SOALAN: Sering disebut pada bulan ramadhan, syaitan, jin dan ifrit dirantai, ditambat atau dibelenggu. Akan tetapi pada bulan ramadhan juga ada orang ternampak jin, ada juga orang melakukan maksiat, mengundang dosa besar, ada yang bergaduh sehingga berbunuh-bunuhan sedangkan sedangkan semua itu kerja syaitan. Bagaimanakah ia boleh berlaku, sedangkan semua makhluk halus dipenjarakan? Mohon Dato' huraikan. Terima kasih - ADNAN ABDUL AZIZ, Batu Gajah.
JAWAPAN: Mungkin saudara merujuk atau mendengar kupasan penceramah tentang hadis rasulullah s.a.w perihal berkaitan. Hadis tersebut (mafhumnya) Daripada Abu Hurairah katanya rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:-
" Apabila datang ramadhan dibukakan segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)
Hadis tersebut ada dua lapis maksudnya. Pertama makna pada zahir, keduanya makna pada majaaz (kiasan). Hadis tersebut pada zahirnya bermaksud pada bulan ramadhan pintu syurga terbuka untuk dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa jika benar seseorang itu berpuasa seperti yang dituntut syarak. Dia akan memperoleh syurga meskipun belum berlaku lagi kiamat, kerana syurga itu sudah didapati di alam kubur. Itu merupakan syurga sementara sehingga memasuki syurga yang sebenar pada hari akhirat.
Jika pintu syurga sudah terbuka dan pintu neraka tertutup, maka mudahla semua orang masuk syurga. Tiada orang akan masuk neraka kerana pintunya sudah tertutup. Apakah ini makna hadis ini? Apakah pada bulan ramadhan tidak mati orang kafir, munafiq, musyrik, zindik dan sebagainya? Sudah tentu juga orang Islam yang berpuasa ada yang mati, tetapi dia hanya berpuasa sedangkan maksiat-maksiat lainnya tidak dihentikan.
Apakah semua mereka ini masuk syurga juga kerana neraka tertutup? Sudah tentulah jawapannya tidak. Yang ditentukan ke neraka tetap ke neraka dan yang bakal memperolehi syurga akan memasuki syurga. Oleh itu, hadis yang saya sebutkan di atas makna yang kedua, iaitu makna majaazi atau kiasan. Dalam ungkapan hadis itu juga menyebutkan tentang 'dibelenggu syaitan' dalam erti kata lain syaitan diikat. Makana dari segi hakikinya memang terjadi sungguh bahawa syaitan-syaitan itu dibelenggu dan dipenjarakan.
Mengikut hadis, perkara ini berlaku hanya keatas syaitan dan tidak disebut apakah jin, qarin, iblis, ifrit dan lain-lain. Makhluk-makhluk ini tidak dirantai. Ertinya ada kalangan makhluk halus yang dirantai, ada yang tidak. Yang tidak dirantai itulah yang terus mempengaruhi alam manusia, menzahirkan dirinya kepada manusia dan merangsang manusia melakukan perbagai kejahatan.
Puasa menjadi ibadat khusus dimana mukmin dituntut menahan nafsunya daripada melakukan sesuatu yang dilarang. Orang-orang yang benar-benar menahan dirinya dengan tidak melakukan apa-apa yang dilarang Allah, yang hanya melakukan apa jua untuk mentaati Allah dengan sepenuh keikhlasan, mereka inilah seolah-olah tidak tidak memberi peluang langsung kepada nafsunya untuk melakukan kejahatan.
Nafsu biasanya dikuasai oleh syaitan. Kerana kehebatan mukmin mengawal nafsunya, semua perbuatan dijuruskan ke arah kebaikan. Maka seolah-olah syaitan terbelenggu dan tidak mampu berbuat apa-apa. Apapun makna hadis tersebut, kita ambillah yang mudah difahami iaitu syaitan adalah musuh manusia. Firman Allah (mafhumnya):-
"Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaku (yang beriman) supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran) Sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut diantara mereka (yang mukmin dan yang menentang) Sesungguhnya syaitan itu dalah musuh yang amat nyata bagi manusia"
(Surah al Isyrak ayat 53)
Firman Allah (mafhumnya) :-
"Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah ia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya) Sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya menjadi dari penduduk neraka"
(Surah al Faathir ayat 6)
Syaitan adalah musuh manusia sejak daripada Adam a.s lagi dan mereka boleh melihat manusia sebaliknya manusia tidak boleh melihat mereka pada kebiasaannya. Maka tentulah mudah bagi mereka menghadapi manusia, menyesat serta menjauhkan mereka dari jalan Allah. Oleh kerana itu Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang membantu manusia dengan berbagai pertolongan seperti firman Allah (mafhumnya) :-
" ...dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya diantara kamu) " (Surah an Nisa ayat 83)
Firman Allah (mafhumnya):-"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. Dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya keatas kamu, nescaya tidak ada seorang pun antara kamu menjadi bersih daripada dosa selama-lamanya. Akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya ( menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui " (Surah an Nur ayat 21)
Maka salah satu daripada cara Alah menolong hamba-hambaNya iaitu dengan mensyariatkan ramadhan, benar-benar berpuasa serta selamat daripada godaan syaitan. Allah membantu manusia dengan memberikan ruang kepada mereka berpuasa sehingga syaitan tidak berdaya menghampiri mereka.
Wallahua'lam
0 ulasan:
Catat Ulasan