Khamis, 29 April 2010

Kaedah Mengatasi Masalah Anak-Anak Yang Nakal, Degil Dan Suka Melawan Cakap Ibu Bapa

Oleh: Ibnuumar Asseluluni

Secara fitrahnya semua ibu bapa mahukan anak-anak yang menghormati ibu bapa, mentaati hukum agama, sentiasa menjauhi maksiat serta tidak terjebak dengan gejala sosial.Pengalaman penulis di Darussyifa’ sering bertemu dengan ibu bapa yang mengadu tentang anak-anak mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti anak-anak yang lari dari rumah, bergaul dengan remaja yang rosak akhlak, berzina, menagih dadah, melawan ibu-bapa, kasar serta biadab dengan ibu bapa dan seumpamanya.Ibu bapa yang datang ke Darussyifa’ ini meminta perawat mengikhtiarkan sesuatu supaya anak-anak mereka boleh dipulihkan. Di antara yang biasa dilakukan oleh perawat ialah:-

Kaedah Pertama: Membaca doa-doa tertentu pada air seperti Surah al-Fatihah, Doa Pelembut Hati (Surah Taha ayat 1 hingga 5), Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyah, Doa Menghindar Maksiat (Surah al-Mu’min ayat 3) dan beberapa doa-doa yang lain. Air yang telah dibacakan dengan doa ini diberi minum kepada anak-anak yang bermasalah ini juga dibuat bilasan mandi.
Kaedah Kedua:Satu lagi ikhtiar yang sangat mujarab bagi mengatasi anak-anak yang suka melawan ibu-bapa ialah dengan memberi minum mandikan anak-anak ini dengan air tadahan lebihan wuduk ibu-bapa. Caranya seperti berikut:-
1. Ibu dan bapa terlebih dahulu membersihkan semua anggota wuduk dengan sabun. Anggota-anggota wuduk ini termasuk yang rukun dan sunat iaitu mulut, hidung, muka, kedua tangan, kepala, kedua-dua telinga dan kaki hingga buku lali.
2. Setelah dibersihkan anggota-anggota wuduk tersebut, gunakan air biasa untuk mengambil wuduk.
3. Cara yang mudah, duduk di atas kerusi dan letakkan baldi di bahagian antara kedua belah kaki. Biar isteri tolong menuangkan air untuk mengambil wuduk.
4. Membasuh semua anggota wuduk tiga kali. Mulakan dengan membaca bismillah. Basuh kedua belah tapak tangan diikuti dengan berkumur-kumur, membersihkan hidung. Pastikan air yang telah digunakan untuk membasuh tapak tangan dan berkumur-kumur masuk ke dalam baldi.
5. Berniat mengambil wuduk diikuti membasuh muka, seterusnya membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh telinga dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki hingga ke buku lali.
6. Setelah suami selesai, isteri pula mengambil wuduk dengan cara yang sama manakala suami pula yang membantu menuangkan air.
7. Setelah selesai, air lebihan wuduk yang terkumpul di dalam baldi tersebut dicampurkan dengan air biasa.
8. Mandikan anak-anak yang bermasalah dengan air tersebut. Insya’Allah dia akan menjadi anak yang patuh kepada kedua ibu-bapanya.
Pencegahan Awal
Daripada pengamatan penulis serta kajian yang telah dibuat, lebih 90% ibu-bapa yang datang mengadu anak mereka bermasalah, apabila diperdengarkan doa berikut, mereka kata tidak pernah pun mendengar doa ini. Doa tersebut adalah seperti berikut:-
Terjemahannya: Ya Allah, jauhkan syaitan daripada kami dan jauhkan syaitan daripada anak yang akan Engkau anugerahkan kepada kami.

