi tidak ada kena mengena dengan dosa dan pahala, sedangkan ianya tidak terkeluar daripada 'irradatul insan' (tindakan manusia).
Amal manusia sekecil mana pun akan diberi balasan. Insan yang berniat melakukan sesuatu kebaikan, sudahpun dianugerahkan satu pahala. Melaksanakan niat itu, dibalas Allah dengan 10 pahala.
Ada hadis yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab (mafhumnya):

"Sesungguhnya segala perbuatan itu bergantung dengan niat, seseorang itu akan dianugerahkan pahala mengikut niatnya."
Apakah niat saudara ketika mengundi? Tidak masuk akal jika saudara tidak ada niat.
Jika niat saudara mengundi seseorang calon bagi mendapat habuan di dunia, saudara akan memperolehi habuan tersebut.

Jika saudara berniat untuk mendapat habuan di akhirat, saudara akan mendapat habuan di akhirat.
Allah berfirman (mafhumnya):

"Sesiapa yang mengkehendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah pada akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang mengkehendaki kebaikan di dunia semata-mata, Kami akan berikannya kebaikan di dunia, dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak." (Surah as-Syura, ayat 20)
Ayat ini, dan banyak lagi ayat yang seumpama dengannya, meletakkan suatu gagasan yang nyata bahawa amal-amal manusia akan dibalas Allah di atas kebaikan atau keburukannya.
Allah SWT memerintah kita, dalam suatu ayat yang mahsyur (mafhumnya);

"Dan bertolong-tolonglah kamu dalam perkara menegakkan yang makruf dan jangan bertolong tolongan dalam menegakkan kemungkaran."
Menegakkan yang baik akan diberi pahala, menolong melakukan sesuatu yang jahat akan dibalas dengan dosa.
Atas itulah maka, apa yang kita lihat dalam kerja-kerja mengundi, adalah suatu pekerjaan yang besar, pasti akan diberi Allah SWT ganjaran, setimpal dengan apa yang kita niatkan.

Wallahu a'lam.

Isnin, 10 Mei 2010

Program Hari Keluarga Darussyifa' Malaysia

Peserta Hari Keluarga Darussyifa' pada sesi bergambar
Teluk Segadas, Pulau Pangkor, Perak




Program Hari Keluarga Darussyifa' Malaysia telah berjaya dilaksanakan pada 7 hingga 9 Mei 2010 yang lalu. Program yang diadakan di Teluk Segadas, Pulau Pangkor ini telah disertai oleh hampir kesemua cawangan Darussyifa' di Semenanjung Malaysia. Antara cawangan yang hadir termasuklah Darussyifa' Cawangan Ipoh, Darussyifa Cawangan Kemunting, Darussyifa Parit Buntar, Darussyifa' Kajang, Darussyifa' Cawangan Johor, Darussyifa' Cawangan Kelantan, Darussyifa' Alor Setar, Darussyifa' Melaka Darussyifa' Bangi selaku urusetia dan Jawatankuasa Pusat Darussyifa'. Program yang dirancang dan dianjurkan oleh Darussyifa' Pusat ini telah mengatur perbagai aktiviti yang menarik.
Ahli Darussyifa' Perak (Ipoh) sampai di Jeti Lumut
Tn Hj Abdul Rahman b. Ahmad serta rombongan Darussyifa' Pusat sampai di Jeti Lumut

Us. Rashidie dan Us Zul bergambar bersama Us Mokhtar Kassan
Suasana di dalam feri menuju ke Tekuk Segadas








Tapak perkhemahan untuk penginapan

Aktiviti bermula dengan acara bebas sebaik sahaja sampai ke Teluk Segadas. Aktiviti rasmi bermula sebaik sahaja azan maghrib dikumandangkan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan zikir dan yaasin. Selepas solat Isyak berjemaah, majlis dimuatkan dengan aktiviti tazkirah dan pesanan penting daripada Tuan Guru Dato' Dr Haron Din.

Ahli-ahli khusyuk mendengar pesanan penting Tuan Guru Dato' Dr Haron Din




Sungguhpun hari keluarga pada kali ini tidak dihadiri oleh Tuan Guru, namun kehadiran beliau dapat dirasakan pada majlis tersebut. Sebuah rakaman ucapan Tuan Guru telah ditayangkan kepada ahli akan pesanan-pesanan penting beliau. Pada rakaman tersebut, Tuan Guru telah menyatakan kegembiraannya terhadap aktiviti ini yang telah berjaya dilaksanakan sungguhpun tanpa kehadiran beliau. Tuan Guru sebenarnya amat berkeingginan untuk menghadirinya memandangkan tarikh tersebut merupakan tarikh pilihan Tuan Guru sendiri. Namun, Tuan Guru terpaksa bergegas ke Kota Bahru atas tugas yang amat penting dalam gerakan Islam di Malaysia menyebabkan Tuan Guru terpaksa melupakan hasrat untuk bersama ahli darussyifa' di Teluk Segadas. Ucapan yang penuh dengan taburan mutiara ilmu tersebut digambarkan dengan seolah-olah Tuan Guru menyertai kami di Pulau Pangkor.

