Jumaat, 6 Februari 2009

Naik Turunnya Pemerintah

Suasana sesak dihadapan Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak
(Kelihatan para penyokong membunyikan hon tanda sokongan)

Suasana penuh sesak di dalam kawasan kediaman Menteri Besar Perak
(Para penyokong terdiri perbagai lapisan masyarakat mendengar ucapan Menteri Besar Perak)

Pemerintah merupakan salah satu elemen penting dalam sesebuah kerajaan. Di negara kita, pemerintah hari ini dinaikkan melalui saluran demokrasi iaitu melalui Pilihanraya yang diadakan. Sesungguhnya naik turunnya seorang pemerintah mahupun sesebuah kerajaan adalah merupakan satu perkara yang berlaku atas izin Allah. Hanya Allahlah yang mampu mengangkat dan hanya Allah jualah yang menurunkan pemerintah dan kerajaannya. Firman Allah:-

Katakanlah: ""Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu ( AL- Imran : 26 )


Ayat diatas, secara jelas menunjukkan bahawa naik turunnya pemerintah dan kerajaannya adalah diatas kehendak dan izin Allah. Namun demikian, perlu difahami setiap pemerintah yang dinaikkan oleh Allah tidak semestinya ia mendapat keredhoan Allah. Begitu jua dengan pemerintah yang diturunkan oleh Allah tidak semestinya juga merupakan pemerintah yang dimurkai Allah. Kesalahan dalam memahami ayat diatas menyebabkan ramai diantara ummat Islam menganggap setiap pemerintah yang berjaya memegang tampuk pemerintahan adalah disebabkan mereka dipilih oleh Allah atas redho Allah menyebabkan mereka mampu memerintah dalam tempoh yang lama sungguhpun dalam pemerintahannya terdapat perlanggaran terhadap titah perintah Allah. Begitu juga bila mana terdapat pemerintah yang cuba sedaya upaya untuk melaksanakan amanah Allah atasnya, apabila ia diturunkan Allah daripada kedudukannya, maka terdapat diantara kita beranggapan pemerintahannya tidak mendapat redho Allah. Sesungguhnya inilah pemahaman yang salah lagi batil. Apakah dengan menangnya Parti Bath di Iraq satu ketika dahulu menunjukkan Allah redho kepada Saddam Hussin sedangkan umum mengetahui Saddam banyak membunuh para ulama' ketika perang Iraq-Iran dan terhadap puak Kurdis. Apakah dengan turunnya Parti Rafah di Turki satu ketika dahulu menunjukkan Allah tidak redho pada Parti yang memperjuangkan Islam itu ? Sesungguhnya penilaian Allah adalah berbeza dengan penilaian manusia. Pemerintah merupakan satu amanah Allah yang perlu ditakuti dan bukanlah satu perkara yang menjadi kebanggaan. Setiap pemerintah akan dipersoalkan akan apa yang diperintahkannya dihadapan Allah S.W.T kelak. Firman Allah dalam surah an-Nisa: 58-59 maksudnya: ' Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya dan (memerintahkan kamu) apabila menetapkan hukum diantara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya' Ingatlah peringatan rasullullah S.A.W dalam sabdanya yang bermaksud:
'Sesiapa juga yang memegang urusan kaum muslimin kemudian ia melantik seorang (pemimpin) pada hal ia tahu ada orang lain yang lebih layak dan patut untuk kepentingan kaum muslimin, maka sesungguhnya ia telah mengkhianati Allah dan Rasulnya'.
Tindakan melantik pemimpin yang tidak diredhoi Allah ini menimbulkan kesan sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah S.A.W bermaksud:
' Jika disia-siakan amanah maka tunggulah kiamat (kehancuran). Sahabat bertanya bagaimanakah yang dikatakan mensia-siakan amanah itu? Jawan rasulullah : Apabila urusan (pekerjaan) itu diberikan kepada orang yang bukan ahlinya'
Pemerintah yang suka melakukan kemewahan dan menentang arahan Allah ini jika terus-menurus memerintah akan mengundang bala Allah yang lebih besar pada suatu masa yang Allah lebih ketahui sebagaimana firmannya yang bermaksud: ' Dan jika Kami hendak membinasakan sesebuah negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan penderhakaan di dalam negeri iu, maka sudah sesuailah berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya' ( al-Isra' : 16)
Bala dan bencana bukan sahaja merujuk kepada kejadian tsunami, gerak gempa atau sebagainya. Peningkatan inflasi, ketiadaan sumber bekalan makanan, peningkatan harga barang sehingga menyusahkan rakyat kesemuanya merupakan bala Allah. Ingatlah pesanan Rasulullah dalam hadisnya bermaksud:
' Sesungguhnya bencana (yang) telah menimpa orang-orang yang terdahulu dari kamu ialah (kerana) apabila orang-orang bangsawan mencuri, mereka membiarkan sahaja (tanpa dihukum). Tetapi apabila orang-orang yang lemah mencuri mereka mengenakan had (hukuman) keatasnya. Demi Allah bahawa sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri sekalipun, nescaya aku akan potong tangannya'.
-wallahua'lam.
Antara sepanduk yang dibentangkan di Kediaman Menteri Besar
Us. Saiful Adli b. Samsudin
Rujukan:
1. ak-Quran
2.Fiqh Siasah Hassan al Banna : Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris
3. Islam & Politik Kenegaraan : Dr Abdul Karim Zaidan




