Jumaat, 7 Januari 2011

Hari Keluarga Darussyifa' Ipoh Tahun 2010


Tahniah kepada Jawatankuasa Hari Keluarga Darussyifa' Ipoh 2010 kerana telah berjaya melaksanakan Program Hari Keluarga Darussyifa' Ipoh buat kali ketiga. Untuk pertama kalinya program Hari Keluarga pada kali ini dilaksanakan selama tiga hari dua malam sejak 24 hingga 26 Disember 2010.

Bertempat di Kem Cinta Alam Kelimat, Sungai Siput Utara, Daerah Kuala Kangsar, program pada kali ini telah berjaya mengumpulkan 10 buah keluarga khususnya para perawat yang aktif.

Program dimulakan dengan sesi pendaftaran sekitar jam 3.00 ptg hingga 7.00mlm diikuti dengan program solat maghrib serta zikir berjemaah. Pada hari berikutnya program diserikan dengan qiamullail, solat subuh berjemaah serta tazkirah yang disampaikan oleh A.F Us Anuar yang bertajuk "Penyatuan Fikrah dalam Rawatan". Program Sukaneka Keluarga pula diceriakan dengan suasana kekeluargaan melalui program mencari harta karun yang dirancang dan dilaksanakan pada jam 9.00 pg-1.00 ptg.

Selepas solat Asar, A.F Us Mokthi b. Uri menyampaikan ceramah bertajuk "Komunikasi Berkesan". Program Selepas Maghrib diteruskan dengan Tazkirah oleh A.F Us. Che Leh b. Che Ali yang bertajuk "Peranan Perawat Dalam Konteks Dakwah".

Majlis kemuncak pada malam kedua ini diserikan dengan aktiviti gotong-royong para muslimat dalam menyediakan BBQ serta perasmian Laman Blog serta Face Book Darussyifa' Perak oleh A.F Us. Che Leh b. Che Ali.

Program Hari terakhir diteruskan dengan Solat Subuh berjemaah serta program Usrah yang dikendalikan oleh naqib yang dilantik: A.F Us Mokhti b. Uri. Pernagai input yang disampaikan serta perbincangan dan kata putus yang dapat diambil dalam Usrah yang dilaksanakan. Sukaneka kanak-kanak dan keluarga turut diteruskan sekitar jam 9.00pg hingga 11.00 pg dimana majlis penutup telah disempurnakan oleh Us Mokhti b. Uri.

Majlis diakhiri dengan program gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Program Hari Keluarga serta para peserta bersurai pulang setelah selesai makan tengahari. Sesungguhnya kerjasama yang diberikan antara jawatankuasa yang dilantik merupakan tonggak utama kejayaan Hari Keluarga pada kali ini. Jawatankuasa Induk Hari Keluarga mengucapkan teriama kasih kepada semua peserta dan jawatankuasa serta mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakannya. Tidak lupa juga buat semua peserta dan ahli keluarga masing-masing dalam memeriahkan lagi program tersebut. Semoga hubungan kekeluargaan antara kita sentiasa kekal erat berpanjangan...InsyaAllah.
Buat semua peserta Hari Keluarga Darussyifa' Ipoh tahun 2010, gambar untuk semua peserta telahpun disediakan dalam bentuk CD. Harap maklum


Senarai J/K Program Hari Keluarga Darussyifa' Ipoh Tahun 2010

Pengarah Projek : Akh Saiful
Setiausaha : Us Najib
J/K Pendaftaran & Penginapan : Us Zul
J/K Keselamatan : Us. Kamarul
J/K Makanan : Tn Hj Tajul
J/K Fotografi : Akh Rashidie
J/K Sukaneka : Akh Adib
J/K Siaraya : Akh Saiful
J/K Hadiah : Us. Najib
J/K Kerohanian : Us Mokhti

Selasa, 4 Januari 2011

Beberapa Fatwa Ulama Semasa Mengenai Perubatan Oleh A.F Dr Rushdi Ramli



Soalan 1:

Apakah hukumnya menggunakan ubat-ubatan yang bertujuan untuk menghilangkan atau mengurangkan rasa sakit seperti ubat bius, pelali dan sebagainya?