Antara lain, Tuan Guru turut meminta agar ahli-ahli semua berubah dan bersedia dengan segala perkara yang mungkin berlaku. Tuan Guru meminta agar setiap ahli beristiqomah dengan amalan serta mempertingkatkan iman dan amal agar Darussyifa' akan terus maju dan jaya dengan misi dan visinya dalam mencari keredhoan Allah walaupun tanpa kehadirannya kelak.

Ketidak hadiran Tuan Guru pada majlis yang penuh bererti ini menunjukkan sikap kesediaan dan kesiapsiagaan ahli Darussyifa' dalam menghadapi segala kemungkinan-kemungkinan yang telah ditentukan Allah s.w.t.

Tuan Guru tidak mahu melihat Darussyifa' hanya dilihat pada individu tetapi dilihat pada Darussyifa' itu sendiri dan kesediaan ahli menjayakan aktiviti ini tanpa kehadiran Tuan Guru telah menunjukkan kesediaan ahli menerima segala kemungkinan yang ditakdirkan kelak. Sesungguhnya Tuan Guru amat terharu dan berharap agar Darussyifa' tidak akan terkubur malah terus berkembang sungguhpun tanpa kehadiran beliau.

Pada hari kedua (8.5.2010) aktiviti Hari Keluarga Darussyifa' diserikan dengan qiamullail. Para ahli telah berkumpul di Surau seawal 3 pagi untuk melakukan amalan sunnah tersebut. Selepas solat subuh berjemaah, A.F Ust Abdul Rahman Nawas telah sudi memberikan sedikit tazkirah ringkas bagi menmperingatkan semua ahli akan peringatan dan pesanan penting Tuan Guru.

Selepas sarapan pagi sekitar jam 8.00. Ahli-ahli Darussyifa' dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk melaksanakan acara 'Explorerace'. Kesemua ahli dipecahkan dan besama-sama menjayakan aktiviti lasak tersebut. Perbagai acara menarik diadakan termasuklah memasang kenderaan mainan, meniup 14 buah belon, berkayak ke tengah laut, abselling, memasak meggi dan sebagainya. Aktiviti berakhir dengan acara mencipta binaan. Pada sebelah malamnya pula aktiviti BBQ diadakan sejurus selepas solat Isyak berjemaah.

Aktiviti tamat pada hari Ahad-9.5.2010 pada jam 11.00pagi.

Sesungguhnya aktiviti tersebut amat memberi kesan dan bermakna kepada semua ahli.

Ahli-ahli mandi laut












Selasa, 4 Mei 2010

Keratan Majalah Melinea Muslim: 6 Anak-anak Siti Halimah Semuanya Doktor

Hajjah Siti Halimah Sh Kadir, 56 mempunyai empat anak dan dua menantu yang menjadi doktor tetapi beliau berkunjung ke Pusat Rawatan Darussyifa' setiap tahun selama 13 tahun untuk mendapatkan rawatan.
Beliau tiada masalah mendapatkan rawatan moden untuk apa sahaja penyakit daripada anak-anak dan menantunya mereka tidak dapat mengesan penyakitnya walaupun menggunakan peralatan dan pengetahuan mendalam tentang perubatan moden.
Ikhtiar terakhir beliau ialah Datuk Professor Dr Haron Din.
Isteri kepada bekas Pegawai Pendidikan Daerah Raub, Pahang, Siti Halimah berkata sejak 13 tahun lalu, beliau berulang-alik dari Kuantan ke Pusat Rawatan Darussyifa', Bangi untuk mendapatkan rawatan setelah terkena sihir.
"Pada peringkat awalnya saya merasakan satu keanehan dalam diri saya. Kepala terasa seperti dicucuk-cucuk dan perut pula sering memulas-mulas. Apabila diperiksa anak-anak, kesemua mereka mendapati saya sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit.
"Saya pergi mendapatkan rawatan doktor disebabkan pada hari penghabisan haid saya, darah yang keluar berketul-ketul. Saya rasa seperti mengalami keguguran tetapi doktor yang merawat saya mensyaki ada kemungkinan besar ada ketumbuhan dibahagian peranakan dan menasihat saya menjalani pembedahan untuk mengetahui puncanya."
"Saya tidak mahu dibedah dan segera menemui Dr Haron Din untuk mendapatkan rawatan alternatif. Sejurus sahaja minum air bacaan doa Dr Haron Din keluar banyak ketulan darah dan sejak itu haid saya menjadi normal. Malah pembedahan yang disyorkan doktor juga tidak jadi dilakukan disebabkan saya telah kembali pulih".
"Bagaimanapun saya tetap berkunjung ke Pusat Rawatan ini kerana penyakit tetap datang dari semasa ke semasa. Mengikut purata kira-kira 10 kali dalam setahun saya akan berkunjung ke Darussyifa' " . Katanya.
Siti Halimah menambah beliau pernah mengalami lumpuh dilengan sebelah kiri dan setelah dirujuk seorang dari anaknya seorang pakar klinikal, beliau hanya menjalani latihan terapi melalui kaedah senaman.
Namun demikian, katanya cara tersebut tidak dapat mengatasi masalah sakit anggotanya itu sehinggalah dia bertemu dengan Dr Haron Din