Isnin, 19 Oktober 2009

Haramkan makanan GM

RAMAI pengguna di seluruh dunia memakan makanan yang dihasilkan daripada tanaman yang diubah suai secara genetik atau GM (genetically modified) secara tidak sengaja. Tidak ketinggalan di Malaysia, ramai di antara kita yang tidak tahu yang kita memakan makanan GM sebab makanan yang mengandungi ramuan GM juga dijual di sini.
Pengguna membelinya tanpa mengetahui hal sebenar kerana makanan dengan ramuan GM adalah tidak ketara, kecuali jika ia dijelaskan dalam label.
Makanan yang diimport oleh Malaysia merupakan pintu masuk makanan GM. Makanan untuk ternakan juga adalah pasaran besar bagi tanaman GM. Di kebanyakan negara, daging, hasil tenusu dan telur yang dihasilkan daripada haiwan ternakan yang diberi makanan GM tidak perlu dilabelkan kerana wujudnya kelemahan dalam undang-undang penglabelan makanan.
Ramuan GM juga banyak digunakan dalam makanan diproses, contohnya di Amerika Syarikat, di mana kebanyakan tanaman GM adalah ditanam. Ini adalah alasan kenapa kerajaan Malaysia mengalami tekanan untuk membatalkan penglabelan wajib bagi makanan dan produk GM semasa perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas di antara Amerika Syarikat dan Malaysia kerana ia didakwa akan menghalang peluang pasaran bagi syarikat bioteknologi Amerika Syarikat.
Melalui makanan ternakan, GM juga memasuki rantaian makanan manusia. Di United Kingdom (UK), menurut kajian Soil Association, hampir semua susu, hasil tenusu dan khinzir di pasar raya UK adalah dihasilkan daripada haiwan yang diberi makanan tanaman GM dan semuanya tidak berlabel. Laporan 2007 ini mendapati 60 peratus daripada jagung dan 30 peratus daripada soya yang diberikan sebagai makanan lembu dan khinzir adalah yang diubah suai genetik.
Kenapakah kita sebagai pengguna harus was-was dengan makanan GM? Kejuruteraan genetik melibatkan pemindahan asid nukleik daripada satu konteks genetik ke yang lain, kerapnya dengan spesies lain atau secara kombinasi, dan ini adalah tidak wujud secara semula jadi. Perubahan genetik ini adalah amat berbeza daripada kaedah pembiakan tradisional.
Oleh kerana organisma hidup adalah amat kompleks, jurutera genetik tidak boleh meramalkan semua kesan daripada pengenalan perubahan genetik ini. Makanan yang diubah suai genetik diperkenalkan tanpa mengira risiko kepada kesihatan dan yang amat dibimbangkan adalah kesan buruknya tidak boleh dipulihkan semula.
Tanaman yang diubah suai genetik adalah ditanam dan dimakan oleh pengguna, walaupun kurang kajian saintifik mengenai risiko kepada kesihatan, kaedah mengkaji keselamatan adalah tidak memadai untuk menilai bahaya yang mungkin berlaku, ia mungkin membawa toksin yang tidak diketahui dan juga mampu meningkatkan risiko reaksi alahan.
Pada bulan Mei 2009, Akademi Perubatan Persekitaran Amerika (American Academy of Environmental Medicine - AAEM), sebuah persatuan antarabangsa berpusat di Amerika Syarikat menggesa satu moratorium ke atas makanan ubah suai genetik, menyatakan yang ia membawa kepada 'risiko kesihatan yang serius'.
AAEM merumuskan bahawa 'wujud lebih daripada perkaitan kasual di antara makanan GM dan kesan buruk kesihatan' dan 'makanan GM membawa risiko kesihatan serius dari segi toksikologi, alahan dan fungsi imun, kesihatan reproduktif, metabolik, fisiologi dan kesihatan genetik'.
Oleh kerana makanan GM membawa kepada risiko kesihatan serius, AAEM percaya bahawa kita perlu mengambil prinsip mencegah dan berhati-hati.
Di Malaysia, terdapat lima jenis transgenik yang telah diluluskan iaitu 'kacang soya Roundup Ready, jagung MON 810, jagung MON 863 dan jagung NK 603 untuk kegunaan sebagai makanan, untuk ternakan dan pemprosesan, serta juga protein membentuk ais yang dihasilkan daripada yis GM, yang digunakan dalam aiskrim. Kelima-lima ini telah diluluskan sebelum undang-undang bio-keselamatan wujud di Malaysia.
Kini kita mempunyai perlindungan undang-undang dengan adanya Akta Biokeselamatan 2007 (Akta 678), tetapi Akta ini masih belum dilaksanakan sepenuhnya kerana peraturan untuk perlaksanaan masih dalam bentuk draf.
Di samping kesan kepada kesihatan yang mungkin berlaku apabila kita memakan makanan GM, pengenalan tanaman GM yang toleran racun rumpai adalah dikaitkan dengan peningkatan penggunaan racun perosak. Ini membawa kepada kesan kesihatan berkaitan dengan residue racun perosak dalam makanan kita.
Bagaimanakah pengguna boleh membuat keputusan mengenai makanan GM memandangkan kita kurang mempunyai maklumat mengenai keselamatannya atau kewujudannya dalam makanan kita?
Daripada perspektif pengguna, penglabelan penuh yang wajib untuk makanan dan barangan GM adalah perlu agar pengguna boleh memilih sama ada hendak memakan makanan GM. Dengan penglabelan, pengguna boleh tahu ramuan, kandungan GM dalam makanan dan memberi amaran kepada yang mempunyai alahan atau bimbang tentang kesihatan mereka. Label juga akan membantu mengesan punca masalah kesihatan yang berbangkit daripada makanan GM ini.
Penglabelan mestilah diwajibkan untuk sebarang makanan, walaupun dengan satu ramuan GM; tidak kira peratusan kandungan GM; serta yang dihasilkan dengan organisma atau enzim yang diubah suai genetik. Penglabelan akan membantu pengguna memilih, khasnya dari segi pandangan agama, etika dan moral.
Makanan dan tanaman GM telah menunjukkan ada risiko kepada kesihatan manusia dan binatang, serta menyebabkan masalah sosio-ekonomi dan alam sekitar. Dengan adanya kaedah yang selamat untuk memenuhi keperluan makanan dunia pada masa kini dan akan datang, contohnya dengan pertanian organik yang mapan, tanaman GM adalah suatu risiko yang tidak diperlukan.
Sehubungan ini, kami menyeru kepada kerajaan Malaysia untuk mengharamkan semua makanan yang dihasilkan melalui kejuruteraan genetik, mengharamkan pengimportan makanan mengandungi ramuan GM dan membatalkan kelulusan yang diberikan kepada lima bahan transgenik di Malaysia. Selain daripada ini, semua kajian kejuruteraan genetik yang dijalankan perlu dibatalkan dan bahan kajian adalah dilupuskan dengan selamat untuk mencegah sebarang kontaminasi.

S.M. MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan
Pengguna Pulau Pinang

0 ulasan:

Catat Ulasan