Jawapan:

Mengambil ubat-ubat tertentu yang bertujuan untuk memberikan rasa tenang dan kerehatan kepada diri pesakit atau yang bertujuan untuk mengurangkan rasa sakit adalah harus dan tidak berdosa. Ubat-ubatan seperti ini boleh diambil samada sebelum proses rawatan dilakukan atau sebaliknya. Walaubagaimanapun sekiranya ubat-ubatan tersebut termasuk dalam kategori 'bahan yang boleh memabukkan atau menghilangkan akal' maka pengambilannnya adalah tidak dibenarkan iaitu berdasarkan sabda nabi yang bermaksud : "Apa sahaja bahan yang boleh memabukkan maka pengambilannya walaupun dengan kadar yang sedikit adalah HARAM" Justeru, apa sahaja ubat-ubatan yang tidak memabukkan tetapi dapat memberikan rasa tenang atau mengurangkan rasa sakit maka pengambilannya adalah harus.

Jumaat, 24 Disember 2010

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din Memasuki Ke Dalam Kaabah Kali Ketiga Pada 21-Disember-2010


Pada hari Selasa, 21-Disember-2010M bersamaan 15-Muharam-1432H, kira-kira pukul 7:00 pagi waktu Makkah (waktu Malaysia 12:00 tgh), Tuan Guru Dato’ Dr.Haron Din telah diberi penghormatan bersama-sama tetamu kerajaan Arab Saudi yang lain untuk memasuki ke dalam Kaabah. Ini adalah kali ketiga Tuan Guru berpeluang memasuki ke dalam Kaabah. Kali pertama pada tahun 2001, kali kedua 5 bulan yang lalu iaitu pada 1 Syaaban 1431H (13-Julai-2010).


Tuan Guru bersama tetamu-tetamu kerajaan Arab Saudi yang lain berpeluang beribadat selama sejam di dalam Kaabah. Tuan Guru keluar dari dalam Kaabah kira-kira pada pukul 8:00 pagi (waktu Makkah). Tuan Guru pergi ke Makkah melalui negara Brunei. Beliau bertolak ke negara Brunei pada hari Khamis 16-Disember-2010 seorang diri. Kemudian berangkat ke Makkah pada hari Ahad 19-Disember-2010 bersama-sama rombongan kerajaan negara Brunei. Tuan Guru dijangka pulang ke tanah air pada hari Jumaat 24-Disember-2010 (Hari ini).


Bila ditanya bagaimana Tuan Guru boleh mendapat jemputan ini, beliauberkata panjang untuk menceritakannya. Semoga Allah SWT memberkati Tuan Guru sekeluarga.

Selasa, 21 Disember 2010

Program Hari Keluarga Darussyifa' Perak Tahun 2010

Program Hari Keluarga Darussyifa' Perak tahun 2010 akan dilaksanakan pada 24 hingga 26 Disember 2010. Bagi ahli-ahli Darussyifa' yang ingin turut serta bolehlah menghubungi Us Rashidie di talian 013-4591844

Darussyifa Perak tealh punyai akaun Facebook


Darussyifa' Perak telahpun mewujudkan akaun Facebook bagi membolehkan para pengguna laman maya dalam mendapatkan maklumat atau berkongsi maklumat tentang Darussyifa' Perak serta aktivitinya. Untuk pertama kalinya blog Darussyifa Perak serta Facebooknya bakal dilancarkan pada malam kemuncak Program Hari Keluarga Darussyifa' Perak yang bakal diadakan pada 24 hingga 26 Disember 2010. Semoga laman ini mendapat sambutan serta memberikan maklumat berguna buat semua pengunjung.

Rabu, 8 Disember 2010

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din Dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 1432H




Tuan Guru Dato' Dr Haron Din telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor atas sunbangan yang telah diberikan beliau dalam perbagai lapangan Dakwah. Penglibatan beliau dalam bidang dakwah telah bermula sejak dibangku sekolah lagi sehinggalah sekarang. Selain mempunyai kepakaran dalam bidang Syariah, beliau juga merupakan pakar pengubatan Islam dan merupakan pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia atau lebih dikenali sebagai Darussyifa' yang beribupejabat di Bandar Baru Bangi. Sehingga kini, Darussyifa' yang diasaskan oleh Tuan Guru Dato' Dr Haron Din telah mempunyai ribuan pelajar dan perawat yang terdiri dari perbagai latarbelakang kerjaya di seluruh Malaysia dan Brunei sebagai satu cabang dakwah dalam membantu masyarakat menanggani masalah semasa. Bekas Professor Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia ini pernah menjadi ahli Majlis Penasihat Syariah dibeberapa bank terkemuka seperti CIMB, Public Bank, Bank Negara selain ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor dan Negeri Perlis. Anugerah ini telah disempurnakan oleh Tengku Panglima DiRaja Selangor Tengku Sulaiman Shah al Haj bagi mewakili Sultan Selangor. Turut hadir Menteri Besar Selangor, Barisan Exco sera Mufti Kerajaan Negeri Selangor. Semoga Allah mencurahkan segala kebaikan dan kejayaan buat Tuan Guru dan keluarga serta seluruh pengikut dan para pejuang dalam menegakkan perlaksanaan kalimah Allah di bumi Malaysia tercinta.

