Isnin, 5 Januari 2009

Muharram 1430 Disaji Dengan Darah Umat Islam



Tanggal 29 Disember 2008 yang lalu merupakan satu detik bersejarah buat ummat Islam dimana satu lembaran 1430H telah bermula. Detik bersejarah yang membawa peningkatan umur dan semakin hampirnya kita kepada pengakhiran usia. Semakin hari semakin bergerak waktu dari saat ke saat, minit keminit, hari ke hari sehingga tanpa disedari genaplah tahun ke 1430H. Ummat Islam yang merindui dan meyakini akan balasan-balasan Allah tentu sahaja memanfaatkan setiap detik usianya kearah kebaikan dan peningkatan taqwa, sebaliknya bagi mereka yang lalai dan ingkar akan terus hanyut dibuai nafsu dan kemungkaran. Islam mengajar kita agar sentiasa memuhasabah diri apakah amal kita meningkat atau sebaliknya. Kerana sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini adalah merupakan persinggahan yang sementara. Masyarakat kita kini bertembung dengan krisis nilai. Penggunaan kalender dan penerimaan gaya hidup yang tidak Islam telah menjauhkan kita daripada hidayah Allah S.W.T. Masyarakat kini lebih mengenali kalender Masihi jika dibandingkan dengan kalender hijriah. Setiap kali detik 12 malam pada 1 Januari setiap tahun, pasti kedengaran sambutan tahun baru dimana-mana sahaja. Sambutan yang diraikan oleh muda-mudi Islam dengan sorakan beramai-ramai, dengan pancutan bunga apinya serta perbagai pengisian yang merosakkan ini akhirnya melahirkan laporan akhbar diesok harinya dengan berita-berita kemaksiatan yang amat memalukan. Kita dihidangkan dengan berita tangkapan maksiat, penzinaan, arak dan sebagainya dilaporkan pada 2 Januari 2009. Dalam masa kita mendabik dada sebagai negara Islam, kita dikejutkan dengan sambutan tahun baru oleh kelompok-kelompok tertentu dengan pesta kemaksiatan yang memalukan. Jika ada pertembungan antara 1 Januari dengan 1 Muharram, pasti dilihat majlis-majlis 1 Januari lebih mendapat tempat dikalangan masyarakat. Perkara ini berlaku setiap tahun. Dikala masyarakat sibuk dengan sambutan tahun baru masihi, saudara seagama kita di Palestin sibuk mempertahankan diri dari tindakan zionis Israel. Saudara seagama kita dibunuh, dibom dan diperlakukan diluar batas kemanusiaan. Serangan roket dan jet pejuang menghujani bumi Palestin. Serangan berterusan dengan kemasukan anggota tentera darat Israel pada 4 Januari 2009 yang lalu. Benarlah firman Allah di dalam surah al Maidah:82 " Nescaya kamu akan dapati bahawa manusia yang paling dahsyat permusuhannya dengan orang-orang yang beriman kepada Allah ialah orang-orang Yahudi dan golongan yang mensyirikkan Allah".



Tentera darat zionis Israel memasuki Palestin
Situasi rakyat Palestin yang dibunuh

