Justeru penulisan pada kali ini ingin membawa para pembaca memahami maksud ayat di atas secara ringkas agar para pembaca dapat memahami dalam menghadapi suasana pada hari ini. Secara ringkasnya ayat ini merupakan arahan Allah agar seluruh orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah agar mentaatinya dengan ketaatan yang mutlak tanpa sedikitpun persoalan. Begitu jua dengan ketaatan kepada rasulullah. Namun, ulama mufassirin menjelaskan bahawa ketaatan kepada ulil amri adalah ketaatan yang tidak bersifat mutlak. Ulil amri atau golongan yang memegang tanggungjawab terhadap orang beriman hendaklah ditaati selagi mana ulil amri tersebut mentaati Allah dan Rasulnya dan arahan ulil amri tersebut juga wajib ditaati selagimana arahan tersebut selari dengan kehendak Allah dan Rasulnya. Namun ketaatan ini tidak menjadi wajib setelah arahan tersebut ini bercanggah dengan arahan Allah dan rasulnya. Ini dikuatkan lagi dengan penggunaan perkataan taat hanya pada perkataaan Allah dan Rasulnya sahaja. Penjelasan ini juga turut dikuatkan dengan hadis rasulullah s.a.w yang bermaksud:
'Wajib bagi bagi seorang muslim untuk mendengar dan taat kepada (penguasa) dalam perkara yang ia senangi dan ia benci kecuali apabila diperintah berbuat maksiat. Apabila penguasa melakukan maksiat maka tidak perlu didengari dan ditaati'. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullah menyatakan: “Hadis ini menunjukkan wajibnya taat kepada penguasa, hal itu berlaku dalam perkara yang bukan maksiat.Sabda Rasulullah: " Tidak ada ketaatan kepada makhluk di dalam perkara maksiat" (Hadis Riwayat Bukhari)
Istilah ulil amri itu sendiri mempunyai maksud yang berbagai. Terdapat sebahagian ulama' menafsirkan perkataan ulil amri sebagai pemerintah manakala sebahagian ulama' lain menafsirkannya sebagai ulama'. Malah Ibnu Taimiyyah turut menyatakan : 'Ulil Amri mencakupi dua golongan iaitu ulama' dan penguasa'.
Dalam krisis perlembagaan yang berlaku di negeri Perak, penulis tidak mahu membincangkannya kerana ia melibatkan ilmu undang-undang tubuh Negeri yang hanya layak dibahaskan oleh golongan yang terlibat dengannya. Sebagai rakyat kita berhak mengetahui isu sebenar semasa tanpa menghukum tindakan tersebut sebagai derhaka hanya berlandaskan pada maklumat yang tidak pasti. Firman Allah :
" Wahai orang-orang yang beriman . Apabila datang orang fasik membawa berita, maka perhatikanlah dengan teliti" (al-Hujarat: 6)
Ini kerana umum mengetahui Keistimewaan Raja-Raja telah mula terhakis semasa zaman Tun Dr Mahadhir menjadi Perdana Menteri disamping Institusi Raja pada masa kini tidak lagi seperti di zaman Kesultanan Melayu dahulu yang mana Raja adalah pemerintah yang mempunyai kuasa yang sangat besar kepada rakyatnya. Tindakan Menteri Besar tidak meletakkan jawatan atas nasihat dan pandangan daripada pengamal undang-undang yang beliau temui dimana mereka menyatakan terdapat batasan kuasa antara Raja dalam hal berkaitan pemecatan seorang Menteri Besar. Sekiranya kenyataan ini benar, ini bermakna tindakan tidak meletak jawatan bukanlah satu penderhakaan sebaliknya merupakan satu teguran kepada institusi beraja agar dapat memahami batasan kuasa seperti yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Atas masalah percanggahan pendapat antara para pengamal undang-undang mengenainya, adalah lebih elok agar kita serahkan sahaja kepada mahkamah untuk memutuskannya dan tidak pula kita terikut-ikut dengan melebalkan pihak tersebut sebagai penderhaka. Menderhaka lebih menjurus kepada menentang arahan yang sah, sebaliknya tidaklah dikira menderhaka sekiranya arahan tersebut tidak sah. Sikap teguran yang baik ini adalah menepati saranan rasulullah :
'Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya. Apabila tidak mampu maka dengan lisannya. Apabila tidak mampu maka dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman. (Hadis Riwayat Muslim)
Kenyataan mufti Perak berkenaan adalah amat dikesali. Ketegasan Mufti yang melontarkan pandangan hendaklah sesuai dengan pendirian ulama' yang berani menyatakan kebenaran sungguhpun ia amat sukar untuk dilaksanakan. Perlu difahami sungguhpun anak diwajibkan taat kepada ibubapa dan isteri wajib mentaati suaminya namun ketaatan ini adalah terbatas selagimana ibubapa atau suami tidak mengajak kepada perkara yang bertentangan dengan arahan Allah. Semua ketaatan yang bertentangan dengan arahan Allah adalah terbatal sebagaimana di sebutkan diatas. Para Ulama' yang tidak menyatakan kebenaran, serta menukarkan hukum Allah mengikut keselesaan mereka amat dimurkai Allah dan rasulnya. Terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis nabi yang menjelaskan mengenainya. Ulama' haruslah berpegang dengan firman Allah s.wt :
