Rabu, 30 September 2009

Info Pengguna:Sotong kering mengandungi kadmium

PULAU PINANG 29 Sept. - Para penggemar sotong kering pasti kecewa apabila mengetahui makanan laut itu sebenarnya mengandungi logam jenis kadmium yang boleh didapati dalam bateri, plastik serta baja fosfat. Kandungan kadmium tersebut juga dikatakan mampu menyebabkan peminatnya berisiko menghidapi kanser payu dara dan prostat serta berupaya mengakibatkan buah pinggang gagal berfungsi dengan baik.
Pendedahan mengejutkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu turut mendedahkan bahawa makanan laut kering lain seperti tiram, ikan bilis dan udang juga mengandungi kadmium. Menurut Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris, hasil ujian yang dilakukan oleh pihaknya mendapati kandungan kadmium dalam sotong kering agak membimbangkan malahan ada yang melebihi empat kali ganda daripada kadar dibenarkan."Dalam satu ujian secara rawak, enam sampel sotong kering diuji untuk mengesan kandungan kadmium. Hasilnya, lima sampel mengandungi kadmium dengan tiga daripadanya melebihi piawaian keselamatan.
"Mengikut Peraturan Makanan 1985, jumlah kadmium yang terkandung dalam makanan tidak seharusnya melebihi 1.00 bahagian per sejuta," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. Kadmium digunakan dalam galvani dan elektropenyaduran dalam bateri, konduktor elektrik, pembuatan aloi, pigmen dan plastik selain memantapkan baja fosfat.
Mohamed Idris berkata, selain menjadi bahan kimia pengganggu endokrin (EDC), kadmium juga mempunyai kesan buruk ke atas organ tertentu dalam tubuh kerana kadar serapan bertambah jika kekurangan kalsium dan zat besi. Katanya, kadmium dibawa menerusi aliran darah oleh sel-sel darah merah dan molekul protein yang besar. "Kebanyakan beban kadmium dalam tubuh terkumpul dalam hati dan buah pinggang. Walaupun buah pinggang menjadi organ sasaran kadmium kesan-kesan lain mungkin berlaku dalam tulang dan perut.
"Ini diperhatikan melalui satu sindrom yang berlaku di Jepun di mana pesakit mengalami sakit tulang teruk serta osteomalasia (pelembutan tulang)," jelasnya.
Sumber : Utusan Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan