Isnin, 13 April 2009

Makanan Halal-Satu Tuntutan


Allah S.W.T tidak pernah menghalang manusia menikmati makanan yang baik malah ia amat dianjurkan. Namun Allah menganjurkan bahawa setiap makanan yang diambil hendaklah baik dan halal. Makanan yang baik mendatangkan kesan yang baik pada tubuh badan manakala makanan yang halal bukan sahaja memberi kebaikan malah turut memberi keberkatan pada diri dan kehidupan. Makanan yang baik tidak semestinya mahal tetapi makanan yang baik itu mestilah makanan yang dihasilkan melalui proses yang bersih dan teratur serta tidak mengandungi bahan-bahan syubhat dan bahan yang boleh memudaratkan. Ummat Islam kini dilambakkan dengan perbagai bahan sama ada bahan makanan, produk kecantikan, produk penjagaan dan kesihatan serta perbagai produk baru yang diperkenalkan yang mana kandunganya kadangkala tidak diketahui punca serta kesan baik dan buruknya. Umumnya produk-produk baru sebegini seringkali digambarkan dengan perbagai kebaikan seolah-olah ia tidak mendatangkan kesan buruk sedikitpun. Namun, awas, produk-produk sebeginilah yang sering menjerat pembelinya. Berapa ramai wanita yang menderita perbagai penyakit barah dan misteri hasil mengambil pil-pil langsing, ubat-ubat kecantikan dan perbagai produk kesihatan yang tidak dapat dipastikan kebenaran keberkesanan dan kebaikannya melalui badan-badan yang diiktif. Kebiasaannya produk sebegini sememangnya mampu memberi kesan seperti yang dihajati, namun kesan sampingan hasil pengambilannya biasanya tidak diketahui. Akibatnya ummat Islam tertipu dan menderita akibat kecuaian dan keghairahan mereka untuk kelihatan cantik sepanjang masa dengan mengambil produk tersebut. Kebanyakan produk-produk sebegini datangnya daripada negara barat yang dikatakan maju dalam segala macam teknologi. Sememangnya negara barat seperti Amerika, Jepun, Britain dan lain-lain negara merupakan antara negara yang maju dalam perbagai lapangan bidang. Namun, teknologi dan kecanggihan mereka kadang-kala tidak sehebat seperti yang mereka gambarkan dalam filem-filem keluaran mereka. Kesemua instrumen mereka mainkan agar kita mengaungkan mereka dengan paparan seolah-olah mereka terlalu maju sehinggakan apa sahaja bahan dan produk dari mereka kita telan tanpa kaji dan selidik apakah kesan sampingan hasil mengambilnya apatahlagi sumber dalam menghasilkannya apakah halal atau sebaliknya. Bahan-bahan ini kadangkala dijual melalui agen tertentu ataupun melalui progrem yang dikenali sebagai MLM (Multi Level Marketing) atau yang seumpamanya yang pakar-pakar syariah telah berpendapat terdapat sesetengah konsep MLM yang HARAM.
Produk-produk kecantikan yang halal yang dihasilkan oleh orang Islam bukan tiada tetapi sukar menembusi pasaran disebabkan kesan pengambilannya yang lambat berbanding bahan yang didatangkan daripada negara barat. Biasanya produk-produk dari Barat ini meletakkan kenyataaan kandungannya dengan menggunakan perkataan saintifik. Kurang minat mengkaji makna perkataan saintifik tersebut telah menyebabkan umat Islam terus menjadi pengguna kepada bahan yang HARAM. Inilah lemahnya ummat Islam, sifat malas dalam menuntut ilmu menyebabkan mereka terus dipermain-mainkan oleh musuh-musuh Islam tanpa mereka sedari. Ummat Islam adalah antara penghuni terbesar didunia ini, namun ia menjadi pengguna setia kepada barangan musuh mereka sendiri tanpa prejudis sedikit pun!! Paling menghairankan terdapat sesetengah barangan yang digunakan ummat Islam sebut dihasilkan oleh musuh Islam tetapi musuh Islam yang menghasilkan produk tersebut tidak pernah menggunakan barangan tersebut. Islam sememangnya menganjurkan agar ummatnya memelihara kesihatan. Namun, kesihatan yang dicari mestilah mengikut batas-batas yang ditetapkan syarak. Terdapat juga umat Islam kini yang tidak memperdulikan bahan makanan yang dimakan seperti mee, fishball, kicap, sos yang digunakan sehingga sanggup menggunakan barangan buatan orang kafir hanya kerana bahan tersebut dikatakan mampu menghasilkan makanan yang sedap.

Ummat Islam hari ini bukan sahaja tidak teliti dalam hal-hal halal-haram dalam produk kesihatan dan kecantikan, malah turut tidak teliti status halal-haram dalam perkara muammalah seperti pelaburan di internet yang pernah digemparkan pada satu ketika dahulu. Konsep perniagaan yang menjanjikan pulangan lumayan serta kaedah ala skim cepat kaya yang kadangkala konsepnya amat diragui tetap menjadi pilihan umat Islam Malaysia untuk menyertainya. Kerakusan dalam memiliki harta tanpa memikirkan halal-haram ini bukan sahaja amat mendukacitakan malah lebih parah lagi apabila ada pihak beraotoriti tertentu mengeluarkan Fatwa mendakwa skim pelaburan tertentu HALAL hanya dengan dakwaan "Kedudukan ekonomi anak bumi khasnya Islam dinegara ini dalam keadaan tenat dan sampai ke tahap dharurat yang dimaksudkan itu ialah dari aspek ekonomi umat secara berkelompok bukan dari sudut individu.“ Bermuamalah dengan skim ASN dan ASB adalah harus dan segala keuntungannya berupa dividen atau bonus hukumnya halal” (petikan daripada Jabatan Fatwa Negeri Perak). Ulama' yang sangat berhati-hati pastinya tidak akan mengizinkan fatwa dangkal ini dikeluarkan kerana sesungguhnya harta yang HARAM ini jika mendarah daging hanya api neraka sahaja yang layak baginya!! Inilah penegasan hadis nabi sebagaimana sabda baginda :

"Adapun hamba yang dagingnya tumbuh daripada makanan yang HARAM dan RIBA, maka neraka itu lebih utama baginya"

Apakah umat Islam di Malaysia terlalu tenat dan dharurat sampai memerlukan kepada sumber kewangan yang bercampur halal-haramnya? Berani sungguh si mufti dan ahli agama kini yang sanggup menyatakan sesuatu tanpa dilihat situasi dharurat itu sepertimana yang didifinasikan syarak. Syarak membenarkan perkara terlarang dalam hal-hal dharurat untuk tempoh dan waktu tertentu. Tetapi tidak sekali-kali mengizinkan dalam waktu yaang bukan dharurat.


Sesungguhnya setiap harta yang diperolehi kelak akan dipersoalkan. Maka sikap segelintir umat Islam yang memperolehi harta dengan jalan yang HARAM seperti mencuri, merampas hak orang lain sama ada melalui kegitan jenayah ragut mahupun melalui RASUAH, kesemuanya akan dihukum di mahkaamah Allah kelak. Malah kadangkala adanya golongan ini yang telah dihukum di dunia. Nikmat keberkatan tidak akan diperolehi pada mereka yang memakan harta yang HARAM. Jika kaya, pasti tidak ada rasa keamanan pada diri. Tiada anak yang berjaya. Jika ada anak yang berjaya sekalipun, barangkali anak yang dibesarkan tidak menghormati diri seterusnya bersikap kurang ajar. Hilangnya nikmat berkeluarga, sering dirundung perbagai masalah merupakan antara ujian mahupun kiffarah Allah atas perbuatan yang kita lakukan.

Ambillah berat akan makanan yang halal dan sumber yang HALAL kerana ia memberikan nilai didunia dan di akhirat. Ingatlah pesanan rasulullah S.A.W bermaksud:


"Wahai semua manusia, makanlah benda yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi".
Lalu Saad bin Abi Waqqas yang ketika itu berhampiran dengannya berkata:
"Ya Rasulullah, tolong pohonkan kepada Allah agar Allah jadikan daku seorang yang mudah diperkenankan doa."
Mendengar kata-kata Saad itu, lalu Baginda bersabda:
"Wahai Saad, perbaikilah makananmu, kau akan jadi seorang yang mustajab doa. Demi Tuhan dimana diri Muhammad dalam tanganNya, seseorang lelaki yang menelan seketul daging haram dalam perutnya tidak akan diterima doa daripadanya selama empat puluh hari. Adapun hamba yang dagingnya tumbuh daripada benda haram dan riba, maka neraka itu lebih utama baginya."