Doa yang tersebut di atas adalah dipetik daripada hadis nabi seperti berikut:-
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
“Jika seseorang di antara kamu akan berjimak dengan isterinya kemudian membaca doa ini;
Maka jika Allah SWT mentakdirkan untuk dua orang suami isteri itu memperolehi anak, maka anak itu tidak dapat dimudaratkan atau diganggu oleh syaitan.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.Doa ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya sebagai pencegahan awal bagi mengelakkan zuriat keturunan kita daripada diganggu dengan mudah oleh syaitan. Sudah menjadi keazaman syaitan untuk menyesatkan umat Islam kepada kekufuran. Syaitan sentiasa bersungguh-sungguh mencari peluang yang ada untuk menggoda dan menghasut keturunan umat Islam supaya melakukan maksiat.
Maksud daripada hadis di atas jelas menunjukkan bahawa ketika pasangan suami-isteri sedang berjimak, syaitan ada bersama-sama untuk masuk ke dalam percantuman benih suami isteri yang akan terjadinya anak kelak. Sekiranya doa yang tersebut di atas tidak dibaca ketika sedang berjimak, dengan mudah syaitan menjalankan pekerjaannya tanpa ada sebarang halangan. Syaitan akan duduk di benih yang akan terjadinya anak itu sejak dari awal lagi sehinggalah anak tersebut membesar.Sebab itu anak-anak yang membesar ini sukar di bentuk ke arah membuat perkara-perkara ibadah dan kebaikan. Mereka lebih cenderung melakukan perkara-perkara maksiat.Bagaimanapun jika doa yang tersebut tidak dibaca ketika berjimak mungkin kerana jahil atau lupa, masih ada lagi ikhtiar iaitu dengan memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak agar syaitan yang mengganggu menyerah kalah. Doa-doa yang disarankan oleh Islam ketika mengadakan hubungan intim suami-isteri.
1. Doa Bersetubuh Baca doa ini ketika suami mula hendak memasukkan zakar ke dalam faraj isteri.
Terjemahannya:Ya Allah, jauhkan syaitan daripada kami dan jauhkan syaitan daripada anak yang akan Engkau anugerahkan kepada kami.
2. Doa ketika hampir keluar mani

Baca ayat ini ketika suami terasa air maninya akan terpancut keluar. Oleh sebab ianya ayat al-Quran maka hendaklah membacanya di dalam hati.
Terjemahannya: Dan Dialah (Allah) yang menciptakan manusia dari air mani, lalu dijadikannya (mempunyai) baka keturunan dan pertalian keluarga dan sememangnya Tuhan mu Maha Berkuasa (Surah al-Furqaan ayat 54)

Wallahu’alam

Ahad, 25 April 2010

Beberapa Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Darussyifa'


Berikut dinyatakan beberapa perkara yang perlu anda tahu tentang Darussyifa':-
1. Apakah Darussyifa' ?
Darussyifa' adalah sebuah pertubuhan berdaftar. Perkataan Darussyifa' hanyalah merupakan trademark sahaja sedang ia sebenarnya ialah Persatuan Kebajikan Dan Pengubatan Islam Malaysia.
2. Apakah Peranan Darussyifa' ?
Darussyifa' memainkan peranan penting dalam menyedarkan masyarakat agar menjauhi perbuatan syirik dan khurafat disamping membantu masyarakat dalam menyediakan rawatan perubatan Islam untuk merawat penyakit fizikal seperti kencing manis, darah tinggi, barah dan sebagainya serta penyakit-penyakit kerohanian termasuk sihir dan khidmat kaunseling. Darussyifa' turut membantu merawat baggunan, pemulih jodoh, pemulih perniagaan dan sebagainya yang mana kesemua usaha ini adalah mengharapkan pertolongan dan ehsan Allah semata-mata.
3. Dimana untuk mendapatkan khidmat Darussyifa' ?
Khidmat Darussyifa' boleh diperolehi terus kepada Darussyifa' Pusat di Bandar Baru Bangi atau mana-mana Darussyifa' Cawangan. Maklumat dan jadual rawatan boleh diperolehi melalui web Darussyifa' Online.
4. Apakah perlu membuat temujanji untuk mendapatkan rawatan di Darussyifa' ?
Tidak perlu membuat apa-apa temujanji. Pesakit dan masyarakat boleh mendapatkan rawatan mengikut masa yang ditetapkan dalam jadual di Darussyifa'
5. Berapakah bayaran untuk setiap rawatan dan pendaftaran ?
Darussyifa' tidak mengenakan sebarang bentuk bayaran ke atas setiap rawatan yang diberi.
Jika ada mana-mana perawat atau ustaz yang mendakwa dirinya merupakan ahli Darussyifa' yang merupakan pusat rawatan Islam yang di asaskan oleh Prof. Dato' Dr Haron Din tetapi ustaz atau perawat tersebut mengenakan bayaran atau melakukan perkara-perkara yang memuskilkan pesakit, pesakit boleh memintanya mengeluarkan kad ahli Darussyifa'. Jika ustaz tersebut gagal membuat demikian, nyatalah perawat atau ustaz tersebut bukan ahli Darussyifa' dan pesakit boleh mengadukannya kepada pihak berkuasa. Jika perawat menunjukkan buktinya sebagai ahli Darussyifa' pesakit boleh mengadukan kesalahannya kepada Darussyifa' Pusat untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sekian, terima kasih.

