Isnin, 9 Mac 2009

Memperbagaikan Dakwah Dalam Perjuangan



Sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati nabi besar junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W merupakan acara tahunan buat ummat Islam di Malaysia. Malah sambutan ini turut dilakukan di kebanyakan negara-negara ummat Islam. Masjid-masjid dan surau-surau mula melancarkan ceramah agama bagi mengajak ummat Islam agar memperingati dan menghayati sirah rasulullah s.a.w agar dapat dicontohi ummah. Selain ceramah, terdapat juga sesetengah pihak yang melancarkan aktiviti kemasyarakatan dan perarakan sempena memperingati Rasulullah tercinta. Namun demikian, tindakan berarak semata-mata bukanlah satu tindakan yang dapat menanam kecintaan masyarakat kepada nabi malah boleh mengundang pembaziran yang merupakan satu amalan yang ditentang Islam. Aktiviti-aktiviti sepatutnya dirancang dengan penuh sistematik agar segala perancangan menepati sasaran iaitu menyemai cinta kepada Allah dan Rasul. Kesemua aktiviti-aktiviti mengajak memperingati rasul ini bukanlah satu perkara baru yang sesat (Bid'ah dholalah) malah ianya merupakan satu perkara baru yang mulia (Bid'ah Hasanah). Pendapat ini merupakan pendapat yang turut dipersetujui oleh kebanyakan ulama' termasuk as-Sheikh Dr Yusuf al Qardhawi sendiri.

Sesungguhnya nabi s.a.w telah meninggalkan kita perbagai lapangan dakwah. Segala kehidupan nabi adalah dakwah. Tindak tanduk baginda dalam kehidupan harian, dalam menghadapi masayarakat, dalam hidup kekeluargaan dan sebagainya. Sebagai ummat Islam, mencontohi tindak tanduk baginda adalah tanda kecintaaan kita pada baginda.

Ruang lingkup dakwah islam itu sangat luas. Dakwah bukan hanya berceramah atau bercakap tentang keagamaan, dakwah bukan sahaja setakat mengajak manusia ke masjid, dakwah bukan hanya setakat penulisan di majalah, internet mahupun ruang blog/ web, malah dahwah mencakupi percakapan dan perbualan kita sehari-hari, watak dan sikap yang kita amalkan seharian baik pada keluarga mahupun masyarakat. Ahli Darussyifa' umumnya dikenali sebagai ustaz dan ustazah walaupun terdapat ramai juga diantara ahli Darussyifa' terdiri daripada perbagai latar belakang pendidikan yang bukan dari aliran agama. Ahli Darussyifa' ada yang terdiri dari kalangan doktor perubatan, jurutera, juru akaun, juruteknik, pekerja kilang, kerani, guru dan sebagainya. Apabila ahli Darussyifa' telah dilabel sebagai ustaz yang mana ustaz ini sinonim dikaitkan dengan 'orang agama' yang tentunya menjunjung tinggi dan mengasihi rasulullah S.A.W. Maka adalah wajib para ahli Darussyifa' mempertingkatkan pengetahuan agama dan memperbagaikan dakwah agar segala tindak tanduknya dan segala percakapannya dapat mengangkat status 'ustaz' yang telah diberi masyarakat.

Semua perbuatan dan percakapan, makan dan minum orang Darussyifa' sering diperhati dan dinilai masyarakat. Tindak tanduk yang negatif atau tidak baik yang dilakukan bukan sahaja akan mencemarkan nama baik ustaz, malah turut mencemarkan nama Tuan Guru yang dikasihi seterusnya meruntuhkan sistem pengubatan Islam yang diperkenalkan sejak sekian lama.

Akhlak yang baik yang diamalkan pastinya akan mengembirakan masyarakat seterusnya menjadikannya sebagai dakwah terbaik untuk mengajak manusia agar kembali kepada Allah. Ahli-ahli Darussyifa' beruntung kerana diberi peluang oleh Allah untuk berdakwah melalui bidang peubatan. Perubatan Islam yang diasaskan nabi bukan sahaja satu sunnah dan fardhu kifayah kepada ummah, malah elemen penting dalam sistem perubatan ini adalah meletakkan keyakinan dan pengharapan hanya kepada Allah semata-mata. Pengetahuan agama dapat membantu ahli Darussyifa' berdakwah kepada masyarakat agar mentaati Allah. Di luar sana masih terdapat wanita-wanita muslim yang tidak bertudung akibat kejahilan dalam agama. Pengalaman Darussyifa' mendapati, wanita-wanita ini mampu bertudung dengan baik setelah menyedari kesipan mereka. Bila mana mereka sakit, dan ketika mendapatkan rawatan di Darussyifa', dengan kebijaksanaan para perawat dalam berdakwah, akhirnya mereka kembali menutup aurat dengan sebaiknya. Ummah Islam hari ini menghadapi perbagai ujian dan dugaan yang mencabar. Masalah ketidak fahaman dan kejahilan agama dalam masyarakat yang berlaku merupakan antara cabaran besar bagi para perawat Darussyifa' agar sentiasa peka dengan ilmu agama dan berusaha meningkatkan pengetahuan sebaik mungkin serta mengamalkannya agar dapat diteladani masyarakat sebagai satu dakwah yang sempurna. Para perawat Darussyifa' dapat membantu masyarakat mengatasi masalah kini dengan syarat para perawatnya memainkan peranan sebagai agen dakwah dalam semua aspek kehidupan.

wallahua'lam.

0 ulasan:

Catat Ulasan