Jumaat, 10 April 2009

Jin Dan Hakikat Kewujudannya 2


Hikmah Diciptakan Makhluk-makhluk halus ialah:-
  1. Sebagai menguatkan iman seseorang kepada Allah S.W.T. Menyakinkan akan kebesaran dan keagungan Ilahi.
  2. Agar manusia sentiasa berwaspada terhadap musuh-musuh yang tidak kelihatan yang sentiasa berazam dan berusaha untuk menyesatkan manusia
  3. Untuk menguji iman manusia, setakat mana manusia dapat menggunakan akal fikiran dan anggota tubuh dengan bijaksana dan tidak terpesona dengan tipu helah pujukan syaitan
  4. Hanya dengan adanya dugaan, kekuatan iman seseorang manusia itu akan diketahui.
  5. Kewujudan makhluk halus yang melakukan kejahatan, seseorang yang beriman akan terus merasa yakin tentang adanya pertolongan Allah S.W.T

Kewujudan makhluk halus merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah bagi menambah iman manusia. Makhluk halus seperti jin juga dikenakan tuntutan dalam hal agama sepertimana manusia yang kelak akan di adili di mahkamah Allah seterusnya diberikan syurga atau neraka. Firman Allah :

" Masuklah kamu sekalian ke dalam neraka bersama umat-umat jin dan manusia yang telah terdahulu sebelum kamu. Setiap suatu ummat masuk (ke dalam neraka) dia mengutuk kawannya (yang menyesatkannya) sehingga apabila mereka masuk semuanya berkatalah orang-orang yang masuk kemudian antara mereka kepada orang-orang yang masuk terdahulu: "Ya Tuhan kami, mereka telah menyesatkan kami, sebab itu datangkanlah kepada mereka siksaan yang berlipat ganda dari neraka". Allah berfirman: " Masing-masing mendapat (siksaan) yang berlipat ganda akan tetapi kamu tidak mengetahui"

(al A'raf: 38)

Masyarakat Melayu umumnya mengenali makhluk halus dengan gelaran tertentu seperti bunian, hantu raya, polong, toyol, langsuir dan sebagainya. Toyol dikatakan makhluk kecil seperti kanak-kanak yang bogel dan sering mencuri duit. Hantu raya dikatakan sejenis hantu berbulu dan berbadan besar yang sering menganggu manusia. Pelesit dikaitkan dengan makhluk belaan wanita manakala bunian dikatakan sejenis kelompok masyarakat yang berkampung dan tidak kelihatan kampungnya dimata kasar. Kesemua istilah ini sebenarnya tidak ada dalam bahasa arab, dalam al Quran mahupun al Hadis. Al-Quran hanya menyebut kewujudan makhluk yang tidak kelihatan ini dengan nama Jin, malaikat, syaitan dan iblis yang mana setiap satunya punyai perbezaan yang ketara. Pada pengamatan penulis, mungkin jin inilah yang dikategorikan oleh orang melayu sebagai toyol, hantu galah, hantu raya, polong dan sebagainya yang sering menganggu dan menghantui manusia. Kajian menunjukkan antara usaha tukang tilik, bomoh mahupun pawang dalam melaksanakan rawatan mahupun mereka yang terlibat dengan ilmu kebatinan menunjukkan adanya permohonan bantuan daripada jin untuk merealisasikan matlamatnya. Kenyataan ini dibenarkan oleh firman Allah :

"Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki diantara manusia meminta pertolongan kepada beberapa lelaki diantara bangsa jin, maka jin-jin itu menambah dosa dan kesalahan mereka"

(al- Jin: 6)

Hadis nabi memberikan jin kepada beberapa nama seperti ifrit yang mana ianya dikenali sebagai jin yang besar dan kuat. Sebuah hadis dari Abu Hurairah menyebut antaranya rasulullah S.A.W bersabda :

" Sesungguhnya ada satu ifrit daripada golongan jin mencuba ke atasku (lalu lintas dihadapanku) malam tadi untuk menggoda agar sembahyangku putus"

Selain jin, Allah juga menciptakan iblis, syaitan dan malaikat. Terdapat banyak pendapat yang berbeza-beza tentang iblis sama ada ia berasal daripada jin atau malaikat. Terdapat pendapat yang menyatakan iblis berasal daripada golongan malaikat yang dinamakan jinn yang dijadikan daripada api yang panas. Namanya lainnya dalam bahasa Siryaniyyah adalah Azazil dan dalam bahasa Arab namanya al-Harith. Dinamakan al-Harith kerana ia menjaga syurga dan ketua langit dunia yang berkuasa di bumi dan di syurga. Ibnu Masud menyatakan dinamakan jinn kerana ia dinisbahkan namanya kepada jannah yakni syurga kerana tugas yang diberi padanya. Tafsir Fi Zilali il Quran dalam mentafsirkan ayat al Quran surah al Baqarah: 34 menjelaskan bahawa iblis bukan dari kalangan malaikat. Sekiranya iblis dari jenis malaikat tentunya ia tidak akan ingkar dengan perintah Allah kerana sifat malaikat itu sendiri yang tidak akan ingkar kepada Allah sepertimana yang dijelaskan dalam surah at Tahrim:6 :

"Mereka tidak mengingkari Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan melakukan apa yang disuruh"

Selain itu surah al Kafh: 50 telah menjelaskan kenyataan bahawa sesungguhnya iblis adalah dari kalangan jin sepertimana firmannya :

"Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para maikat, sujudlah kamu kepada Adam. Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka dia menderhaka perintah tuhanNya"

Syaitan

Syaitan dikatakan sejenis makhluk halus dari golongan jin yang menderhaka, sombong, pengacau dan fasik. Firman Allah dalam surah an Nur: 21

"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar"

Firman Allah:

"Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni api yang menyala"

Qarin

Qarin adalah perkataan bahasa arab yang bermaksud teman atau rakan. Istilah Qarin disini adalah roh-roh jahat atau makhluk halus yang jahat yang menganggu manusia yang sering mengiringi kelahiran bayi. Kewujudan qarin adalah untuk menggoda manusia, menampakkan pekerjaan buruk dan maksiat sebagai baik dan menyeronokkan . Semua manusia mempunyai qarin termasuk nabi. Firman Allah :

"Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu"

(al An'am: 112)

Rasulullah S.A.W bersabda:

"Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan dengan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya dari kalangan malikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan saya pun. Akan tetapi Allah menolong saya daripada gangguannya, maka tidaklah ia mendorong saya kecuali kepada kebaikan"

Kesemua keterangan ringkas diatas menunjukkan dalil kewujudan makhluk halus dari kalangan jin yang sentiasa ada bersama kita. Kewujudan jin ini sentiasa ada dimana-mana cumanya gangguannya mungkin tidak semua orang melaluinya.

Apabila berlaku sakit yang diakibatkan oleh makhluk halus, maka hendaklah kita segera berubat dengan menggunakan kesembuhan berdasarkan al-Quran dan al Sunnah. Berjumpalah dengan mereka yang arif dalam melakukan rawatan tersebut. Jangan sekali-kali kita terlibat dengan rawatan yang bercanggah dengan al-Quran dan petunjuk nabi kerana setiap rawatan yang bercanggah dengan petunjuk nabi membawa kita ke lembah kehinaan serta boleh menggugat aqidah Islamiyyah.

Wallahua'lam

Saiful Adli b. Samsudin

Selasa, 7 April 2009

Boikot Motorola kerana membekalkan fius bom kepada Israel !


Isnin, 06/04/2009 - Motorola telah menjual satu unit kontroversial yang menghasilkan fius-fius bom dan peralatan lain untuk tentera Israel, menurut laporan sebuah akhbar kewangan Israel , Globes . Tiada penjelasan yang telah ditawarkan dalam laporan media tentang jualan oleh Motorola Israel — sebuah anak syarikat milik penuh Motorola — bagi unitnya yang dipanggil Government Electronics Department (GED) untuk syarikat Israel , Aeronautics Defense Systems Ltd. Jualan itu datang sehari selepas bantahan 30 Mac kempen boikot Isarel di Brooklyn anjuran The New York Campaign untuk Boycott Israel (NYCBI) memulau Motorola kerana sokongannya terhadap dasar aparteid Israel. Ryvka Bar Zohar daripada NYCBI berkata : “Kita akan lebih bersemangat sekiranya Motorola menyingkirkan sekurang-kurangnya pengeluaran fius-fius bom bom-bom yang Israel gunakan kepada penduduk Palestin dan rakyat Lebanon. Tetapi kita akan terus berkempen untuk memulau Motorola sehingga mereka menyingkirkan pengeluaran dan jualan bagi semua produk yang menyokong dasar aparteid Israel.”


sumber : http://electronicintifada.net/v2/
penterjemah : gunx

-->

Selasa, 31 Mac 2009

Jin Dan Hakikat Kewujudannya.



Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 2 hingga 4 yang bermaksud:

"AI-Quran itu tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi mereka yang bertakwa, iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan sembahyang dan menggunakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka".

