Rabu, 30 September 2009

Info Pengguna:Sotong kering mengandungi kadmium

PULAU PINANG 29 Sept. - Para penggemar sotong kering pasti kecewa apabila mengetahui makanan laut itu sebenarnya mengandungi logam jenis kadmium yang boleh didapati dalam bateri, plastik serta baja fosfat. Kandungan kadmium tersebut juga dikatakan mampu menyebabkan peminatnya berisiko menghidapi kanser payu dara dan prostat serta berupaya mengakibatkan buah pinggang gagal berfungsi dengan baik.
Pendedahan mengejutkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu turut mendedahkan bahawa makanan laut kering lain seperti tiram, ikan bilis dan udang juga mengandungi kadmium. Menurut Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris, hasil ujian yang dilakukan oleh pihaknya mendapati kandungan kadmium dalam sotong kering agak membimbangkan malahan ada yang melebihi empat kali ganda daripada kadar dibenarkan."Dalam satu ujian secara rawak, enam sampel sotong kering diuji untuk mengesan kandungan kadmium. Hasilnya, lima sampel mengandungi kadmium dengan tiga daripadanya melebihi piawaian keselamatan.
"Mengikut Peraturan Makanan 1985, jumlah kadmium yang terkandung dalam makanan tidak seharusnya melebihi 1.00 bahagian per sejuta," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. Kadmium digunakan dalam galvani dan elektropenyaduran dalam bateri, konduktor elektrik, pembuatan aloi, pigmen dan plastik selain memantapkan baja fosfat.
Mohamed Idris berkata, selain menjadi bahan kimia pengganggu endokrin (EDC), kadmium juga mempunyai kesan buruk ke atas organ tertentu dalam tubuh kerana kadar serapan bertambah jika kekurangan kalsium dan zat besi. Katanya, kadmium dibawa menerusi aliran darah oleh sel-sel darah merah dan molekul protein yang besar. "Kebanyakan beban kadmium dalam tubuh terkumpul dalam hati dan buah pinggang. Walaupun buah pinggang menjadi organ sasaran kadmium kesan-kesan lain mungkin berlaku dalam tulang dan perut.
"Ini diperhatikan melalui satu sindrom yang berlaku di Jepun di mana pesakit mengalami sakit tulang teruk serta osteomalasia (pelembutan tulang)," jelasnya.
Sumber : Utusan Malaysia

Selasa, 29 September 2009

Bolehkan Sihir Ditumpaskan Dengan Sihir ?

Seorang pesakit menelefon penulis dengan menceritakan masalah yang dihadapinya. Pesakit tersebut memaklumkan dirinya mengalami sakit perut serta kesukaran-kesukaran lain yang menyebabkan dirinya sukar untuk bergerak seperti manusia normal. Badannya terasa sakit-sakit yang menyukarnya bangun untuk menunaikan solat. Pesakit tersebut mendakwa telah mendapat khidmat daripada para pengamal perubatan Islam termasuk dari Darussyifa' Perak. Ketika menerima rawatan di Darussyifa' Perak, salah seorang perawat di Darussyifa' tersebut telah menyatakan bahawa hasil pemeriksaannya mendapati pesakit lebih baik dirujuk ke hospital. Ini kerana perawat berkenaan mendapati bahawa sakit yang dideritainya bukan berpunca daripada perbuatan makhluk halus. Namun, pesakit tersebut tetap bertegas menyatakan dirinya disihir atau dikenakan oleh makhluk halus. Pesakit dirawat dan dibekalkan dengan perbagai zikir yang bersumber dari al-Quran untuk merawat diri. Respon yang diterima daripada pesakit tersebut bahawa pesakit tersebut tidak terkesan dengan perbagai zikir dan air doa yang dibekalkan, malah sakit yang dideritainya makin menjadi. Pesakit menghubungi penulis untuk meminta pandangan agar berubat dengan perawat islam lain selain perawat Darussyifa'. Penulis menyatakan bahawa pesakit digalakkan juga menemui perawat islam yang lain asalkan perawat tersebut benar-benar melakukan rawatan mengikut sunnah serta menjauhi perbuatan syirik. Malah penulis turut meminta pesakit agar melakukan pemeriksaan kesihatan di Klinik atau Hospital berdekatan bagi mengetahui punca penyakit kerana penulis juga merasakan bahawa pesakit tidak menghadapi sakit akibat gangguan makhluk halus mahupun disihir. Pesakit tersebut telah menemui beberapa orang ustaz di pondok yang ia pelajari. Respon pesakit setelah dirawat oleh para ustaz tersebut ialah tiada perubahan yang berlaku ke atas pesakit. Penulis meminta agar pesakit menemui doktor agar menilai tahap kesihatannya. Namun saranan penulis ini ditolak mentah-mentah sambil pesakit tetap menegaskan dirinya diganggu makhluk halus.
Selepas aidulfitri yang lalu, penulis mendapat panggilan dari pesakit tersebut yang memaklumkan dirinya telah pergi mendapatkan rawatan dengan beberapa orang bomoh!! Penulis meminta persakit agar berhati-hati dalam menbdapatkan rawatan kerana bimbang ianya boleh menjuruskan kepada perbuatan syirik dan khurafat!!



