Tuan Guru Dato' Dr Haron Din telah sudi menyampaikan ucapan dalam Majlis Executive Talk yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak. Majlis yang diadakan pada pukul 8.00 pagi itu turut dihadiri Kakitangan Awam yang berkhidmat di Negeri Perak.
Tuan Guru Dato' Dr Haron Din dalam ucapannya meminta rakyat di negeri ini agar sentiasa melaksanakan tugas yang diamanahkan bukan hanya untuk mencari rezeki semata-mata malah niat yang utama perlu disematkan hendaklah setiap pekerjaan, tugasan yang dilaksanakan dilakukan kerana Allah semata-mata. Tuan Guru menyatakan perbezaan manusia dengan haiwan adalah kehidupan manusia ini adalah untuk Allah dan kehidupan didunia ini adalah satu kehidupan yang sementara. Tuan Guru memetik beberapa ayat al-Quran dalam ucapan beliau. Antara isi kandungan yang disampaikan adalah:
1. Firman Allah dalam surah at-Tiin : 4 ' Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian'.
Penciptaan manusia sebagai makhluk yang terbaik diantara makhluk-makhluk ciptaan Allah ini tidak boleh dipertikaikan. Manusia bukan sahaja cantik dari rupa paras jika dibandingkan dengan haiwan malah manusia juga diberikan akal yang dengan akal ini memberikan kelebihan pada manusia. Antaranya firman Allah ' Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam, dan Kami telah memberi mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan." Surah al Isra' : 70
Kelebihan-kelebihan yang telah Allah kurniakan ini semuanya adalah supaya manusia melakukan segala amanah yang diberikan untuk mengabdikan kepadaNya sebagaimana firman Allah yang bermaksud : ' Dan tidak Kami jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku'. (al-Dzariyyat: 56)
Tuan Guru turut menyentuh perihal niat bagi setiap kakitangan di negeri ini sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: 'Hanya segala amalan dinilai berdasarkan niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya'
Sesungguhnya setiap niat dihati kakitangan dalam melaksanakan tugas ini sememangnya diketahui Allah. Sesungguhnya Allah menilai berdasarkan niat pada setiap amalan dan Allah tidak melihat hanya kepada luaran sebagaimana Sabda Rasulullah yang bermaksud :
" Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada badan kamu dan tidak juga kepada rupa paras kamu tetapi Allah memandang kepada hati kamu"
Banyak lagi mutiara ilmu yang ditaburkan untuk panduan rakyat dan kakitangan di negeri ini telah diberikan oleh Tuan Guru dalam majlis tersebut agar kakitangan dan rakyat di negeri ini dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin sehingga dapat mengecapi syurga Allah diakhirnya sebagai Happy Ending.
Dilaporkan Oleh: Us. Saiful Adli b. Samsudin
0 ulasan:
Catat Ulasan