
Kisah kemalangan ngeri di tol Ipoh-Jelapang bukanlah satu perkara baru. Ia berlaku hampir setiap tahun. Sungguhpun Kementerian Kerja Raya telah menamatkan operasi Plaza Tol Jelapang arah selatan yang juga dikenali 'plaza tol maut' di kalangan pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada 6.6.2008 yang lalu, Sepanjang 10 tahun beroperasi, plaza tol itu menjadi lokasi di mana 142 kes kemalangan dilaporkan berlaku dan terbaru, pada Disember 2007 menyaksikan lapan penumpang bas maut manakala 14 lagi cedera selepas bas yang dalam perjalanan menuruni bukit melanggar belakang lori tangki.
Bagi mengelak kemalangan maut terus berlaku, Plaza Tol Ipoh Utara (arah selatan) dibina kira-kira 800 meter daripada Plaza Tol Jelapang dengan melaksanakan projek laluan terus tanpa henti dari Ipoh (selatan) ke Jelapang. Perubahan plaza tol ini dilakukan adalah satu inisiatif bagi mempastikan agar kejadian kemalangan ngeri tidak berulang, namun kejadian disepanjang laluan menuju ke tol berkenaan tetap dan masih berlaku. Kemalangan ngeri di kilometer 272.8 Lebuhraya Utara-Selatan pada 26.12.2009 yang lalu mengigatkan kita bahawa usaha untuk mengelakkan kemalangan boleh dilakukan oleh manusia namun kuasa mutlak penentuanya hanyalah pada Allah semata-mata. Banyak faktor boleh dikaitkan dengan kemalangan ini selain bagi orang Islam, perlu juga ia meyakininya sebagai satu ketentuan dan telah tersurat di sisi Allah s.w.t. Antara faktor yang boleh dikaitkan termasuklah:-
1. Bentuk muka bumi yang tidak rata akibat keadaan berbukit. Sungguhpun pihak PLUS telah berusaha menghasilkan lapisan lebuhraya yang agak rata mengikut ketebalan yang ditetapkan, namun membina lebuhraya dengan aras yang sama dari Kelang ke Ipoh tentunya satu perkara yang agak mustahil untuk dilakukan.
2. Jalan yang terlalu licin juga boleh mengundang kemalangan begitu juga jalan yang kasar dan beralun turut boleh menyebabkan kejadian ini berlaku.
3. Papan tanda arahan keselamatan, lampu-lampu adalah merupakan satu ikhtiar semata-mata bagi memberi ingatan kepada pengguna agar lebih berhati-hati. Namun ianya bukanlah penghalang kepada sesebuah kemalangan.
4. Rekabentuk lebuhraya juga dapat membantu meningkat atau mengurangkan sesuatu kemalangan. Perubahan rekabentuk lebuhraya dari tiga lorong kepada dua lorong atau sebagainya juga boleh membawa kepada kemalangan.
5. Sikap pemandu juga boleh menjadi punca sama ada ia dari sikap pemandu yang terlibat dalam kemalangan ataupun daripada pemandu lain.
6. Mengantuk, penggunaan dadah mahupun alkohol adalah salah satu perkara yang boleh membawa kemalangan. Namun demikian Menurut Ketua Pengarah Miros, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, statistik berdasarkan kajian agensinya menunjukkan bahawa tiada tempoh waktu tertentu berlakunya kekerapan kemalangan di negara ini. Tegas beliau, kemalangan berlaku pada bila-bila masa sama ada siang atau malam, pagi atau petang.
"Tidak ada waktu yang signifikan, barangkali kebetulannya kemalangan yang meragut banyak nyawa sekali gus berlaku pada waktu malam atau awal pagi tetapi ia sebenarnya berlaku juga pada waktu-waktu lain," jelasnya kepada mStar Online di sini semalam.
Beliau berkata, faktor mengantuk juga bukan penyebab utama kemalangan pada waktu malam atau awal pagi kerana berdasarkan kajian Miros pemandu turut mengantuk pada waktu petang lebih-lebih lagi dari pukul 2 hingga 4 petang.