Pesakit memaklumkan dia kehabisan duit akibat berubat dengan bomoh. Bomoh yang terakhir ditemuinya telah memuaskan hatinya apabila bomoh-bomoh tersebut menyatakan pesakit terkena sihir atau 'santau angin' dan diganggu jin-jin. Kenyataan bomoh ini diperkuatkan lagi dengan keluarnya beberapa paku dan jarum dari badan pesakit selepas selesai sessi rawatan. Malah perut pesakit mula merasakan sedikit kelegaan. Penulis beristighfar panjang mendengarnya. Penulis memaklumkan bahawa sepanjang pengetahuan penulis malah pesanan dari Us Mokhtar Kassan sendiri memaklumkan bahawa jarum dan paku bukan bahan santau. Sekiranya bahan ini didakwa keluar dari diri pesakit ianya adalah sihir atau sekadar silap mata sahaja. Penulis mensyakki ianya hanyalah tipu muslihat bomoh yang ditemui sahaja serta mencadangkan agar pesakit hanya berubat dengan perawat islam bertauliah yang diyakini aqidahnya. Pesakit menyatakan tindakannya menemui bomoh hanyalah sekadar ikhtiar untuk mendapatkan kesembuhan semata-mata serta meminta penulis membenarkan tindakannya. Penulis bertegas menyatakan islam menetapkan bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.
Sesungguhnya rasulullullah meminta agar kita memelihara diri dari perbuatan syirik sepertimana sabda baginda:-
Sebagaimana kesembuhan atau apa sahaja yang berkait dengan kehidupan ini dapat diperolehi sama ada melalui cara yang diredhoi Allah atau sebaliknya. Manusia jika hendak kaya, penipuan, rasuah, salah guna kuasa, riba dan merompak tentunya merupakan jalan mudah kearah itu. Tetapi ianya merupakan jalan yang dimurkai Allah. Malah berapa ramai orang yang tidak kaya-kaya dengan jalan yang jujur dan ikhlas tetapi itulah jalan yang Allah kehendaki. Demikian juga dalam mendapatkan kesembuhan, berubat dengan syaitan kadang-kala diuji Allah dengan mengurniakan kesembuhan melaluinya namun ia merupakan pilihan yang dimurkai Allah sedang ada pula orang yang berubat dengan pengubatan yang diredhoi Allah dalam tempoh yang lama untuk sembuh malah ada ketikanya tidak sembuh-sembuh sampai ia menemui Allah namun tindakan mempertahankan aqidah inilah yang sangat dikehendaki dan diredhoi Allah!! Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengasihani. Pohonlah pada Allah tanpa syirik dan ragu. Allah pasti akan mengurniakannya. Sebuah hadis pernah merakamkan kisah seorang wanita yang menderita akibat gangguan makhluk halus datang bertemu rasullulah mohon didokan kesembuhannya. Penulis teringat akan kata-kata A.F Dato' Ismail Kamus berkenaan permasalahan ini. A.F Dato' Ismail Kamus pernah menyatakan "Apa gunanya sembuh dengan kehidupan sementara di dunia sedang di akhirat menderita diseksa di neraka Allah akibat perbuatan syirik yang kita lakukan? Lebih baik menderita seketika di dunia akibat sakit sedang mendapat syurga di akhirat akibat kesabaran dan menjaga diri dari terlibat dengan syirik kepada Allah". Tn Guru Dato' Dr Haron Din sendiri pernah menjawab satu soalan apakah boleh sihir diubati dengan menggunakan sihir juga ? maka Tuan Guru menjawab sihir tidak boleh diubati dengan sihir. Ini selaras dengan hadis rasulullah yang melarangnya
(Al Nusyrah adalah mengubati sihir dengan menggunakan sihir) Kata-kata nasihat dan saranan dari penulis tetap tidak diendahkan malah pesakit tetap berkeras meminta penulis membenarkan tindakannya yang bertentangan itu. Setelah perbagai nasihat diberi, penulis tetap dengan pendirian penulis meminta agar pesakit bertaubat serta menjauhkan diri dari amalan syirik dan khurafat serta kepercayaan karut marut sebegini. Namun, segalanya tidak dipedulikan pesakit malah tetap meneruskan agar meminta penulis menyetujuinya. Pada penulis, menyetujui tindakan pesakit merupakan saham penulis ke neraka Allah sedangkan penulis sendiri belum mampu untuk memikul dosa-dosa sendiri. Akhirnya penulis terpaksa meletakkan telefon. Moga Allah kurniakan kekuatan pada penulis juga hidayah pada pesakit agar menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan mungkar. Penulis doakan agar pesakit sembuh dengan kesembuhan yang diredhoi Allah.
Wallahua'lam

