Isnin, 29 Mac 2010

MAJLIS PERASMIAN DAN KULIAH UTAMA PERUBATAN ISLAM (DARUSSYIFA') NEGERI PERAK AMBILAN 2010

Tuan Guru Ketika Menyampaikan Kuliah Pertama



Majlis Perasmian dan kuliah perubatan Islam telah diadakan pada 28.03.2010 bertempat di Dewan PAKAT, Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Ucap Utama, perasmian dan kuliah utama disempurnakan oleh Yg Dikasihi Tuan Guru Kita S.F Tuan Guru Dato' Dr Haron Din. Suasana dewan Pakat pada hari tersebut penuh sesak dengan kehadiran para pelatih dan ahli-ahli Darussyifa' seluruh Negeri Perak dimana dianggarkan lebih 200 orang hadir pada majlis tersebut.
Para pelatih khusuk mendengar kuliah

Para pelatih membacakan 10 Asas Pertama

Salah seorang pelatih mengajukan soalan

Pengambilan Pelatih Bagi Program Perubatan Islam (Darussyifa') Negeri Perak pada tahun ini dianjurkan oleh Darussyifa' Cawangan Kemunting. Ini adalah program ambilan ke lima bagi Darussyifa' Negeri Perak. Sebelum ini program sedemikian dianjurkan oleh Darussyifa' Cawangan Ipoh dengan kuliah diadakan di Dewan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) dan Dewan Kuliah Utama Institut ad-Deen, Kg Melayu Ipoh. Bagi ambilan ke tiga, program sedemikian telah di anjurkan oleh Darussyifa' Kemunting bertempat di Kolej Telekom, Kemunting dengan Majlis Pengijazahan turut diadakan di Kolej yang sama. Bagi ambilan keempat, program dianjurkan bersama Darussyifa' Ipoh dan Kemunting dengan kuliah diadakan di Dewan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) serta Majlis Konvokesyen di adakan di Dewan Institut Tadbir Islam (INTEM) Jalan Raja Musa Mahadi, Ipoh. Pada kali ini, Kelas perubatan islam sekali lagi dianjurkan buat kali keduanya oleh Darussyifa' Kemunting dengan memilih lokasi yang lebih strategik buat para pelatih di seluruh Negeri Perak. Daerah Kuala Kangsar dipilih memandangkan ia berada ditengah-tengah Negeri Perak dan memudahkan para pelatih dari seluruh Negeri Perak berkumpul.
Semoga para pelatih berjaya menamatkan kursus Pengubatan Islam ini dengan jayanya serta dapat berkhidmat kepada Masyarakat seluruhnya dengan keikhlasan yang sempurna. InsyaAllah

Tuan Guru diiringi ke kereta ketika bergerak pulang ke Bangi

Jumaat, 19 Mac 2010

Isu-Isu Pengubatan Islam Menurut Fatwa Para Ulama (Bahagian-2)


(Susunan: Dr. Rushdi Ramli)
[A] Fatwa Mengenai Hukum Merawat Dengan Ayat-Ayat Al-Quran Dan Doa-Doa Yang Sah

Sheikh Abdullah Abdul Rahman al-Jabrin, seorang ulama semasa tersohor dari Arab Saudi, telah diajukan beberapa soalan dan fatwa yang berkaitan dengan “hukum dan amalan rawatan dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang sah”.
Antara fatwa-fatwa yang beliau nyatakan sebagai penjelasan kepada isu ini :-