Ahmad Farhan tidak menolak terus mengantuk adalah antara punca kemalangan tetapi apabila dikaitkan dengan perjalanan waktu malam ia tidak relevan kerana pemandu juga mengantuk pada waktu-waktu lain. Selain faktor diatas, gangguan makhluk halus juga boleh menjadi punca kepada kemalangan ngeri sebegini. Tidak dinafikan kejadian kenderaan jatuh gaung akibat ternampak dua cabang jalan yang mengelirukan boleh berlaku akibat perbuatan makhluk ini. Demikian juga kejadian pemandu kelihatan seolah-olah kelibat makhluk melintasi jalan sehinggakan pemandu mengambil tindakan mengelaknya menyebabkan kemalangan berlaku adalah satu pengalaman yang hanya diketahui pemandu sahaja tanpa dapat dibuktikan kesahihannya oleh orang lain. Kes-kes gangguan sebegini amat sukar untuk dibuktikan di mahkamah. Dalam kejadian kemalangan di Kilometer 272.8 tersebut, pemandu bas dikatakan tidak mempunyai rekod pemanduan yang buruk selain disahkan tidak mengambil dadah mahupun alkohol sepertimana pemandu lain dalam kes-kes kemalangan ngeri yang sering kita dengari. Malah kejadian berlaku di kawasan tol yang baru dimana usaha untuk mengelakkan kemalangan ini dari berlaku telah dilaksanakan. Pihak PLUS telah menghabiskan berjuta-juta ringgit bagi mempastikan agar kejadian ini tidak berulang. Pemandu dikatakan memandu sekitar 91km/jam dan bas ekspres yang dibawa pula telah dihadkan kelajuannya pada kadar 97km/jam. Sungguhpun perbagai teori kemungkinan boleh ditulis dan dinyatakan, namun segala ketentuan adalah terletak pada kehendak Allah semata-mata. Justeru, disamping melakukan perbagai perubahan insfrastuktur, latihan dan perundangan, perlu juga kita meletakkan kepergantungan kepada Allah yang menentukan segala-galanya. Melaksanakan doa setiap kali hendak melakukan apa sahaja perbuatan dengan memohon keselamatan kepadaNya merupakan antara usaha baik yang amat di sarankan oleh Darussyifa'. Pihak PLUS pernah menjemput pihak Darussyifa' melakukan ikhtiar agar kemalangan sebegini tidak berulang pada 12 Januari 2008 yang lalu dan ianya adalah satu usaha yang amat digalakkan. Namun, memandangkan kes begini amat kerap berlaku, Tuan Guru sendiri menyarankan agar pihak PLUS tidak berhenti setakat ini sahaja usaha memohon kepada Allah tersebut tetapi hendaklah dilaksanakan berterusan sekurang-kurangnya seminggu sekali diadakan bacaan yasin, tahlil dan solat hajat melibatkan kakitangan PLUS untuk terus menerus memohon ke hadrat Allah agar kemalangan ini tidak berlaku. " Bukan doa kita sahaja pada malam ini, saya syorkan kalau boleh seminggu sekali kakitangan PLUS berkumpul sekadar yang ada, pada malam Jumaat sebagai contoh selepas itu sembahyang maghrib berjemaah, kemudian mengadakan tahlil arwah, khususkan tahlil itu kepada arwah yang telah terkorban di dalam kemalangan jalan raya itu. Sekurang-kurangnya kita tahu orang yang terkorban itu adalah Islam. Orang-orang yang telah meninggal dunia mengetahui jika ada orang yang hidup berbuat baik untuknya. Dia mengetahui siapa yang berdoa untuknya, contohnya dia tahu siapa di kalangan anak-anaknya yang berdoa untuknya. Kalau kita berdoa untuknya, mereka akan tahu. Oleh itu sangat eloklah pihak PLUS mengadakan majlis untuk mereka. Itulah yang Allah sebut di dalam al-Quran dalam surah Al-Hasyr ayat 10:-
"Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa Kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan Rahmat-Mu". (al-Hasyr:10)
"Tidak ada keburukan yang menimpa manusia melainkan dengan ikhtiar untuk dielakkan. Satu ikhtiar yang boleh dilakukan ialah kita berdoa beramai-ramai (Doa Jamaie) . Meminta Allah taala menghindarkan segala bala bencana daripada menimpa pekerja-pekerja PLUS dan pengguna-pengguna lebuh raya bukan di sini sahaja tetapi juga di tempat lain yang banyak berlaku kemalangan. Bila kita berada di sesuatu situasi yang boleh dikatakan kritikal dari segi keselamatan, atau kita hendak menguruskan sesuatu yang berisiko tinggi jangan lupa membaca satu doa pendek yang diajarkan oleh nabi seperti berikut:-
"Doa ini jika baca di waktu pagi, insya-Allah sepanjang siang Allah s.w.t. selamatkan daripada sebarang kemudaratan. Kalau dibaca waktu maghrib, Allah selamatkan dia sepanjang malam. Saya ingin mengesyorkan kepada pihak PLUS, iaitu tuliskan doa ini dengan khat yang elok, diletakkan di tempat yang mudah dilihat, diletakkan di kaunter-kaunter pungutan tol, supaya semua kakitangan yang bekerja bila masuk kerja tidak lupa membaca doa ini.""Amalan ini sangat berguna. Semua kakitangan yang bekerja di sini patut hafal dan amalkan doa ini. Kita bergantung dengan Allah s.w.t., jangan bergantung dengan makhluk, jangan pakai tangkal, jangan pakai azimat, kerana ia tidak mendatangkan kebaikan malah mengundang keburukan. Amalkan doa ini di samping membuat langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya. Dengan keikhlasan dan kesungguhan kita datang beramai-ramai ke sini, untuk bersolat hajat, membaca Yaasin, bertahlil serta berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t. menurunkan rahmat-Nya dengan memberikan keselamatan, kesejahteraan kepada kita semua khususnya pekerja-pekerja di sini."
