Isnin, 9 Mei 2011

Tahniah Kepada Para Pelatih Yang Lulus Ujian Tasmi' Darussyifa'



Darussyifa' Perak ingin merakamkan tahniah kepada para pelatih yang telah lulus dan berjaya dalam ujian tasmi' Darussyifa'. Kuliah Pengubatan Islam Darussyifa' bagi ambilan untuk para perawat di negeri Perak ini telah dilaksanakan di PAKAT, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Kelas pengajian secara mingguan ini memakan masa selama enam belas bulan iaitu setahun setengah untuk ditamatkan melibatkan lima buah buku teks. Para pelatih yang berjaya dalam ujian tasmi' ini berpeluang dicalonkan sebagai perawat pengubatan Islam Darussyifa' yang sah melalui satu Majlis Pengijazahan yang bakal diadakan di Kolej Multimedia, Taiping. Sebanyak 3 ayat asas pengubatan Islam Darussyifa' diwajibkan dihafaz dan diperdengarkan seorang demi seorang dihadapan penguji. Para pelatih yang berjaya menyebutkan setiap ayat dengan betul sebutan, makhraj dan tajwid adalah layak dipertimbangkan untuk menerima ijazah asas pengubatan Islam Darussyifa'. Kuliah Pengubatan Islam Darussyifa' merupakan antara kuliah pengubatan paling sistematik yang pernah diadakan. Sibus pengajiannya mendapat pujian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Ini kerana antara kandungan kuliah bukan sahaja menekankan kes-kes melibatkan gangguan makhluk halus, malah turut menekankan pengubatan penyakit-penyakit fizikal seperti barah, lelah, sawan, dan sebagainya yang menggunakan doa-doa dari al-Quran, hadis nabi, amalan salafussoleh serta doa-doa yang diijmakkan harus oleh para ulama' untuk diamalkan. Penggunaan bahan herba sebagai medium tambahan dalam kesembuhan juga telah meletakkan Darussyifa' sebagai badan bukan kerajaan yang telah banyak membantu masalah masyarakat. 5 buku teks yang diajarkan banyak menekankan kepentingan kualiti rohani yang tinggi dalam usaha mengharapkan kesembuhan dari Allah. Tenaga pengajar Darussyifa' pula terdiri daripada mereka-mereka yang berpengalaman luas dalam ilmu herba, perubatan spritual dan perubatan moden. Terdapat para pengajarnya merupakan Pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam termasuk di Universiti Putra Malaysia selain pengamal perubatan moden dari Hospital terkemuka di Malaysia. Gabungan ilmu dan kemahiran yang dimiliki para pengajar diharap dapat memberikan keyakinan dan kualiti para pelajar yang diijazahkan kelak. Dari jumlah pelajar yang berdaftar hampir separuh sahaja pelajar yang lulus dalam ujian tasmi' tersebut. iaitu kira-kira 120 pelajar. Semoga segala usaha yang dilakukan mendapat keberkatan dan keredhoan Allah di dunia dan akhirat.