Saiful Adli b. Samsudin

Rabu, 23 September 2009

Jauhkan Diri Daripada Terlibat Dengan Syaitan

Benarkah gambar hantu boleh dirakam ? Gambar: Sekadar Hiasan

Kemunculan perbagai filem dan drama serta cerita-cerita seram kini kian tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Filem-filem seram dan tahyul ini ditonjolkan kononnya sebagai hiburan semata-mata dengan beralasankan bahawa rakyat Malaysia sudah punyai fikiran yang matang untuk menilai baik buruknya serta benar palsunya sesuatu cerita dan tidak mudah terikut-ikut dengan apa yang dihidangkan...benarkah begitu ?? Namun, apa yang didapati, secara rawaknya masyarakat kini mula mempercayai bomoh dan cuba untuk mendapatkan khidmatnya malah ada pula yang ingin mencarinya sebagai satu ilmu yang harus dipelihara...Mungkin inilah kesannya filem-filem seram dan tahyul yang dihidangkan...dokumentari-dokumentari berunsur mistik dan penipuan yang kononnya untuk menyingkap alam misteri....yang mana tanpa disedari ia telah mempromosikan secara tidak langsung bentuk perubatan batil yang dipertontonkan. Cerita-cerita sama ada dari tanahair mahupun luar negara dibawa masuk dengan mengambarkan kehebatannya ilmu-ilmu syirik ini...Tidak hairanlah amalan syirik dan tahyul ini tidak dapat dibenteras kerana ia mendapat sokongan media...iklan-iklan dalam akhbar dan tabloid mahupun majalah serta cerita-cerita dogengan yang dipersembahkan memundurkan pemikiran masyarakat kita. Terdapat tabloid yang sengaja mempromosikan kisah artis sana dan artis sini yang kononnya mendapatkan khidmat bomoh, memakai susuk dan sebagainya bagi melariskan diri mereka dipersada seni...malah kisah-kisah mistik dan gangguan di lokasi pengambaran juga sengaja direka dan dihangatkan kononnya berlaku ketika pengambaran kisah seram dilakukan di sesuatu tempat...Persoalannya apakah ia benar-benar berlaku atau ia hanya cerita yang direka-reka bagi melariskan jualan kisah seram yang bakal ditayangkan?!! Penulis lebih cenderung menyatakan bahawa kisah-kisah sebegini hanya taktik pengusaha filem untuk melariskan filem jualan mereka yang bakal ditayangkan. Ini kerana jika benar sipulan bin sipulan di ganggu di lokasi, sempat pula ia menyiapkan wataknya sebagai hantu dan sebagainya ?? tak pernah lagi kedengaran pelakon tertentu yang diganggu di lokasi merasa serik untuk melakonkannya lagi watak-watak tersebut...Sedangkan bagi mereka yang pernah diganggu makhluk halus tentu sekali tidak mahu diganggu untuk kali keduanya. Kisah-kisah seram sebegini dilakonkan dan dimainkan dengan perbagai fakta yang menyeleweng....drama ceplos mengambarkan wujudnya jin baik dan jin jahat yang menganggu dan