Al-Quran menjelaskan diantara rukun iman yang wajib diyakini oleh umat Islam adalah beriman kepada perkara ghaib. Perkara ghaib adalah segala bentuk perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Antara perkara ghaib termasuklah kewujudan syurga, neraka, perlaksanaan perbicaraan di mahkamah Allah, serta kejadian makhluk-makhluk Allah yang tidak kelihatan seperti malaikat, jin dan syaitan. Tidak kelihatan dimata bukanlah beerti perkara itu tidak wujud. Sebagai contoh ahli elektrik seperti juruteknik elektrik dan jurutera elektrik sesungguhnya amat berhati-hati dalam melaksanakan kerja-kerja pendawaian elektrik yang mereka lakukan kerana kesilapan dalam melaksanakannya akan boleh menggadai nyawa mereka akibat renjatan elektrik yang berlaku. Tenaga arus elektrik ini tidak kelihatan dengan mata kasar tetapi boleh diketahui melalui alat elektrik yang digunakan seperti lampu, kipas elektrik dan sebagainya. Begitu juga seorang jurutera awam yang mengkaji daya tindakbalas yang berlaku keatas sesuatu binaan yang ingin dibina bagi mempastikan binaan selamat diduduki. Banggunan pencakar langit atau jambatan yang dibina mempunyai satu tindakbalas daya yang besar. Daya-daya tindakbalas ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan hanya dapat diketahui melalui ujikaji-ujikaji dan perkiraan metematik yang dilakukan. Penolakan segelintik manusia atas dasar kewujudan jin dikatakan tidak saintifik menunjukkan sikap kecetekan mereka terhadap ilmu sains itu sendiri. Perlu diingat, sesungguhnya sains hanya dapat membuktikan sebahagian ilmu Allah, namun terdapat banyak perkara yang sains belum mampu merungkainya. Sekiranya kewujudan jin disangkal hanya kerana didakwa tidak saintifik dan kolot, mengapa perlunya Jurutera Awam, ahli-ahli geologis mengkaji daya-daya dibumi, daya-daya struktur dan sebagainya yang mana kesemua daya-daya ini tidak dapat dilihat pada mata fizikal manusia. Sesungguhnya arus elektrik mahupun daya-daya tindakbalas ini kesemuanya merupakan makhluk ciptaaan Allah. Maha suci Allah yang mempunyai kerajaan di langit dan bumi. Demikian juga bagi penciptaan jin yang turut merupakan makhluk ciptaan Allah yang diberi taklif keatasnya. Firman Allah :

" Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu"

(Az-Zariyyat: 56)

Al-Quran menjelaskan bahawa jin berasal daripada api. Ini bermakna sifat asal jin itu adalah daripada api yang panas manakala manusia berasal daripada tanah. Firman Allah :


"Dan Kami menciptakan jin dari nyalaan api"

(Ar-Rahman : 15)

dalam ayat yang lain Allah menyebut:


" Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas"

(al-Hijr: 27)

Menurut sesetengah pendapat kata jin berasal dari kata Janna iaitu menutupi sesuatu, atau segala yang tidak terlihat. Contohnya perkataan janin beerti anak yang masih berada dalam kandungan ibunya. Dinamakan demikian kerana ia tidak kelihatan. Kata janan beerti hati yang tertutup dan tidak mampu dilihat manakalan kata junun beerti tertutup akalnya iaitu GILA. Jin merupakan makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat dilihat manusia sepertimana firman Allah:


"Sesunggunya ia dan pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka"

(al-A'raf: 27)


Kewajiban mempercayai kewujudan jin ini amat jelas. Sekiranya jin tidak wujud masakan ada satu surah yang dikenali sebagai surah al Jin serta penjelasan-penjelasan al-Quran dan Hadis mengenainya.


Sebahagian dalil al-Quran dan al Hadis mengenai jin:


" Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami hadapkan serombongan jin datang kepada kamu untuk mendengarkan al-Quran"

(al Ahqaf: 29)


"Wahai golongan jin dan manusia, bukankah telah datang kepada kamu rasul-rasul dari golongan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayat Ku dan memberi peringatan kepada kamu terhadap pertemuan kamu dengan hari ini? (kiamat)"

(al-An' am: 130)


"Wahai golongan jin dan manusia, jika kamu dapat menembus keluar dari kawasan langit dan bumi. Maka cubalah kamu menembusi keluar. Kamu tidak akan dapat menembusinya melainkan dengan satu kekuasaan "

(ar Rahman: 33)


"Katakanlah (Wahai Muhammad) Telah diwahyukan kepadaku bahawa sesungguhnya satu rombongan jin telah mendengar (al-Quran yang aku bacakan) lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya) dengan berkata: Sesungguhnya kami telah mendengar al-Quran yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan"

(al Jin: 1)


Imam at Tabari meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya Rasulullah S.A.W bersabda:-

"Jin itu ada tiga golongan. Satu mempunyai sayap yang boleh terbang, satu golongan berupa ular dan satu golongan lagi berpindah dan bertempat"


wallahua'lam


*Saiful Adli Samsudin

Selasa, 24 Mac 2009

Pesanan Tuan Guru 3

Pra Syarat Sebagai Perawat
(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din pada 7-March-2005)

1. Hendaklah memiliki 6 sifat seperti yang disebut dalam Syair Imam Shafie iaitu;

i.Kecerdikan - Boleh memahami ilmu yang dipelajari, boleh menghafal doa-doa dan bukanlah seorang yang benak.

ii.Sensitiviti kepada Ilmu - Suka dan berminat mempelajari ilmu dan boleh memelihara (menyimpan) ilmu dan menjaga amanah ilmu dengan baik.

iii.Mempunyai Pendapatan - Mempunyai wang, harta dan bukan orang yang miskin.

iv.Mempunyai kesungguhan - bersungguh-sunguh dan berterusan dalam belajar ilmu pengubatan bukan sambil lewa sahaja.

v.Rakan seperguruan adalah saudara kita - Jangan ada cemburu-mencemburui, benci membenci sebaliknya tanamkanlah sifat hormat-menghormati dan kasih sayang.

vi.Memerlukan masa - iaitu hendaklah sentiasa bersabar dalam menuntut ilmu dan berubat kerana masa penantian yang panjang.

2. Hendaklah memberhentikan segala bentuk amalan pengubatan yang bercanggah dengan syariat Islam seperti penggunaaan tangkal (walaupun tangkal itu menggunakan ayat-ayat al-Quran), ilmu pengasih, ilmu penunduk dan seumpamanya.

3. Jangan melibatkan diri dengan Ilmu Tariqat atau kebatinan yang ada keraguan terhadapnya seperti Ahmadiah, Martabat-7, Qadiani dan seumpamanya, kalau dah sertai hendaklah ditinggalkan dengan segera.