"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang Kani turunkan diantara beberapa keterangan dan petunjuk setelah Kami terangkan kepada manusia dalam kitab, nescaya mereka itu dikutuk Allah dan dikutuk oleh orang-orang yang mengutukinya" ( al-Baqarah : 159)
"Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu menjadi saksi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibubapa dan kaum kerabat. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran) kerana Allah lebih bertimbangrasa kepada keduanya. Oleh itu janganlah kamu turuti hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan" (al-Nisa: 135)
Tidak taat kepada raja adalah derhaka - Mufti
IPOH 6 Feb. - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar) berkata, sesiapa sahaja yang tidak taat kepada pemerintah ataupun raja yang memerintah sesebuah negeri, orang itu dianggap derhaka. Katanya, di dalam al-Quran jelas menyuruh umat Islam supaya sentiasa taat kepada Allah, rasul dan pemerintah iaitu raja. ''Raja yang adil dan bijaksana dalam melaksanakan tugas demi kepentingan umat Islam asalkan tidak bertentangan dengan syariat, wajib dihormati. ''Oleh itu, kita wajib menghormatinya selama mana raja itu memerintah di sesebuah negeri itu," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semalam yang enggan meletak jawatan walaupun dititah oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Mohammad Nizar enggan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak dengan alasan masih menyandang secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Mengulas lanjut, Harussani berkata, seseorang yang tidak taat kepada raja selagi raja itu tidak melakukan perkara yang dilarang, bererti derhaka. ''Kita juga diwajibkan taat kepada ibu bapa serta guru dan jika tidak taat itu bererti menderhaka kepada mereka," katanya. -UTUSAN MALAYSIA
PENGKALAN CHEPA, 8 Feb (Hrkh) - Golongan alim ulama di Negara ini harus bersikap adil di samping memihak hanya kepada Islam dalam menyelesaikan sesuatu isu apa lagi mengeluarkan kenyataan berbaur politik. Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din, menyifatkan kenyataan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, yang mengeluarkan kenyataan sesiapa tidak taat kepada pemerintah dianggap derhaka dilihat sebagai tidak menepati tugasnya sebagai Mufti yang hanya wajib memihak pada Islam dan bukannya pada mana-mana individu apa lagi untuk kepentingan politik. Menurutnya, tindakan sedemikian hanya akan mengundang kekeliruan di kalangan masyarakat, kerana golongan ulama merupakan rujukan utama masyarakat dalam masaalah agama. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan mufti berkenaan yang didakwa sedemikian sebagai merujuk tindakan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Muhammad Nizar, yang enggan melepaskan jawatannya sebagai menteri besar. Harussani baru-baru ini mendakwa, sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah ataupun Raja yang memerintah sesebuah negeri, orang itu dianggap derhaka. Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Kursus Kepimpinan Dakwah Halaqat, anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, di Putik, di sini semalam. "Mufti Perak telah menyatakan pendapatnya, tetapi tidak pernah berlaku seumpamanya sebelum ini di mana Mufti telah memihak pada mana-mana parti politik. "Sepatutnya sebagai orang yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan agama, Mufti tidak seharusnya terjebak dalam kancah politik, selain hanya memihak kepada kebenaran Islam yang satu,"ujarnya lagi. Haron Din, seterusnya memberitahu kenyataan Mufti sedemikian jelas menampakkan ianya kurang bijak dalam memberikan pandangannya berhubung kemelut politik di Perak. "Kalau nak membuat sebarang ulasan pun biarlah ianya memberi gambaran yang jelas iaitu Islam,"ujarnya lagi. Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau merujuk pada sejarah Islam bagaimana seorang alim ulama yang masyhur Izzudin Abdul Salam yang berani menyatakan kebenarannya walaupun di hadapan sultan sehingga beliau akhirnya dibuang daerah. Menurutnya, keberanian ulama di zaman ini amat diperlukan khususnya untuk menangani kegawatan suasana politik dunia dan tempatan yang semakin meruncing. "Hanya golongan ulama sejati yang berani mengeluarkan kenyataan yang benar walaupun sedar diri terpaksa berhadapan dengan sebarang kemungkinan,"ujarnya lagi. -HARAKAH
0 ulasan:
Catat Ulasan