Jumaat, 15 Oktober 2010

Program Rawat Institit Teknologi Perak

Taklimat oleh Us. Zakaria b. Nasiruddin

Antara bahan-bahan yang diperlukan


Peserta terdiri daripada para pelajar ITP


Satu program rawat telah berjaya dilaksanakan di Intitut Teknologi Perak (ITP) Ipoh. Program rawat tersebut telah dilaksanakan pada 13.10.2010 (Rabu). Program yang turut disertai para pelajar institut tersebut telah dimulai dengan solat maghrib berjemaah, bacaan yasin dan solat hajjat serta penerangan rawatan oleh Pengerusi Darussyifa' Cawangan Kemunting Us. Zakaria b. Nasiruddin





Khamis, 9 September 2010

Salam Aidilfitri


Salam aidilfitri buat semua mulimin dan muslimat serta pengunjung blog Darussyifa Perak Online. Semoga senantiasa dirahmati Allah

Sabtu, 4 September 2010

GAMBAR PERKEMBANGAN TERKINI RAWATAN JANTUNG TUAN GURU DI STANFORD HOSPITAL CALIFORNIA USA





























Khamis, 19 Ogos 2010

Selamat Ulang Tahun ke 70 Buat Tuan Guru Kita.


Alhamdulillah, pada hari Rabu 18.08.2010M adalah hari ulang tahun kelahiran ke 70 (Mengikut perkiraan kalender Masehi) Tuan Guru kita yang kita sangat kasihi iaitu Tuan Guru Prof. Dato' Dr Haron Din. Semoga Tuan Guru terus dikurniakan kesihatan dan keafiatan oleh Allah hendaknya. Sempena dengan bulan ramadan yang penuh barokah ini, marilah kita bersama-sama mendoakan kesihatan dan keafiatan tuan Guru agar diberikan kemudahan dan nikmat berkekalan serta panjang usia agar dapat memberi manfaat buat semua. Sesungguhnya kita semua masih dahakan ilmu dari Tuan Guru. Terlalu banyak bantuan, tunjuk ajar dan curahan mutiara ilmu dari Tuan Guru yang amat kita semua perlukan. Semoga dengan doa kita semua akan memberi kemudahan kepada Tuan Guru terutamanya dalam menjalani rawatannya kelak. Amin ya rabbal alamin.


Khamis, 12 Ogos 2010

Salam Ramadhan Dari Darussyifa Perak Online


Pengumuman!!


Adalah dimaklumkan bahawa Tuan Guru Dato' Dr Haron Din akan menjalani rawatan jantung pada awal Ramadhan ini. Justeru itu, program umrah ramadhan bersama Tuan Guru terpaksa dibatalkan. Sekian dimaklumkan.

Khamis, 5 Ogos 2010

Keratan Akbar: 'The Power of Prayer'



Keratan Akbar: 'The Power of Prayer'


Selasa, 13 Julai 2010

Pengumuman : Kursus Rawatan Bekam


Adalah dimaklumkan bahawa satu kursus rawatan menggunakan kaedah berbekam akan diadakan pada masa dan tarikh berikut:-

Tarikh: 16.07.2010 (Jumaat)

Jam : 3.00ptg - 12.00t/malam

Tempat : Darussyifa' Bota


Sehubungan itu, semua ahli Darussyifa' adalah dijemput bagi menimba ilmu kaedah rawatan berbekam. Untuk maklumat lanjut sila hubungi Us. Mokti b Uri di talian 013-5212706

Takziah Buat Keluarga Dr Abdul Rahman Darus


Assalamualaikum semua, berita yang ana terima pagi tadi memaklumkan bahawa Dr Abdul Rahman Darus telah kembali ke rahmatullah kira-kira pada jam 1.30 pagi tadi (13.07.2010). Alfatihah buat beliau dan takziah buat keluarganya.

