Rawatan Pengubatan Islam umumnya sinonim dengan rawatan yang menggunakan al-Quran dan doa-doa yang tsabit daripada hadis rasulullah s.a.w. Rawatan sebegini pernah ditunjukkan oleh baginda melalui hadis-hadisnya antaranya kisah Abu Said al Khudri r.a juga kisah-kisah yang lain yang mana kesemuanya menunjukkan baginda rasulullah membenarkan serta mengajarkan satu kaedah pengubatan dalam mengatasi masalah manusia. Pengubatan yang dibawakan oleh baginda rasullullah s.a.w ini mengajak kepada manusia agar meletakkan pergantungan kepada Allah s.w.t semata-mata dalam menghadapi masalah.
Sejarah merakamkan, manusia sejak zaman jahiliyyah lagi telah mengetahui dan mengamalkan beberapa petua dan kaedah pengubatan sama ada ia berasaskan herba, urutan mahupun menggunakan jampi atau mentera. Namun kehadiran rasulullah yang membawa rahmat ke atas sekalian alam ini telah memberikan petunjuk buat ummat manusia agar meninggalkan segala bentuk amalan yang bercanggah dengan syariatNya.
Umumnya manusia sememangnya dijadikan Allah dengan sifatnya yang suka mengkaji dan berinovasi dari satu masa ke satu masa sehingga menghasilkan teknologi yang canggih pada masa kini. Namun demikian, kehadiran agama ini sebagai pembeza sama ada setiap yang dilakukan itu bertepatan dengan keredhoan Allah atau sebaliknya. Atas dasar ini agama ini diturunkan. Islam sebagai pembeza dan pembawa kebenaran buat sekalian alam.
Nabi mengajarkan kita semua berdoa dalam menghadapi penyakit dan musibah. Nabi ajarkan kaedah-kaedah rawatan yang menggunakan air, daun bidara, kurma dan sebagainya yang mana jika dilihat pada hari ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan perubatan menggunakan herba atau menggunakan ubat-ubatan yang diperakui dapat membantu melegakan penyakit boleh digunakan dalam usaha-usaha kesembuhan. Malah nabi juga mengiktiraf penggunaan jampi selagi mana kandungannya tidak membawa syirik kepada Allah. Ini dijelaskan melalui hadis baginda:-
" Auf bin Malik berkata, kami pernah menggunakan jampi mentera ketika jahiliyyah dahulu lalu kami bertanya: "Wahai rasulullah apakah pendapat kamu tentang perkara ini ?" Baginda menjawab: " Kemukakan padaku mentera kamu itu. Tidak mengapa jampi mentera itu selagi tidak mengandungi syirik".
Penjelasan mengenai jampi mentera ini telah dinyatakan dalam siri artikel yang lalu.
Sesungguhnya para ulama' dalam meneliti hadis rasulullah s.a.w telah menggariskan beberapa panduan dalam mengamalkan perubatan iaitu :-
1. Setiap perubatan yang dilakukan hendaklah menggunakan bahan yang halal.
2. Tidak menggunakan bahan yang berunsur najis
3. Menggunakan jampi yang difahami maknanya serta tidak mengandungi kata-kata lucah, penipuan serta syirik kepada Allah.
4. Meletakkan keyakinan bahawa kesumbuhan hanyalah dari Allah semata-mata
Berdasarkan kenyataan diatas juga, jelas menunjukkan Islam mengiktiraf perubatan-perubatan yang telah diamalkan oleh ummat manusia selagi mana ia tidak mendatangkan syirik kepada Allah.
Kewujudan Darussyifa' pada tahun 1980-an (didaftarkan) merupakan satu usaha murni yang telah dilakukan oleh Tn Guru Dato' Dr Haron Din dalam usaha memberi kefahaman serta menentang perlakuan syirik yang merupakan amalan sebahagian masyarakat malayu. Tuan Guru Dato' Dr Haron Din telah mendalami perubatan Islam ini bukan sahaja dikalangan pengamalnya dari kalangan bangsa Melayu, malah turut mempelajarinya daripada bangsa arab sewaktu beliau belajar di Mesir satu ketika dahulu. Perbagai ilmu dan pengalaman yang ditimba beliau telah memberikan kepada beliau kefahaman yang mantap dalam membezakan antara setiap kaedah pengubatan sama ada ia selari dengan al-Quran atau sebaliknya.
Pada masa awal penubuhan Darussyifa' dahulu, perbagai teknik dan kaedah rawatan diperkenalkan. Kaedah rawatan menggunakan kaedah tidur antara satu teknik rawatan yang popular. Malah Tuan Guru turut mengajarkan kaedah rawatan menggunakan jampi-jampi melayu yang dilihat tidak membawa kepada Syirik kepada Allah.