1. “…..Tidak ada halangan untuk membaca ayat-ayat tertentu daripada al-Quran atau doa-doa tertentu dan kemudiannya dihembuskan kepada air zamzam, atau pada minyak zaiton, dan kemudiannya pesakit disapukan dengan bahan-bahan yang telah didoakan itu….”
2. “…..Tidak ada halangan untuk membacakan ayat-ayat al-Quran kepada diri pesakit, dan tidak ada halangan sekiranya pesakit tersebut dibacakan [dijampikan] dengan lebih dari seorang perawat. Maka sesungguhnya al-Quran adalah kalam Allah yang dijadikannya sebagai penawar kepada apa yang terdapat di dalam dada…..”
3. “……Membaca al-Quran sebagai suatu kaedah rawatan [ruqyah] adalah harus dan tidak menyalahi hukum syarak, namun wajar sekali perawat yang membaca al-Quran tersebut berupaya untuk membacanya dengan baik, memahami makna ayat-ayat yang dibaca, mempunyai iktikad yang benar, sentiasa beramal salih dan beristiqamah di dalam beribadah kepada Allah. Tidak menjadi syarat bagi seorang “perawat dengan al-Quran” untuk mengetahui secara mendalam dan terperinci selok-belok hukum-hakam fiqh. Walau bagaimana pun adalah terlalu penting bagi seorang perawat untuk memperbetulkan niatnya (apabila memberi rawatan, yakni, hendaklah berniat untuk mencari reda Allah semata-mata melalui khidmat yang diberikan) di samping berniat untuk memberikan khidmat dan manfaat kepada para pesakit dan umat Islam yang berhajat. Di dalam hal ini janganlah seseorang perawat itu menjadikan harta dan upah sebagai sasaran dan matlamat yang dicari. Apa yang dinyatakan ini adalah penting bagi memastikan doa-doa kesembuhan yang dibacakan itu lebih hampir untuk dimakbulkan oleh Allah.
4. “…..Mempelajari kaedah rawatan dengan al-Quran dengan niat untuk memberi manfaat kepada kaum Muslimin dan merawati penyakit-penyakit yang kronik adalah sunat. Ini adalah kerana kitab Allah [al-Quran] merupakan penawar yang sentiasa memberi manfaat dan faedah [terhadap para pesakit]…”[1]
Ulasan Ringkas :
Adalah jelas berdasarkan fatwa di atas bahawa merawat pesakit, samada penyakit fizikal ataupun rohani, dengan kaedah pembacaan al-ruqyah al-syar`iyyah atau pembacaan apa jua doa-doa yang sah dan muktabar adalah suatu amalan yang benar menurut neraca Syarak, diperakui oleh para ulama tersohor dan bukan sama sekali daripada amalan bid`ah yang mungkar. Begitu juga amalan menjampikan air dan apa jua bahan yang suci lagi halal dengan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang sahih untuk tujuan dijadikan penawar adalah harus dan dibolehkan menurut hukum syarak.


[B] Penjelasan Ringkas Mengenai Hukum Mempelajari Ilmu Sihir Dan Apakah Hukuman Ke Atas Ahli Sihir?

Menurut ulama tersohor Imam Ibn Hajar al-`Asqalani, firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 102:-
[Mafhumnya] "Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir Yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan Dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir Yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah Yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah Yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa Yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya Dengan berkata: "Sesungguhnya Kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah Engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir Yang boleh menceraikan antara seorang suami Dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) Dengan sihir itu seseorang pun melainkan Dengan izin Allah. dan sebenarnya mereka mempelajari perkara Yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. dan Demi Sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui Bahawa sesiapa Yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian Yang baik di akhirat. Demi Sesungguhnya amat buruknya apa Yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui."
Ayat ini menunjukkan secara jelas bahawa mempelajari ilmu sihir adalah daripada amalan kufur yang wajib dijauhi oleh seorang Muslim.
Imam Ibn Qudamah menyatakan, “……mempelajari sihir dan mengajarkan ilmu ini kepada orang adalah haram di mana kami tidak mengetahui wujudnya khilaf [perbezaan pendapat] di kalangan para ahli ilmu mengenai perkara ini…”[2]
Imam Abu Hayyan menyatakan di dalam kitabnya al-Bahr al-Muhit, “…adapun hukum mempelajari sihir, maka apa-apa ilmu sihir yang melibatkan perlakuan memuja serta mengagungkan sesuatu yang lain dari Allah maka mempelajarinya adalah haram menurut ijmak ulama, iaitu tidak harus mempelajarinya dan tidak juga beramal dengannya. Adapun sekiranya tidak dapat dipastikan apakah ilmu sihir tersebut melibatkan unsur-unsur syirik terhadap Allah ataupun tidak, maka yang pastinya mempelajari ilmu tersebut tetap tidak harus dan tidak juga harus beramal dengannya…….”
Menurut penjelasan Sheikh Muhammad ibn Salih al-`Uthaymin, mempelajari ilmu sihir adalah haram dan tidak dibenarkan, bahkan boleh membawa kepada kekufuran, iaitu berdasarkan ayat 102 dari surah al-Baqarah.
Kerana itu, jelas beliau, “……seorang ahli sihir, menurut hukum syarak, hendaklah dibunuh, dan hukuman bunuh di sini dilaksanakan atas dasar diri ahli sihir tersebut telah murtad dari Islam atau atas dasar suatu hukuman hudud yang wajib dikenakan ke atasnya. Sekiranya amalan sihirnya telah sampai ke tahap kufur maka dia dibunuh atas dasar amalan murtadnya, dan sekiranya amalan sihirnya tidak sampai ke tahap kufur [tidak melibatkan penyembahan jin dan syaitan] maka dia dibunuh atas dasar hukuman hudud….” [3]
Ulasan Ringkas :
Semoga kita sentiasa menjauhkan diri dengan sejauh-jauhnya dari amalan sihir dan para ahli sihir walau sesusah mana dan seberat mana ujian dan penderitaan sakit yang ditimpakan oleh Allah ke atas kita. Sentiasalah bersabar, mengharapkan balasan pahala dari sisi Allah dan terus berusaha mencari penawar melalui jalan dan kaedah rawatan yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Jadikan al-Quran sebagai penawar dan jauhilah tabib-tabib yang melibatkan khidmat penggunaan makhluk jin dan syaitan di dalam rawatan atau melibatkan amalan-amalan yang mencurigakan menurut neraca Syarak. [terdapatnya unsur syubhah]. Sesungguhnya melakukan rawatan yang melibatkan unsur-unsur syirik kepada Allah [seperti berdoa kepada jin] adalah haram dan tidak dibenarkan menurut kata sepakat [ijmak] para ulama.
Wallahu'alam.


