Ahad, 30 Ogos 2009

Seimbangkan makanan berprotien


SYURGA makanan'. Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba bulan Ramadan. Bukan sahaja bagi umat Islam, bahkan kaum lain di negara ini terutama dengan adanya bazar Ramadan. Lebih-lebih lagi kehadiran Ramadan kali ini dimeriahkan dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-52, pasti ramai yang ingin menggandakan juadah untuk merayakannya. Selagi tidak penuh makanan di pinggan, seperti tidak lengkap menu berbuka puasa. Golongan wanita pula tidak perlu penat memasak. Semuanya seperti sudah tersedia dengan pelbagai juadah yang ada di bazar Ramadan. Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman boleh dibeli untuk hidangan keluarga. Ada yang bertanya, " cukup tak makanan kita hari ni?". Ada pula yang berkata, "tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk."
Selain keletihan, yang mana lebih kerap berlaku kepada anda? Adakah berat badan berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Ramai yang membeli makanan tidak menilai keperluan makanan tetapi lebih kepada selera. Hakikatnya, ketibaan Ramadan bukan saja memberi peluang kepada kita mempertingkatkan amalan kerohanian malah amat berfaedah untuk kesihatan. Ini disebabkan puasa merupakan masa yang sesuai untuk mempertingkatkan tahap kesihatan tubuh kita.
Puasa juga memberi peluang kepada sistem pencernaan berehat di samping memastikan kelancaran sistem tubuh terutamanya buah pinggang dan hati.
Bahkan, amalan berbuka puasa yang digalakkan bermula dengan memakan kurma dan meminum segelas air kosong sepertimana yang disunnahkan oleh baginda Rasulullah saw.
Namun, trend masyarakat pada hari ini gemar berbuka secara berlebihan. Adakah amalan pemakanan tersebut memberi kebaikan atau memudaratkan kesihatan? Justeru, pengambilan makanan sepanjang bulan Ramadan seharusnya seimbang dan tidak jauh bezanya dengan bulan-bulan lain. Untuk kekal sihat, kuantiti makanan juga sepatutnya normal bukan dua kali ganda berbanding bulan-bulan lain.
Apa yang penting pengambilan makanan perlulah berasaskan makanan yang terdapat di dalam piramid makanan seperti nasi, roti, bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan, produk tenusu, ikan, daging, kacang, serta sedikit penggunaan minyak, gula dan garam. Pengambilan diet yang seimbang seharusnya membantu anda mengekalkan berat badan yang normal dan bukan menjadikan berat badan anda bertambah atau berkurangan terutamanya di bulan Ramadan yang penuh berkat ini. Bagaimanapun, jika anda yang berlebihan berat badan atau obes, pengambilan makanan mengikut diet yang seimbang tentu saja dapat membantu anda menurunkan berat badan.
Tempoh berpuasa yang panjang sebenarnya banyak membantu kita dalam merangka diet. Misalnya, pengambilan makanan yang lambat dicerna lebih diutamakan. Antaranya makanan mengandungi serat.
Menurut Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Norlaily Md Nasir, mereka yang berpuasa perlu menyeimbangkan makanan berprotein sepanjang Ramadan terutamanya protein dari sumber haiwan. Protein merupakan himpunan beberapa asid amino yang diikat oleh ikatan peptida. Ia merupakan komponen major bagi tisu badan dan ia penting untuk pertumbuhan dan pembaikan tisu.
"Terdapat dua kelas protein, yang pertamanya ialah protein lengkap iaitu makanan yang mengandungi kesemua asid amino yang diperlukan oleh tubuh (banyak daripada sumber haiwan berbanding sumber tumbuhan). Kedua, protein tidak lengkap iaitu kebanyakannya daripada sumber tumbuhan," jelasnya. Seperti yang diketahui umum, protein haiwan boleh diperoleh daripada daging, ayam, ikan dan juga telur. Manakala protein tumbuhan daripada bijiran, kacang dan produk soya.
Senario
Pada bulan Ramadan, kebanyakan masyarakat kita menganggap ia sebagai pesta makan. Terdapat pelbagai jenis juadah dijual dengan pelbagai perisa yang istimewa serta jarang dijual pada bulan-bulan yang lain. Begitu juga juadah yang berasaskan protein seperti ikan, daging dan ayam.
"Makanan seperti ini dijual dengan pelbagai jenis masakan sama ada dibakar, dipanggang, digoreng dan ada juga dijadikan lauk-pauk seperti gulai, kari, kurma dan sebagainya," jelasnya. Tahukah kita pengambilan makanan seperti ini yang berlebihan akan mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan?
Kebanyakan kita tidak mengetahuinya mengenai hal ini. Mereka mengambil tanpa mengira kuantiti, asalkan dapat memenuhi selera mereka. "Sebagai contoh, seseorang berbuka dengan nasi ayam, ayam percik, ikan bakar yang bersaiz besar, secara sedar atau tidak berlaku pengambilan protein yang berlebihan. Saranan hanya menyarankan dalam dua hingga tiga hidangan sahaja," ujarnya.
Namun, Norlaily mengakui ramai yang tidak menyedarinya keperluan pemakanan mereka. Menurutnya, pengambilan protein yang berlebihan menyebabkan berlakunya kegagalan buah pinggang. Hal ini berlaku apabila seseorang mengambil protein dalam kuantiti yang berlebihan, ia akan meningkatkan beban kepada buah pinggang untuk melakukan proses penyingkiran. Jadi, ia akan menyebabkan kegagalan buah pinggang berlaku disebabkan beban ini.