membantu manusia...begitu juga kisah-kisah lain yang kebanyakannya hanya daripada kaca mata pengarah dan penerbit filem semata-mata...akibatnya penonton mendapat maklumat yang salah berkaitan alam ghaib dan lebih buruk lagi timbulnya sikap di kalangan masyarakat yang mula mendapatkan khidmat daripada bomoh-bomoh syirik dan tahyul. Malah kewujudan fahaman salah sebegini akan menyebabkan masyarakat tertipu dengan bomoh-bomoh penipu yang akhirnya keluarlah di akhbar kisah isteri atau janda dirogol ketika mendapatkan rawatan!!.. Masyarakat dahulu amat mempercayai bomoh...malah institusi bomoh memainkan peranan penting dalam setiap kehidupan mereka...sehinggakan penggunaan bomoh bukan sahaja dalam mengatasi penyakit, malah ia turut digunakan dalam upacara teater tradisional, persembahan wayang kulit, makyong dan sebelum pembikinan filem. Namun, pada masa kini, penggunaan bomoh mungkin tidak sehebat dahulu akibat permodenan dan perubahan zaman dan cara berfikir akibat penyebaran agama Islam disamping kematian bomoh tanpa pewarisannya. Namun, tindakan pengusaha filem kini seolah-olah menimbulkan minat masyarakat untuk mewujudkan dan menghidupkan institusi bomoh ini semula. Tindakan ini merupakan satu dosa yang amat besar kerana cuba menghidupkan amalan syirik dalam masyarakat kita. Sekiranya berlaku benar gangguan-gangguan keatas artis dan pelakon semasa di lokasi, penulis menasihatkan agar para pengamal perubatan islam tidak turut serta memulihkan tapak lokasi pengambaran kerana melakukan pemulihan tersebut merupakan saham kita untuk ke neraka Allah s.w.t. namun, apa pun penulis tetap percaya, cerita-cerita gangguan di lokasi hanyalah kisah dongeng yang direka-reka bagi melariskan filem tahyul yang merapu. Seinggat penulis pernah berlaku satu kekecohoan dalam negara akibat penyebaran gambar di internet kononnya dua orang sahabat telah meninggal akibat bergambar dengan makhluk halus. Setelah disiasat polis memaklumkan bahawa ianya hanya teknik super impose yang dilakukan bagi mereka-reka cerita...Penulis pernah menemubual seorang rakan penulis yang pernah terlibat dengan pengambaran dokumentari seram. Menurut rakan penulis, perasaan seram dan takut sememangnya ada ketika pengambaran dilakukan, namun objek yang didakwa makhluk halus itu tidak jelas dan tidak dapat dipastikan kebenarannya. Ketika balik di studio, pengarah akan melakukan sedikit suntingan bagi mengambarkan kewujudan makhluk yang didakwa di dalam dokumentari yang dihasilkan...Adakah gambar yang ditontonkan merupakan gambar sebenar yang dirakamkan atau sebaliknya ? Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya... wallahua'lam