Dr Abdul Rahman Darus merupakan pensyarah di Universiti Putra Malaysia dan pernah menjawat jawatan Ketua Jawatankuasa Penyelidikan dan Pembangunan Darussyifa' Pusat selain merupakan antara tenaga pengajar di Darussyifa' khususnya dalam ilmu berkaitan herba dan tumbuh-tumbuhan. Semoga segala amal bakti beliau memberikan ganjaran sebanyaknya oleh Allah s.w.t.

Isnin, 5 Julai 2010

Bersama Tuan Guru Dato' Dr Haron: Mimpi Ibu Derita Di Alam Kubur


Soalan: Ibu kami baru meninggal dunia. Kami adik-beradik sering bermimpi ibu dalam kesusahan di dalam kubur. Ibu menanggung pelbagai penderitaan. Mimpi-mimpi kami hampir sama berselang hari. Ada kawan saya berkata seksa kubur tidak ada, dia pernah terbaca tulisan dalam majalah Al-Islam. Betulkan sedemikian, apa komen Dato' tentang mimpi kami dan bagaimana cara hendak mengatasinya? - Wahidah Abu Kasim, Pontian

Jawapan: Orang yang telah kembali ke rahmatullah, terserahlah kepada Allah SWT untuk membalas segala amalan-amalannya. Amalan baik pasti dibalas dengan nikmat, demikian sebaliknya. Semoga ibu anda dirahmati Allah jua.
Memasuki alam kubur, adalah suatu realiti yang pasti akan ditempohi semua manusia. Di dalamnya ada balasan baik atau jahat bergantung kepada amalan-amalan insan di dunia.
Seksa kubur adalah benar, sabit dengan nas-nas syarak yang tidak boleh diragukan.
Antaranya Firman Allah (yang mafhumnya):

"...alangkah dahsyatnya sekiraya kamu melihat sewaktu orang-orang yang zalim menghadapi seksaan sakratul maut, sedang para malaikat memukul (menyeksa) mereka dengan tangan mereka, sambil berkata (dengan menengking dan mengejek); "Keluarlah nyawa mu, pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang amat menghinakan."

(Surah al-An'aam ayat 93)

Firman Allah (yang mafhumnya):

"Dan sesungguhnya kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (segera) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat), mudah-mudahan mereka kembali ke jalan yang benar."

(Surah as-Sajdah ayat 21)

Dalam Tafsir at-Tabari, juzuk 12 halaman 443, disebut dengan jelas yang bermaksud, ayat tersebut adalah merujuk kepada seksa kubur. Kenikmatan di alam kubur disebut dengan jelas sebagaimana firman Allah yang mafhumnya:

"Jika sekiranya orang yang meninggal itu maqamnya hampir dengan Allah (Muqarrabin. Maka (dia akan beroleh) rehat dan kesenangan (di alam kubur) dan rahmat kesegaran serta syurga kenikmatan)."

(Surah al-Waq'iah ayat 88 -89)

Hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. amat banyak menceritakan perihal azab kubur, antara lainnya Imam Bukhari dalam kitab dalam bab jenazah, hadis 1372, meriwayatkan hadis daripada A'ishah r.a (mafhumnya):

"Beliau bertanya Rasulullah s.a.w. tentang seksa kubur. Rasulullah menjawab, Ya, seksa kubur adalah benar (haq)."

Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas r.a, mafhumnya):

"Bahawa Rasulullah s.a.w. mengajar sahabat-sahabatnya doa untuk mengelak daripada azab kubur."

Hadis-hadis mengenai azab kubur, adalah sabit dan dikatakan sampai ke attawatur (tahap kesahihan yang tinggi). Semua dalil ini mengambarkan keyakinan bahawa wujudnya seksa kubur dan tidak ada ruang langsung untuk mengingkarinya. Ada pun yang rakan anda baca dalam majalah Al-Islam itu, ia adalah pendapat yang tidak berdasarkan kepada nas-nas syarak.
Hal-hal yang akan berlaku, khususnya selepas seseorang itu meninggal dunia, bukan boleh dirujuk kepada fikiran atau menggunakan akal semata-mata. Ia mesti didasarkan kepada wahyu dan nas-nas yang sahih dan tidak boleh dinafikan. Khusus mengenai mimpi saudari adik-beradik, saya tidak dapat menafsirkannya kerana itu adalah mimpi. Apa pun, mimpi memang ada yang benar dan ada yang tidak. Yang benar disebut 'rukya sadiqah' dan yang tidak benar ‘adzghasu ahlaan’ atau mimpi kosong, merepek atau menggigau.
Mungkin juga mimpi anda benar, oleh itu seelok-eloknya anda adik-beradik berdoa banyak-banyak kepada Allah agar merahmati ibu anda. Pohonlah agar Allah mengampunkan dosa-dosa ibu anda (jika ada) dan merahmatinya. Dalam satu hadis lain Nabi s.a.w menyebut (mafhumnya):

"Ruh orang-orang yang mati itu, tergantung-gantung di antara dunia dan alam kubur atau di dalam alam kubur dengan sebab hutang-hutang yang tidak dilunas."