Namun demikian, setelah diperhalusi, Tuan Guru mendapati, terdapat beberapa kaedah pengubatan sungguhpun ia tidak bercanggah dengan al-Quran, namun ia boleh mendatangkan fitnah atau salah tanggapan masyarakat keatas pengubatan Islam seterusnya boleh melumpuhkan keseluruhan sistem pengubatan Islam yang didokong. Atas kesedaran ini, Tuan Guru Dato' Dr Haron Din telah mengambil inisiatif agar beberapa kaedah rawatan tidak diajarkan dan diamalkan lagi. Kesemua kaedah termasuklah penggunaan jampi melayu dan kaedah rawatan tidur juga tidak diamalkan. Malah Darussyifa' sendiri telah mengeluarkan arahan kepada para perawatnya agar tidak lagi melakukan kaedah-kaedah tersebut dalam melakukan rawatan. Silibus pendidikan dan pengajian perubatan Islam yang diajarkan di Darussyifa' turut diubah dimana, Tuan Guru hanya akan mengajarkan kaedah-kaedah yang lebih banyak menggunakan ayat al-Quran serta doa-doa yang tsabit daripada nabi mahupun doa-doa daripada para aulia dan ulama'-ulama' muktabar. Ini selaras dengan Hadis nabi yang bersumberkan Saidina Ali b. Abi Talib r.a : "Sebaik-baik ubat itu adalah al-Quran" (Riwayat Tirmizi). Jika terdapat mana-mana pelajar mahupun bekas pelajar Darussyifa' mahupun mereka-mereka yang pernah mendalami ilmu perubatan Islam daripada Tuan Guru Dato' Dr Harun Din serta pernah mendalami ilmu berkenaan, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Tn Guru tidak lagi mengajarkannya bagi mengelakkan perkara salah faham ini timbul dan berlaku. Terdapat sebahagian pelajar yang pernah mendapatkan ijazah pengubatan Islam di Darussyifa' mendakwa Darussyifa' membenarkan tindakan merawat menggunakan tongkat, menggunakan besi kuning, picitan dijari atau tunjalan pada mata serta sebagainya. Adalah dijelaskan disini bahawa sesungguhnya dakwaan itu tidak benar sama sekali. Darussyifa' amat menentang keras perlakukan sedemikian. Darussyifa' tidak pernah malah melarang penggunaan kayu atau sebagainya dalam merawat pesakit. Sekiranya ada perawat menggunakan kaedah demikian ianya mungkin selari dengan kaedah yang mereka pelajari tetapi tindakan sedemikian tidak dilakukan oleh Darussyifa'. Darussyifa' merasakan kuasa mutlak penyembuh penyakit bukanlah pada doa yang dibaca, atau mana-mana perawat Darussyifa'. Sebaliknya kuasa penyembuh adalah hak mutlak Allah. Doa dan kaedah rawatan hanyalah wasilah dalam mendapatkan kesembuhan semata-mata. Justeru, kaedah rawatan doa sama ada bersumber al-Quran, al-Hadis mahupun amalan ulama' dirasakan amalan terbaik dalam pengubatan jika dibandingkan kaedah lain seperti kaedah tidur, kaedah jurus atau lain-lain kaedah yang sungguhpun ia nampak menarik tetapi demi agama ini sesungguhnya setiap yang beriman wajib menyakini hanya kaedah bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah sahaja yang terbaik mengatasi segalanya walaupun ianya kelihatan agak lambat dalam kesembuhan. Sesungguhnya cemat atau lambatnya sembuh seseorang pesakit bukan kerana kaedah-kaedah jurus atau sebagainya tetapi kesemuanya atas kehendak Allah s.w.t. Mengubati pesakit menggunakan kaedah yang digarap di Darussyifa' melatih setiap perawatnya agar bergantung harap hanya pada Allah semata-mata. Kekurangan dan lambatnya kemakbulan doa perlu dilihat pada kualiti diri perawat agar meningkatkan amalan dan keihlasan selain bahan makan minuman seharian sepertimana yang disebutkan dalam sunnah rasulullah s.a.w.
Kaedah-kaedah yang kelihatan hebat sungguhpun ia tidak bertentangan Islam, dikhuatiri akan menimbulkan riyak dihati perawat. Merasakan dirinya mampu mengubati segalanya sedangkan ujian riyak ini merupakan ujian paling berat bagi semua perawat Islam. Terdapat sesetengah orang yang telah diijazahkan dengan ijazah pengubatan Islam di Darussyifa' kemudian merasakan ilmu Darussyifa' tidak power! lambat sembuh dan sebagainya menyebabkan ia mengambil ilmu perubatan lain tanpa mengetahui rahsia ilmu tersebut telah menyebabkan dirinya tertipu dengan permainan syaitan. Lebih parah lagi apabila perawat berkenaan murid Us Haron Din tetapi dalam masa yang sama telah mencampur adukkan ilmu Perubatan Islam dengan ilmu yang bertentangan dengan Islam-Nauzubillah. Kes-kes sebegini, sememangnya diperhatikan oleh Darussyifa'. Sekiranya kes sebegini diketahui oleh Jawatankuasa Disiplin Darussyifa'. Maka pihak Jawatankuasa akan mengambil tindakan membatalkan ijazah yang dikeluarkan serta tidak lagi mengiktirafnya sebagai ahli atau murid kepada Tuan Guru Dato' Dr Haron Din.
Sepanjang lebih 20 tahun penubuhannya, Darussyifa' telah melalui perbagai ragam sama ada dikalangan ahli mahupun pesakit yang datang menemuinya. Ragam-ragam ini telah menjadi rencah dalam melayari bahtera dakwah kepada ahli dan pesakit agar syariat Allah dapat berkembang di bumi Malaysia yang tercinta. Melalui pengubatan ini, pengetahuan dan kesedaran agar meninggalkan perbuatan syirik telah berjaya di sampaikan kepada masyarakat. Malah perkembangan positif turut berlaku kepada pesakit bukan Islam yang akhirnya memeluk Islam melalui program-program yang dilaksanakan oleh Darussyifa'. Sesungguhnya Tuan Guru Dato' Dr Haron Din amat menitik beratkan kefahaman yang betul kepada setiap ahli dan perawat agar menjadi hamba Allah yang ikhlas dan benar dalam setiap tindakan.
Wallahua'lam
Saiful Adli b. Samsudin
0 ulasan:
Catat Ulasan