*Saiful Adli b. Samsudin

Klinik Darussyifa' Bota







Klinik Darussyifa' Bota merupakan Klinik Darussyifa' yang menawarkan perubatan Islam kepada masyarakat di sekitar Daerah Perak Tengah Khususnya dan daerah berhampiran seperti Daerah Manjung amnya. Namun, bagi Daerah Manjung kewujudan Klinik Darussyifa' Pantai Remis membantu mengurangkan masalah penduduknya. Klinik Darussyifa' Bota terletak di jalan utama (federal road 1 JKR) Ipoh-Lumut. Jika anda dari Ipoh menuju ke Bota, selepas sampai ke persimpangan menuju ke SMK Dairy di sebelah kiri, (Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abdul Rahman Yaakop) Darussyifa Bota adalah di sebelah kanan, anda akan kelihatan papan tanda menunjukkan klinik tersebut. (Sebelum persimpangan lampu isyarat ke Parit, Lumut dsb). Kewujudan pembahagi jalan menyukarkan anda terus ke klinik. Anda perlu terus ke persimpangan lampu isyarat (Simpang empat) dan membuat pusingan 'U' untuk mendapatkan jalan menuju ke Ipoh. Perhatikan betul-betul, dalam jarak kurang dari 500 meter anda akan dapati satu papan tanda kecil ke kiri yang menunjukkan Klinik Darussyifa' Bota. Bagi penduduk di Daerah Perak Tengah, peta diatas sudah tentu amat memudahkan anda untuk menuju ke Klinik Darussyifa' Bota. Klinik ini dipengerusikan oleh A.F Us Mokti b. Uri dan jawatankuasanya. Klinik beroperasi pada setiap hari sabtu bermula jam 9.00 pagi. Untuk maklumat lanjut bolehlah melawati blog Darussyifa' Bota http:// darussyifabota.blogspot.com atau menghubungi Us Mokti di nombor 013-5212706.

Khamis, 17 September 2009

Salam Aidulfitri


Darussyifa' Perak mengucapkan selamat hari raya buat semua pelawat blog ini. Maaf zahir dan batin ke atas semua pesakit yang pernah mendapatkan khidmat rawatan di Darussyifa' di seluruh Negeri Perak. Di doakan moga kalian semua sembuh seperti sediakala. Dikesempatan ini juga penulis ingin memohon maaf kepada semua kenalan dan sahabat-sahabat perawat diatas segala tingkahlaku, kenyataan, teguran dan sebagainya sepanjang perkenalan ini. Moga segala usaha kita mendapat restu dan keredhoan Allah.

PENGUMUMAN BUAT SEMUA AHLI DARUSSYIFA': NOTIS MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE 20


MESYUARAT AGUNG TAHUNAN DARUSSYIFA' KALI KE 20 AKAN DIADAKAN PADA TARIKH BERIKUT:-

Tarikh : 4 Oktober 2009
Masa : 9.30 pagi

Tempat: Darussyifa'

Semua ahli digalakkan hadir

Rabu, 16 September 2009

Pengumuman: Pengambilan Pelatih Baru Darussyifa' Negeri Perak.






TAWARAN PENGAMBILAN PELATIH BARU DARUSSYIFA' NEGERI PERAK TAHUN 2010 SEDANG DIBUKA. KULIAH PENGAJIAN AKAN DI ADAKAN DI PAKAT, KOTA LAMA KIRI, KUALA KANGSAR. TARIKH TUTUP PERMOHONAN PADA 30 OKTOBER 2009. SEBARANG KEMUSYKILAN BOLEHLAH MENGHUBUNGI URUSETIA DIATAS. BORANG PERMOHONAN HENDAKLAH SAMPAI KE CAWANGAN ATAU MANA-MANA KLINIK DARUSSYIFA' BERHAMPIRAN.

SYARAT - SYARAT PEMOHON:-

  1. MUSLIM/MUSLIMAT

  2. MEMINATI DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH UNTUK MEMPELAJARI ILMU PERUBATAN ISLAM SEBAGAI SEBAHAGIAN ILMU ALLAH

  3. SENTIASA BERMINAT MENINGKATKAN PENGETAHUAN AGAMA

  4. BOLEH MEMBACA AL-QURAN (PEMOHON YANG TIDAK MAMPU MEMBACA AL-QURAN DINASIHATKAN AGAR MENDAPATKAN KELAS BIMBINGAN AL-QURAN DI MASJID/SURAU/PUSAT-PUSAT PENGAJIAN)

  5. BERKEMAMPUAN UNTUK MENGHAFAZ DOA/AYAT-AYAT AL-QURAN

  6. BERSEDIA MENGHADIRI KELAS DENGAN 85% KEHADIRAN SEPERTI DISYARATKAN

  7. BERKESANGGUPAN UNTUK BERKHIDMAT KEPADA MASYARAKAT SETELAH BERJAYA MENDAPAT PENGIJAZAHAN SIJIL PERUBATAN ISLAM MELALUI KLINIK DARUSSYIFA' BERHAMPIRAN

  8. BERKEMAMPUAN UNTUK MENYELESAIKAN YURAN YANG DI SYARATKAN.

  9. SENTIASA TAWADDHUK DALAM TINDAKAN.

  10. PARA PENGHAFAZ AL-QURAN ADALAH SANGAT DIGALAKKAN

BORANG PERMOHONAN BOLEH DI DAPATI MELALUI KLINIK DAN CAWANGAN DARUSSYIFA' BERHAMPIRAN ATAU DOWNLOAD KAN TERUS MELALUI BORANG DIATAS.


