Sabtu, 16 Mei 2009

Selsema Babi H1N1: Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan

Situasi Semasa Wabak Swine Fludan langkah-langkah yang diambiloleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Sehingga 27 April 2009, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertarikh 27 April 2009 berkaitan wabak Swine Influenza A (H1N1), terdapat 40 kes yang disahkan melalui ujian makmal di Amerika Syarikat dan 26 kes di Mexico dengan 7 kematian. Di Mexico juga sebanyak 1,840 kes yang disyaki Swine Influenza A/H1N1 dilaporkan dengan 104 kematian. Kes juga disahkan di Kanada (6 kes), Scotland (2 kes) dan Sepanyol(1 kes), tiada kematian dilaporkan di tiga negara berkenaan. Tiada kes dilaporkan di lain-lain negara. Sementara itu, New Zealand melaporkan sebanyak 25 kes disyaki Swine Influenza A/H1N1. Berdasarkan situasi terkini wabak Swine Influenza, WHO telah meningkatkan amaran Influenza Pandemik daripada Fasa 3 kepada Fasa 4. Peningkatan Fasa ini menunjukkan terdapat kemungkinan berlakunya Pandemik, tetapi ini tidak bermakna pandemik tidak dapatdibendung. WHO juga melaporkan Fasa ini boleh turun ke Fasa 3 atau meningkat ke Fasa yang lebih tinggi bergantung kepada situasi dan maklumat terkini.
Fasa 4 ini bermaksud berlaku penularan antara manusia ke manusia dan boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti. Walau bagaimanapun, WHO menyarankan TIADA sebarang tindakan sekatan dari segi kesihatan, perjalanan, dan perdagangan yang perlu dilakukan oleh setiap negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa.
Di Malaysia buat masa ini tiada kes yang disyaki memenuhi kriteria penyakit Swine Influenza. Berdasarkan survelan `influenza-like illness’, tiada peningkatan kes dan kes berkelompok (cluster) yang dilaporkan. Bermula pada 26 April 2009, Kementerian Kesihatan telah pun mengambil tindakan-tindakan persediaan yang seperti berikut;-

a) Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak Swine Flu dengan pihak WHO bagi memastikantindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia.

b) Meningkatkan pemantauan ‘influenza-like illness’ di semua peringkat kemudahan kesihatan termasuk kemudahan kesihatan swasta dan kerajaan.

c) Kementerian telah mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia yang ingin melawat Mexico, USA, Kanada dan negara-negara lain yang terlibat dengan penyakit Swine Flu.

d) Saringan tanda-tanda jangkitan Swine Flu di pintu masuk KLIA telah dimulakan pada 27 April 2009 di mana sejumlah 428 penumpang dan krew syarikat penerbangan dari negara/kawasan yang dilanda wabak Swine Flu telah disaring dan diberi Health Alert Card dan Health Declaration Form. Sehingga kini tiada kes yang disyaki dikesan. Saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa akan berkuatkuasa mulai 28 April 2009.

e) Membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa situasi wabak Swine Flu untuk maklumat orang awam di Malaysia dan langkah kawalan dan pencegahan yang diambil oleh Kerajaan.
f) Satu mesyuarat Jawatankuasa Teknikal yang melibatkan beberapa agensi yang berkaitan akan diadakan pada 29 April 2009 bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai langkah pencegahan dan kawalan yang bersepadu.

Memandangkan WHO telah meningkatkan tahap wabak daripada Fasa 3 kepada Fasa 4, Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan lawatan antarabangsa keluar negara terutamanya ke negara yang sedang dilanda wabak sekiranyatidak perlu dan keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Individu yang jatuh sakit semasa dalam perjalanan antarabangsa dikehendaki mendapatkan rawatan doktor.
Orang awam yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan dengan wabak Swine Flu ini boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 pada waktu pejabat. Maklumat terkini boleh dicapai di laman web Kementerian (www.moh.gov.my).
Sekian dan terima kasih.


TAN SRI DATO’ SERI DR. HAJI MOHD ISMAIL MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan MalaysiaTarikh: 28 April 2009


0 ulasan:

Catat Ulasan