Jumaat, 23 April 2010

Mencegah penularan wabak H1N1


Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH


MENCEGAH dan kesedaran. Langkah itu perlu untuk mengawal influenza A (H1N1) daripada merebak. Sikap acuh tak acuh hanya menyumbang kepada peningkatan kes. Walaupun catatan kes baru H1N1 masih perlahan namun tiada siapa boleh menjangka apa yang akan berlaku seterusnya.
Setiap langkah pencegahan mesti agar wabak yang pernah menggemparkan negara itu dapat dibendung. Bersama Pakar Perubatan dari Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor, Dr Abd Rahman Mohd Ali, Mingguan Malaysia mengupas isu ini lebih lanjut.

“Orang ramai perlu faham kenapa wabak ini cepat merebak. Ia merebak melalui air liur dan hingus misalnya apabila kita batuk atau bersin. Walaupun kadar kematian kes H1N1 masih rendah, kita perlu ingat kadar berjangkit selesema H1N1 tinggi dan mudah berbanding penyakit-penyakit lain. Justeru itu, bilangan kes boleh meningkat dengan cepat.
Ia mudah berlaku dalam komuniti apabila orang ramai duduk setempat berkelompok dalam jarak yang dekat dan padat,”
kata beliau.
Pada pendapat Dr. Abd Rahman, cuaca negara yang panas ketika ini mempengaruhi penyebaran wabak ini. Walaupun ada peningkatan kes, masih belum ada gelombang kedua H1N1 kerana ia masih virus yang sama.
Dalam hal ini, Dr. Abd Rahman menasihatkan orang ramai meneruskan langkah-langkah pencegahan H1N1 seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.
Antara perkara yang perlu dilakukan bagi mengurangkan penularan jangkitan ini adalah:
* Social distancing iaitu menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya 1 meter dengan individu lain serta meminimumkan majlis perjumpaan.
* Adab batuk yang baik (cough etiquette) .
* Kebersihan tangan dengan mencuci cara betul dan lebih kerap.
* Pengudaraan dalam rumah yang baik.
* Kes-kes berkomplikasi atau berisiko tinggi perlu dapat rawatan di hospital. Pendekatan ini akan memastikan impak negatif penularan pandemik dapat diminimumkan.
* Individu yang mempunyai gejala ringan, serta tiada masalah kesihatan, boleh dirawat di rumah. Mereka perlu berehat dan hanya perlu ke klinik atau hospital apabila gejala menjadi lebih berat atau demam tidak reda selepas dua hari.
* Individu yang bergejala perlu memakai mask termasuk mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit asma, obesiti, ibu mengandung, diabetes, dan penyakit kronik paru-paru bila perlu ke tempat awam yang sesak atau ramai orang.
* Majikan dan institusi perlu memantau kehadiran pekerja/ anak murid mereka termasuk mereka yang tidak hadir bertugas atau sekolah kerana sakit.
* Kejadian kes simptom influenza perlu dilaporkan segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.
Dr. Abd Rahman memberitahu, langkah-langkah pencegahan ini perlu diteruskan. namun, masih ada yang lupa hingga mereka lalai tentang risiko jangkitan wabak tersebuti.
Misalnya, golongan ibu mengandung adalah yang berisiko tinggi.
Ini disebabkan lebih mudah mendapat selesema dan jangkitan mereka lebih teruk dan berkomplikasi.
Berikut merupakan golongan yang berisiko dijangkiti wabak ini:
* Kanak -kanak berumur kurang lima tahun.
* Warga tua berumur lebih 65 tahun.
* Wanita hamil.
* Pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti Asma, Kencing manis, Kegagalan buah pinggang, Pesakit yang ambil ubat steroid berpanjangan.
* Orang yang obes.
“Bagi ibu mengandung dan berisiko tinggi, elakkan pergi ke tempat orang ramai. Jika perlu membuat pemeriksaan kandungan di hospital, pakailah topeng muka. Selain itu, wanita mengandung serta keluarga perlu mengamal adab kebersihan yang baik. Misalnya, sentiasa membasuh tangan apabila bersiar-siar, di rumah, ke tandas awam dan sebagainya,” ujar beliau.
Walaupun terdapat vaksin atau rawatan H1N1, orang ramai digalakkan untuk melakukan langkah-langkah pencegahan.
Menurut Dr. Abd Rahman kini sudah ada vaksin khusus untuk melindungi diri daripada H1N1.
Antara kumpulan sasar berkeutamaan (sumber Kementerian Kesihatan) pemberian vaksin H1N1 ialah:
* Wanita hamil (18+ minggu kehamilan)..
* Pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis.
* Pesakit yang menghidapi penyakit kronik.
* Individu dengan morbid obesiti (iaitu BMI > 35 kilogram/m2) dan/atau menghidapi sebarang penyakit kronik.
* Orang awam yang berkehendakkan dengan tujuan (pengembara).
Oleh kerana bekalan vaksin yang terhad, maka pemberian dilakukan mengikut pendekatan first come, first serve. Penilaian klinikal yang dijalankan oleh pegawai perubatan yang merawat akan diambil kira bagi menentukan kesesuaian seseorang individu bagi menerima vaksin.
Selain itu, pesakit juga akan diberikan ubat anti virus,” jelasnya.
Buat masa ini terdapat dua jenis ubat antiviral iaitu oseltamivir (Tamiflu®) dan zanamivir (Relenza®) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit ini. Ubat ini diberikan kepada pesakit-pesakit berisiko tinggi yang ada gejala demam selesema dan juga pesakit yang di sahkan ada penyakit demam selesema influenza A H1N1.
Dalam pada itu, Dr. Abd Rahman menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada, beringat dan elakkan daripada mengunjungi tempat berisiko tinggi.
“Jika anda demam dan batuk atau sakit tekak serta hidung berair, hidung tersumbat, sakit otot, sakit kepala, menggigil (chills) dan keletihan, yang juga dikenali sebagai gejala influenza-like-illness (ILI) seharusnya anda perlu berjumpa dengan doktor segera terutama bagi yang tergulung dalam yang berisiko tinggi bagi doktor mengesahkan jangkitan H1N1 dan rawatan. Juga bagi mereka yang berisiko tinggi, sebaiknya dapatkanlah vaksin untuk melindungi dari jangkitan virus H1N1. Orang ramai juga perlu mengamalkan kesihatan diri yang baik, mengamalkan etika batuk serta bersin dengan mengunakan perlindungan tisu atau sapu tangan. Kemudian, anda perlu kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau cecair sanitizer selepas menyentuh mulut dan hidung sebelum menyentuh permukaan lain. Sama juga basuh tangan selepas menyentuh permukaan lain sebelum menyentuh muka kita. Jika anda mendapati seseorang itu mempunyai gejala ILI jarakkan diri dengan mereka sekurang-kurangnya satu meter. Sekiranya anda demam, anda boleh makan ubat demam, minum air banyak dan berehat dan jika tidak reda dalam dua hari atau menjadi lebih teruk jumpa doktor cepat,” ujarnya.

