Selasa, 31 Mac 2009

Jin Dan Hakikat Kewujudannya.



Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 2 hingga 4 yang bermaksud:

"AI-Quran itu tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi mereka yang bertakwa, iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan sembahyang dan menggunakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka".

Al-Quran menjelaskan diantara rukun iman yang wajib diyakini oleh umat Islam adalah beriman kepada perkara ghaib. Perkara ghaib adalah segala bentuk perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Antara perkara ghaib termasuklah kewujudan syurga, neraka, perlaksanaan perbicaraan di mahkamah Allah, serta kejadian makhluk-makhluk Allah yang tidak kelihatan seperti malaikat, jin dan syaitan. Tidak kelihatan dimata bukanlah beerti perkara itu tidak wujud. Sebagai contoh ahli elektrik seperti juruteknik elektrik dan jurutera elektrik sesungguhnya amat berhati-hati dalam melaksanakan kerja-kerja pendawaian elektrik yang mereka lakukan kerana kesilapan dalam melaksanakannya akan boleh menggadai nyawa mereka akibat renjatan elektrik yang berlaku. Tenaga arus elektrik ini tidak kelihatan dengan mata kasar tetapi boleh diketahui melalui alat elektrik yang digunakan seperti lampu, kipas elektrik dan sebagainya. Begitu juga seorang jurutera awam yang mengkaji daya tindakbalas yang berlaku keatas sesuatu binaan yang ingin dibina bagi mempastikan binaan selamat diduduki. Banggunan pencakar langit atau jambatan yang dibina mempunyai satu tindakbalas daya yang besar. Daya-daya tindakbalas ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan hanya dapat diketahui melalui ujikaji-ujikaji dan perkiraan metematik yang dilakukan. Penolakan segelintik manusia atas dasar kewujudan jin dikatakan tidak saintifik menunjukkan sikap kecetekan mereka terhadap ilmu sains itu sendiri. Perlu diingat, sesungguhnya sains hanya dapat membuktikan sebahagian ilmu Allah, namun terdapat banyak perkara yang sains belum mampu merungkainya. Sekiranya kewujudan jin disangkal hanya kerana didakwa tidak saintifik dan kolot, mengapa perlunya Jurutera Awam, ahli-ahli geologis mengkaji daya-daya dibumi, daya-daya struktur dan sebagainya yang mana kesemua daya-daya ini tidak dapat dilihat pada mata fizikal manusia. Sesungguhnya arus elektrik mahupun daya-daya tindakbalas ini kesemuanya merupakan makhluk ciptaaan Allah. Maha suci Allah yang mempunyai kerajaan di langit dan bumi. Demikian juga bagi penciptaan jin yang turut merupakan makhluk ciptaan Allah yang diberi taklif keatasnya. Firman Allah :

" Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu"

(Az-Zariyyat: 56)

Al-Quran menjelaskan bahawa jin berasal daripada api. Ini bermakna sifat asal jin itu adalah daripada api yang panas manakala manusia berasal daripada tanah. Firman Allah :


"Dan Kami menciptakan jin dari nyalaan api"

(Ar-Rahman : 15)

dalam ayat yang lain Allah menyebut:


" Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas"

(al-Hijr: 27)

Menurut sesetengah pendapat kata jin berasal dari kata Janna iaitu menutupi sesuatu, atau segala yang tidak terlihat. Contohnya perkataan janin beerti anak yang masih berada dalam kandungan ibunya. Dinamakan demikian kerana ia tidak kelihatan. Kata janan beerti hati yang tertutup dan tidak mampu dilihat manakalan kata junun beerti tertutup akalnya iaitu GILA. Jin merupakan makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat dilihat manusia sepertimana firman Allah:


"Sesunggunya ia dan pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka"

(al-A'raf: 27)


Kewajiban mempercayai kewujudan jin ini amat jelas. Sekiranya jin tidak wujud masakan ada satu surah yang dikenali sebagai surah al Jin serta penjelasan-penjelasan al-Quran dan Hadis mengenainya.


Sebahagian dalil al-Quran dan al Hadis mengenai jin:


" Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami hadapkan serombongan jin datang kepada kamu untuk mendengarkan al-Quran"

(al Ahqaf: 29)


"Wahai golongan jin dan manusia, bukankah telah datang kepada kamu rasul-rasul dari golongan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayat Ku dan memberi peringatan kepada kamu terhadap pertemuan kamu dengan hari ini? (kiamat)"

(al-An' am: 130)


"Wahai golongan jin dan manusia, jika kamu dapat menembus keluar dari kawasan langit dan bumi. Maka cubalah kamu menembusi keluar. Kamu tidak akan dapat menembusinya melainkan dengan satu kekuasaan "

(ar Rahman: 33)


"Katakanlah (Wahai Muhammad) Telah diwahyukan kepadaku bahawa sesungguhnya satu rombongan jin telah mendengar (al-Quran yang aku bacakan) lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya) dengan berkata: Sesungguhnya kami telah mendengar al-Quran yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan"

(al Jin: 1)


Imam at Tabari meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya Rasulullah S.A.W bersabda:-

"Jin itu ada tiga golongan. Satu mempunyai sayap yang boleh terbang, satu golongan berupa ular dan satu golongan lagi berpindah dan bertempat"


wallahua'lam


*Saiful Adli Samsudin

0 ulasan:

Catat Ulasan