Kanak-kanak turut menjadi magsa keganasan Israel



Pintu sempadan Palestin-Mesir ditutup bagi menyukarkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Palestin. Rakyat Palestin dibunuh secara tersurat dan tersirat. Ramai individu di Malaysia masih tidak memahami isu Palestin. Masih ramai antara kita menganggap Palestin adalah masalah rakyat Palestin..bukan masalah kita. Kita merasa beruntung dan bertuah diatas kehidupan dan keharmonian yang dikecapi kini. Namun apakah kita sedar bahawa kenikmatan dan keharmonian ini adalah merupakan pemberian Allah dan boleh bertukar sebaliknya pada bila-bila masa. Kita tidak boleh samakan situasi di Palestin dengan situasi kemerdekaan di negara kita. Kita beruntung kerana diberi kemudahan dalam mengecapi kemerdekaan. Kaedah ini cuba dilakukan oleh Almarhum Yassir Arafat dahulu melalui PLO untuk berdamai dengan Israel. Namun, segala usaha perdamaian amat sukar untuk direalitikan. Kemenangan Hamas dalam pilihanraya lalu amat tidak disenangi Israel dan sekutunya. Senario dan corak politik dunia seolah-olah menafikan kewujudan Palestin dan merestui tindakan zionis Israel. Dimanakah hati dan perasaan kita apabila menyaksikan pembunuhan wanita dan kanak-kanak Palestin ? Bagaimanakah perasaan kita jika perkara serupa berlaku terhadap keluarga dan masyarakat kita? Seruan Islam meletakkan setiap ummat Islam yang melafazkan kalimah 'Tiada Tuhan berhak disembah melainkan Allah" adalah bersaudara merupakan mesej jelas kepada kita akan tanggungjawab kita sebagai ummat Islam merasai dan menghayati penderitaan saudara seagama kita di Palestin sepertimana sabda rasulullah bermaksud "Perbandingan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, simpati dan belas ihsan mereka seumpama satu badan, apabila satu anggota sakit, seluruh badannya akan berjaga malam dan merasai sakit" (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim). Persaudaraan Islam merupakan satu persaudaraan yang melangkawi batas kaum, bahasa dan budaya. Kurangnya penghayatan keatas nilai persaudaraan Islam telah menjadikan kita memandang isu Palestin lebih kepada isu rakyat Palestin atau isu kemanusiaan. Sedangkan isu ini bukan hanya isu kemanusiaan malah lebih besar ia merupakan isu keimanan yang turut akan dipersoalkan oleh Allah kelak dihari kebangkitan. Kita akan dipersoalkan setiap apa yang kita lakukan. Apakah tindakan kita dalam membantu saudara seagama kita di Palestin ? Apakah sekadar melihat dan mengeluh tanpa dapat berbuat apa-apa. Lebih teruk lagi apabila ada antara kita yang langsung tidak ambil peduli akan Palestin. Kata-kata seperti : "Palestin ?? kesiannya..." dan sebagainya sering kita dengar sama ada melalui internet, laman forun diakhbar dan sebagainya...ketika penulis membaca laporan mengenai Palestin, seorang rakan sambil gelak menyatakan: " Buat ape baca je...pergi je lah terus ke Palestin tu....pergi bom Israel...pergi je perang...buat ape duduk sini?"....kata-kata sindiran yang sengaja dilontarkan kepada penulis. Jumaat lalu, ketika rancangan bercorak agama ke udara, terdapat komen penonton antaranya : " Kalau ustaz-ustaz kat Malaysia ni kata Orang Palestin tu Syahid kenapa tak pergi je perang kat Palestin?" ada yang kata " Kalau Palestin tu betul kenapa tak menang-menang lagi?"...dan macam-macam lagi. Begitulah ceteknya kita...Sesungguhnya kemenagan bagi orang Islam bukan hanya kemenangan bersifat keduniaan. Bagi mujahid dan mujahidah Palestin mereka telah dijanjikan oleh Allah dengan dua kemenangan. Pertama kemenangan di dunia iaitu bebasnya Palestin daripada cengkaman Israel atau sekiranya kemenangan ini tidak tercapai, pastinya mereka mendapat kemenangan kedua yang lebih bersifat abadi iaitu Kemenangan mendapat Syahid Allah. Tindakan mujahidin Palestin ini merupakan keyakinan dan keimanan yang tinggi terhadap firman Allah yang bermaksud "Sesungguhnya Allah telah membeli orang mukmin harta dan dirinya dengan syurga yang disediakan untuk mereka". Bagaimana mungkin mengikut pemikiran waras kita sanggup meletakkan bom dibadan untuk diletupkan bersama tentera Israel....Akal tidak boleh sanggup menerimanya. Mana mungkin mengikut perkiraan akal yang waras, tindakan muda-mudi Palestin yang menentang tentera Israel yang lengkap dengan persenjataan canggih dengan hanya menggunakan batu-batu seperti membaling anjing-anjing yang berkeliaran ? Keyakinan dan keimanan yang mendalam serta rasa cintakan Syahid menyebabkan mereka sanggup menanggung risiko..sanggup melakukan tindakan yang tidak masuk akal demi mempertahankan agama dan tanahair daripada terus manerus dinodai Israel. Sabda Rasulullah " Berdiri di medan jihad sehari semalam lebih utama daripada puasa dan qiyamullail sebulan lamanya" (Riwayat Ahmad) dan dalam hadis yang lain Rasullullah bersabda "Sesungguhnya tempat seseorang dari kalangan kamu di jalan Allah (jihad fisabilillah) adalah lebih mulia (ganjarannya) daripada solatnya di rumah selama tujuh puluh tahun" (Riwayat al Tirmizi dari Abu Hurairah dan dinilai hadis hassan) Senario masyarakat kita yang dihidangkan dengan perbagai hiburan melalaikan ditambah dengan sikap segelintir pendakwah bebas yang seringkali menghidangkan perkara khilafiyyah dalam masyarakat menambahkan lagi sikap tidak ambil tahu masyarakat dalam hal-hal keagamaan. Hal ehwal berkaitan khilafiyyah sepatutnya dibahas atau dibincangkan pada orang yang berkemampuan untuk memikirkannya bukan kepada masyarakat umum kerana kemampuan akal dan latar belakang pemikiran manusia adalah berbeza. Jika hal ehwal khilafiyyah ini dibincangkan kepada umum, dikhutari salah faham terhadap hukum hakam islam berlaku sehingga mengundang perpecahan ummah. Islam mengajar kita hormat menghormati dalam berikhtilaf. Tidak patut kita melabelkan sesorang itu pelaksana bid'ah atau ahli neraka hanya kerana tindakannya yang tidak sesuai dengan pendapat kita. Tindakan kelompok pendakwah yang berselindung atas nama gerakan salafi yang mendakwa berpegang dengan sunnah rasulullah dan ikutan salafussoleh ini kadangkala tidak membantu ummah terutamanya di Palestin apabila ada dikalangan mereka melabelkan tindakan pengebom berani mati di Palestin sebagai mati dalam maksiat bukan mati syahid/jihad. Kenyataan penulis buku tersebut seolah-olah melaksanakan wasiat Louis IX yang gagal memerangi ummat Islam dalam satu siri peperangan salib dimana ada menyatakan: " Tidak ada jalan untuk menguasai orang Islam melainkan dengan menggunakan kalimah (penulisan dan kata-kata) dan membendung fikiran-fikiran Islam yang sebenar disamping mengapi-apikan keraguan dan kesamaran terhadapnya juga memusnahkan saripatinya yang tertegak di atas jihad."





