Selasa, 26 Mei 2009

Jampi Mentera Menurut Al -Quran & Al Sunnah

Masyarakat Arab seringkali menggunakan ruqyah dalam kehidupan seharian mereka. Ruqyah ini juga diistilahkan sebagai jampi. Sesetengah orang yang menolak penggunaan jampi dengan mendakwa bahawa Islam tidak pernah menggunakan jampi adalah merupakan kelompok manusia yang tidak berhati-hati ketika membuat kenyataan. Ini kerana hadis nabi jelas menunjukkan baginda rasulullah sendiri pernah menggunakan jampi dalam peristiwa isra' mikraj ketika mana baginda diganggu oleh Jin Ifrit. Jampi yang digunakan baginda dikenali sebagai ruqayyah jibril. Malah beberapa peristiwa turut merakamkan penggunaan beberapa jampi sama ada yang bersumber hadis mahupun al-Quran itu sendiri. Penggunaan ayat al-Quran sebagai jampi yang paling mashur adalah ayat-ayat yang dikenali sebagai al-mu' awwizat. Sebuah hadis merakamkan :


" Auf bin Malik berkata, kami pernah menggunakan jampi mentera ketika jahiliyyah dahulu lalu kami bertanya: "Wahai rasulullah apakah pendapat kamu tentang perkara ini ?" Baginda menjawab: " Kemukakan padaku mentera kamu itu. Tidak mengapa jampi mentera itu selagi tidak mengandungi syirik".

Hadis daripada Abdullah b. Masud ia berkata: Ketika rasulullah s.a.w sedang sembahyang, ketika sujud jari baginda telah disengat oleh seekor kala jengking. Lalu baginda pun berpaling dan berkata:" Allah melaknat kala ini juga dilaknat oleh nabi dan tidak padanya yang lain. Kemudian baginda berdoa pada sebuah mangkuk yang berisi air dan garam. Baginda meletakkan tempat yang kena sengat dalam air garam dan membaca Qul huwa Llahu ahad dan al mu' awwizatain sehingga sembuh".

Aisyah r.a merakamkan saat-saat kewafatan baginda melalui hadis berikut:

Diriwayatkan oleh A'isyah r.a. Rasulullah s.a.w telah menghembuskan ke atas dirinya ketika sakit yang membawa kewafatan baginda dengan al mu' awwizat. Apabila sakitnya bertambah berat, aku menghembuskannya denga al mu' awwizat kemudian aku sapu dengan tangan baginda sendiri untuk mengambil barakah. Al Zuhri bertanya: Bagaimana cara dia menghembus? Jawabnya: Baginda menghembus ke atas dua tapak tangan kemudia menyapu mukanya dengan kedua-dua tapak tangan itu".

Fatimah r.a turut merakamkan peristiwa berikut:

Dari Fatimah binti Muhammad s.a.w bahawasanya rasulullah tatkala ia (Fatimah) hampir bersalin, baginda telah menyuruh Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsy datang menemui Fatimah. Maka kedua-duanya membaca ayat Kursi dan ayat inna Rabbukumu 'Llah hingga akhir ayat, disisinya dan mereka berdua meminta perlindungan baginya dengan mu 'awwidhatain.

Hadis riwayat Ibn Abbas menyatakan:-

Rasulullah s.a.w membaca jampi melindungi Hassan dan Hussain dengan katanya (ertinya):-

"Aku memohon perlindungan kamu berdua dengan menyebut kalimah-kalimah Allah yang sempurna, daripada setiap penyakit, angkara syaitan, sekalian binatang berbisa dan daripada setiap mata yang memberi kecelakaan. Sabdanya lagi: Beginilah Nabi Ibrahim menjampi melindungi Ishak dan Ismail a.s"

Daripada Asma' Binti Umays, ia bertanya: Ya Rasulullah, bahawa anak Jafar terkena sakit pancaran mata jahat. Bolehkah aku membawa jampi bagi mereka? Baginda menjawab: Boleh. Kerana sesungguhnya jika ada sesuatu itu boleh mendahului takdir nescaya kesan daripada pancaran mata jahat itu akan mendahuluinya."

Sesungguhnya mengamalkan jampi yang bersumber daripada al-Quran mahupun al Hadis adalah lebih baik berbanding mengamalkan jampi yang bersumber daripada amalan orang tua dahulukala. Sungguhpun kandungan jampi yang digunakan tidak bertentangan Islam, namun penggunaan jampi dari al-Quran dan petunjuk rasulullah tentulah tidak akan dapat menandingi jampi-jampi sebaliknya. Selain mendapat keberkatan, jampi menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis tentunya diberi ganjaran pahala yang amat besar darisegi pengamalannya sebagai sunnah serta pengamalannya dalam mendapatkan keberkatan dan keredhoan Allah dalam mendapatkan kesembuhan selain dapat meningkatkan keyakinan dan keimanan kepada Allah.

Wallahua'lam

Saiful Adli b. Samsudin


0 ulasan:

Catat Ulasan