Pemandu bas mengaku tak bersalah
Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my
IPOH 29 Dis. – Seorang pemandu bas dua tingkat Sani Express dihadapkan ke Mahkamah Trafik di sini hari ini atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 10 penumpang dalam satu kemalangan ngeri, Sabtu lalu. Mohd. Kamil Mohd. Rashid, 37, dari Yan, Kedah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah. Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu bas bernombor pendaftaran WSX 5010 secara melulu kira-kira pukul 1.23 pagi, 26 Disember lalu di Kilometer 280.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di sini. Dengan perbuatannya itu, dia didakwa menyebabkan kematian pasangan suami isteri, Shaharin Mohd. Nor, 61, dan Supiah Adam, 46; Mohd. Shukri Mohd. Ali, 22; Mohd. Bilal Osman, 22; dan Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21; bersama adiknya, Sharifah Hasanah, 15. Turut meninggal dunia dalam kemalangan tersebut ialah Musa @ Ismail Abdullah, 64; Noor Jismi Noordin, 25; Ng Kah Kit, 14; dan kakaknya, Ng Poh Ngoh, 23. Dakwaan terhadap Mohd. Kamil mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya serta lesen memandu digantung jika sabit kesalahan. Mohd. Kamil yang memakai kemeja syarikat bas berwarna merah dan berseluar gelap kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan. Mohamed Ruhizat menetapkan kes itu dibicarakan pada 3 Februari tahun depan. Berdasarkan kepentingan awam dan nahas yang mengorbankan banyak mangsa, majistret berkenaan menggenakan jumlah ikat jamin yang tinggi iaitu RM20,000 berserta seorang penjamin terhadap tertuduh. Selain itu, beliau memerintahkan lesen memandu Mohd. Kamil dirampas serta-merta sehingga kes selesai. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izalina Rajaai yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 ke atas tertuduh kerana kes itu melibatkan kepentingan awam. Tertuduh, tegasnya, sepatutnya berhati-hati ketika memandu dan dengan alasan itu, beliau meminta lesen memandu tertuduh digantung mengikut Seksyen 41(5) Akta Pengangkutan Jalan. Peguam S. Arumugam yang mewakili Mohd. Kamil pula memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana tertuduh tidak pernah melakukan kesalahan trafik sebelum ini.‘‘Tertuduh mempunyai enam tanggungan iaitu ibu bapa, isteri dan tiga anak berumur sembilan tahun, tujuh tahun dan enam bulan,’’ katanya yang mewakili tertuduh bersama peguam Khairul Nisah Husnin. Mohd. Kamil dibebaskan kira-kira pukul 5 petang selepas dua wakil syarikat bas terbabit membayar wang jaminan tersebut. Sebelum itu, Mohd. Kamil telah dibawa ke mahkamah pada pukul 11.30 pagi bagi membolehkan pihak polis mendapatkan perintah melanjutkan tempoh reman sehingga Khamis ini. Bagaimanapun pada pukul 1 tengah hari, pihak media dimaklumkan bahawa tertuduh akan didakwa pada sebelah petangnya. Tertuduh muncul di mahkamah pada pukul 2.10 petang dengan dikawal oleh beberapa anggota polis. Dalam kejadian sehari selepas perayaan Krismas itu, 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah. Kejadian berlaku apabila bas berkenaan terbabas dan melanggar pembahagi jalan di lebuh raya tersebut menuju arah ke utara, iaitu kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan di sini. Kemalangan ngeri itu menyebabkan ada di antara penumpang putus kepala dan beberapa anggota badan lain.