Mungkin juga ibu anda ada hutang dengan kawan-kawan yang belum dijelas. Pernah berlaku pada zaman Rasulullah, ada sahabat yang meninggal dunia dalam keadaan menanggung hutang.
Rasulullah s.a.w. enggan untuk menyembahyangkan jenazahnya sehingga anggota keluarga menjelaskan hutang-hutangnya. Hanya selepas hutang itu dilangsaikan, barulah Rasulullah s.a.w. menyembahyangkan jenazah tersebut. Semua ini menggambarkan bahawa, ada kemungkinan, isyarat yang anda terima, mungkin ada masalah tersebut, carilah puncanya dan selesaikanlah apa yang perlu. Semoga Allah merahmati ibu anda.

Wallahu a'lam.


Isnin, 14 Jun 2010

UMRAH AWAL RAMADHAN BERSAMA TUAN GURU DATO' DR HARON DIN


UMRAH AWAL RAMADHAN BERSAMA TUAN GURU DATO' DR HARON DIN
PADA 11 HINGGA 23 OGOS 2010
HARGA PAKEJ:-
4 ORANG SEBILIK - RM 7590.00
3 ORANG SEBILIK - RM 8090.00
2 ORANG SEBILIK - RM 8590.00
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:-
Dr Abdul Rahman Darus 019-6490284
Hj Md Roslan 019-2398573
*Segala perubahan tertakluk kepada pihak pengurusan kelak

Jumaat, 11 Jun 2010

Bersama Tuan Guru Prof' Dato' Dr Haron Din:Menukar Hukum Allah SWT Kesalahan Besar



SOALAN: Ada ulama mengatakan bahawa pemerintah Islam hari ini, dibolehkan memilih undang-undang selain undang-undang Allah dan menggantikannya dengan undang-undang ciptaan manusia kerana perubahan zaman, boleh membawa perubahan hukum berdasarkan kepada kaedah ilmu fikah yang berbunyi antara lain bahawa 'hukum Islam berubah mengikut perubahan tempat dan masa'. Betulkah pandangan ulama itu? Adakah kaedah fikah tersebut terpakai? Mohon Dato' jelaskan. - MOHD FIRDAUS AHMAD, Bandar Country Homes, Rawang

JAWAPAN: Permasalahan anda kemukakan ini besar yang melibatkan hukum-hukum Allah.
Saya ingin mengingatkan, jangan sampai kita mempermain-mainkan hukum Allah dengan memberi alasan remeh bagi membolehkan manusia menggunakan alasan agama untuk menolak hukum agama. Hukum Allah SWT ada dua cabang yang terbesar. Pertamanya, hukum-hukum qat'ie dan keduanya, hukum-hukum yang tidak qat'ie. Yang qat'ie bermaksud hukum-hukum tetap yang tidak berubah. Yang tidak qat'ie adalah hukum tidak 'rigid' dan boleh berubah.
Yang tidak berubah sabit seperti hukum-hukum kesalahan jenayah dan hudud. Sedangkan hukum-hukum yang sabit dengan ijtihad, ia boleh berubah.
Hukum-hukum haram halal sesuatu pemakanan yang sabit dengan ayat-ayat yang muhkamat, demikian juga dalam minuman serta dalam haram halal bergaul dengan perempuan.
Yang diharamkan dalam perkahwinan seperti yang disebutkan muhramat, yang diharamkan berkahwin selama-lamanya. Begitu juga haram memakan babi, bangkai, darah, meminum arak dan yang seumpama dengannya, hukum haramnya kekal sampai sehingga bila-bila.
Sebenarnya tidak ada pilihan. Allah juga tidak pernah memberi pilihan dalam melaksanakan hukum-hukum qat'ie, seperti haramnya riba, mencuri atau merompak, berzina dan sebagainya sudah sabit pengharaman dalam al-Quran.
Hukumnya sabit, maka ia tidak lagi menjadi pilihan.
Firman Allah (mafhumnya):

