Hikmah Diciptakan Makhluk-makhluk halus ialah:-
Kewujudan makhluk halus merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah bagi menambah iman manusia. Makhluk halus seperti jin juga dikenakan tuntutan dalam hal agama sepertimana manusia yang kelak akan di adili di mahkamah Allah seterusnya diberikan syurga atau neraka. Firman Allah : " Masuklah kamu sekalian ke dalam neraka bersama umat-umat jin dan manusia yang telah terdahulu sebelum kamu. Setiap suatu ummat masuk (ke dalam neraka) dia mengutuk kawannya (yang menyesatkannya) sehingga apabila mereka masuk semuanya berkatalah orang-orang yang masuk kemudian antara mereka kepada orang-orang yang masuk terdahulu: "Ya Tuhan kami, mereka telah menyesatkan kami, sebab itu datangkanlah kepada mereka siksaan yang berlipat ganda dari neraka". Allah berfirman: " Masing-masing mendapat (siksaan) yang berlipat ganda akan tetapi kamu tidak mengetahui" (al A'raf: 38) Masyarakat Melayu umumnya mengenali makhluk halus dengan gelaran tertentu seperti bunian, hantu raya, polong, toyol, langsuir dan sebagainya. Toyol dikatakan makhluk kecil seperti kanak-kanak yang bogel dan sering mencuri duit. Hantu raya dikatakan sejenis hantu berbulu dan berbadan besar yang sering menganggu manusia. Pelesit dikaitkan dengan makhluk belaan wanita manakala bunian dikatakan sejenis kelompok masyarakat yang berkampung dan tidak kelihatan kampungnya dimata kasar. Kesemua istilah ini sebenarnya tidak ada dalam bahasa arab, dalam al Quran mahupun al Hadis. Al-Quran hanya menyebut kewujudan makhluk yang tidak kelihatan ini dengan nama Jin, malaikat, syaitan dan iblis yang mana setiap satunya punyai perbezaan yang ketara. Pada pengamatan penulis, mungkin jin inilah yang dikategorikan oleh orang melayu sebagai toyol, hantu galah, hantu raya, polong dan sebagainya yang sering menganggu dan menghantui manusia. Kajian menunjukkan antara usaha tukang tilik, bomoh mahupun pawang dalam melaksanakan rawatan mahupun mereka yang terlibat dengan ilmu kebatinan menunjukkan adanya permohonan bantuan daripada jin untuk merealisasikan matlamatnya. Kenyataan ini dibenarkan oleh firman Allah : "Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki diantara manusia meminta pertolongan kepada beberapa lelaki diantara bangsa jin, maka jin-jin itu menambah dosa dan kesalahan mereka" (al- Jin: 6) Hadis nabi memberikan jin kepada beberapa nama seperti ifrit yang mana ianya dikenali sebagai jin yang besar dan kuat. Sebuah hadis dari Abu Hurairah menyebut antaranya rasulullah S.A.W bersabda : " Sesungguhnya ada satu ifrit daripada golongan jin mencuba ke atasku (lalu lintas dihadapanku) malam tadi untuk menggoda agar sembahyangku putus" Selain jin, Allah juga menciptakan iblis, syaitan dan malaikat. Terdapat banyak pendapat yang berbeza-beza tentang iblis sama ada ia berasal daripada jin atau malaikat. Terdapat pendapat yang menyatakan iblis berasal daripada golongan malaikat yang dinamakan jinn yang dijadikan daripada api yang panas. Namanya lainnya dalam bahasa Siryaniyyah adalah Azazil dan dalam bahasa Arab namanya al-Harith. Dinamakan al-Harith kerana ia menjaga syurga dan ketua langit dunia yang berkuasa di bumi dan di syurga. Ibnu Masud menyatakan dinamakan jinn kerana ia dinisbahkan namanya kepada jannah yakni syurga kerana tugas yang diberi padanya. Tafsir Fi Zilali il Quran dalam mentafsirkan ayat al Quran surah al Baqarah: 34 menjelaskan bahawa iblis bukan dari kalangan malaikat. Sekiranya iblis dari jenis malaikat tentunya ia tidak akan ingkar dengan perintah Allah kerana sifat malaikat itu sendiri yang tidak akan ingkar kepada Allah sepertimana yang dijelaskan dalam surah at Tahrim:6 : "Mereka tidak mengingkari Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan melakukan apa yang disuruh" Selain itu surah al Kafh: 50 telah menjelaskan kenyataan bahawa sesungguhnya iblis adalah dari kalangan jin sepertimana firmannya : "Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para maikat, sujudlah kamu kepada Adam. Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka dia menderhaka perintah tuhanNya" Syaitan Syaitan dikatakan sejenis makhluk halus dari golongan jin yang menderhaka, sombong, pengacau dan fasik. Firman Allah dalam surah an Nur: 21 "Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar" Firman Allah: "Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni api yang menyala" Qarin Qarin adalah perkataan bahasa arab yang bermaksud teman atau rakan. Istilah Qarin disini adalah roh-roh jahat atau makhluk halus yang jahat yang menganggu manusia yang sering mengiringi kelahiran bayi. Kewujudan qarin adalah untuk menggoda manusia, menampakkan pekerjaan buruk dan maksiat sebagai baik dan menyeronokkan . Semua manusia mempunyai qarin termasuk nabi. Firman Allah : "Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu" (al An'am: 112) Rasulullah S.A.W bersabda: "Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan dengan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya dari kalangan malikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan saya pun. Akan tetapi Allah menolong saya daripada gangguannya, maka tidaklah ia mendorong saya kecuali kepada kebaikan" Kesemua keterangan ringkas diatas menunjukkan dalil kewujudan makhluk halus dari kalangan jin yang sentiasa ada bersama kita. Kewujudan jin ini sentiasa ada dimana-mana cumanya gangguannya mungkin tidak semua orang melaluinya. |
Apabila berlaku sakit yang diakibatkan oleh makhluk halus, maka hendaklah kita segera berubat dengan menggunakan kesembuhan berdasarkan al-Quran dan al Sunnah. Berjumpalah dengan mereka yang arif dalam melakukan rawatan tersebut. Jangan sekali-kali kita terlibat dengan rawatan yang bercanggah dengan al-Quran dan petunjuk nabi kerana setiap rawatan yang bercanggah dengan petunjuk nabi membawa kita ke lembah kehinaan serta boleh menggugat aqidah Islamiyyah.
Wallahua'lam
Saiful Adli b. Samsudin
0 ulasan:
Catat Ulasan