4. Hendaklan meletakkan diri kita mampu dan boleh untuk berhadapan dengan segala bentuk ujian dan cabaran.

Ahad, 22 Mac 2009

Histeria



Histeria merupakan satu istilah yang sering digunakan oleh masyarakat melayu yang dirujuk sebagai penyakit yang diakibatkan oleh gangguan makhlus halus atau gangguan hantu. Dalam perubatan moden barat, histeria dikatakan sebagai satu penyakit yang berpunca daripada despresi psikologikal. Kedua-dua penafsiran terhadap perkataan histeria berkaitrapat dengan pemahaman dan budaya yang berbeza antara masyarakat melayu dan barat. Masyarakat Melayu sering mengaitkan histeria sebagai satu gejala yang berlaku kepada seseorang melibatkan perubahan kelakuan fizikal seperti agresif, cepat marah tanpa sebab tertentu, tindakan fizikal yang melebihi kekuatan fizikal asal, menjerit, meraung tanpa sebab yang kesemua tindakan ini merupakan tindakan luar biasa yang dilakukan akibat daripada gangguan dari kuasa luar (supernatural ghaib) keatas pesakit. Gejala ini biasanya dikaitkan berlaku di asrama sekolah, kilang-kilang, kawasan hutan lipur dimana terdapatnya tempat perkhemahan dan sebagainya.
Perkataan 'histeria' berasal daripada perkataan greek yang bermaksud rahim yang merayau-rayau. Ia diistilahkan demikian kerana tanda-tanda histeria umumnya hanya terdapat pada wanita. Bagi pengkaji barat, Charcot, Jenet dan Freud mendifinasikan histeria sebagai 'peniruan penyakit secara tidak sedar dan pura-pura sakit sebagai peniruan sakit keatas sesuatu penyakit secara sedar' (Dr Amran Kassimin:1994)Menurut At-Tibbu 'n' Nabawi, sakit-sakit seperti ini dikenali sebagai as-Sar iaitu rasukan roh-roh jahat keatas roh manusia yang memberikan kesan yang buruk kepada orang berkenaan. Gangguan sebegini juga dikenali sebagai gangguan makhluk halus. Terdapat banyak keterangan hadis nabi yang menerangkan perihal masalah gangguan halus ini.
Para pesakit histeria yang berjumpa dengan doktor perubatan moden biasanya dikaitkan dengan penyakit mental sepertimana yang dijelaskan diatas. Dalam rawatan moden, terdapat beberapa istilah penyakit melibatkan masalah mental seperti Skizofrenia, depresion dan sebagainya. Jika dilihat daripada simptom pesakit, para pesakit histeria umumnya terjadi akibat daripada rasa takut akibat mendengar suara tertentu, atau melihat objek seperti seorang perempuan (halusinasi), merasa takut dan sebagainya. Tindakan ini seterusnya mencetuskan ketegangan sehingga menjadikan tindakan fizikal yang lebih agresif seperti menjerit, meronta dan berlari-lari. Simptom-simptom ini juga dilihat pada para pengidap penyakit kejiwaaan seperti Skizofrenia. Para pesakit yang pernah mendapatkan khidmat rawatan di Darussyifa', sama ada melibatkan sihir mahupun histeria umumnya mengalami simptom yang hampir sama. Terdapat pesakit yang ditemui menyatakan dirinya menjadi ketakutan setiap kali waktu maghrib sehingga tengah malam. Terlihat kelibat objek seolah memerhatikannya malah terdapat juga pesakit yang mendengar suara-suara ghaib seolah-olah berbicara dengannya. Terdapat juga pesakit yang menerima rawatan di Darussyifa' mengakui telah mendapatkan khidmat doktor alophaty. Seorang responden memberitahu penulis bahawa dia pada mulanya mengalami masalah magrin yang teruk sehingga menyebabkannya sukar tidur. Akibat daripada masalah tersebut, responden telah berjumpa doktor di salah sebuah klinik di Ipoh. Doktor yang merawat memberinya ubat migrin. Pada mulanya ubat tersebut didapati berkesan untuknya. Ubat magrin yang diambil menyebabkan responden tidur dan merasa selesa setelah menikmati tidur yang mencukupi. Namun, setelah beberapa hari, ubat yang digunakan tidak memberi kesan lagi kepada responden. Responden telah merujuk doktor yang sama dan akhirnya diberikan dengan ubat yang lebih tinggi dosnya. Pengambilan ubat seterusnya turut tidak memberi kesan kepada responden. Responden akhirnya dirujuk kepada pakar dan akhirnya pakar menutuskan agar responden dirujuk kepada 'psikatri'. Responden akhirnya merujuk kepada Darussyifa'. Responden akhirnya sembuh setelah mendapat rawatan di Darussyifa' selama kira-kira hampir 3 tahun.
Jika dilihat dari kedua-dua sumber perubatan moden dan Islam dapat disimpulkan bahawa, wujudnya gangguan makhluk halus ke atas manusia yang menyebabkan berlakunya tindakan-tindakan yang mendatangkan masalah kepada kejiwaan dan sikap sepertimana siptom-simptom yang terjadi keatas pesakit histeria. Hadis nabi turut membenarkan bahawa tindakan jin dan makhluk halus keatas manusia boleh menyebabkan berlakunya penyakit kejiwaan yang diistilahkan sebagai 'gila'. Antaranya Hadis daripada Abdul Rahman b. Abu Laila dari ayahnya, beliau berkata: ' Saya mempunyai saudara yang sedang sakit. Rasulullah S.A.W bertanya: " Apa sakit saudaramu itu?". Orang itu menjawab: " Sakit Gila". Rasulullah S.A.W bersabda:"Pergilah dan bawalah dia kemari". Perawi berkata selepas itu dia pergi lalu membawanya kepada rasulullah dan mendudukkannya dihadapan rasulullah. Selepas itu aku mendengar rasullullah memintakan perlindungan dengan membaca al-fatihah, empat ayat pertama surah al-baqarah, dua ayat pertengahan surah al-baqarah, ayat kursyi, tiga ayat penutup dari surah al-baqarah, satu ayat dari surah ali-imran. Saya mengira baginda membaca (syahidallahhu annahu la Ilaha illa huwa...), satu ayat dari surah al-a'raf (inna rabbakumullah....), satu ayat dari surah al-mukminun (waman yad'u ma' allahi ilaahan aakhara laa burhaana lau bihi...), satu ayat dari surah al-jin (wa annahu taala jaddu rabbina mattakhazu shaahibatan walaa waladan...), sepuluh ayat pertama surah as-soffat, tiga ayat terakhir surah al-hasy, al ikhlas dan ayat mu'awwazatain. Selapas itu orang arab kampung itu berdiri dalam keadaan sembuh, hilang penyakitnya". Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan al Hakim yang menyatakannya sebagai terpelihara dan Sahih.
wallahua'lam





Khamis, 19 Mac 2009

Pesanan Ulama'

Seorang sahabat mengirimkan kata-kata mutiara dari ulama' yang boleh dikongsi bersama untuk diambil manfaatnya. Kata ulama' Sahal bin Abdullah al Tastari (283H) :

" Mensyukuri ilmu dengan mengamalkannya. Mensyukuri amalan dengan menambah ilmu pengetahuan. Kasihi Rasulullah S.A.W"

Semoga pesanan di atas dapat memberi manfaat kepada kita semua...

Khamis, 12 Mac 2009

Nasihat Pengerusi Darussyifa': A.F Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad

1. Ada dikalangan kita hanya suka mengumpul sijil dan sijil tersebut di gantung di dinding tetapi tidak berkhidmat. Ada pula yang tak pedulikan sijil tersebut tetapi menyumbangkan masa dan tenaga untuk berkhidmat dengan suka rela, inilah yang Darussyifa' inginkan iaitu berkhidmat bersama-sama dengan Darussyifa'.
2. Ingatlah bahawa tujuan utama kita menyertai kuliah pengubatan dan menerima ilmu dan ijazah daripada Tuan Guru adalah kerana mencari keredhaan Allah dan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
3. Permintaan keatas rawatan alternatif seperti yang dilakukan oleh Darussyifa' semakin hari semakin bertambah, kemana sahaja kita pergi mereka mengharapkan bantuan daripada kita. Oleh itu semua pelajar yang telah diijazahkan diharapkan dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat bersama-sama Darussyifa'.
4. Pelajar-pelajar yang telah diijazahkan yang tinggal diluar dari kawasan Bangi seperti di Terengganu atau tempat-tempat lain adalah digalakkan supaya membuat kelompok-kelompok kecil pasukan perawat dan membuka klinik Darussyifa' supaya dapat membantu masyarakat setempat yang memerlukan rawatan alternatif.
5. Selain daripada menubuhkan klinik Darussyifa', adalah dinasihatkan pelajar-pelajar yang telah diijazahkan yang tinggal berjauhan daripada Bangi, membentuk kumpulan Majlis Zikir yang seperti diamalkan di Bangunan Darussyifa' bangi pada setiap hari Isnin selepas Maghrib.
6. Kita sebagai perawat biasanya akan dicuba terlebih dahulu, kadang-kadang tersalah bagi ubat. Justeru itu kita hendaklah bersedia dan memantapkan diri supaya dapat memberi rawatan dengan sempurna. Janganlah berlaku pesakit datang dengan satu penyakit tetapi balik dengan dua penyakit.
7. Pesakit memandang tinggi kepada perawat, tiba-tiba ketika sedang merawat telepon Perawat berbunyi lalu dijawabnya telepon itu. Ini adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bayangkanlah perasaan pesakit yang sebahagiannya datang dari jauh dan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk tambang atau minyak kereta tiba-tiba perawat tidak memberikan tumpuan ketika merawat.
8. Terdapat Klinik-klinik Darussyifa' yang telah dibuka dimerata tempat dan mungkin ada yang dekat dengan tempat saudara, oleh itu dinasihatkan supaya anda menyertai mereka dan memberikan bantuan kepada klinik-klinik tersebut.
9. Jangan gunakan Sijil Darussyifa' itu sebagai satu tarikan untuk mendapatkan keuntungan. Jangan dikomersilkan, ingat perinsip Darussyifa' iaitu jangan menetapkan bayaran, jangan meminta bayaran sebelum dan selepas merawat.

Selasa, 10 Mac 2009

Maulidur Rasul: Laksana Ajaran Nabi Dalam Pemerintahan Oleh Dato' Dr Haron Din

MENGINGATI Rasulullah s.a.w. adalah dituntut oleh syarak. Cara tuntutan itu adalah umum, apa sahaja yang boleh dilakukan dengan tujuan untuk mengingati Rasulullah, bukan semata-mata kerana jasmaninya tetapi kerana risalah atau mesej yang dibawa untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia hingga ke akhirat. IklanPada zaman mutakhir ini umat Islam umumnya, tidak lagi menghayati petunjuk-petunjuk Rasulullah s.a.w., malah mereka juga terasing daripada menghayati perjuangan baginda, menyebabkan Islam terpinggir dan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.tidak lagi menjadi idolaOleh itu, amat perlu diadakan sambutan yang bersesuaian dengan keadaan zaman ataupun perayaan-perayaan yang dilakukan selama ini seperti perarakan atau ceramah-ceramah agama sudah menjadi sesuatu yang ritual. Kadang-kadang ia tidak memberi makna yang sepatutnya bagi ditimba oleh orang-orang Islam.Oleh demikian, saya mencadangkan supaya kalau benar-benar mengaku semuanya itu kerana hendak mengikuti jejak Rasulullah, maka ada baiknya diubah, ditambah sambutan itu dengancara pemerintah itu sendiri mengisytiharkan setiap tahun yang diadakan sambutan keputeraan Baginda, sekurang-kurangnya satu dari ajaran baginda dilaksanakan dalam pemerintahan.Sebagai contoh, kalau Rasulullah s.a.w. amat memerangi arak, maka satu tahun diambil tahun 'pengharaman arak' untuk selamanya, manakala tahun hadapan pula satu lagi diambil untuk dilaksanakan, contohnya, seperti menutup aurat. Maka dilaksanakan perintah itu dengan sebaiknya oleh pemerintah. Bagi tahun ketiga pula, sebagai contoh, mengharamkan judi.Ertinya, jika setiap tahun diadakan sambutan, diambil sekurang-kurangnya satu ajaran itu, maka ternampaklah kita ini serius dan wujud perubahan yang baik sempena Maulidur Rasul itu.Manakala, satu hal lain pula, pihak yang berkuasa atau badan amal yang berwibawa, perlu mengadakan penyelidikan yang rapi tentang beberapa episod daripada sejarah hidup Rasulullahyang boleh dijadikan modul hidup atau praktikal modul untuk dilaksanakan, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi kamu ada sejarah Rasulullah itu contoh teladan yang amat baik untuk dilaksanakan."Namun, selama ini hampir tidak pernah dilakukan penyelidikan sedemikian di Malaysia dalam hal ini.Atas sebab-sebab itu, seperti dinyatakan tadi perlunya beberapa pendekatan dan ajaran Rasulullah s.a.w. itu diambil satu daripadanya setiap tahun bagi memberikan kemanfaatan kepada seluruh ummah.