"Dan tidak harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu perkara, tidak harus mereka membuat pilihan sendiri. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia berada dalam kesesatan yang amat nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Daripada ayat ini dan hadis-hadis Nabi yang sahih, jelas menunjukkan bahawa hukum-hukum Allah tidak boleh dipermain-mainkan.
Adapun kaedah yang disebutkan itu, memang ia suatu kaedah fikah yang termasuk dalam istilah al-qawa'id al-fiqhiyyah. Kaedah seperti ini tidak boleh dilaksanakan kepada kesemua hukum. Ia dibuat oleh ulama terdahulu, bagi mengkhususkan kepada perkara-perkara penggunaan akal yang disebut sebagai ijtihad. Ijtihad bererti, ulama mengeluarkan hukum-hukum baru yang diasaskan kepada nas-nas syarak berdasarkan kepada i'llah dan sebab-sebab khusus yang membolehkan hukum baru dikeluarkan.
Hukum-hukum ini adalah hukum akal. Akal manusia berbeza. Seperti berbezanya hukum-hukum ijtihad pada perkara-perkara furui'yyat (perkara cabang) dalam hukum fikah.
Perkara cabang inilah yang memungkinkan ijtihad dan berlaku perubahannya yang mengikuti perubahan zaman. Namun demikian, bukan kesemua hukum ijtihad boleh berubah mengikut perubahan zaman atau mengikut selera manusia.
Jika ijtihad bertentang dengan hukum asal yang qat'ie dalam al-Quranul Karim, maka ijtihad tersebut tidak boleh dipakai.
Seperti kaedah lain yang disebutkan, ijtihad tidak boleh menyalahi hukum syarak. Sepatutnya para ulama mencari jalan untuk memudah atau membolehkan hukum Allah dilaksanakan. Bukan mencari justifikasi untuk menghalang perlaksanaan hukum tersebut.
Antara sebab bagi manusia hari ini menolak hukum Allah SWT, adalah kerana ingin mempertahankan status-quo yang ada.
Jangan sesekali menyokong pemerintah, dengan tidak memberi perhatian serius daripada akibat penolakan hukum-hukum Allah SWT. Oleh sebab itu, menukar hukum Allah dengan hukum ciptaan manusia adalah kesalahan yang amat besar. Perhalusilah sebaik-baiknya sebarang tindakan kita, bagi mengelak kerugian besar di akhirat nanti.

Wallahua'lam.

Selasa, 8 Jun 2010

MoU diantara Darussyifa' dan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya

Persatuan Kebajikan Dan Pengubatan Islam Malaysia atau lebih dikenali sebagai Darussyifa' telah melakarkan satu sejarah apabila menjadi organisasi pertubuhan perubatan Islam pertama yang telah menandatangani perjanjian persefahaman bersama Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) pada 20 Mei 2010.
Majlis MoU tersebut turut dihadiri Tuan Guru Prof. Dato' Dr Haron Din bersama Jawatankuasa Pusat Darussyifa' serta pihak CUCMS. Melalui MoU tersebut, pihak Darussyifa' akan membantu CUCMS dalam menyediakan tenaga pensyarah serta akan melibatkan persatuan dalam aktiviti membabitkan pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang akan ditentukan kelak. Sesungguhnya perjanjian persefahaman ini telah menaikkan lagi imej perubatan Islam.
Hasrat Tuan Guru untuk menjadikan perubatan Islam ini setanding perubatan moden telah lama disuarakan. Malah Tuan Guru turut pernah berhasrat agar Darussyifa' pada satu ketika nanti menubuhkan sebuah Kolej Perubatan yang mampu menawarkan ilmu perubatan sains dan Islam dimana pelajar-pelajar lulusan kolej ini kelak mampu mengaplikasikan ilmu sains perubatan dan ilmu perubatan Islam di Hospoital mahupun klinik-klinik yang bakal mereka berkhidmat kelak. Namun, disebabkan kekurangan sumber kewangan dan kemampuan yang terbatas, maka hasrat tersebut tidak terlaksana.
Darussyifa' tidak pernah memadamkan hasrat sedemikian sebaliknya akan terus berusaha memartabatkan perubatan Islam ini. MoU yang berlangsung ini merupakan sebahagian langkah yang diizinkan Allah dalam usaha tersebut. Darussyifa' kini sedang mendapatkan pengiktirafan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia agar perubatan Islam yang diamalkan mampu memberikan khidmat kepada masyarakat melalui hospital-hospital kerajaan terpilih melalui kaedah rawatan Ruqyah as Syariah. Semoga usaha ini memberikan ganjaran disisi Allah dan keredhoaanNya.
Wallahua'lam