Nota Kaki:[1] Dipetik dari kitab al-Lu’lu’ al-Makin Min Fatawa al-Shaykh Abdullah Abdul Rahman al-Jabrin, Dar al-Furqan, Sa`udi Arabia, 1997.[2] Ibn Qudamah, al-Mughni, juzuk 10, muka 106[3] Muhammad bin Salih al-`Uthaymin, al-Majmu` al-Thamin Min Fatawa al-Shaykh ibn `Uthayin.

Selasa, 9 Mac 2010

Keratan Majalah: Darussyifa Sebagai Alternatif

Klik pada keratan akhbar untuk saiz yang lebih besar

Khamis, 4 Mac 2010

Satu Teguran Buat Diri Saya Dan Semua Perawat


Assalamualaikum semua...semalam (3.3.2010) saya mendapat satu panggilan daripada seseorang daripada Permatang Pauh, Pulau Pinang. Dia bertanyakan pendapat saya perihal masalah suaminya yg malas kerja tapi asyik nak ke masjid sahaja. Pengadu memaklumkan kepada saya bahawa dia telah mengadukan hal ini kepada pihak DARUSSYIFA' di Kuala Lumpur...pengadu tidak dapat mempastikan DARUSSYIFA' Cawangan Kuala Lumpur tersebut..namun pengadu menyatakan bahawa DARUSSYIFA' KUALA LUMPUR tersebut telah mendakwa SUAMINYA DISIHIR !! Saya bertanya macam mana Darussyifa' Kuala Lumpur boleh katakan demikian ? adakah suaminya pernah dirawat ?? Pengadu menyatakan hanya melalui perbualan telefon semata-mata. Darussyifa Kuala Lumpur mengesyorkan pengadu berjumpa saya sebagai Cawangan terhampir dengan Pulau Pinang. Saya ingin nasihatkan diri saya dan semua perawat sekalian bahawa tindakan sedemikian iaitu mendakwa SUAMI PENGADU TERKENA SIHIR ATAU DIKENAKAN SIHIR adalah MELANGGAR ETIKA DAN PERATURAN DARUSSYIFA'. IANYA JUGA BERTENTANGAN DENGAN ILMU YG TUAN GURU BERIKAN KEPADA KITA SEMUA. Mungkin tanggapan menyatakan suaminya disihir berdasarkan cerita-cerita pengadu tersebut tetapi maklumat yang tidak pasti apatah lagi penetapan menyatakan SUAMI PENGADU DISIHIR adalah satu perbuatan yang amat bertentangan dengan saranan Tuan Guru. Tuan Guru tidak mengajar kita jadi 'ahli nujum' dan ahli nujum tempatnya adalah di neraka Allah.Elakkanlah perbuatan sedemikian, seharusnya gunakan lah kebijaksanaan dengan hanya meminta agar pengadu tersebut mendapatkan rawatan di Darussyifa berhampiran.2. Perkara kedua, pengadu memaklumkan telah pergi mendapatkan rawatan untuk suaminya di Darussyifa' K*l*m., apa yang memeranjatkan saya ialah pihak Ustaz di Darussyifa berkenaan menyatkan pihaknya tidak dapat membantu pengadu hanya kerana pengadu tidak datang bersama suaminya. Saya nasihatkan pada diri saya dan tuan-tuan para ustaz sekalian agar ingat bahawa kesembuhan bukan ditangan kita. Pengadu punyai hak untuk mendapatkan rawatan...dan kesembuhan adalah hak Allah. Tiada masalah kita ikhtiarkan bersama dengan mendoakannya dalam solat hajjjat dan membekalkan air atau sebagai untuk kesembuhan suami pengadu. Kesembuhan tidak semestinya datang dengan memerlukan pesakit dihadapan mata. Pengalaman saya dan rakan-rakan perawat yang lain...ada kalanya kesembuhan juga boleh berlaku hanya dengan solat hajjat yang kita pohonkan bersama atau hanya dengan air dan amalan yang kita bekalkan kepada pengadu dan pesakit. Ingatlah kita hanya pembuka jalan tetapi kesembuhan hanya Pada Allah. Menolak memberi bantuan kepada pesakit yang datang meminta adalah satu tindakan yang menghampakan pesakit. Sikap sebegini boleh menyebabkan para pesakit tidak mahu berjumpa para ustaz lagi lalu beralih kepada perubatan yang syirik lagi memudaratkan. Tujuan utama Darussyifa' ini ditubuhkan adalah untuk membantu masyarakat kepada perubatan yang diredhoi Allah. Ingatlah pesanan Tuan Guru kita....pesakit datang dengan 1001 masalah...jika tidak dapat disembuhkan kesemuanya....melegakan hatinya juga merupaka satu pnyelesaian masalah kepadanya. wallahua'lam

