SEJARAH SIHIR
Sihir diterjemahkan dengan terjemahan yang perbagai oleh para pengkaji Timur dan Barat. Namun, secara keseluruhannya sihir bolehlah diertikan sebagai satu ilmu jahat yang diamalkan atau digunakan dengan bantuan jin bagi menghasilkan satu tindakan yang sukar diterima akal. Firman Allah dalam surah al-Jin ayat 6 yang bermaksud:-
"Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki diantara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki kalangan jin. Maka jin itu menambahkan mereka dosa dan kesalahan".
Al-Quran telah merakamkan kewujudan sihir sebagaimana firman Allah s.w.t.:-
"Dan mereka mengikut apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka menyatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir) padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir) hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seseorang pun sebelum mengatakan: Sesungguhnya kami hanyalah cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kamu kafir. Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seseorang pun kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa barangsiapa yang menukarkannya (kitab Allah) dengan sihir itu. Tiadalah baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahuinya"
(al-Baqarah :102)
Kisah bermulanya sihir telah dirakamkan di dalam al-Quran apabila dua orang malaikat bernama Harut dan Marut yang membawanya ke bumi. Ilmu ini akhirnya digunakan oleh jin dan syaitan untuk menyesatkan manusia melalui pengamalnya terdiri daripada bomoh, pawang, dukun dan sebagainya.
Selain itu kisah sihir dirakamkan juga pada zaman nabi Musa a.s dalam surah Yunus ayat 81 bermaksud:
" Maka setelah mereka lemparkan, Musa berkata: " Apa yang kamu lakukan itu, itulah sihir! Sesungguhnya Allah akan menampakkan ketidakbenarannya.Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan terus berlangsungnya pekerjaan orang-orang yang membuat kerosakan"
"Maka Musa merasa takut dalam hatinya. Kami berkata: Janganlah kamu merasa takut, sesungguhnya kamulah yang paling unggul. Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu nescaya ia akan menelan apa yang mereka perbuat. Sesungguhnya apa yang mereka perbuat itu adalah tipu daya tukang sihir (belaka). Dan tidak akan menang tukang sihir itu dari mana sahaja ia datang."
(Toha: 67-69)
ADAKAH NABI PERNAH TERKENA SIHIR?
Persoalan sama ada nabi pernah disihir ataupun tidak telah menjadi pertikaian dikalangan para ulama Islam. Sebahagian ulama' menolaknya kerana merasakan kejadian sedemikian mengaibkan martabat nabi yang merupakan hamba yang terpelihara. Manakala sebahagian ulama' pula tidak menafikan malah membenarkan kenyataan nabi disihir sepertimana hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
Dari Aisyah: “Nabi pernah disihirkan sehinggalah Baginda menyangkakan bahawa ia telah mendatangi mereka (isteri-isteri) sedangkan ia tidak mendatangi mereka”
(Bukhari dan Muslim)
Menurut Qadhi Iyadh, katanya” (kejadian sihir) ini tidak mencacatkan kebenaran Baginda kerana telah jimak bahawa Nabi dipelihara dari sudut itu. Cuma yang berlaku hanyalah di bidang yang harus berlaku di atasnya, di bidang duniawi semata-mata”.Juga Qadhi “Iyadh menegaskan: “Dan sihir adalah merupakan satu daripada penyakit-penyakit”. Dengan ini jelas bahawa adalah tidak mustahil bagi seseorang itu ditimpa penyakit yang disebabkan oleh sihir, akan tetapi hendaklah diingat bahawa ia berlaku atas keizinan Allah s.w.t. Sihir adalah sejenis ilmu yang dikuasai oleh golongan jin dan syaitan. Oleh itu bagi manusia yang mengamalkan ilmu bererti mereka akan memperalatkan dan bekerjasama dengan syaitan bagi tujuan-tujuan tersebut. Malah jika diteliti asbab un nuzul (sebab-sebab penurunan ayat al-Quran) bagi surah al-falaq dan an-nas sendiri memperihalkan peristiwa baginda disihir oleh seorang yahudi bernama Lubait b. Al Aqsam. Peristiwa ini dirakamkan oleh Saidatina A'isyah r.a dimana seorang lelaki dari Bani Zuraiq bernama Lubaid b. al Aqsam telah melakukan sihir keatas baginda sehinggakan nabi berdoa dan terus berdoa dan bersabda:-
"Wahai A'isyah, apakah engkau merasakan bahawa Allah s.w.t telah mendatangkan fatwa ketika aku benar-benar memerlukannya? Telah datang kepadaku dua orang lelaki lalu salah seorang daripadanya duduk berhampiran kepalaku dan seorang lagi berhampiran kakiku".