Virus H1N1 belum bermutasi, kata Tiong Lai

KUALA LUMPUR 19 April - Virus Influenza A (H1N1) yang melanda negara sekarang belum bermutasi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya virus itu masih berada pada tahap biasa sekalipun kadar jangkitannya tinggi.
"Kita sememangnya memantau dari semasa ke semasa sama ada virus tersebut telah bermutasi atau belum dan ianya (jika berlaku) boleh menyebabkan keparahan yang tinggi,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang sebelum itu merasmikan ”Battlefield Healthcare Life Demonstration” sempena pameran Defence Servises Asia (DSA) 2010 berkata, jangkitan H1N1 merebak dengan cepat memandangkan ramai pada kalangan rakyat negara ini yang tidak imun terhadap selesema itu.
Katanya, jumlah terkumpul kes H1N1 telah meningkat kepada 13,158 dengan 31 kes baru direkodkan hari ini.
Tiong Lai berkata, pesakit yang masih mendapatkan rawatan di hospital pula ialah seramai 550 orang dan daripada jumlah itu 66 adalah positif H1N1. - Bernama

Selasa, 20 April 2010

SURAT EDARAN PKPI 1/2002: TATAKELAKUAN PERAWAT

Berikut disertakan SURAT EDARAN PKPI 1/2002 berkenaan tatakelakuan perawat yang mesti dipatuhi setiap ahli Darussyifa'. Tindakan disiplin menggantung dari merawat, menggantung keahlian atau dipecat dari menjadi ahli persatuan dengan sijil ijazah pengubatan Islam ditarik balik boleh diambil oleh Jawatankusa Disiplin Darussyifa' Pusat sekiranya terdapat laporan bertulis yang sah keatas ahli-ahli yang melanggar tatacara tersebut. Surat Edaran ini disertakan sebagai panduan ahli dan orang ramai dalam mempastikan sistem perubatan Islam terus terpelihara. Orang ramai khususnya mereka yang menerima rawatan dialu-alukan untuk memberikan laporan/aduan keatas salah laku perawat berkenaan dengan jelas bagi membantu pihak Darussyifa' mengambil tindakan seterusnya demi menjaga nama baik Islam dan kaedah perubatan yang didukung oleh Darussyifa'. Aduan boleh dibuat pada mana-mana Darussyifa' Cawangan atau pun terus ke Ketua Jawatankuasa Disiplin & Tatatertib Darussyifa' Pusat No 5, Jalan 1/7D, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor. Segala aduan hendaklah dilakukan secara bertulis beserta bukti yang lengkap






