Isnin, 13 April 2009

Makanan Halal-Satu Tuntutan


Allah S.W.T tidak pernah menghalang manusia menikmati makanan yang baik malah ia amat dianjurkan. Namun Allah menganjurkan bahawa setiap makanan yang diambil hendaklah baik dan halal. Makanan yang baik mendatangkan kesan yang baik pada tubuh badan manakala makanan yang halal bukan sahaja memberi kebaikan malah turut memberi keberkatan pada diri dan kehidupan. Makanan yang baik tidak semestinya mahal tetapi makanan yang baik itu mestilah makanan yang dihasilkan melalui proses yang bersih dan teratur serta tidak mengandungi bahan-bahan syubhat dan bahan yang boleh memudaratkan. Ummat Islam kini dilambakkan dengan perbagai bahan sama ada bahan makanan, produk kecantikan, produk penjagaan dan kesihatan serta perbagai produk baru yang diperkenalkan yang mana kandunganya kadangkala tidak diketahui punca serta kesan baik dan buruknya. Umumnya produk-produk baru sebegini seringkali digambarkan dengan perbagai kebaikan seolah-olah ia tidak mendatangkan kesan buruk sedikitpun. Namun, awas, produk-produk sebeginilah yang sering menjerat pembelinya. Berapa ramai wanita yang menderita perbagai penyakit barah dan misteri hasil mengambil pil-pil langsing, ubat-ubat kecantikan dan perbagai produk kesihatan yang tidak dapat dipastikan kebenaran keberkesanan dan kebaikannya melalui badan-badan yang diiktif. Kebiasaannya produk sebegini sememangnya mampu memberi kesan seperti yang dihajati, namun kesan sampingan hasil pengambilannya biasanya tidak diketahui. Akibatnya ummat Islam tertipu dan menderita akibat kecuaian dan keghairahan mereka untuk kelihatan cantik sepanjang masa dengan mengambil produk tersebut. Kebanyakan produk-produk sebegini datangnya daripada negara barat yang dikatakan maju dalam segala macam teknologi. Sememangnya negara barat seperti Amerika, Jepun, Britain dan lain-lain negara merupakan antara negara yang maju dalam perbagai lapangan bidang. Namun, teknologi dan kecanggihan mereka kadang-kala tidak sehebat seperti yang mereka gambarkan dalam filem-filem keluaran mereka. Kesemua instrumen mereka mainkan agar kita mengaungkan mereka dengan paparan seolah-olah mereka terlalu maju sehinggakan apa sahaja bahan dan produk dari mereka kita telan tanpa kaji dan selidik apakah kesan sampingan hasil mengambilnya apatahlagi sumber dalam menghasilkannya apakah halal atau sebaliknya. Bahan-bahan ini kadangkala dijual melalui agen tertentu ataupun melalui progrem yang dikenali sebagai MLM (Multi Level Marketing) atau yang seumpamanya yang pakar-pakar syariah telah berpendapat terdapat sesetengah konsep MLM yang HARAM.
Produk-produk kecantikan yang halal yang dihasilkan oleh orang Islam bukan tiada tetapi sukar menembusi pasaran disebabkan kesan pengambilannya yang lambat berbanding bahan yang didatangkan daripada negara barat. Biasanya produk-produk dari Barat ini meletakkan kenyataaan kandungannya dengan menggunakan perkataan saintifik. Kurang minat mengkaji makna perkataan saintifik tersebut telah menyebabkan umat Islam terus menjadi pengguna kepada bahan yang HARAM. Inilah lemahnya ummat Islam, sifat malas dalam menuntut ilmu menyebabkan mereka terus dipermain-mainkan oleh musuh-musuh Islam tanpa mereka sedari. Ummat Islam adalah antara penghuni terbesar didunia ini, namun ia menjadi pengguna setia kepada barangan musuh mereka sendiri tanpa prejudis sedikit pun!! Paling menghairankan terdapat sesetengah barangan yang digunakan ummat Islam sebut dihasilkan oleh musuh Islam tetapi musuh Islam yang menghasilkan produk tersebut tidak pernah menggunakan barangan tersebut. Islam sememangnya menganjurkan agar ummatnya memelihara kesihatan. Namun, kesihatan yang dicari mestilah mengikut batas-batas yang ditetapkan syarak. Terdapat juga umat Islam kini yang tidak memperdulikan bahan makanan yang dimakan seperti mee, fishball, kicap, sos yang digunakan sehingga sanggup menggunakan barangan buatan orang kafir hanya kerana bahan tersebut dikatakan mampu menghasilkan makanan yang sedap.