Isnin, 9 Mac 2009

Memperbagaikan Dakwah Dalam Perjuangan



Sambutan Maulidur Rasul bagi memperingati nabi besar junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W merupakan acara tahunan buat ummat Islam di Malaysia. Malah sambutan ini turut dilakukan di kebanyakan negara-negara ummat Islam. Masjid-masjid dan surau-surau mula melancarkan ceramah agama bagi mengajak ummat Islam agar memperingati dan menghayati sirah rasulullah s.a.w agar dapat dicontohi ummah. Selain ceramah, terdapat juga sesetengah pihak yang melancarkan aktiviti kemasyarakatan dan perarakan sempena memperingati Rasulullah tercinta. Namun demikian, tindakan berarak semata-mata bukanlah satu tindakan yang dapat menanam kecintaan masyarakat kepada nabi malah boleh mengundang pembaziran yang merupakan satu amalan yang ditentang Islam. Aktiviti-aktiviti sepatutnya dirancang dengan penuh sistematik agar segala perancangan menepati sasaran iaitu menyemai cinta kepada Allah dan Rasul. Kesemua aktiviti-aktiviti mengajak memperingati rasul ini bukanlah satu perkara baru yang sesat (Bid'ah dholalah) malah ianya merupakan satu perkara baru yang mulia (Bid'ah Hasanah). Pendapat ini merupakan pendapat yang turut dipersetujui oleh kebanyakan ulama' termasuk as-Sheikh Dr Yusuf al Qardhawi sendiri.

Sesungguhnya nabi s.a.w telah meninggalkan kita perbagai lapangan dakwah. Segala kehidupan nabi adalah dakwah. Tindak tanduk baginda dalam kehidupan harian, dalam menghadapi masayarakat, dalam hidup kekeluargaan dan sebagainya. Sebagai ummat Islam, mencontohi tindak tanduk baginda adalah tanda kecintaaan kita pada baginda.

Ruang lingkup dakwah islam itu sangat luas. Dakwah bukan hanya berceramah atau bercakap tentang keagamaan, dakwah bukan sahaja setakat mengajak manusia ke masjid, dakwah bukan hanya setakat penulisan di majalah, internet mahupun ruang blog/ web, malah dahwah mencakupi percakapan dan perbualan kita sehari-hari, watak dan sikap yang kita amalkan seharian baik pada keluarga mahupun masyarakat. Ahli Darussyifa' umumnya dikenali sebagai ustaz dan ustazah walaupun terdapat ramai juga diantara ahli Darussyifa' terdiri daripada perbagai latar belakang pendidikan yang bukan dari aliran agama. Ahli Darussyifa' ada yang terdiri dari kalangan doktor perubatan, jurutera, juru akaun, juruteknik, pekerja kilang, kerani, guru dan sebagainya. Apabila ahli Darussyifa' telah dilabel sebagai ustaz yang mana ustaz ini sinonim dikaitkan dengan 'orang agama' yang tentunya menjunjung tinggi dan mengasihi rasulullah S.A.W. Maka adalah wajib para ahli Darussyifa' mempertingkatkan pengetahuan agama dan memperbagaikan dakwah agar segala tindak tanduknya dan segala percakapannya dapat mengangkat status 'ustaz' yang telah diberi masyarakat.

Semua perbuatan dan percakapan, makan dan minum orang Darussyifa' sering diperhati dan dinilai masyarakat. Tindak tanduk yang negatif atau tidak baik yang dilakukan bukan sahaja akan mencemarkan nama baik ustaz, malah turut mencemarkan nama Tuan Guru yang dikasihi seterusnya meruntuhkan sistem pengubatan Islam yang diperkenalkan sejak sekian lama.

Akhlak yang baik yang diamalkan pastinya akan mengembirakan masyarakat seterusnya menjadikannya sebagai dakwah terbaik untuk mengajak manusia agar kembali kepada Allah. Ahli-ahli Darussyifa' beruntung kerana diberi peluang oleh Allah untuk berdakwah melalui bidang peubatan. Perubatan Islam yang diasaskan nabi bukan sahaja satu sunnah dan fardhu kifayah kepada ummah, malah elemen penting dalam sistem perubatan ini adalah meletakkan keyakinan dan pengharapan hanya kepada Allah semata-mata. Pengetahuan agama dapat membantu ahli Darussyifa' berdakwah kepada masyarakat agar mentaati Allah. Di luar sana masih terdapat wanita-wanita muslim yang tidak bertudung akibat kejahilan dalam agama. Pengalaman Darussyifa' mendapati, wanita-wanita ini mampu bertudung dengan baik setelah menyedari kesipan mereka. Bila mana mereka sakit, dan ketika mendapatkan rawatan di Darussyifa', dengan kebijaksanaan para perawat dalam berdakwah, akhirnya mereka kembali menutup aurat dengan sebaiknya. Ummah Islam hari ini menghadapi perbagai ujian dan dugaan yang mencabar. Masalah ketidak fahaman dan kejahilan agama dalam masyarakat yang berlaku merupakan antara cabaran besar bagi para perawat Darussyifa' agar sentiasa peka dengan ilmu agama dan berusaha meningkatkan pengetahuan sebaik mungkin serta mengamalkannya agar dapat diteladani masyarakat sebagai satu dakwah yang sempurna. Para perawat Darussyifa' dapat membantu masyarakat mengatasi masalah kini dengan syarat para perawatnya memainkan peranan sebagai agen dakwah dalam semua aspek kehidupan.

wallahua'lam.

Sabtu, 7 Mac 2009

Klinik Darussyifa' Changkat Larang/Pengkalan Pegoh




Klinik Darussyifa' Changkat Larang



Klinik Darussyifa' Changkat Larang ditubuhkan pada 6 Mac 2009 (Jumaat) bagi meneruskan kesinambungan perubatan Islam yang telah diperkenalkan oleh A.F Us Roslan Shahrom di Kampung tersebut. Setelah pemergian almarhum Ustaz, pihak keluarga almarhum telah berbincang bersama pihak Darussyifa' untuk meneruskan rawatan perubatan Islam di premis yang telah disediakan oleh almarhum ustaz di Kampung Changkat Larang bagi menawarkan perubatan Islam buat penduduk Kampung Changkat Larang khususnya dan kawasan Batu Gajah, Simpang Pulai dan kawasan berhampiran amnya. Majlis dimulakan solah maghrib berjemaah, solat sunnat hajjat, bacaan yasiin, zikir dan diakhiri dengan solat isyak berjemaah. Majlis diimamkan oleh Us. Mokti b. Uri. Jemaah Darussyifa' Bota turut hadir bagi menyatakan sokongan kepada penubuhan tersebut. Darussyifa' Bota turut menyatakan komitmen mereka bagi membantu perjalanan Darussyifa' Changkat Larang.Buat permulaan Darussyifa' Changkat Larang hanya menawarkan khidmat sebulan sekali iaitu pada hari jumaat minggu pertama setiap bulan (sebulan sekali sahaja).

Us Mokti mengimamkan majlis


DARUSSYIFA' CHANGKAT LARANG DIBUKA SETIAP SABTU JAM 9.00pg - 12.00T/hari
MAJLIS ZIKIR DAN SOLAT HAJAT DILAKSANAKAN SETIAP JUMAAT MINGGU KEDUA.
AKTIVITI PADA JUMAAT MINGGU KEDUA:
SOLAT MAGHRIB BERJEMAAH
SOLAT HAJJAT
BACAAN YAASIN & ZIKIR
SOLAT ISYA'
TAZKIRAH RINGKAS
RAWATAN BERSAMBUNG
UNTUK MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI: US SAIFUL 019-4638314
US ZUL 012-6749239




Ahad, 1 Mac 2009

PENGUMUMAN !!!