SEKIAN DIMAKLUMKAN

Jumaat, 11 September 2009

Bersama Tn Guru Dato' Dr Haron Din-Syaitan Terbelenggu, Kenapa Maksiat Berlaku ?


SOALAN: Sering disebut pada bulan ramadhan, syaitan, jin dan ifrit dirantai, ditambat atau dibelenggu. Akan tetapi pada bulan ramadhan juga ada orang ternampak jin, ada juga orang melakukan maksiat, mengundang dosa besar, ada yang bergaduh sehingga berbunuh-bunuhan sedangkan sedangkan semua itu kerja syaitan. Bagaimanakah ia boleh berlaku, sedangkan semua makhluk halus dipenjarakan? Mohon Dato' huraikan. Terima kasih - ADNAN ABDUL AZIZ, Batu Gajah.


JAWAPAN: Mungkin saudara merujuk atau mendengar kupasan penceramah tentang hadis rasulullah s.a.w perihal berkaitan. Hadis tersebut (mafhumnya) Daripada Abu Hurairah katanya rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:-


" Apabila datang ramadhan dibukakan segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)


Hadis tersebut ada dua lapis maksudnya. Pertama makna pada zahir, keduanya makna pada majaaz (kiasan). Hadis tersebut pada zahirnya bermaksud pada bulan ramadhan pintu syurga terbuka untuk dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa jika benar seseorang itu berpuasa seperti yang dituntut syarak. Dia akan memperoleh syurga meskipun belum berlaku lagi kiamat, kerana syurga itu sudah didapati di alam kubur. Itu merupakan syurga sementara sehingga memasuki syurga yang sebenar pada hari akhirat.

Jika pintu syurga sudah terbuka dan pintu neraka tertutup, maka mudahla semua orang masuk syurga. Tiada orang akan masuk neraka kerana pintunya sudah tertutup. Apakah ini makna hadis ini? Apakah pada bulan ramadhan tidak mati orang kafir, munafiq, musyrik, zindik dan sebagainya? Sudah tentu juga orang Islam yang berpuasa ada yang mati, tetapi dia hanya berpuasa sedangkan maksiat-maksiat lainnya tidak dihentikan.

Apakah semua mereka ini masuk syurga juga kerana neraka tertutup? Sudah tentulah jawapannya tidak. Yang ditentukan ke neraka tetap ke neraka dan yang bakal memperolehi syurga akan memasuki syurga. Oleh itu, hadis yang saya sebutkan di atas makna yang kedua, iaitu makna majaazi atau kiasan. Dalam ungkapan hadis itu juga menyebutkan tentang 'dibelenggu syaitan' dalam erti kata lain syaitan diikat. Makana dari segi hakikinya memang terjadi sungguh bahawa syaitan-syaitan itu dibelenggu dan dipenjarakan.

Mengikut hadis, perkara ini berlaku hanya keatas syaitan dan tidak disebut apakah jin, qarin, iblis, ifrit dan lain-lain. Makhluk-makhluk ini tidak dirantai. Ertinya ada kalangan makhluk halus yang dirantai, ada yang tidak. Yang tidak dirantai itulah yang terus mempengaruhi alam manusia, menzahirkan dirinya kepada manusia dan merangsang manusia melakukan perbagai kejahatan.

Puasa menjadi ibadat khusus dimana mukmin dituntut menahan nafsunya daripada melakukan sesuatu yang dilarang. Orang-orang yang benar-benar menahan dirinya dengan tidak melakukan apa-apa yang dilarang Allah, yang hanya melakukan apa jua untuk mentaati Allah dengan sepenuh keikhlasan, mereka inilah seolah-olah tidak tidak memberi peluang langsung kepada nafsunya untuk melakukan kejahatan.