Selain itu, seseorang yang mengambil protein yang berlebihan juga boleh menjadi obes. "Ini kerana protein yang berlebihan dalam badan yang tidak digunakan akan menjadi lemak dan tersimpan dalam tubuh. Hal ini ditambah pula dengan kehadiran lemak dan minyak jika seseorang berterusan mengambil makanan yang digoreng. Ini meningkatkan risiko obesiti. Jadi, pada bulan Ramadan, masyarakat perlu belajar supaya mengamalkan cara hidup yang sederhana terutamanya dalam pengambilan makanan. Bulan yang mulia ini merupakan platform untuk memulakan diet yang sihat," ujarnya.
Norlaily menasihatkan agar orang ramai mengimbangi pengambilan protein sepanjang Ramadan terutamanya semasa sahur dan berbuka.
Bagi mereka yang berpuasa, seimbangkan protein daripada sumber haiwan.
"Contohnya, sekiranya semasa sahur kita makan ikan, waktu berbuka bolehlah kita mengambil ayam atau daging di mana kita mempelbagaikan makanan dengan mengikut saranan pengambilannya. Tidak lebih daripada apa yang disarankan. Seimbangkan juga dengan makanan lain seperti nasi, mi, buah-buahan dan sayur-sayuran dalam melengkapkan lagi diet yang sihat sepanjang ramadan," jelasnya.
Diet yang sihat ini bukan sahaja membekalkan vitamin dan mineral malah ia juga dapat melambatkan proses lapar dalam menjalani ibadah puasa. Sesuai bagi mereka yang terlibat dengan perarakan sambutan kemerdekaan, pemakanan yang sihat ini membantu mereka memperoleh tenaga yang cukup.
Protein daripada sumber tumbuhan juga boleh diambil dalam melengkapkan dan mengimbangi pengambilan protein. Gabungan protein-protein tumbuhan dapat menghasilkan protein lengkap yang diperlukan tubuh sepanjang Ramadan. Nasihat Norlaily, orang ramai juga digalakkan mengambil air kosong yang secukupnya. Orang ramai juga disarankan mengurangkan makanan yang manis. Ini kerana ia akan meningkatkan aras gula di dalam badan. Bagi mengimbangi penggunaan tenaga badan, ambil makanan yang berserat tinggi seperti oat dan bijirin. Paling penting, dalam pengambilan makanan ketika berpuasa, umat Islam perlu bersederhana dan seimbangkan juadah berbuka dan sahur.

Khamis, 27 Ogos 2009

Salam Ramadhan



Rabu, 26 Ogos 2009

Kajian sains: Solat rawat penyakit kritikal






HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.Prof Dr Wan Abu Bakar bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok dengan buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.
"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,"katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.
Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenal pasti otot yang aktif ketika solat.


Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.
"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya
Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.
"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,"katanya. Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang. Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.
Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh
Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak. Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.
"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain, katanya.
Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir. Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik. Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasullullah bersabda: Sesungguhnya solat berjemaah adalah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (Riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim).
"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.
"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,"katanya.
Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang. Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan. Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.
Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.
Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.
"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,"katanya. Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.
Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.
"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,"katanya.
Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit
Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.
"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.
Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.
Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.



