Khamis, 12 November 2009

Selawat Syifa’ bercanggah dengan Aqidah Islam?

Benarkah Selawat Syifa’ bercanggah dengan Aqidah Islam? Maka sesatlah para ulamak dan umat Islam yang mengamalkannya. Kafirlah hukumnya kerana sudah bertentangan dengan AQIDAH ISLAM. Perkara yang disentuh oleh pihak-pihak tertentu ini cuba mangaitkan perkara furuk (cabang) kepada perkara AQIDAH.
Tuduhan melulu ini telah dijawab oleh Darussyifa’ Online iaitu :
Akhir-akhir ini terdapat golongan tertentu yang mempertikaikan bacaan Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah. Mereka mengatakan bahawa mengamalkan selawat-selawat ini boleh membawa kepada syirik kerana membesarkan nabi Muhammad s.a.w. lebih daripada Allah SWT.
Untuk memperjelaskan tentang kekeliruan ini, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah menerangkannya dengan panjang lebar. Dalam buku Doa & Rawatan Penyakit yang di karang bersama oleh Y.Bhg Dato’ Dr. Haron Din & Y.Bhg Dr. Amran Kasimin menterjemahkan makna Selawat Syifa’ seperti berikut;
“Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya”
Dalam terjemahan makna ini ada sedikit timbul kekeliruan kerana menyebut “Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati”. Persoalannya siapa yang memberi kesembuhan. Dalam terjemahan ini jika dibaca secara langsung memang ada sedikit kekeliruan kerana seolah-olah nabi Muhammad yang menyembuhkan hati-hati.
Dalam persoalan Selawat Syifa ini Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menjelaskan seperti berikut: di dalam kamus Bahasa Arab yang masyhur iaitu Kamus al-Munjid, perkataan “Tib” adalah bermaksud “’ilaj” iaitu di dalam bahasa Melayu bermakna “Ubat” atau “Penawar”. Ia bukan bermaksud “Syafi’ iaitu menyembuhkan.
Dengan itu kalau diterjemahkan ِiaitu“Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi penawar kepada hati-hati”
‘Iktikad kita perlu diperbetulkan supaya tidak syirik kepada Allah SWT. Allah SWT. sahaja yang boleh memberi kesembuhan. Kesembuhan hanya milik Allah SWT.
Semoga Allah SWT. sentiasa menjauhkan kita daripada syirik kepada-Nya.
Wallahhu ‘alam Ustaz Azhar Idrus pula menjelaskan:-
Dalam lafaz selawat tersebut perkataan solat itu berada pada kedudukan maf’ul mutlak (kata kena buat mutlak) yang berfungsi sebagai penguat atau penentu bagi jenis kata kerja salli (selawatkanlah), disamping ia juga berada pada kedudukan mudhaf i (yang disandarkan) kepada perkataan tibb. Berdasarkan kedudukan ini, maka lafaz selawat yang diandaikan itu difahami dengan maksud:
Ya Allah! selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, dengan suatu selawat yang boleh menjadi rawatan bagi hati dan apa yang boleh menjadi ubat baginya (hati)… sehingga akhir.”
Berdasarkan maksud ini, maka tidak berlaku lagi apa yang dikatakan sebagai penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat Allah swt, kerana yang dilihat memberi khasiat perubatan bukan lagi zat nabi Muhammad saw. Oleh kerana membaca selawat itu adalah sejenis amal soleh, maka ia termasuk dalam jenis tawasul dengan amal salih yang disyariatkan oleh syara’ dengan maksud ini. Maka penyamaan sifat yang dipersoalkan itu tidak berlaku kerana memang tidak ada penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat penyembuh.
Dan boleh ditakdirkan juga antara lafaz muhammadin dan lafaz tiib itu dengan dengan sifat yg telah dihazafkan mausufnya..
SELAWAT SYIFA’ ini bukan sahaja diamalkan oleh ahli-ahli Darussyifa' malah telah diamalkan oleh para ulama sejak dahulu lagi. Ulama' kini yang mengamalkannya selain Tuan Guru Prof. Dato' Dr Haron Din, ia turut diamalkan oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat selain sekian ramai guru pondok, ulamak-ulamak nusantara mengamalkannya. Janganlah mudah melabelkan orang lain dengan label bid'ah atau pembuat bid'ah hanya kerana mereka tidak sependapat dengan kita sehingga sanggup menyatakan para pengamal selawat Syifa’ ini bercanggah dengan aqidah. Kesilapan kita dalam berkata-kata ini amat merbahaya bukan sahaja boleh memecah belahkan perpaduan ummah malah boleh menjurus kepada fitnah yang amat dahsyat. Ilmu Islam menggalakkan kepada sifat hormat menghormati dan beradab dalam betelingkah pendapat. Sifat berlapang dada inilah menghasilkan keperbagaian mazhab yang kekal sehingga ke hari ini yang membuktikan Islam amat berlapang dada dalam memberi dan menerima pandangan. Kelompok yang suka membid'ah ini kadang-kala sanggup menggunakan nama tokoh ulama' tertentu kononnya tokoh ulama' tersebut seolah-olah menyebelahi mereka walaupun sebaliknya tidak demikian.
Apa kata hadith mengenai mereka yang menghukum sesat, syirik dan kafir?
Hadith RasuluLLah yang terdapat dalam Sahih Bukhari no 5752 yang bererti :
“Barangsiapa mengatakan kepada saudaranya dengan Wahai Kafir, maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya “
Begitulah juga sesiapa yang menuduh seorang Muslim dengan tuduhan syirik maka orang yang menuduh itu sendiri akan jatuh ke dalam kesyirikan tersebut sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith dari Huzaifah bin Yaman di mana RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bererti :
Sesungguhnya perkara yang aku khuatirkan ke atas kamu semua adalah seseorang yang telah membaca al Quran sehingga apabila telah nampak kepandaiannya dalam al Quran dan dia telah menjadi pendokong Islam, tiba-tiba sahaja dia merubahnya kepada sesuatu yang dikehendaki oleh ALlah, maka iapun terlepas dari al Quran dan melemparkannya ke belakang serta mengancam tetangganya dengan pedang sambil melemparinya dengan tuduhan syirik. Aku bertanya : Wahai Nabi ALlah mana di antara keduanya yang lebih patut di anggap melakukan kesyirikan? Orang yang dituduh ataukah yang melemparkan tuduhan? Nabi menjawab : Yang melemparkan tuduhan.

Wallahua'lam

0 ulasan:

Catat Ulasan