Nafsu biasanya dikuasai oleh syaitan. Kerana kehebatan mukmin mengawal nafsunya, semua perbuatan dijuruskan ke arah kebaikan. Maka seolah-olah syaitan terbelenggu dan tidak mampu berbuat apa-apa. Apapun makna hadis tersebut, kita ambillah yang mudah difahami iaitu syaitan adalah musuh manusia. Firman Allah (mafhumnya):-


"Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaku (yang beriman) supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran) Sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut diantara mereka (yang mukmin dan yang menentang) Sesungguhnya syaitan itu dalah musuh yang amat nyata bagi manusia"

(Surah al Isyrak ayat 53)


Firman Allah (mafhumnya) :-


"Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah ia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya) Sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya menjadi dari penduduk neraka"

(Surah al Faathir ayat 6)


Syaitan adalah musuh manusia sejak daripada Adam a.s lagi dan mereka boleh melihat manusia sebaliknya manusia tidak boleh melihat mereka pada kebiasaannya. Maka tentulah mudah bagi mereka menghadapi manusia, menyesat serta menjauhkan mereka dari jalan Allah. Oleh kerana itu Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang membantu manusia dengan berbagai pertolongan seperti firman Allah (mafhumnya) :-


" ...dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya diantara kamu) " (Surah an Nisa ayat 83)


Firman Allah (mafhumnya):-"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya keatas kamu, nescaya tidak ada seorang pun antara kamu menjadi bersih daripada dosa selama-lamanya. Akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya ( menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui " (Surah an Nur ayat 21)


Maka salah satu daripada cara Alah menolong hamba-hambaNya iaitu dengan mensyariatkan ramadhan, benar-benar berpuasa serta selamat daripada godaan syaitan. Allah membantu manusia dengan memberikan ruang kepada mereka berpuasa sehingga syaitan tidak berdaya menghampiri mereka.


Wallahua'lam


Rabu, 2 September 2009

Rahsia amalan puasa kita diterima


Diceritakan pada satu hari, seorang Soleh di kalangan salaf berlalu di sebuah perkampungan, terdapat di situ beberapa orang lelaki (selepas Ramadan) ketawa berdekah-dekah dengan membuang masa di kedai kopi, bercerita tentang persoalan dunia yang tiada kaitan dengan alam kubur, akhirat atau di padang Mahsyar.

Maka orang Soleh itu pun menyapa mereka dengan berkata : Adakah tindakan tuan-tuan dengan banyak ketawa merasakan tidak ada dosa yang tertanggung atau begitu yakin amalan tuan-tuan diterima Allah SWT dengan membuang masa begini?
Jika diterima sekali pun adakah sesuai tuan-tuan duduk lama di kedai kopi bersembang pada perkara yang tidak menguntungkan Islam dan umatnya?

* Justeru menurutnya, sesungguhnya amal-amal soleh yang berkekalan yang dilakukan pada bulan Ramadan seperti berpuasa, baca al-Quran, solat Tarawih, bersedekah dan berzakat, menyedia atau memberi makanan kepada orang lain, bersegera ke masjid untuk menunaikan solat Jamaah, menjaga waktu solat fardu lima waktu, menghubungkan silaturrahim sesama muslim, beriktikaf dalam masjid, bangun malam dan lain-lain adalah petanda amalan orang berpuasa diterima di sisi Allah.

* Hendaklah setiap muslim menjadikan ketaatan dan muraqabah (pengawasan) terhadap Allah setiap masa seperti di bulan Ramadan adalah perkara utama agar amalannya terus diterima di sisi-Nya, di samping menjauhkan diri daripada terlibat dalam perkara dosa, mungkar dan keji bersesuaian dengan inspirasi hadis baginda yang bermaksud :

“Susulilah kejahatan itu dengan kebaikan yang mampu menghapuskan kejahatan, dan berakhlak mulialah terhadap manusia dengan akhlak yang terpuji”.