Lelaki yang berhampiran kepala baginda berkata kepada temannya yang berada dikaki:-
"Apa sakit lelaki ini?"
Ia menjawab: "Terkena sihir"
"Siapa yang menyihirnya ?"
Ia menjawab: "Lubaid b. al a'sam"
"Dengan bahan apa?"
"Pada sikat dan rambut kemudian dibungkus dengan seludang tamar jantan muda"
"Dimana letaknya benda itu?"
Di dalam telaga Zarwan".
Lalu baginda menemui sahabatnya agar pergi meninjau. Setelah kembali sahabat tadi berkata:-
"Wahai A'isyah, Demi Allah! Air telaga itu berwarna kemerah-merahan seolah-olah warna inai. Rupa pohon tamar itu seperti kepala-kepala syaitan.
Aku (A'isyah) bertanya:- "Ya Rasulullah kenapa tidak dibakar sahaja benda itu?"
Baginda menjawab: " Jangan, Allah telah menyembuhkan daku. Aku tidak suka mengenakan kejahatan seperti ini ke atas orang lain." lalu baginda menyuruh agar ditanam sahaja bahan-bahan sihir tersebut."
Peristiwa ini mengisahkan bagaimana baginda pernah disihir dengan menggunakan sikat dan rambut dan janggut baginda (yang gugur). Bahan lain seperti pelepah tamar turut digunakan sebagai bahan sihir yang diletakkan di dalam telaga Zarwan iaitu sebuah telaga milik Bani Zuraiq. Setelah Jibril mengkhabarkan baginda apa yang dilakukan oleh Lubaid ke atas baginda. Baginda telah pergi ke telaga tersebut bersama sahabat. Setelah pulang, baginda menyuruh Ali dan Ammar pergi ke telaga berkenaan lalu mereka mengeringkan airnya. Qays telah mengangkat batu yang menindih bahan-bahan sihir di dasar perigi. Sebahagian riwayat menyebut bahawa ia mendapati satu patung lilin yang dicucuk dengan jarum yang dililit dengan sebelas ikatan. Allah telah menurunkan al-Mu'awwizataini dimana setiap ayat yang dibacakan telah menguraikan satu ikatan sihir yang menimpa baginda sehingga baginda mampu berdiri dan sembuh seperti sediakan.
TANDA-TANDA TERKENA SIHIR
Tanda-tanda gejala sihir begitu banyak. Malah setiap orang yang terkena sihir kadang-kala punyai tanda-tanda yang agak berbeza. Tanda-tanda sihir telahpun dijelaskan dalam artikel yang lalu.
CARA MENGHADAPI SIHIR
Orang-orang yang beriman dengan Allah mempunyai banyak kelebihan di dalam menghadapi sihir. Pertamanya mereka mempunyai tempat pergantungan dan tempat berlindung yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa iaitu Allah 'Azza Wajalla'. Imam Ibnu Qayyim telah berkata, “Ubat yang paling bermanfaat untuk penyakit sihir ialah Al Adahihiyah Al Ailahiyah (penawar Ketuhanan) iaitu dengan banyak berzikir, membaca Al-Quran dan berdoa. Seseorang yang beriman itu menganggap bahawa sihir yang menimpanya sebagai satu ujian dari Allah. Sekiranya ia melalui ujian ini dengan cara yang betul sepertimana yang dikehendaki oleh Allah maka Insya Allah bertambahlah imannya. Kaifiat penghadang sihir ini seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. telahpun dijelaskan di dalam tajuk Tibb Nabawi. Orang-orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa kuasa Allah s.w.t. mengatasi segala-galanya baik yang ada di langit mahupun yang ada di bumi dan bahawa interaksi dengan Ayat-Ayat Allah (Al-Quran) itu sebesar-besar penawar. Oleh itu mereka tidak perlu berubat dengan cara-cara yang memudaratkan aqidah seseorang seperti dengan berlindung dengan jin dan syaitan melalui perantaraan bomoh atau dukun dan jin-jin yang tidak beramal dengan petunjuk Allah s.w.t.
wallahua'lam.
Saiful Adli b. Samsudin
0 ulasan:
Catat Ulasan