Selasa, 3 Februari 2009

Gambar Tn Guru Dato' Dr Haron Din Di Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh Pada 1 Febuari 2009









Atas permintaan ramai, bersama-sama ini saya kepilkan gambar Tuan Guru ketika di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh pada 1 Febuari 2009 lalu. Para peminat boleh men downloadkan gambar diatas dengan klik kepada gambar dan save di komputer masing-masing.

Us. Saiful Adli b. Samsudin

Isnin, 2 Februari 2009

Executive Talk Bil 2/2009 di Dewan Banquet SUK Perak Bersama Dato' Dr Haron Din

Tuan Guru Dato' Dr Haron Din telah sudi menyampaikan ucapan dalam Majlis Executive Talk yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak. Majlis yang diadakan pada pukul 8.00 pagi itu turut dihadiri Kakitangan Awam yang berkhidmat di Negeri Perak.
Tuan Guru Dato' Dr Haron Din dalam ucapannya meminta rakyat di negeri ini agar sentiasa melaksanakan tugas yang diamanahkan bukan hanya untuk mencari rezeki semata-mata malah niat yang utama perlu disematkan hendaklah setiap pekerjaan, tugasan yang dilaksanakan dilakukan kerana Allah semata-mata. Tuan Guru menyatakan perbezaan manusia dengan haiwan adalah kehidupan manusia ini adalah untuk Allah dan kehidupan didunia ini adalah satu kehidupan yang sementara. Tuan Guru memetik beberapa ayat al-Quran dalam ucapan beliau. Antara isi kandungan yang disampaikan adalah:
1. Firman Allah dalam surah at-Tiin : 4 ' Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian'.
Penciptaan manusia sebagai makhluk yang terbaik diantara makhluk-makhluk ciptaan Allah ini tidak boleh dipertikaikan. Manusia bukan sahaja cantik dari rupa paras jika dibandingkan dengan haiwan malah manusia juga diberikan akal yang dengan akal ini memberikan kelebihan pada manusia. Antaranya firman Allah ' Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam, dan Kami telah memberi mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan." Surah al Isra' : 70
Kelebihan-kelebihan yang telah Allah kurniakan ini semuanya adalah supaya manusia melakukan segala amanah yang diberikan untuk mengabdikan kepadaNya sebagaimana firman Allah yang bermaksud : ' Dan tidak Kami jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Ku'. (al-Dzariyyat: 56)
Tuan Guru turut menyentuh perihal niat bagi setiap kakitangan di negeri ini sesuai dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: 'Hanya segala amalan dinilai berdasarkan niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya'
Sesungguhnya setiap niat dihati kakitangan dalam melaksanakan tugas ini sememangnya diketahui Allah. Sesungguhnya Allah menilai berdasarkan niat pada setiap amalan dan Allah tidak melihat hanya kepada luaran sebagaimana Sabda Rasulullah yang bermaksud :
" Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada badan kamu dan tidak juga kepada rupa paras kamu tetapi Allah memandang kepada hati kamu"
Banyak lagi mutiara ilmu yang ditaburkan untuk panduan rakyat dan kakitangan di negeri ini telah diberikan oleh Tuan Guru dalam majlis tersebut agar kakitangan dan rakyat di negeri ini dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin sehingga dapat mengecapi syurga Allah diakhirnya sebagai Happy Ending.
Dilaporkan Oleh: Us. Saiful Adli b. Samsudin