SURAT EADARAN 1/2002 : PERILAKU PERAWAT DARUSSYIFA'


Saudara/Saudari,


Dengan penuh hormat dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Pusat PKPI telah banyak menerima aduan tentang perilaku perawat-perawat yang merawat pesakit sama ada di rumah-rumah persendirian, di Darussyifa' Pusat atau Darussyifa' Cawangan. Aduan-aduan tersebut datangnya daripada pesakit atau dikalangan perawat. Pada peringkat awalnya aduan-aduan adalah bersifat peribadi tetapi sejak kebelakangan ini tidak lagi bersifat peribadi, malah jika tidak diawasi akan meruntuhkan sistem pengubatan islam yang dipelopori oleh PKPI. Jawatankuasa PKPI telah mengadakan beberapa sesi perbincangan tetang aduan-aduan tersebut dan telah secara peribadi menasihati perawat terbabit. Disamping itu Y.Bhg Tuan Guru telah berkali-kali menerusi kuliah-kuliah menasihati perawat-perawat tentang perlunya menjaga disiplin dan merawat pesakit secara betul, tetapi perawat masil lagi tidak mengendahkan nasihat-nasihat tersebut. Oleh itu jawatankuasa telah bersetuju untuk memaklumkan kepada saudara/i tentang aduan-aduan tersebut agar saudara/i dapat mengambil langkah-langkah pembaikan walaupun hanya melibatkan segelintir perawat. Antara aduan-aduan yang diteriama adalah:-

1. Rawatan yang berbeza daripada amalan Y.Bhg Tuan Guru

Pada suatu ketika dahulu ahli-ahli PKPI telah dimaklumkan bahawa terdapat seorang perawat yang menggunakan besi kuning untuk tujuan rawatan. Perkara tersebut telah ditegur dan ahli tersebut secara senyap tidak lagi merawat di Darussyifa'. Kini kaedah rawatan yang berbentuk kekerasan telah dilakukan kepada pesakit gangguan sehingga melibatkan tubuh fizikal pesakit. Pesakit mengadu bahawa beliau sedar ketika dirawat, tetapi oleh kerana kesakitan fizikal yang dialami adalah kuat, maka pesakit akan meronta-ronta. Terdapat juga aduan perawat menuduh pesakit telah diganggu oleh makhluk halus tetapi meminta pesakit jangan mempercayainya seratus peratus. Tuduhan para pesakit diganggu atau buatan orang adalah satu perkara yang tidak boleh dipastikan secara mutlak dan tidak wajar dimaklumkan kepada pesakit. Walupun pesakit diberitahu supaya jangan mempercayai seratus peratus, namun dakwaan tersebut datangnya daripada perawat itu sendiri. Meletakkan tangan kepada kawasan-kawasan yang dilarang oleh syarak serta perubatan secara tidur masih juga diamalkan.

2. Hubungan Intim Antara Perawat Dengan Pesakit

Hubungan intim antara perawat dengan pesakit berlaku dikalangan perawat sejak kebelakangan ini. Akibatnya keharmonian keluarga perawat telah terjejas. Wujudnya hubungan tersebut antara lain berpunca daripada pesakit dirawat berdua-duaan tanpa ditemani oleh mahram, terutama sekali dibilik tertutup. Disamping itu terdapat dikalangan perawat merawat pesakit wanita di rumah perawat pada waktu-waktu tertentu (seperti ditengah malam) ataupun di rumah pesakit dengan alasan untuk memberikan rawatan rapi dan khusus. Perubatan seumpama ini bukan sahaja tidak disenangi oleh keluarga perawat, malah keluarga pesakit pun mencurigai keikhlasan perawat. Masyarakat telah mempersoalkan kewibawaan perawat tersebut dan telah menjadi satu isu yang hangat diperkatakan sehingga melibatkan imej baik pengubatan Islam dan Y.Bhg Tuan Guru. Perawat perlu diingatkan supaya mengelakkan daripada mengamalkan kaedah perubatan yang boleh menimbulkan fitnah dan perlakuan yang melibatkan kepentingan peribadi. Hubungan antara perawat dengan pesakit perlu amanah dan semata-mata untuk kepentingan rawatan sahaja.