Tujuh Maut, Empat Parah Bas Rempuh Lori Di Tol Jelapang
11 Disember 2007
IPOH, 11 Dis (Bernama) -- Tujuh orang terbunuh dan 28 cedera, empat daripadanya parah, apabila sebuah bas membawa rombongan Wanita Umno Bahagian Kuala Kedah, merempuh belakang sebuah lori tangki di Plaza Tol Jelapang menghala ke selatan awal hari ini.
Mereka yang meninggal dunia dalam nahas pada 4 pagi tadi ialah pemandu bas Lim Teh Lee, 49, pemandu kedua, Saad Salleh, 45, serta anggota rombongan, Siti Rosedah Ibrahim, 46, Puteh binti Mat Isa, Mohamad Hussin, 50,
Dahara Mohamad, (umur tidak dinyatakan) dan Nur Shuhadah Muhamad, 15.
Empat yang cedera parah di bahagian kepala dan badan ialah Che Som Yusoff, 51, Halijah Hanafiah, 52, Sipah Sulaiman, (umur tidak dinyatakan) dan seorang lelaki yang identitinya belum diketahui.
Seramai 16 lagi turut dimasukkan ke Hospital Ipoh manakala lapan dirawat sebagai pesakit luar, kata Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias.
Mereka yang menerima rawatan di wad dan dirawat sebagai pesakit luar ialah Fatihah Shafie, 14, Zurina Nayan, 47, Mohd Aminuddin Ramli, 20, Fatimah Rojaan, 40, Hakis, 8, Hasiah Lebai Cha, 53, Rohani Hashim, 56, Umi Kalsom Wan Dollah, 16, Mohd Shukri Hasin, 8, Haminah Nikmat, 56, Nurfazilah Abdullah, 14, Mohd Muhsi Ahmad, 11, Faridah Mohd Nor 44, Nurhashimah Mohd, 18, Shamshum Ishak, 52, Mastura Izzati Mat Isa, 17, Shahhasliza Hussein, 22, Habibah Yaakub, 33, Yom Wahab, 52, Assariza Derani, 38, Siti Aishah Saidin, 17, dan Normah Hanafi (umur tidak dinyatakan).
Dua lagi wanita yang identiti mereka belum dikenal pasti turut menerima rawatan.
Rombongan itu, yang dalam perjalanan untuk bercuti di Cameron Highlands, bertolak pada 12 tengah malam tadi dari Masjid Kubang Jawi di Kuala Kedah, yang menjadi tempat mereka berkumpul.
Seorang daripada penumpang yang cedera, Haminah Nikmat, berkata bas berkenaan dipandu laju ketika memasuki dan melepasi Terowong Menora yang terletak beberapa kilometer dari Plaza Tol Jelapang.
"Lepas sahaja terowong itu, bas memang laju. Bila nak dekat sampai (plaza tol) tiba-tiba orang depan menjerit...brek tak makan. Makcik duduk bahagian tengah, lepas bas rempuh lori depan, habis bahagian depan dan kusyen yang makcik duduk pun rapat dengan bumbung bas," katanya.
Beliau berkata semasa bas persiaran itu merempuh lori, semua penumpang berteriak meminta tolong manakala barang-barang mereka bertaburan.
Seorang lagi penumpang, Mastura Izzati, berkata beliau terjaga daripada tidur ketika penumpang lain menjerit meminta tolong.
"Saya tengok semua penumpang semuanya dah tertolak ke bahagian depan bas. Kerusi yang saya duduk pun patah. Keadaan dalam bas memang kelam-kabut dan penumpang panik sebab takut bas meletup selepas dengar bunyi enjin meletup dan ada asap," katanya.
Umi Kalsom Wan Dollah, dari Kampung Pida 2 1/2, Jitra, yang mengalami kecederaan di bahagian muka, berkata bas dipandu laju ketika menuruni cerun berbukit dari Terowong Menora menuju ke plaza tol.
-- BERNAMA
0 ulasan:
Catat Ulasan