(Artikel ini dipetik daripada tulisan Ziauddin Sharuddin dalam laman web berita harian, untuk panduan dan rujukan umat Islam berhubung manfaat dan fadhilat solat )

Isnin, 17 Ogos 2009

PENGUMUMAN PENTING

BAGI MENCEGAH WABAK PENYAKIT SELSEMA BABI (H1N1) DARIPADA MEREBAK DI KALANGAN ORANGRAMAI YANG MENGUNJUNGI KLINIK DARUSSYIFA'. MAKA DIMAKLUMKAN BAHAWA KLINIK DARUSSYIFA' DI SELURUH MALAYSIA DITUTUP BUAT SEMENTARA WAKTU MULAI 12-OGOS-2009. KLINIK DARUSSYIFA' DISELURUH MALAYSIA AKAN DIBUKA SEMULA BILA KEADAAN WABAK SELSEMA BABI SEMAKIN REDA.
BAGI YANG INGIN MENDAPATKAN RAWATAN SILA HUBUNGI TERUS PERAWAT-PERAWAT DARUSSYIFA' BERKENAAN.
Sumber : Darussyifa Online

Rabu, 12 Ogos 2009

KENYATAAN PENAFIAN

Dukacita dimaklumkan bahawa, dilaporkan ada orang perseorangan yang mendakwa sebagai ahli Darussyifa' telah menggunakan nama YBhg Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din untuk mengutip wang bagi mempromosikan Umrah Bulan Ramadan Bersama Tuan Guru. YBhg Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din telah menafikan perlantikan orang berkenaan. Program Umrah bersama Tuan Guru hanya dikendalikan oleh AJK Darussyifa' dan sebarang urusan hanya melalui pejabat Darussyifa' Bandar Baru Bangi.Pihak Darussyifa' tidak pernah melantik orang perseorangan atau mana-mana ajensi untuk mengutip atau mempromosikan Program Umrah ini.Bagi sesiapa yang telah terperdaya atau telah memberikan wang pendahuluan kepada orang perseorangan tersebut, sila laporkan ke Pejabat Darussyifa' dengan menghubungi;Ustaz Roslan (019-239 8573) atau Ustaz Dr. Abdul Rahmen Derus (019-6490284)Laporan Polis akan dibuat setelah maklumat orang perseorangan itu diperolehi.

Rabu, 5 Ogos 2009

Bersama Tn Guru Dato' Dr Haron Din: Perihal wanita tawar diri untuk diperisterikan

SOALAN: Dato' bolehkah atau tidak seorang perempuan menyerah diri kepada seorang lelaki untuk diperisterikan atas alasan mengikut sunnah, sepertimana berlaku pada seorang perempuan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, menyerah diri kepada baginda untuk diperisterikan dan baginda menerimanya sebagai isteri. Mohon penjelasan. - MAWAR UNGGU
JAWAPAN: Memang benar apa yang anda nyatakan bahawa pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., seorang perempuan datang menghadap baginda dan menyerah diri kepada baginda untuk dinikahi. Malah ada beberapa orang (bukan seorang sahaja) yang menghebahkan diri mereka kepada Rasulullah s.a.w, untuk diterima sebagai isteri dan baginda telah memperisterikan mereka. Al-Imam al-Bukhari, meriwayatkan sebuah hadis daripada A'ishah r.ha, katanya (mafhumnya):
"Salah seorang yang berbuat demikian ialah Khaulah binti Hakim."
Menurut al-Imam al-Zamakshari, ada empat orang yang menyerah diri kepada Rasulullah s.a.w. sebagai hibah atau hadiah kepada Nabi iaitu, Maimunah binti Haris, Zainab binti Khuzaimah yang dikenali dengan Ummul Masakiin, Ummus Shariq binti Jabir dan Khaulah binti Hakim. Pernikahan Rasulullah s.a.w. dengan mereka ini adalah pernikahan yang memenuhi cukup syarat dan rukun untuk dinikahi. Malah diri baginda sendiri dalam konteks ini, baginda pernah bersabda (mafhumnya):
"Saya dijadikan Allah daripada pernikahan yang sah, turun temurun daripada Nabi Adam a.s. sehingga ibu ayah saya melahirkan saya ke dunia ini."