3. Sumbangan Terlalu Komersial

Salah satu sifat utama yang perlu dimiliki oleh perawat pengubatan Islam ialah ikhlas. Oleh kerana masyarakat Melayu lazimnya memberikan sedikit ganjaran apabila rawatan dilakukan, maka terdapat beberapa orang perawat yang secara tak langsung meletakkan sumbangan sebagai kriteria utama dalam melakukan rawatan. Gejala seperti ini berlaku apabila seorang perawat meletakkan "bayaran" yang tinggi bagi mendoakan kelarisan perniagaan. Disamping itu terdapat juga perawat menjemput pesakit yang merawat di Darussyifa' untuk membuat rawatan lanjutan di rumah perawat. Pernah berlaku satu insiden dimana dua orang perawat berebut seorang pesakit dengan alasan bahawa pesakit tersebut adalah pesakitnya. Dari kaca mata pesakit perbuatan ini adalah kurang manis. Perilaku sedemikian menunjukkan bahawa amalan mengubat merupakan satu perniagaan yang memberi ganjaran kewangan kepada perawat.

4. Semangan Berpasukan Semasa Rawatan

Perawat-perawat PKPI adalah satu pasukan yang saling bantu-membantu antara satu dengan lain. Justeru, perlu diwujudkan satu semangat berpasukan dikalangan perawat. Terdapat juga beberapa orang perawat yang menjadual rawatannya di rumah tanpa memberitahu Jawatankuasa PKPI. PKPI menggalakkan penggunaan Darussyifa' Pusat dan Cawangan-Cawangan sebagai tempat melakukan rawatan walaupun sekali-sekala terdapat pesakit mengunjungi rumah perawat. Semangat berpasukan perlu diwujudkan apabila terdapat beberapa orang perawat secara tidak langsung mempelekeh kewibawaan perawat lain dengan menyatakan bahawa doa perawat tersebut tidak mustajab.

5. Tingkahlaku Perawat Perlu Diawasi.

Pesakit adalah orang yang berada dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan daripada perawat. Mungkin terdapat pesakit yang telah berikhtiar sekian lama dengan cara perubatan konvensional dan bebelanja ribuan RM tetapi masih belum dapat menyelesaikan masalah penyakit yang dihadapi. Oleh itu, tingkah laku perawat perlu diawasi oleh kerana ditakuti apabila suatu insiden yang tidak diingini berlaku keseluruhan sistem pengubatan Islam terjejas. Oleh itu perlu kita mematuhi etika pengubatan PKPI yang telah dibentuk pada suatu ketika dahulu.

Sekian sahaja dimaklumkan dan saya harap menerusi edaran ini perawat-perawat akan mengambil langkah pembaikan masing-masing bagi menjamin kebaikan pengubatan Islam. Semoga Allah merestui usaha murni kita.

Hj Abdul Rahman Ahmad
Pengerusi
Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia

ETIKA PENGUBATAN ISLAM PKPI
1. Setiap penyakit ada ubat. Usaha adalah ikhtiar manusia, manakala kesembuhan adalah hak Allah
2. Setiap pesakit berhak mendapatkan rawatan tanpa batasan waktu.
3. Ikhlas adalah sifat utama yang mesti dimiliki, manakala kesabaran, keyakinan, kejujuran, berakhlak mulia dan amanah memantapkan kemustajaban doa.
4. Usaha rawatan adalah ibadah. Segala perlaksanaaan mesti selaras dengan hukum syarak.
5. Elakkan fitnah ketika melakukan rawatan dan berinteraksi. Pesakit perempuan mesti menutup aurat dan ditemani oleh waris.
6. Konsep dan pemahaman kaedah rawatan perlu dihayati dengan jujur dan yakin. Sandarkan segala harapan kepada Ihsan Ilahi semata-mata.
7. Penonjolan diri adalah dilarang, manaka rawatan hanya diberi ketika diminta.
8. Perawat mesti amanah memelihara kepercayaan pesakit, keluarga dan masyarakat. Elakkan perlakuan yang melibatkan kepentingan peribadi manaka rawatan dilakukan tanpa perbezaan ja
9. Rahsia pesakit adalah satu amanah dan sulit dan hanya perlu untuk kepentingan rawatan sahaja. Jauhkan penerangan yang tidak jelas/samar bagi mengelakkan kekeliruan.ntina dan martabat diri.