Ummat Islam hari ini bukan sahaja tidak teliti dalam hal-hal halal-haram dalam produk kesihatan dan kecantikan, malah turut tidak teliti status halal-haram dalam perkara muammalah seperti pelaburan di internet yang pernah digemparkan pada satu ketika dahulu. Konsep perniagaan yang menjanjikan pulangan lumayan serta kaedah ala skim cepat kaya yang kadangkala konsepnya amat diragui tetap menjadi pilihan umat Islam Malaysia untuk menyertainya. Kerakusan dalam memiliki harta tanpa memikirkan halal-haram ini bukan sahaja amat mendukacitakan malah lebih parah lagi apabila ada pihak beraotoriti tertentu mengeluarkan Fatwa mendakwa skim pelaburan tertentu HALAL hanya dengan dakwaan "Kedudukan ekonomi anak bumi khasnya Islam dinegara ini dalam keadaan tenat dan sampai ke tahap dharurat yang dimaksudkan itu ialah dari aspek ekonomi umat secara berkelompok bukan dari sudut individu.“ Bermuamalah dengan skim ASN dan ASB adalah harus dan segala keuntungannya berupa dividen atau bonus hukumnya halal” (petikan daripada Jabatan Fatwa Negeri Perak). Ulama' yang sangat berhati-hati pastinya tidak akan mengizinkan fatwa dangkal ini dikeluarkan kerana sesungguhnya harta yang HARAM ini jika mendarah daging hanya api neraka sahaja yang layak baginya!! Inilah penegasan hadis nabi sebagaimana sabda baginda :

"Adapun hamba yang dagingnya tumbuh daripada makanan yang HARAM dan RIBA, maka neraka itu lebih utama baginya"

Apakah umat Islam di Malaysia terlalu tenat dan dharurat sampai memerlukan kepada sumber kewangan yang bercampur halal-haramnya? Berani sungguh si mufti dan ahli agama kini yang sanggup menyatakan sesuatu tanpa dilihat situasi dharurat itu sepertimana yang didifinasikan syarak. Syarak membenarkan perkara terlarang dalam hal-hal dharurat untuk tempoh dan waktu tertentu. Tetapi tidak sekali-kali mengizinkan dalam waktu yaang bukan dharurat.


Sesungguhnya setiap harta yang diperolehi kelak akan dipersoalkan. Maka sikap segelintir umat Islam yang memperolehi harta dengan jalan yang HARAM seperti mencuri, merampas hak orang lain sama ada melalui kegitan jenayah ragut mahupun melalui RASUAH, kesemuanya akan dihukum di mahkaamah Allah kelak. Malah kadangkala adanya golongan ini yang telah dihukum di dunia. Nikmat keberkatan tidak akan diperolehi pada mereka yang memakan harta yang HARAM. Jika kaya, pasti tidak ada rasa keamanan pada diri. Tiada anak yang berjaya. Jika ada anak yang berjaya sekalipun, barangkali anak yang dibesarkan tidak menghormati diri seterusnya bersikap kurang ajar. Hilangnya nikmat berkeluarga, sering dirundung perbagai masalah merupakan antara ujian mahupun kiffarah Allah atas perbuatan yang kita lakukan.

Ambillah berat akan makanan yang halal dan sumber yang HALAL kerana ia memberikan nilai didunia dan di akhirat. Ingatlah pesanan rasulullah S.A.W bermaksud:


"Wahai semua manusia, makanlah benda yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi".
Lalu Saad bin Abi Waqqas yang ketika itu berhampiran dengannya berkata:
"Ya Rasulullah, tolong pohonkan kepada Allah agar Allah jadikan daku seorang yang mudah diperkenankan doa."
Mendengar kata-kata Saad itu, lalu Baginda bersabda:
"Wahai Saad, perbaikilah makananmu, kau akan jadi seorang yang mustajab doa. Demi Tuhan dimana diri Muhammad dalam tanganNya, seseorang lelaki yang menelan seketul daging haram dalam perutnya tidak akan diterima doa daripadanya selama empat puluh hari. Adapun hamba yang dagingnya tumbuh daripada benda haram dan riba, maka neraka itu lebih utama baginya."


0 ulasan:

Catat Ulasan