* Bercakap dengan ungkapan yang berisi nasihat atau bimbingan serta beramal soleh merupakan pra syarat terkabul amalan di sisi Allah seperti yang ditegaskan-Nya menerusi ayat 10 surah Fatir :

“Kepada-nya (Allah) sampai perkataan-perkataan yang baik (kalimat Tauhid) dan amal soleh disampaikan kepada-Nya ".

* Bersegera dalam melakukan kebaikan dan kebajikan juga adalah faktor dikenal pasti sebagai penyebab amalan seseorang diterima Allah.

* Suka bersedekah dan tidak kedekut adalah punca amalan diterima Allah.

* Mengekal dan memelihara takwa kepada Allah juga menyebabkan amalan diterima Allah.

* Istiqamah dalam agama dengan terus beramal dan melakukan perintah serta meninggalkan perkara yang terlarang adalah punca amalan diterima.


* Memelihara rukun Islam yang lima serta rukun Iman yang enam juga penyebab amalan diterima Allah.

* Konsisten dalam beramal secara berterusan walaupun sedikit, ia bertepatan dengan penjelasan baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud :

"Sebaik-baik amalan di sisi Allah ialah yang bersifat berterusan walaupun sedikit”.

Apapun Ramadan telah melahirkan dua jenis manusia yang mempunyai cara berbeza dalam penampilan mereka selepas Ramadan, justeru marilah sama-sama kita renung secara mendalam untuk kita tentukan golongan mana yang patut dicontohi.

Golongan Pertama

Golongan yang dapat disaksikan dalam bulan Ramadan begitu ghairah melakukan apa ahaja amal ibadat selagi sanggup melakukannya, solat ketika orang lain juga bersolat, ruku’, sujud, bertadarus dengan berlinangan air mata kerana takutkan azab Allah ketika membaca al-Quran.
Agak sukar untuk melihat dalam diri mereka akhlak yang terkeji, kerana satu bulan Ramadan diisi dengan pelbagai ketaatan kepada Allah, menjauhkan diri dari segala maksiat dan perkara yang melalaikan. Namun setelah sebulan dua ditinggalkan Ramadan, ketaatan, ibadat dan segala apa yang dilakukan hanya menjadi kenangan manis yang berlalu pergi bersama pertukaran bulan-bulan yang lain, surau dan masjid bukan lagi menjadi tempat destinasi persinggahan, al-Quran bukan lagi menjadi bahan bacaan harian, bulan berganti bulan hingga terbit Ramadan pada tahun berikutnya, inilah golongan yang hanya beribadat secara bermusim, seolah-olah Allah hanya wujud di bulan Ramadan sahaja, sedangkan pada bulan-bulan yang lain kehangatan beribadat semakin pudar.

Golongan Kedua

Golongan yang merasa amat gembira dengan kedatangan Ramadan dan merasa hiba dengan pemergian bulan yang mulia ini, kerana mereka merasa seronok dengan kemanisan dan janji-janji yang ada padanya. Ramadan bagi mereka adalah peluang untuk menambah koleksi pahala sebanyak mungkin, kerana mereka mengetahui, bahawa Ramadan bulan kesabaran, persamaan, berkasih-sayang, terpadat padanya Lailatul Qadr, solat Tarawih, rahama, keampunan, pelepasan dari api neraka, Nuzul al-Quran, tadarus, tazkirah, pengeluaran Zakat Fitrah, peristiwa Badr al-Kubra, pembukaan kota Mekah dan seribu macam pahala yang tersedia untuk direbut. Mereka beramal dengan sepenuh hati bagi menjana diri sebagai hamba-hamba Allah yang bertakwa menerusi ibadat puasa, mereka akan menangis jika Ramadan hampir melabuhkan tirainya kerana mungkin tidak akan bertemu dengannya pada tahun-tahun yang mendatang.

Kesimpulannya

Terserah kepada anda untuk menentukan kedudukan yang mana satu yang harus anda pilih di antara dua golongan yang disebutkan di atas. Andalah sebagai hakim untuk memastikan masa depan di akhirat lebih terjamin untuk mendapatkan syafaat baginda Rasulullah s.a.w ketika ada di kalangan manusia yang tercicir namanya dalam senarai mereka yang dimasukkan dalam syurga Allah yang kekal abadi dengan segala nikmat yang membahagiakan.


-Dipetik daripada Us Zainuddin Hashim