Us. Saiful

DOA YANG SANGAT WAJAR DIAMALKAN DI ZAMAN INI (AYAT PENGERAK)

Oleh: Ismail bin Abu

Ada satu doa yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Doa yang dimaksudkan seperti sabda Rasulullah s.a.w. seperti berikut:-
Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut. Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut:-
Mengikut kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, ”Mudarat” membawa maksud seperti berikut:-

1. Tidak Beruntung, Menanggung Rugi.

2.Tidak Berhasil, Tidak Berjaya, Gagal

3. Berbahaya

4. Melarat, Bertambah Payah

Dengan itu jika kita amalkan doa yang tersebut di atas, insya’Allah kita akan terhindar daripada ”mudarat” yang disebutkan. Maka dengan itu faedahnya yang diperolehi ialah kita akan:-

1. Beruntung, Tidak Menanggung Rugi.
2. Berhasil, Berjaya dan Tidak Gagal.

3. Selamat dari bahaya.

4. Tidak melarat, Menjadi Senang.

Keberuntungan beramal dengan doa ini

Terhindar Daripada Bahaya
Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut:-

• Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

• Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.
Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.

Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan
Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.
Terhindar Daripada Sihir
Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.
Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.
Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.
Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.


Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus
Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.
Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.
Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.
Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya'Allah.

Isnin, 1 Mac 2010

Bersama Tuan Guru Dato' Dr Haron Din:Islam tak dapat diukur berdasarkan tingkah laku ummah