Namun demikian, perlulah diketahui lebih lanjut dan jelas bahawa, perempuan-perempuan yang datang menyerah diri kepada Rasulullah s.a.w., Allah telah sebutkan dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya (mafhumnya):
"Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan mas kahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (daripada sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (daripada sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (daripada sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (daripada sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang yang beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Surah al-Ahzab, ayat 50)

Ayat tersebut, dengan jelas dan nyata bahawa Allah menyebut perihal perempuan yang datang, menghibah atau menghadiahkan dirinya kepada Nabi s.a.w. ialah khusus untuk Rasulullah s.a.w. sahaja, bukan untuk umatnya. Apabila ianya khusus untuk Nabi, maka ia sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk ia menjadi sunnah. Oleh kerana itu, maka ia tidak boleh diamalkan.
Diriwayatkan oleh perawi hadis yang mahsyur dari jalan (tariq) sahal, dalam kitab-kitab yang sahih, disebut perihal seorang perempuan datang menghadiahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w., untuk dijadikan isteri, akan tetapi baginda terdiam tidak menjawab apa-apa. Bagaimanapun ada seorang sahabat memecah kesunyian itu dengan berkata:
"Ya Rasulullah, sekiranya Rasulullah tidak berhajat kepadanya, maka nikahkan saya dengannya."

Lalu baginda memerintahkan sahabat itu menyediakan mahar, akhirnya kedua-dua mereka dinikahkan baginda. Semua keterangan ini jelas membuktikan bahawa dalam kes hibah (hadiah) atau serah diri memang berlaku. Rasulullah s.a.w berkahwin dengan cara hibah, tanpa mahar sebagai suatu keistimewaan untuk diri baginda. Adapun untuk diri kita, umatnya pada waktu ini, perkahwinan hibah ini tidak berlaku. Yang boleh berlaku ialah perkahwinan biasa yang memenuhi syarat nikah, barulah sah perkahwinan.
Wallahua'lam.

Ahad, 2 Ogos 2009

Kursus Pemantapan Pengubatan Santau



Kursus Pemantapan Pengubatan Santau telah diadakan pada 1 hingga 2 Ogos 2009 bertempat di Dewan Kuliah Masjid Sultan Idris Shah II Ipoh. Kursus yang dianjurkan oleh Darussyifa' Cawangan Ipoh ini telah disampaikan oleh Us. Mokhtar b. Kassan yang merupakan tenaga pengajar utama ilmu rawatan santau kepada semua pelajar Darussyifa'. Antara kandungan kursus, selain memberi pengenalan berkenaan santau, Us. Mokhtar juga turut memaklumkan bahawa semua perawat Darussyifa' yang merawat pesakit santau agar tidak memaklumkan kepada pesakit bahawa mereka terkena 'SANTAU' sebaliknya hendaklah dialihkan kepada 'terkena racun' atau 'keracunan' bagi membina psikologi pesakit agar tidak merasa tertekan dengan istilah penyakit yang dihadapi. Umumnya pesakit santau juga merupakan pesakit yang mengalami keracunan. Namun, bagi pesakit santau biasanya ianya akan melibatkan gangguan fizikal, mental dan rohani sebaliknya bagi pesakit keracunan hanya melibatkan gangguan fizikal semata-mata. Menurut Us. Mokhtar, umumnya semua manusia kini terdedah kepada keracunan akibat pengambilan makanan yang mana kebanyakan makanan kini seperti buah-buahan, sayuran dan bahan makanan lain yang punyai campuran perbagai bahan kimia sama ada dalam bentuk racun, baja atau teknologi genetik yang diperkenalkan kini. Umumnya bagi pesakit keracunan ketika ditepuk akan kelihatan seperti serbuk garam kristal. Us. Mokhtar turut menegur sikap segelintir perawat yang mendakwa pesakit ini dibuat atau ini penyakit buatan orang agar tidak melakukannya sedemikian kerana ia amat bertentangan dengan etika Darussyifa' selain amat ditegah oleh Tuan Guru Dato' Dr Harun Din. Tugas perawat hanya merawat dan bukan menyatakan sesuatu maklumat yang tidak pasti. Perbagai ilmu dan pengalaman yang dicurahkan oleh Us. Mokhtar dalam kursus yang amat bermanfaat ini.

Us. Mokhtar b. Kassan sedang memberi kuliah