Isnin, 5 Januari 2009

Israel lancar serangan darat-Sumber Utusan Malaysia 5/1/09


GENTING GAZA 4 Jan. - Kereta kebal dan pasukan tentera Israel bertempur dengan pejuang Hamas hari ini dalam serangan darat yang dilancarkan oleh rejim Yahudi itu sejak lewat malam tadi selepas lapan hari bedilan udara gagal menghentikan serangan roket ke atas negara Yahudi itu.

Lengkap dengan gogal penglihatan malam dan celoreng di muka, askar Zionis menceroboh Gaza lewat malam tadi dengan kemaraan kereta kebal dari empat pintu masuk selain dibantu oleh helikopter tempur.

Menurut pegawai perubatan Palestin, tentera Israel telah menembak mati lapan penduduk Palestin termasuk tiga orang awam sekali gus menjadikan angka kematian meningkat kepada lebih 450 orang dalam pertempuran awal.

Israel menyatakan 30 askarnya cedera sejak permulaan serangan darat sementara bedilan udara telah mengenai lebih 45 sasaran termasuk terowong rahsia, fasiliti simpanan senjata dan skuad mortar.

"Semasa tembak-menembak berlaku malam tadi, puluhan pejuang Hamas telah ditembak," demikian menurut kenyataan tentera Israel.

Israel juga telah menggerakkan puluhan ribu askar simpanan sementara jurucakap ketua tentera menyatakan bahawa operasi di kawasan yang ditadbir Hamas itu akan "berterusan selama beberapa hari."

Angka kematian pasti meningkat ketika masyarakat antarabangsa terus mendesak Israel menamatkan tindakan ketenteraan terbesarnya ke atas Gaza sejak empat dekad lalu serta mewujudkan risiko politik kepada pemimpin negara Yahudi itu sendiri menjelang pilihan raya umum pada 10 Februari ini.

Lebih menyayat hati, kelangsungan hidup 1.5 juta penduduk Palestin menjadi lebih melarat kerana ramai yang berkurung di rumah ketika agensi kemanusiaan memberi amaran bahawa bekalan air, makanan dan perubatan semakin menyusut.

- Reuters

0 ulasan:

Catat Ulasan