PROGRAM TAHFIZ AL-QURAN & PAMERAN PRODUK HALAL
"CERAMAH PENGUBATAN ISLAM DAN SANTAU"
ANJURAN: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk)
TARIKH: 7 MAC 2009 (Sabtu)
JAM : 9.00 Pagi
TEMPAT: Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh
Jalan Dairy, Ipoh
Penceramah Jemputan : A.F Us. Zakaria b. Nasiruddin @ Din -Pengamal Perubatan Islam
A.F Us Mokhtar b. Kassan - Pengamal Perubatan Islam & Rawatan Santau
Semua ahli Darussyifa' serta muslimin dan muslimat dijemput hadir.
* MASUK ADALAH PERCUMA !!!

Jumaat, 27 Februari 2009

PESANAN TUAN GURU 2


Syarat-Syarat Utama Menjadi Perawat Yang Baik
(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Dr Haron Din pada 7 Mac 2005)


  1. Iltizam dengan ilmu perubatan yang dipelajari-iaitu dengan sentiasa beramal dengannya setiap hari
  2. Mempraktikkan ilmu pengubatan yang telah dipelajari, selalu memberikan khidmat sukarela di klinik-klinik Darussyifa' dengan memberi rawatan kepada pesakit yang memerlukan bantuan
  3. Jangan campur adukkan ilmu yang diharuskan dengan ilmu yang dilarang. Iaitu jangan berbohong atau menyebutkan perkara-perkara yang tidak betul ketika merawat. Umpamanya mengatakan penyakit itu adalah disebabkan sihir atau perbuatan khianat oleh orang tertentu.
  4. Ada keyakinan pada diri sendiri dan ikhlas bahawa ilmu yang disampaikan oleh guru adalah benar dan tidak menyalahi syarak.
  5. Tidak boleh melangkah larangan atau etika yang telah ditetapkan oleh Darussyifa' contohnya tidak boleh menetapkan bayaran pada pesakit,
  6. Hendaklah sentiasa berdisiplin dalam semua hal seperti dalam pengubatan, kehidupan, beribadah, berzikir dan seumpamanya.
  7. Bersungguh-sungguh dalam mengubat, berubat dan mencari kesembuhan.

Ditulis hasil catatan Us. Mokti b. Uri

Isnin, 23 Februari 2009

Halaqah: "Histeria"

Us Zahazan
Us. Muhammad Ravi b. Abdullah


Rancangan Halaqah terbitan TV9 pada 22.02.2009 telah megutarakan perbincangan yang tidak kurang menariknya-"Histeria". Antara tamu jemputan bagi membincangkannya adalah A.F Us Mohammad Ravi b. Abdullah dan A.F Us Zahazan. Perbincangan menarik ini dimulakan dengan surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud
" Orang-orang yang memakan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti orang yang kemasukan syaitan". Perbincangan ini telah mengupas beberapa ayat al-Quran dan hadis-hadis yang menceritakan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan gangguan makhluk halus. Namun demikian, terdapat beberapa perkara yang ingin diperbetulkan dimana:-

1. Darussyifa' menolak sebarang kenyataan daripada para perawat bergelar ustaz mahupun bomoh yang menyatakan bahawa seseorang pesakit yang dirasuki jin berkemungkinan dirasuki lebih dari seekor jin. Ini kerana bilangan kemasukkan jin yang masuk ke dalam tubuh badan manusia tidak boleh dipastikan. Darussyifa' menasihati semua perawatnya agar tidak mendakwa sedemikian kerana boleh mencetuskan fitnah serta boleh mengakibatkan kenyataan yang tidak benar. Umum menyetahui, manusia tidak dapat melihat jin sepertimana firman Allah dalam surah al-A'raf:27 " Sesungguhnya ia dan pengikutnya melihat kamu dari satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka". Oleh itu menyatakan secara spesifik bilangan jin dalam badan tertentu tidak boleh disahkan. Sekiranya ada perawat yang mampu mengetahui jumlah jin yang mendiami tubuh seseorang pesakit, adalah lebih elok bilangan itu tidak dinyatakan bagi mengelakkan riyak pada diri perawat serta meningkatkan kesungguhan dari diri pesakit agar terus berubat dan beramal.
2. Istilah histeria umumnya merujuk kepada penyakit-penyakit kejiwaan. Inilah istilah yang digunakan oleh kebanyakan perubatan moden manakala dalam masyarakat melayu histeria dikaitkan dengan gangguan makhluk halus. Kitab-kitab arab tidak menggunakan perkataan histeria malah lebih merujuk kepada penyakit gangguan makhluk halus (al-shar'u-Rujuk Sheikh Wahid Abdus Salam Bali). Walaubagaimanapun petunjuk hadis menggambarkan terdapatnya penyakit gila yang diakibatkan gangguan makhluk halus ke atas manusia.
3. Tindakan para perawat melakukan rawatan dengan kaedah memicit jari, menunjal jari pada mata atas alasan memberi kesakitan pada jin yang merasuk adalah amat ditentang oleh Darussyifa'. Amalan ini amat tidak digalakkan malah tidak dibenarkan sama sekali oleh Darussyifa' ke atas semua para perawatnya. Darussyifa' tidak mahu mempertikaikan kaedah perubatan tradisional lain ataupun para perawat lain (selain Darussyifa') yang menggunakannya kerana barangkali itu kaedah yang mereka pelajari. Namun, bagi semua ahli Darussyifa', arahan pengharaman kaedah tersebut telah dikeluarkan oleh pihak Darussyifa' Pusat demi menjaga nama baik dan kewibawaan perubatan Islam keseluruhannya. Darussyifa' memahami bahawa jin tidak akan dapat disakiti dengan memicit jari atau tindakan berbentuk fizikal demikian disebabkan sifat jin itu sendiri yang amat berbeza dengan manusia. Darussyifa' percaya, jin dapat disakiti dengan ruqyah berdasarkan al-Quran, al-hadis, doa-doa amalan salafussoleh dan amalan serta kaedah tertentu tanpa perlu menggunakan kekerasan mahupun tindakan fizikal seperti sedemikian. (Insyaallah satu artikel berkenaan Histeria akan dipaparkan nanti)
4. Histeria tidak hanya menganggu pelajar sekolah agama, malah pengalaman Darussyifa' Perak dan Darussyifa' di seluruh Malaysia mendapati kes-kes gangguan sebegini turut berlaku di Sekolah biasa, kilang-kilang, pusat motivasi dan tidak tertumpu kepada wanita sahaja walaupun kebanyakan kes yang dirujuk terdiri daripada kalangan wanita.
Kesimpulannya, penulis bersetuju dengan kesimpulan yang dibuat oleh A.F Us Syukri berkenaan kaedah untuk mengatasi gangguan makhluk halus ini iaitu dengan menghampirkan diri kepada Allah melalui amalan-amalan wajib dan sunnat yang dinyatakan serta amalan-amalan zikir sepertimana yang dianjurkan.
Wallahua'lam.

Jumaat, 20 Februari 2009

Penubuhan Klinik Darussyifa' Parit Buntar

Klinik Darussyifa' Parit Buntar

Peta Klinik Darussyifa' Parit Buntar (Tingkat atas bangunan rumah kedai)
No. 41, Tingkat 1,Taman Wawasan Jaya,34200 Parit BuntarPerak Darul Redzuan.



Klinik Darussyifa' Parit Buntar telah ditubuhkan hasil daripada Majlis Pengijazahan Kumpulan pertama Darussyifa' Cawangan Kemunting yang berlangsung di Kolej Multimedia, Kemunting, Taiping. Idea penubuhan ini dicetuskan oleh A.F Us. Zakaria b. Din, Pengerusi Darussyifa' Cawangan Kemunting yang ingin mengembangkan lagi Klinik Darussyifa' di utara tanahair. Pada majlis tersebut, serai 20 orang perawat yang tinggal di Parit Buntar dan kawasan sekitarnya telah berjaya diijazahkan. Sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah dalam masyarakat disamping membenteras gejala syirik dan khurafat, maka satu mesyuarat pra-penubuhan telah diadakan di kediaman Us Rijaluddin b. Yahya di Taman Murni, Parit Buntar pada 6 September 2006. Pada mesyuarat tersebut, seramai 12 orang perawat telah hadir bagi menunjukkan komitmen mereka untuk bersama-sama mewujudkan Klinik Darussyifa'. Satu jawatankuasa telah dibentuk terdiri daripada:-
Pengerusi : Us Zulkifli b. Zainon
N Pengerusi : Us Rijaluddin b. Yahya
Setiausaha : Us Jalal b. Salim
N. Setiausaha: Us. Saiful Adli b. Samsudin
Bendahari : Us Hamizun b. Mahmud
HELWA : Ustzh Dina Bt Omar
Mesyuarat turut membincangkan tempat operasi. Hasil usaha gigih dan bantuan Allah, akhirnya Klinik Darussyifa' Parit Buntar mula beroperasi secara rasminya pada 6 Disember 2006 bertempat di :-
5A JALAN PULAI,
TAMAN SETIA JAYA
34200 PARIT BUNTAR
PERAK DARUL RIDZUAN.

