Jumaat, 22 Januari 2010

Personaliti: Fitri guna strategi harmoni sebar Islam. Pendakwah utama kesederhanaan, kesejahteraan dalam kerja kemasyarakatan

Oleh: Hasliza Hassan
JIKA asyik melihat perbezaan saja kita tidak akan berjaya tetapi apabila membandingkan persamaan yang dimiliki, itu akan lebih mudah membawa kepada ruang perbincangan dan hasilnya juga adalah lebih baik.
Itulah yang ditekankan Pengarah Unit Dakwah Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia, Muhammad Fitri Abdullah (gambar) untuk menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat terutama golongan bukan Islam. Katanya, berdasarkan pengalaman, golongan bukan Islam akan lebih tertarik untuk mengetahui mengenai Islam apabila diberitahu bahawa agama yang dibawa Nabi Muhammad SAW itu tidak jauh berbeza dengan agama lain. “Lebih mudah untuk sampaikan dakwah kepada bukan Islam apabila ada persamaan. Walaupun sudah 50 tahun merdeka, kita gagal sebarkan Islam kepada bukan Islam kerana kita sentiasa melihat perbezaan.
“Hari ini kita mengajar masyarakat Islam supaya melihat antara kita dengan mereka supaya mereka mudah faham. Dalam kitab Hindu juga ada menyebut keesaan Tuhan. Oleh itu, jika kita boleh sampaikan dengan kaedah menunjukkan persamaan, mereka tidak akan ada masalah dengan kita,” katanya.
Beliau berkata, mencari persamaan antara ajaran agama juga disarankan dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai Ahli Kitab (orang Yahudi dan Nasrani), marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kamu iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, kita tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu juga pun, jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain sebagai Tuhan (untuk dipuja dan didewakan) selain daripada Allah.” – (Surah al-Imran, ayat 64)
Muhammad Fitri berkata, beliau menyedari mengenai persamaan antara agama selepas memeluk Islam dan sejak itu beliau cuba menjadikan maklumat itu bagi mendekatkan diri dengan kumpulan sasar dalam menyebarkan Islam kepada mereka.
Beliau yang banyak terbabit dengan aktiviti membantu saudara baru mengenal serta mendalami Islam berkata, tujuan beliau bukan untuk mencari salah atau menunjukkan siapa yang hebat tetapi lebih kepada usaha menyampaikan mesej Allah kepada manusia.
“Saya belajar mengenai persamaan itu selepas memeluk Islam kerana saya teringat kembali petikan dalam kitab Veda Hindu berusia ribuan tahun dulu mengenai tuhan itu esa. Tetapi masa itu saya tidak faham walaupun kitab itu menyebut tuhan tidak boleh dilihat.
“Apabila membaca al-Quran dan tafsir, saya terkejut kerana ada persamaan. Al-Quran membuka minda saya untuk memahami agama Hindu lebuh mendalam. Sebab itu apabila turun padang, saya bukan nak Islamkan orang tetapi nak beritahu Islam bukan agama yang janggal.
“Jika semua masyarakat bukan Islam duduk berbincang dan lihat mesej yang Islam sampaikan pada manusia, saya rasa ramai akan memahami Islam. Kita bukan hendak cari gaduh kerana tanggungjawab kita ialah menyampaikan,” katanya.
Katanya, ramai juga penganut Hindu yang datang secara peribadi untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan lanjut kenapa agama mereka tidak diterima Islam serta kenapa hanya Allah Tuhan yang perlu disembah.
Kemusykilan mereka itu dipermudahkan dengan memberikan persamaan yang ada dalam al-Quran dan kitab Veda yang keduanya menegaskan mengenai keesaan Tuhan dan hakikat bahawa Tuhan tidak boleh dilihat.
Muhammad Fitri berkata, selepas meletakkan hujah itu kepada mereka yang datang berbincang dengannya, beliau akan membiarkan mereka untuk memikirkan sendiri serta menentukan apakah keputusan yang akan dibuat.
Katanya, beliau sendiri pernah melalui saat sama seperti mereka dan itulah titik tolak kepada usahanya mendalami Islam seterusnya membuat keputusan yang akhirnya mengubah kehidupannya hari ini.
“Ketika itu saya sedang menonton televisyen dan kebetulan Datuk Haron Din menjadi salah seorang ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam. Beliau berkata biarpun niat baik, amalan sedekah jariah yang dilakukan tidak menjadi ibadat jika kita tidak beriman.
“Apabila saya mendengar kata dia, saya marah sangat. Saya tertanya kenapa orang Islam saja yang baik Allah terima amalan mereka. Kenapa orang Islam saja masuk syurga tetapi orang agama lain yang baik tidak boleh masuk syurga.
“Kenyataannya menghantui saya tetapi ketika itu hati saya memang tidak berminat mendekati Islam. Saya pergi gereja untuk belajar agama Kristian tetapi malangnya, saya tidak berjumpa apa yang dicari,” katanya.
Katanya, kemudian beliau dibawa seorang pelanggan yang sering berurusan dengannya yang bertugas di sebuah bank untuk menghadiri usrah bersama Haron dan selepas mengikuti beberapa sesi usrah, akhirnya beliau memeluk Islam.
Beliau memeluk Islam dalam majlis usrah yang dikendalikan Haron dan peristiwa bersejarah berlaku pada 8 Ogos 1991 itu lebih bermakna apabila ia disaksikan 200 peserta usrah.
Muhammad Fitri bersyukur kerana diberi hidayah oleh Allah dan gembira kerana dimudahkan untuk menyebarkan Islam kepada orang lain melalui pembabitan dalam pelbagai organisasi termasuk Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia yang banyak memberi sokongan kepadanya.
Sebagai Pengarah Unit Dakwah dan Perunding Latihan bagi persatuan yang menjalankan kerja dakwah kepada saudara baru, beliau turut mendapatkan bantuan rakan yang mahir dalam agama Kristian untuk memperkenalkan Islam kepada masyarakat Kristian.
Selain aktiviti dakwah, menghadiri seminar, bengkel dan memenuhi jemputan di masjid atau pejabat, Muhammad Fitri turut menguruskan rumah perlindungan Baitul Sakinah yang terletak di Serendah, Rawang, untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan.
Rumah perlindungan itu memberi bantuan bersifat sementara kepada keluarga saudara baru termasuk mendapat pendidikan, tempat tinggal hingga mencari pekerjaan sebelum mereka boleh hidup sendiri.
“Pada masa sama, jika mereka tidak ada kerja kita cuba dapatkan mereka kerja. Apabila ekonomi sudah terurus, kita cuba dapatkan rumah sewa dan kadang-kadang kita uruskan sewa rumah hingga mereka stabil dan boleh berdikari.
“Ini yang kita cuba buat dan syukur kerana mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam. Mereka banyak membantu dan kerjasama mereka membolehkan kami memantapkan usaha membimbing serta mendidik saudara baru,” katanya.
Katanya, usaha itu bertujuan memartabatkan saudara baru supaya dapat menjalani kehidupan lebih selesa dan apabila berjaya nanti boleh ditampilkan sebagai contoh kepada saudara baru lain yang mengikut jejak langkah mereka memeluk Islam.
Berdasarkan rekod Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia, kira-kira 300 saudara baru yang sudah dibimbing dan memeluk Islam di seluruh negara, berjaya membina kehidupan baru dan menaburkan bantuan kepada saudara lain.
(Keratan Akhbar Berita Harian Khamis 16 Ogos 2007 m/s 11)

0 ulasan:

Catat Ulasan