Soalan: Negara umat Islam, khususnya di Timur Tengah, yang dihuni ramai bijak pandai Islam khasnya ulama-ulama besar, masih menerima pakai undang-undang dan peraturan manusia yang diistilahkan 'man made law' seolah-olahnya wajar berbuat demikian dan tidak bercanggah dengan Islam. Mengapa di Malaysia tidak boleh mengikut sedemikian? Mengapa perlu kepada undang-undang Islam? - MOHAMAD KHALID, Bukit Beruntung
Jawapan: Islam sebenar tidak boleh diukur dengan apa yang orang Islam hari ini lakukan. Jika Islam hendak diukar dengan tingkah laku umat Islam hari ini, maka akan rosaklah Islam itu.
Lihatlah pada orang Islam yang melancong ke merata dunia. Apa yang mereka lakukan? Sikap dan pakaian mereka yang tidak melambangkan budaya Islam yang sebenar.
Oleh kerana itu, apa dilakukan di negeri-negeri umat Islam di Timur Tengah, tidak semestinya melambangkan Islam sebenar. Semua orang tahu sama ada orang Arab atau bukan Arab, tidak boleh menjadi cermin kepada Islam. Kelakuan ramai orang Islam hari ini, kebanyakannya jauh menyimpang daripada tuntutan Islam sebenar. Demikian juga dengan negara umat Islam sama ada di Timur atau di Barat. Keadaannya sama sahaja. Selagi negara tidak melaksanakan Islam dengan sebaik-baiknya, selama itu negara-negara itu tidak boleh dianggap Negara Islam yang sebenar. Perlu kita fahami bahawa, negara umat Islam suatu ketika dahulu, semuanya patuh dan tunduk kepada Islam, sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. memerintah Madinah.
Maka berubahlah negara Madinah, Makkah dan seluruh Semenanjung Tanah Arab menjadi Islam sehingga ke hari ini. Kedudukan negara Arab yang lainnya, sebuah demi sebuah menjadi negara Islam. Maka tertubuhkan kerajaan Islam pada zaman sahabat, tabiin yang digelar Khulafa ur-Raashidin, Daulah Umaiyah, Daulah Abasiyah sehingga kepada kerajaan Islam terakhir Khilafah Uthmaniyah yang tamat pada tahun 1924. Semuanya kerajaan-kerajaan ini melaksanakan pemerintahan berasaskan hukum-hukum Islam.
Pada 1924, berlaku tragedi di mana musuh-musuh Islam dapat mengatasi dan menguasai kekuasaan Islam, seterusnya menukarkannya kepada pemerintahan sekular.
Dasar sekular tidak memberikan ruang penting kepada agama untuk menjadi asas pemerintahan, undang-undang Islam diketepikan dan undang-undang ciptaan manusia diterima pakai. Berlaku perang dunia pertama dan kedua, yang berakhir dengan kemenangan pihak Barat yang memusuhi Islam. Umat dan negara Islam dijadikan harta rampasan Barat.
Wilayah umat Islam difaraidkan sesama kuasa Barat, di antara mereka, Indonesia dijajah oleh Belanda, Tanah Melayu dijajah British, demikian juga negara Arab, kebanyakannya jatuh kepada kuasa Barat. Penjajah yang menguasai negara Islam menukar keseluruhan sistem pemerintahan dan undang-undang kepada sistem mereka. Sejak daripada itu, meskipun negara umat Islam yang dijajah sudah merdeka kini, termasuk negara-negara Arab, pengaruh penjajahan masih menebal. Barat tidak akan memerdekakan sebuah negara umat Islam, melainkan dipastikan dahulu, negara tersebut mesti berkiblat dan berundang-undangkan Barat.
Pelbagai tekanan dan ugutan dilakukan ke atas pemerintah baru negara umat Islam, supaya mereka ditabdir dengan kehendak Barat dengan tidak mengembalikan perundangan Islam asal.
Buktinya jelas. Misalnya Algeria yang suatu ketika dimenangi oleh Parti Penyelamat Islam (FIS) pada pilihan raya umum, tetapi dibatalkan oleh pemerintah yang disokong Barat. Palestin, di mana Hamas yang menang dalam pilihan raya secara bebas dan demokrasi, tetapi dinafikan Barat, khususnya Amerika Syarikat. Kuasa memerintah dan ekonomi disekat.
Justeru umat Islam perlu memahami dan bangun bersatu di bawah perjuangan Islam bagi membolehkan Islam yang syumul dilaksanakan seperti yang dikehendaki Allah SWT.
Kayu ukur sebenar untuk mengukur Islam dilaksanakan atau tidak, adalah menerusi al-Quran dan as-Sunnah. Selagi kehendak kedua-dua ini tidak dilaksanakan, maka selagi itulah Islam yang sebenar belum terlaksana. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menyebut (mafhumnya): "Pada suatu zaman nanti, umat Islam akan berhadapan dengan pelbagai percanggahan yang banyak, ingatlah ketika itu, pemerintah dengan al-Quran akan berpisah dan janganlah kamu berpisah daripada al-Quran."
Ertinya Nabi pernah memberi peringatan bahawa pada suatu zaman selepas baginda, pemerintah tidak lagi berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, hukum al-Quran terpisah dan diketepikan oleh pemerintah. Nabi mengingatkan kita, jangan sesekali kita terpisah daripada al-Quran, kerana itu maka, perjuangan untuk mendaulatkan Islam menjadi suatu keperluan untuk diperjuangkan sehingga akhirnya. Wallahu a'lam.