Rabu, 29 April 2009

Tn Guru Menerima Anugerah Tokoh Pendakwah Selangor 2009




Y Bhg. Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah dianugerahkan Tokoh Pendakwah Peringkat Negeri Selangor kategori agensi bukan kerajaan bagi tahun 2009/1430H.Tuan Guru menerima anugerah tersebut ketika Majlis Perasmian Penutupan Bulan Dakwah Negeri Selangor 2009/1430H yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) pada 31 March 2009 yang lalu.
Berikut reaksi Tuan Guru ketika ditemui selepas majlis tersebut:

"Ini adalah satu penghargaan untuk saya. Saya hanya diberitahu pagi semalam dan saya tidak ada pilihan lain selain daripada menerimanya dengan besar hati. Jika perkara ini dirunding lebih awal, sudah tentu saya akan mengesyorkan orang lain yang jauh lebih layak daripada saya".

"Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor di atas penghargaan tanpa dipinta ini. Dakwah dirasakan semakin penting untuk dikembang dan diperluaskan untuk segenap lapisan masyarakat tidak kira generasi tua atau muda."

"Gejala sosial yang semakin parah pada masa kini dapat diminimakan sekiranya kita menyampaikan dakwah dengan efektif dan berkesan. Kerosakan nilai hidup muda-mudi sekarang bukan sahaja merosakkan maruah dan diri mereka malah lebih teruk daripada itu, ia memberikan kesan buruk kepada masyarakat, undang-undang dan Negara."
"Masalah anak luar nikah, derhaka kepada ibu bapa dan hidup berfoya-foya tanpa menghiraukan peraturan agama dan undang-undang hanya akan mengundang bala bencana yang besar kepada negara pada masa depan."

"Oleh kerana itu perhatian khusus mestilah diberikan kepada golongan muda ini bagi mendekatkan mereka kembali kepada jalan kebenaran iaitu hanya kembali kepada ALLAH sahajalah jalannya."

Pihak Darussyifa juga amat gembira dengan penganugerahan ini kepada yang Y Bhg. Tuan Guru dan mendoakan agar Tuan Guru sentiasa diberikan kesihatan agar boleh meneruskan kerja dakwah yang masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada Tuan Guru.
- Dipetik daripada laman www.darussyifa.org

0 ulasan:

Catat Ulasan