Ceramah Umum Tn Guru Dato' Dr Haron Din Di Masjid Sultan Azlan Shah Pada 1.02.2009

Tuan Guru Dato' Dr Haron Din sedang menyampaikan ceramah


Lautan Manusia yang mengutip mutiara ilmu yang disampaikan

Jawatankuasa Masjid Sultan Azlan Shah bersama Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Perak telah menganjurkan Ceramah Agama Bertajuk Masalah Ummah Masa Kini Dan Isu Semasa bertempat di Dewan Solat Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh. Program bermula selepas solat maghrib ini telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Penceramah jemputan bagi menjayakan majlis tersebut adalah merupakan seorang pendakwah dan ulama' terkenal tanahair, iaitu Tuan Guru yang dikasihi Prof. Dato' Dr Haron Din. Ahli-ahli Darussyifa' Ipoh telah diminta agar membantu perjalanan program berjalan lancar khususnya terhadap perkara berkaitan Tuan Guru. Antara intipati mutiara ilmu yang ditaburkan oleh Tuan Guru, ialah Tuan Guru telah menyentuh agar seluruh rakyat negeri Perak yang hadir agar bersama-sama mempastikan agar kesihatan rohani turut diambil kira dalam kehidupan seharian. Tuan Guru menyatakan kebanyakan manusia umumnya hanya menitik beratkan kesihatan berbentuk fizikal tetapi amat jarang yang menitik beratkan kesihatan rohaniah. Akibatnya, manusia lemah dalam rohani menyebabkan berlakunya perbagai maksiat dan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak Allah. Lemahnya rohani masyarakat Malaysia kini dapat dilihat dalam satu siri ujian saringan yang dilaksanakan oleh Darussyifa' Pusat mendapati seramai kira-kira 400 orang telah memohon untuk kursus Pengubatan Islam yang terdiri daripada perbagai lapisan masyarakat seperti doktor, guru, ustaz, peguam, jurutera dan sebagainya. Melalui ujian saringan yang dilakukan mendapati hanya kira-kira 30% sahaja dari jumlah tersebut berjaya melepasi ujian. Hasil ujian mendapati kira-kira 70% peserta tidak boleh membaca al-fatihah dengan betul. Keadaaan ini amat membimbangkan kerana al-fatihah adalah rukun dalam solat lima waktu. Banyak lagi mutiara ilmu yang diberikan oleh Tuan Guru yang tidak dapat ditulis disini. Diakhir ceramah, Tuan Guru telah mendoakan air yang disediakan untuk hadirin yang berhajat. Tuan Guru telah dibawa menjamu selera oleh pihak urusetia sebelum berangkat pulang.