Perjalanan Klinik Darussyifa' Parit Buntar di Taman Setia Jaya menghadapi beberapa masalah antaranya lokasi klinik yang agak jauh dan menyukarkan pengunjung serta ketidaksuaian tapak tersebut untuk dijadikan klinik rawatan. Akhirnya Darussyifa' Parit Buntar telah berpindah ke sebuah rumah kedai di Taman Wawasan Jaya. Klinik Darussyifa' Parit Buntar telah mendapat sambutan menggalakkan dari masa ke semasa. Sepanjang bulan purata pesakit yang mendapatkan rawatan adalah sebanyak 60 orang.
Senarai Perawat Klinik Darussyifa' Parit Buntar:-
1. Us. Abdul Ronif b. Jamaluddin
2. Us. Abu Naim b. Abu Bakar
3. Us Dzulfakor Ali b. Mustofa
4. Us. Hamizul b. Mahmud
5. Us. Jalal b. Salim
6. Us. Mohd Hafiz b. Mohd Sharif
7. Us. Othman b. Shapiee
8. Us. Rijalluddin b. Yahya
9. Us. Suhaimi b. Hj Tahir
10. Us. Zulkifli b. Zainol
11. Us Nor Said b. Ismail
12. Us. Harizan b. Abdullah
13. Us Ahmad Humaidi b. Hj Omar
14. Us. Khairul Fahmi b. Daud
15. Us. Ishak b. Osman
16. Us. Kamil b. Azhari
17. Us. Arman b. Ishak
18. Usth. Dina bt Omar

ALAMAT KLINIK:-
No. 41, Tingkat 1,
Taman Wawasan Jaya,
34200 Parit Buntar
Perak Darul Redzuan.

WAKTU RAWATAN : Setiap Rabu
MASA RAWATAN : Selepas Maghrib

(Program dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, solat hajat, bacaan yasin, zikir, solat isyak dan tazkirah. Program rawatan dimulakan selesai majlis tazkirah)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT HUBUNGI :-
1. Us. Jazmin 012-6985442
2. Us. Zulkifli b. Zainon 012-3852428

* Sekiranya anda datang awal ke Klinik Darussyifa' Parit Buntar dan mendapati Klinik masih belum dibuka nombor diatas boleh dihubungi bagi mendapatkan kepastian waktu rawatan


“ Sesiapa yang menyeru orang lain kepada hidayah (Islam) ia akan memperolehi ganjaran (pahala) sebanyak ganjaran yang diterima oleh orang yang mengikuti seruannya itu dan tidak mengurangi sedikit pun pahala (ganjaran) mereka. Demikianlah amalan yang paling mulia dan utama di sisi Allah adalah amalan yang paling banyak memberi manfaat kebaikan kepada orang ramai”
( Hadis Sahih: Riwayat Imam Muslim Daripada Abu Hurairah)










Rabu, 18 Februari 2009

PESANAN TUAN GURU

10 PRINSIP ASAS RAWATAN ISLAM
(Pesanan ini disampaikan oleh Tuan Guru Dato' Dr Haron Din pada 7 Mac 2005)

1. Ada penyakit, ada ubat
2. Allah menjadikan penyakit, Dialah yang menjadikan ubat
3. Kesembuhan bukan milik sesiapa, hanya milik Allah s.w.t
4. Manusia boleh berusaha, Insya'Allah kalau kena dengan ubatnya, Allah Taala akan sembuhkan
5. Al-Quran adalah panduan dan penghubung kepada kesembuhan penyakit.
6. Doa-doa dan bacaan-bacaan adalah ikhtiar yang menjadi sebab untuk sembuh penyakit.
7. Rawatan dengan bacaan ataupun doa, telah diijmakkan harus oleh para ulama', malah digalakkan dengan tiga syarat:-

i. Dengan membaca al-Quran
ii. Dengan bacaan-bacaan (selain daripada al-Quran) yang diketahui maknanya.
iii. Dengan mengiktikadkan bahawa Allah taala sahaja yang akan menyembuhkannya.

8. Bahan ubat hendaklah daripada bahan-bahan yang halal dan harus (jangan gunakan bahan-bahan yang haram seperti benda najis, tangkal dan seumpamanya).

9. Tidak boleh berputus asa dalam berikhtiar untuk mencari ubat dan kesembuhan.

10. Keyakinan pada diri sendiri, selain ubat yang dibuat, doa yang dibaca dan ikhtiar yang betul, pasti Allah Ta'ala akan menyembuhkan.

Ditulis semula hasil catatan Us. Mokti b. Uri

Jumaat, 13 Februari 2009

ISU: Taat Pada Pemerintah

Firman Allah :-

' Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah an-Nisa [4]: 59)

Ayat yang tertera diatas merupakan perintah Allah kepada umat Islam agar sentiasa mentaati Allah dan mentaati rasulnya serta ulil amri. Perbahasan berkenaan tafsiran ayat tersebut telah dijelaskan oleh para ulamak mufassirin seperti al-Quthubi, ibnu Khasthir dan lain-lain ulama'. Penulis tidak akan membincangkan tajuk ini secara panjang lebar kerana ilmu tafsir al-Quran ini memerlukan golongan yang arif dan mahir dalam bidang berkenaan. Perlu difahami ayat-ayat al-Quran hanya boleh ditafsir dengan cara berikut:-

1. Al -Quran hendaklah ditafsirkan oleh al-Quran itu sendiri.

2. Al-Quran ditafsirkan oleh al-hadis

Justeru penulisan pada kali ini ingin membawa para pembaca memahami maksud ayat di atas secara ringkas agar para pembaca dapat memahami dalam menghadapi suasana pada hari ini. Secara ringkasnya ayat ini merupakan arahan Allah agar seluruh orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah agar mentaatinya dengan ketaatan yang mutlak tanpa sedikitpun persoalan. Begitu jua dengan ketaatan kepada rasulullah. Namun, ulama mufassirin menjelaskan bahawa ketaatan kepada ulil amri adalah ketaatan yang tidak bersifat mutlak. Ulil amri atau golongan yang memegang tanggungjawab terhadap orang beriman hendaklah ditaati selagi mana ulil amri tersebut mentaati Allah dan Rasulnya dan arahan ulil amri tersebut juga wajib ditaati selagimana arahan tersebut selari dengan kehendak Allah dan Rasulnya. Namun ketaatan ini tidak menjadi wajib setelah arahan tersebut ini bercanggah dengan arahan Allah dan rasulnya. Ini dikuatkan lagi dengan penggunaan perkataan taat hanya pada perkataaan Allah dan Rasulnya sahaja. Penjelasan ini juga turut dikuatkan dengan hadis rasulullah s.a.w yang bermaksud:

'Wajib bagi bagi seorang muslim untuk mendengar dan taat kepada (penguasa) dalam perkara yang ia senangi dan ia benci kecuali apabila diperintah berbuat maksiat. Apabila penguasa melakukan maksiat maka tidak perlu didengari dan ditaati'. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani Rahimahullah menyatakan: “Hadis ini menunjukkan wajibnya taat kepada penguasa, hal itu berlaku dalam perkara yang bukan maksiat.

Sabda Rasulullah: " Tidak ada ketaatan kepada makhluk di dalam perkara maksiat" (Hadis Riwayat Bukhari)

Istilah ulil amri itu sendiri mempunyai maksud yang berbagai. Terdapat sebahagian ulama' menafsirkan perkataan ulil amri sebagai pemerintah manakala sebahagian ulama' lain menafsirkannya sebagai ulama'. Malah Ibnu Taimiyyah turut menyatakan : 'Ulil Amri mencakupi dua golongan iaitu ulama' dan penguasa'.