Prof. Dr Yusuf al Qardhawi

Kedangkalan pendakwah dari selatan tanahair ini amat bertentangan dengan fatwa ulama' masakini Prof. Dr Yusuf al-Qardhawi yang menyatakan bahawa pengebom berani mati adalah syahid berdasarkan kepada hadis dan al-Quran. Perlu difahami realiti yang berlaku di Palestin. Mujahidin palestin bukan pengganas. Mereka tidak sekali-kali sengaja mengebom diri untuk seronok-seronok...atau sikap membenci Israel..tindakan mereka melakukan pengeboman diri atas usaha untuk mengambil risiko yang kecil bagi memusnahkan risiko yang lebih besar. Jika tindakan pengeboman tidak dilakukan, rakyat Palestin tetap diusir dan dibunuh. Jika Hamas tidak menyerang, rakyat Palestin tetap ditindas. Mengharapkan bantuan ummat Islam di seluruh dunia yang tidak kunjung tiba...tiada bantuan ketenteraan diberikan sebaliknya di pihak lawan, peralatan persenjataan terkini sentiasa diperbaharui. Kita ummat Islam di Malaysia mungkin tidak mampu ke Palestin untuk mengangkat senjata...sekatan-sekatan yang dilaksanakan tidak akan memungkinkan kita ke sana untuk berperang...sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan niat hamba-hambanya...tetapi seandainya kita diberi peluang untuk kesana atas tiket bantuan kemanusiaan atau perubatan....pergilah kerana ia tetap dikira sebagai jihad disisi agama...bagi kita yang tidak dapat pergi ke Palestin...bantulah saudara seagama kita dengan sumbangan ikhlas berbentuk wang ringgit yang disediakan oleh pihak kerajaan mahupun pihak-pihak yang lain. Sekiranya kita tidak mampu untuk menyumbangkan wang ringgit...bantulah Palestin dengan berdoa dan bersolat hajat, memohon kepada Allah agar membantu rakyat Palestin. Amalkanlah membaca Qunut Nazilah agar Allah membantu mujahidin Palestin dalam menghadapi ujian yang amat getir ini. Sokonglah Palestin dengan apa cara dan upaya yang boleh..Boikot dan hentikan pembelian keatas setiap barangan keluaran Amerika, Israel dan sekutunya..kerana dengan pemboikotan tersebut akan mampu melumpuhkan ekonomi mereka. Sedarlah bahawa hasil cukai keatas barangan-barangan ini akan digunakan untuk membedil ummat Islam di Palestin. Barangkali sebahagian diantara kita merasakan pemboikotan keatas barangan keluaran Amereka dan sekutunya merupakan satu tindakan yang kecil yang memustahilkan untuk melumpuhkan ekonomi mereka. Namun sekiranya tindakan ini dilakukan dengan bersama, insyaallah ia mampu melumpuhkan ekonomi mereka. Ini kerana umat Islam adalah pengguna terbesar produk-produk keluaran Amarika dan sekutunya. Lihatlah hadis nabi bermaksud "Janganlah sekali-kali kamu memandang remeh sesuatu perkara kebaikan, walaupun sekadar kamu bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang ceria" (Hadis Riwayat Muslim). Atas penerangan ringkas ini, Dr Yusuf al-Qardhawi turut memfatwakan haram bagi ummat Islam membeli setiap barangan Amarika dan sekutunya. Ini sahaja barangkali usaha yang mungkin mampu dilakukan oleh kita semua mengikut tahap keimanannya. Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahadhir Mohammad juga turut menggesa kita memboikot barangan ini. Sesungguhnya ummat Islam sepatutnya menjadi pengeluar bukan menjadi pengguna sepertimana kenyataan Allah yang menyatakan Ummat Islam ini adalah sebaik-baik ummah (ali Imran:110)....tetapi kealpaan kita menyebabkan kita menjadi ummat yang lemah...Sesungguhnya kita akan dipersoalkan kelak akan apa yang kita lakukan...apakah tindakan kita dalam membantu Palestin.

0 ulasan:

Catat Ulasan