Tn Guru Dato' Dr Haron Din meniupkan air

Ahli-ahli Darussyifa' Ipoh bergambar bersama Tuan Guru


Tuan Guru Dato' Dr Haron Din bersama Dato' Sheikh Mohd Nor Mansur al-Hafiz

Sesi bergambar bersama Tuan Guru. (Kelihatan ahli-ahli Darussyifa' bersama ahli-ahli Persatuan Ulama' Malaysia dan Jawatankuasa Masjid Sultan Azlan Shah)

Tuan Guru tidak menghampakan hasrat seorang peminat yang datang meminta untuk mendoakan anaknya

Tuan Guru berangkat pulang ke bilik penginapan
Dilaporkan oleh: Us. Saiful Adli b. Samsudin

Program Tuan Guru Dato' Dr Haron Din Di Kediaman Rasmi Y.A.B Menteri Besar Perak Pada 1.02.2009



Tuan Guru kita yang dikasihi, Prof. Dato' Dr Haron Din telah sudi menrima jemputan dari Y.A.B Menteri Besar Perak Darul Ridzuan untuk mengadakan majlis ilmu di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak. Program kuliah khusus untuk muslimat ini bermula jam 2.00 petang pada 1.02.2009 yang lalu.


Pada majlis kuliah tersebut, Tuan Guru telah mengulas perkara berkaitan kewajipan setiap muslim agar mentaati Allah dalam setiap perkara. Tuan Guru turut menyatakan cabaran besar bagi setiap pejuang Islam dalam perjuangannya sepertimana ujian getir yang pernah diterima para sahabat. Tuan Guru turut menyentuh kisah keluarga Yasir serta ujian yang ditanggungnya. Sesungguhnya antara golongan awal menerima Islam adalah golongan mustad'afin iaitu golongan yang lemah. Banyak perkara yang disentuh oleh Tuan Guru dalam mengigatkan kita agar sentiasa ikhlas dalam amalan dan istiqomah dalam perjuangan walaupun kita diuji dengan perbagai ujian dan dugaan. Sesungguhnya amat besarlah keberuntungan buat mereka yang mencari redho Allah dalam setiap perkara yang dilakukan.

Rabu, 28 Januari 2009

ATM hantar anggota ke Gaza

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menghantar pasukan perubatan yang terdiri daripada 30 orang pakar dan pegawai perubatan ke Gaza bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, misi bantuan itu akan dihantar dalam masa terdekat ini.

``Mereka mungkin akan berkhidmat di sana untuk tempoh tiga bulan dan mewujudkan hospital bergerak bagi membantu mangsa,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - Utusan

Ahad, 25 Januari 2009

Program Tn Guru Dato' Dr Haron Din 1 Febuari 2009


Y. Bhg. Tuan Guru Dato' Dr Haron Din akan berada di Negeri Perak pada 1 Febuari 2009. Kedatangan Tuan Guru ke Negeri Perak bagi menyampaikan kuliah dan ceramah disamping memenuhi jemputan Kerajaan Negeri Perak.Y. Bhg Tuan Guru Dato' Dr Haron Din akan menyampaikan kuliah untuk muslimat pada 1 Febuari 2009 jam 2.00 petang bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Ceramah Umum pula akan disampaikan oleh Y. Bhg Tuan Guru selepas solat Maghrib bertempat di Dewan Solat Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh. Tajuk Ceramah yang akan disampaikan ialah Masalah Ummat Islam Masakini.

Y.Bhg Tuan Guru Dato' Dr Haron Din akan memenuhi jemputan Kerajaan Negeri Perak dalam majlis Executive Talk yang akan diadakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada 2 Febuari 2009. Seluruh rakyat Negeri Perak dijemput bagi mengutip mutiara ilmu yang akan ditaburkan oleh Tuan Guru pada 1 Febuari 2009.
Maklumat Program pada 1 Febuari 2009 (Ahad)
Masa : 2.00 petang - Kuliah Muslimat
Tempat : Kediaman Rasmi Y.A.B Menteri Besar Perak Darul Ridzuan
Jalan Raja Dihilir, Ipoh
Masa : 8.00 malam- Ceramah Umum
Tempat : Dewan Solat Masjid Sultan Azlan Shah,
Jalan Raja Musa Mahadi (Jalan Dairy)
(Berhadapan Politeknik Ungku Omar)