Dalam krisis perlembagaan yang berlaku di negeri Perak, penulis tidak mahu membincangkannya kerana ia melibatkan ilmu undang-undang tubuh Negeri yang hanya layak dibahaskan oleh golongan yang terlibat dengannya. Sebagai rakyat kita berhak mengetahui isu sebenar semasa tanpa menghukum tindakan tersebut sebagai derhaka hanya berlandaskan pada maklumat yang tidak pasti. Firman Allah :

" Wahai orang-orang yang beriman . Apabila datang orang fasik membawa berita, maka perhatikanlah dengan teliti" (al-Hujarat: 6)

Ini kerana umum mengetahui Keistimewaan Raja-Raja telah mula terhakis semasa zaman Tun Dr Mahadhir menjadi Perdana Menteri disamping Institusi Raja pada masa kini tidak lagi seperti di zaman Kesultanan Melayu dahulu yang mana Raja adalah pemerintah yang mempunyai kuasa yang sangat besar kepada rakyatnya. Tindakan Menteri Besar tidak meletakkan jawatan atas nasihat dan pandangan daripada pengamal undang-undang yang beliau temui dimana mereka menyatakan terdapat batasan kuasa antara Raja dalam hal berkaitan pemecatan seorang Menteri Besar. Sekiranya kenyataan ini benar, ini bermakna tindakan tidak meletak jawatan bukanlah satu penderhakaan sebaliknya merupakan satu teguran kepada institusi beraja agar dapat memahami batasan kuasa seperti yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Atas masalah percanggahan pendapat antara para pengamal undang-undang mengenainya, adalah lebih elok agar kita serahkan sahaja kepada mahkamah untuk memutuskannya dan tidak pula kita terikut-ikut dengan melebalkan pihak tersebut sebagai penderhaka. Menderhaka lebih menjurus kepada menentang arahan yang sah, sebaliknya tidaklah dikira menderhaka sekiranya arahan tersebut tidak sah. Sikap teguran yang baik ini adalah menepati saranan rasulullah :

'Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya. Apabila tidak mampu maka dengan lisannya. Apabila tidak mampu maka dengan hatinya. Dan itulah selemah-lemah iman. (Hadis Riwayat Muslim)

Kenyataan mufti Perak berkenaan adalah amat dikesali. Ketegasan Mufti yang melontarkan pandangan hendaklah sesuai dengan pendirian ulama' yang berani menyatakan kebenaran sungguhpun ia amat sukar untuk dilaksanakan. Perlu difahami sungguhpun anak diwajibkan taat kepada ibubapa dan isteri wajib mentaati suaminya namun ketaatan ini adalah terbatas selagimana ibubapa atau suami tidak mengajak kepada perkara yang bertentangan dengan arahan Allah. Semua ketaatan yang bertentangan dengan arahan Allah adalah terbatal sebagaimana di sebutkan diatas. Para Ulama' yang tidak menyatakan kebenaran, serta menukarkan hukum Allah mengikut keselesaan mereka amat dimurkai Allah dan rasulnya. Terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis nabi yang menjelaskan mengenainya. Ulama' haruslah berpegang dengan firman Allah s.wt :

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang Kani turunkan diantara beberapa keterangan dan petunjuk setelah Kami terangkan kepada manusia dalam kitab, nescaya mereka itu dikutuk Allah dan dikutuk oleh orang-orang yang mengutukinya" ( al-Baqarah : 159)

"Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu menjadi saksi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibubapa dan kaum kerabat. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran) kerana Allah lebih bertimbangrasa kepada keduanya. Oleh itu janganlah kamu turuti hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan" (al-Nisa: 135)

Tidak taat kepada raja adalah derhaka - Mufti
IPOH 6 Feb. - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar) berkata, sesiapa sahaja yang tidak taat kepada pemerintah ataupun raja yang memerintah sesebuah negeri, orang itu dianggap derhaka. Katanya, di dalam al-Quran jelas menyuruh umat Islam supaya sentiasa taat kepada Allah, rasul dan pemerintah iaitu raja. ''Raja yang adil dan bijaksana dalam melaksanakan tugas demi kepentingan umat Islam asalkan tidak bertentangan dengan syariat, wajib dihormati. ''Oleh itu, kita wajib menghormatinya selama mana raja itu memerintah di sesebuah negeri itu," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semalam yang enggan meletak jawatan walaupun dititah oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Mohammad Nizar enggan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak dengan alasan masih menyandang secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Mengulas lanjut, Harussani berkata, seseorang yang tidak taat kepada raja selagi raja itu tidak melakukan perkara yang dilarang, bererti derhaka. ''Kita juga diwajibkan taat kepada ibu bapa serta guru dan jika tidak taat itu bererti menderhaka kepada mereka," katanya. -UTUSAN MALAYSIA


PENGKALAN CHEPA, 8 Feb (Hrkh) - Golongan alim ulama di Negara ini harus bersikap adil di samping memihak hanya kepada Islam dalam menyelesaikan sesuatu isu apa lagi mengeluarkan kenyataan berbaur politik. Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din, menyifatkan kenyataan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, yang mengeluarkan kenyataan sesiapa tidak taat kepada pemerintah dianggap derhaka dilihat sebagai tidak menepati tugasnya sebagai Mufti yang hanya wajib memihak pada Islam dan bukannya pada mana-mana individu apa lagi untuk kepentingan politik. Menurutnya, tindakan sedemikian hanya akan mengundang kekeliruan di kalangan masyarakat, kerana golongan ulama merupakan rujukan utama masyarakat dalam masaalah agama. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan mufti berkenaan yang didakwa sedemikian sebagai merujuk tindakan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Muhammad Nizar, yang enggan melepaskan jawatannya sebagai menteri besar. Harussani baru-baru ini mendakwa, sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah ataupun Raja yang memerintah sesebuah negeri, orang itu dianggap derhaka. Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Kursus Kepimpinan Dakwah Halaqat, anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, di Putik, di sini semalam. "Mufti Perak telah menyatakan pendapatnya, tetapi tidak pernah berlaku seumpamanya sebelum ini di mana Mufti telah memihak pada mana-mana parti politik. "Sepatutnya sebagai orang yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan agama, Mufti tidak seharusnya terjebak dalam kancah politik, selain hanya memihak kepada kebenaran Islam yang satu,"ujarnya lagi. Haron Din, seterusnya memberitahu kenyataan Mufti sedemikian jelas menampakkan ianya kurang bijak dalam memberikan pandangannya berhubung kemelut politik di Perak. "Kalau nak membuat sebarang ulasan pun biarlah ianya memberi gambaran yang jelas iaitu Islam,"ujarnya lagi. Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau merujuk pada sejarah Islam bagaimana seorang alim ulama yang masyhur Izzudin Abdul Salam yang berani menyatakan kebenarannya walaupun di hadapan sultan sehingga beliau akhirnya dibuang daerah. Menurutnya, keberanian ulama di zaman ini amat diperlukan khususnya untuk menangani kegawatan suasana politik dunia dan tempatan yang semakin meruncing. "Hanya golongan ulama sejati yang berani mengeluarkan kenyataan yang benar walaupun sedar diri terpaksa berhadapan dengan sebarang kemungkinan,"ujarnya lagi. -HARAKAH

Khamis, 12 Februari 2009

PERUTUSAN MB PERAK


Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan. Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi. Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya. Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang. Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan. Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama. UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana. Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :


Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.


Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak? Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram. Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa. Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan. Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO. Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan. Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya. Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit. Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil. Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan. Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.

Isnin, 9 Februari 2009

Al-Fatihah Buat Almarhum Us Roslan Shahrum





Y.B A.F Us Roslan Shahrum

Al- Fatihah buat A.F. Us Roslan Shahrum yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Isnin 9 Febuari 2009 bersamaan 13 Safar 1430 Hijriah. Seluruh warga Darussyifa' merasakan amat kehilangan. A.F Us. Roslan merupakan antara salah seorang perawat Darussyifa' Ipoh terawal di Negeri Perak. Beliau yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan pernah menjawat jawatan Naib Pengerusi Darussyifa' Ipoh. Beliau merupakan bekas Pengarah Sumber Tenaga Manusia & Pentadbiran Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak (PKNP), Pensyarah UPM, OUM & ITM PERAK. Berkelulusan Diploma Pengajian Islam UIA (1991), Ijazah Sarjana Muda Sastera (SAINS POLITIK &PSIKOLOGI) UKM 1983 dan Ijazah Sarjana (MASTER SAINS) -PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA UPM 1997.Almarhum meninggalkan seorang Isteri bernama Puan Safiah bt Harun dan 11 orang anak. Allahyaham juga seorang yang aktif dalam perjuangan Islam dengan menang dalam Pilihanraya Umum lalu bagi Parlimen Bukit Gantang. Allahyaham dikatakan meminjam basikal untuk membeli ubat kerana kereta allahyarham rosak. Mungkin akibat kepenatan, allahyarham telah diserang sakit jantung. Jenazah al fadhil Us Roslan telah disolatkan oleh ribuan ummat Islam yang mengenali beliau baik di bidang kerjaya, politik mahupun para pesakit yang pernah mendapatkan khidmatnya. Seorang pengunjung yang hadir menyatakan almarhum seorang yang sangat baik, suka membantu orang lain serta tidak pernah menolak untuk membantu sekiranya diminta. Ramai para pesakit yang telah sembuh hadir untuk mendoakan almarhum. Pemergian almarhum bukan sahaja satu kehilangan besar buat Darussyifa', para penduduk kampungnya di Changkat Larang, para penyokong dan para pengundi di Bukit Gantang serta seluruh pejuang dan pendokong gerakan Islam. Jenazah allahyarham turut diimamkan oleh al fadhil Us. Ahmad Awang. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Firman Allah :
'(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih (dari kufur syirik dan maksiat) sambil malaikat itu berkata kepada mereka; Selamat sejahtera kepada kamu, masuklah ke dalam syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan'
(al Nahl: 32)
Firman Allah lagi:

' Whai jiwa yang tenang tenteram, Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redho dan diredhoi. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku dan masuklah ke dalam syurgaKu'
(al-Fajr : 27-30)
Y.B Dr Hatta antara pempinan gerakan Islam yang hadir
Y.A.B Dato' Seri Ir Mohammad Nizar b. Jamaluddin turut meluangkan masa menziarahi allahyarham