Rabu, 14 April 2010

Klinik Darussyifa' Kuala Kangsar




Klinik Darussyifa' Kuala Kangsar bukanlah suatu klinik perubatan Islam baru di Daerah berstatuskan Bandar Diraja ini. Ia telah mula beroperasi sejak tahun 2005 lagi. Sebelum itu, rawatan perubatan Islam ini telah pun diberikan oleh seorang pengamal perubatan Islam yang telah diijazahkan. Namun, dengan kehadiran klinik ini, kaedah rawatan adalah lebih sistematik dan teratur dengan dibantu oleh para perawat lain bagi memudahkan masyarakat setempat mendapatkan khidmat. Klinik Darussyifa' Kuala Kangsar terletak di Kota Lama Kiri berhampiran Badan Khidmat Masyarakat at-Taif atau dikenali juga dengan PAKAT. Kepada masyarakat setempat dan berhampiran yang memerlukan rawatan dan maklumat lanjut bolehlah menghubungi Us Mat Amin Ahmad di talian 012-4580403


Jumaat, 9 April 2010

HARON DIN TEWASKAN MUBALIGH ANGKUH-KERATAN DARI MASTIKA MAC 2007



Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.
Lelaki itu menghidupkan TV 29 inci yang baru dibelinya tidak sampai dua bulan dengan remote yang berada di tangannya. Ditukarnya satu per satu siaran televisyen, TV3, TV2, semuanya sama. Tidak ada apa yang menarik. Bosan!. Dia menukar pula kepada siaran TV1 . Kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato’ Dr. Haron Din.


Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.
Sedang asyik mengikuti perbincang­an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: “Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran.”
Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?
Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.
Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu akhirnya bertekad untuk ber­jumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.
Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu dengannya.Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.
Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.
Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.
Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.
Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.
Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.
Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.
Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.
Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.
Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi ‘masalahnya’ semakin lama mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.
Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.
Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?
Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.
Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; “Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.
“Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?
“Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?”
Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.
Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.
Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.
Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: “Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir.”
“Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam,” jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.
Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.
“Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dan berbalah dengan Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau,” jelasnya.
Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.
“Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam kitab­kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam kitab.
“Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang satu,” tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.
“Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din,” kata Fitri lagi.
Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.
Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. “Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.
“Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.
“Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini,” ujarnya bersungguh­sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.

Khamis, 8 April 2010

Bersama Tuan Guru Dato' Dr Haron Din:Kenapa politik negara makin kalut?


SOALAN: Politik Malaysia hari ini sudah sampai ke kemuncak kalut atau kelam kabut. Selepas satu isu, beralih kepada isu lain yang kebanyakannya membebankan fikiran rakyat jelata. Terbaru rakyat dikejutkan dengan isu rasuah berprofil tinggi, dakwaan Dato' Seri Anwar Ibrahim terbabit dalam kes liwat lagi dan pelbagai isu lain. Sebagai seorang Muslim saya amat keliru, soal dosa pahala tidak diperdulikan lagi, media dengan bebas mengasak dengan bangga mengaibkan hamba-hamba Allah yang tidak dipastikan kebenarannya, mengapa hal sebegini Dato'? - HASBULLAH MARZUKI, Bandar Baru Bangi


JAWAPAN: Memang benar kata anda itu, bahawa keadaan politik di Malaysia amat-amat kalut dan berserabut. Jika rakyat yang mengikutinya akan pening kepala, sudah tentu mereka yang terbabit dalam politik lebih merasai keserabutannya.
Terlalu banyak isu yang menyentuh negara, melibatkan kredibiliti pemerintah, sekali gus meletakkan rakyat keseluruhannya dalam keadaan kebingungan dan huru hara penghidupan.
Perihal ketidak puas hati rakyat terhadap kerajaan semakin jelas apabila kenaikan harga barang-barang keperluan seharian amat menekan, diikuti dengan indeks rasuah yang semakin melonjak, kes-kes rasuah berprofil tinggi terbongkar satu demi satu dan diikuti dengan fitnah yang tidak habis-habis.
Tuduhan liwat serta fitnah yang melampau ini kadang-kadang dilihat sebagai suatu sandiwara.
Mengapa semuanya ini berlaku? Jawabnya mudah, ia adalah kerana manusia tidak takut dosa, tidak gerun dengan ancaman Allah SWT, tidak peduli apa yang hendak terjadi pada hari pembalasan.
Manusia kini seolah-olah tidak memperdulikan soal neraka dan syurga. Asalkan hati mereka mendapat kepuasan di dunia, mereka sanggup melakukan apa sahaja.
Soal maruah, soal mengaibkan manusia dan apa sahaja yang seumpama dengannya tidak pernah menjadi perhitungan.
Inilah sebabnya hal-hal yang saya nyatakan di atas boleh berlaku.
Malah berbagai-bagai konspirasi boleh dilakukan tanpa segan silu kerana manusia telah dikuasai oleh tuntutan keduniaan yang melampau dan gila kuasa yang tidak terbatas.
Merujuk kepada fitnah liwat yang saudara bangkitkan dalam persoalan, pada saya, jika hukum-hukum Islam berjalan atau berfungsi, saya tidak fikir orang berani melontar fitnah sebegitu.
Ini kerana sekadar mendakwa seseorang itu melakukan liwat tanpa cukup bukti yang nyata dan kukuh, hukuman sebaliknya akan dijatuhkan ke atas si penuduh.
Orang yang membuat tuduhan tanpa cukup saksi, akan dijatuhkan hukuman qazaf mengikut suatu pendapat fuqaha.
Qazaf adalah menuduh zina, tanpa membawa empat orang saksi yang adil, yang benar-benar melihat perbuatan tersebut.
Jika penuduh gagal membuktikannya, maka si penuduh akan dikenakan hukuman, seperti firman Allah (mafhumnya):

"Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik pekertinya melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi, maka hendaklah disebat mereka dengan 80 kali sebatan (selepas itu); janganlah kamu menerima persaksian mereka buat selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah an-Nur, ayat 4)
Ayat ini tidak merujuk kepada wanita sahaja, tetapi kepada sesiapa sahaja yang menuduh zina tanpa cukup bukti, maka akan dikenakan hukuman qazaf.
Timbul persoalan, bolehkah qazaf ini digunakan juga kepada sesiapa yang menuduh orang lain melakukan liwat? Atau didakwa dia diliwat, apakah termasuk dalam konteks ini?
Dalam mazhab as-Syafie, dengan merujuk kepada Kitab al-Muhazzab, juzuk dua, halaman 237, ada dinyatakan, maksudnya; "Sekiranya seseorang berkata (menuduh) kepada seorang lain, 'kamu adalah peliwat atau si fulan meliwat saya atau mengaku dirinya diliwat' (tanpa paksaan), maka itu adalah kazaf, sama dengan kazaf zina, wajib dikenakan hukuman qazaf."
Ini bererti bahawa yang menuduh liwat, sama dengan menuduh zina, wajib diproses mengikut hukuman yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Apabila hukum Islam tidak berfungsi dan diketepikan maka berleluasalah tuduhan-tuduhan yang seperti itu, kerana tidak ada sesuatu yang menjadi penghalang atau merasa gerun untuk melakukannya.
Alangkah rugi dan kecohnya masyarakat apabila tuduhan-tuduhan liar sebegini, masih menjadi mainan orang-orang tertentu menuduh orang-orang lain dengan pelbagai tuduhan.
Ingatlah, meskipun hukuman-hukuman had seperti yang disebutkan di atas, tidak dapat dilaksanakan buat seketika ini, akan tetapi insafilah bahawa hukuman Allah di akhirat nanti, pasti menunggu semua yang terlibat.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis yang mahsyur (mafhumnya): "Sesungguhnya hukuman dunia adalah lebih ringan daripada hukuman di akhirat."
Ini membawa maksud, bahawa segala kesalahan yang ada peruntukkannya dalam al-Quran atau as-Sunnah, jika dilaksanakan di dunia seperti kehendak Allah, maka ianya adalah paling ringan bagi orang yang terlibat menerimanya.
Jika mereka terlepas daripada menerimanya di dunia, maka di akhirat nanti mereka akan menerima hukuman yang lebih berat daripada Allah SWT. Wallahua'lam.

Sabtu, 3 April 2010

Doa Amalan Untuk Menghindari Wabak Selsema Babi (H1N1)


Satu ikhtiar untuk mengelak wabak selsema Babi (H1N1) daripada terkena kepada keluarga kita. Sila amalkan doa berikut tiga kali diwaktu pagi dan tiga kali diwaktu malam (selepas solat maghrib)

Keberkesanan doa ini bergantung penuh kepada keikhlasan kita kepada Allah. Jangan ada sedikit pun keraguan kita kepada pertolongan Allah.

Jumaat, 2 April 2010

Pengumuman

Adalah dimaklumkan bahawa Klinik Darussyifa' Bota telah berpindah ke satu lokasi baru, sehubungan itu para pesakit, pelawat dan mereka yang berhajat untuk mendapatkan rawatan di Darussyifa' Bota bolehlah menghubungi para perawat Darussyifa' Bota.