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak


Mulai 1 Januari 2009, Jabatan Agama Islam Perak akan mendapat Pengarah yang baru, iaitu Dato' Sheikh Mohamad Nor b. Mansor Al-Hafiz. Ini berikutan tawaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang diberikan kepada beliau beberapa hari lalu. Beliau yang dilahirkan di Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang Perak pada 10 Januari 1950 adalah merupakan lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Dakwah (Gred S52), dan kini sedang bertugas sebagai Imam Besar, Masjid Negeri Perak. Beliau juga seorang yang aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dato' Sheikh Mohamad Nor b. Mansur al Hafiz juga merupakan Pengerusi Persatuan Kebajikan Dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa') Cawangan Ipoh. Seluruh warga Darussyifa' mengucapkan tahniah kepada Y. Bhg Dato' atas perlantikan tersebut. Seluruh warga Darussyifa' mendoakan kejayaan Dato' agar dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin. Semoga dengan perlantikan ini dapat meningkatkan imej Jabatan Agama Islam Negeri Perak, meningkatkan dakwah dan kefahaman rakyat negeri ini serta mendapat keredhoan Allah hendaknya. Bagi meraikan perlantikan tersebut, Darussyifa' Cawangan Ipoh bersama Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) Cawangan Perak akan menganjurkan satu Majlis Kesyukuran pada 27.01.2009 (Selasa) bertempat di Masjid Sultan Idris Shah 2 (Masjid Negeri). Majlis bermula jam 10.00 pagi sehingga 1.30 petang. Semua hadirin terutamanya ahli-ahli Darussyifa' adalah dijemput hadir ke Majlis tersebut.

Selasa, 20 Januari 2009

48 pejuang Hamas terkorban-Sumber Utusan Malaysia

GAZA 19 Jan. – Sayap bersenjata Hamas hari ini, mendakwa hanya 48 pejuangnya terkorban dalam serangan tentera Israel selama 23 hari di Genting Gaza.

Briged Ezzedine Al-Qassam itu juga berikrar untuk meneruskan pertempuran sekiranya rejim Yahudi gagal mengundurkan semua askarnya dari wilayah Palestin ini.

“Kami mengumumkan hanya 48 pejuang Qassam mati syahid,” kata jurucakap Briged tersebut, Abu Obeida pada sidang media yang disiarkan di televisyen.

Israel mendakwa membunuh lebih 500 pejuang Hamas semasa Operasi Cast Lead yang dilancarkan ke atas Gaza pada 27 Disember lalu dan berakhir semalam dengan gencatan senjata. – AFP

Khamis, 15 Januari 2009

Jangan Ambil Tindakan Terburu-Buru: KFC -Satu Ulasan

JOHOR BAHRU – Rakyat Malaysia dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan terburu-buru memboikot barangan Amerika atau Israel. Pengerusi Kentucky Fried Chicken Holdings (M) Berhad (KFC), Tan Sri Datuk Muhammad Ali Hashim berkata, tiada bukti menunjukkan KFC menyokong atau menjayakan tindakan Israel ke atas Palestin. "Saya tidak melihat ada bukti yang menunjukkan KFC ada kaitan, menyokong atau menggunakan sumber kewangannya untuk membantu Israel. "Umat Islam atau warganegara Malaysia khususnya perlu kurangkan emosi dalam hal-hal seperti ini, dunia hari ini adalah lebih kompleks, rangkaian yang kita sangkaan milik Amerika sebenarnya tidak hanya memanfaatkan orang Amerika semata-mata. " "Kita perlu memikirkan kesan jangka masa panjang dan pendekatan yang lebih strategik, saya pernah membicarakan perkara ini beberapa kali dalam ceramah-ceramah saya, pendekatan yang lebih wajar dan logik adalah kita ramai-ramai usahakan untuk mendapatkan KFC dari Amerika," katanya ketika ditemui sidang media Cabaran Catur Bistari Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, kelmarin. Beliau berkata, kita boleh mengambil pedoman dari syarikat India yang mengambil alih perniagaan besi dunia". "Ada kira-kira 22,000 rakyat Malaysia yang bekerja dengan KFC dan Pizza Hut dengan gaji untuk mereka mencecah antara RM200-300 juta setahun. " "Majoriti pekerja KFC dan Pizza Hut beragama Islam dan jadi kita perlulah sedar hakikat ini dan melihat lebih jauh sebelum memboikot," katanya.
Sumber:
Sinar harian










Ulasan: sememangnya tiada bukti yang menunjukkan KFC menyalurkan duit kepada Tentera Israel atau menyalurkan duit kepada kempen ketenteraan Israel ke atas Palestin. Namun perlu diketahui, asas ekonomi menunjukkan KFC merupakan sebuah syarikat makanan segera milik Amerika yang tentunya setiap pembelian keatas makanan segera tersebut akan memberikan peningkatan kepada sumber ekonomi kerajaan Amareka melalui cukai-cukai yang dikenakan. Hasil cukai-cukai ini telah memberikan kekayaan ekonomi kepada kerajaan Amareka untuk melakukan penyelidikan ketenteraan yang akhirnya dengan kekuatan dan kecanggihan persenjataan tersebut telah digunakan di negara Palestin. Penyaluran segala bentuk persenjataan terkini oleh Amerika telah disalurkan ke Israel. Fakta ini bukan lagi satu andaian semata-mata malah merupakan satu realiti dan telah diketahui dunia. Alasan Amerika, pemberian persenjataan tersebut merupakan satu tindakan untuk mempertahankan Israel seringkali digunakan Amerika bagi membenarkan tindakannya. Pencerobohan Israel ke atas Palestin juga dikatakan sebagai tindakan membela diri sedangkan dunia sendiri sememangnya mengetahui bahawa negara Palestin sememangnya tidak mampu untuk menganggu-gugat kerajaan Israel. Barangan Amarika bukaan sahaja KFC, malah semua jenis makanan dan barangan lain termasuk rokok, pakaian dan sebagainya hendaklah diboikot bagi memberi pengajaran kepada Amarika dan Israel agar dapat menghormati hak orang Islam. Pemboikotan ini tidak boleh dilakukan hanya untuk tempoh singkat seperti yang dicanang oleh sesetengah individu tertentu kerana ia menunjukkan masih ada dihati induvidu tersebut keingginan untuk menggunakan perkhidmatan yahudi tersebut sebaik sahaja tempoh pemboikotan tersebut tamat. Pemboikotan ini hendaklah dilakukan secara berterusan sehingga mampu memberi pengajaran kepada Amerika dan Israel diatas sikap keangkuhan mereka dalam melakukan tindakan ke atas negara dan ummat Islam. Kajian yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan kumpulan pengguna di dunia turut menunjukkan bahawa baranagan Amarika dan Israel banyak menggunakan bahan-bahan yang diragui kehalalannya. Penggunaan bahan yang kurang jelas serta berunsur syubhah ini tidak sepatutnya digunakan oleh ummat Islam sungguhpun tertera pada label barangan tersebut perkataan HALAL yang mana tidak diketahui keautorian badan yang memberi cop halal terhadap barangan tersebut. Buku diatas telah memberi serba sedikit gambaran terhadap kelambakan barangan yang berunsur syubhat yang berada dipasaran negara kita. Malah barangan yang dijual kebanyakannya adalah dari keluaran Amarika dan sekutunya. Ummat Islam yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai di dunia sepatutnya mempunyai alternatif terhadap setiap barangan keperluan yang dikeluarkan oleh Amarika dan Israel. Barangan keperluan keluaran orang Islam yang halal lagi bersih sepatutnya mendapat tempat dikalangan masyarakat sebagai alternatif terhadap barangan keluaran amarika dan Israel. Ubat gigi keluaran orang Islam seperti 'Mukmin' (contohnya) walaupun agak mahal jika dibandingkan dengan 'Colgate' tetapi keyakinan terhadap status halalnya tidak boleh dipertikai lagi. Jika kita memahami biasanya barangan yang mahal punyai kualiti yang baik, maka barangan yang halal sudah tentu perlu dibayar dengan harga yang mahal. Ingatlah sesungguhnya syurga Allah itu mahal, untuk mendapatkannya bukanlah boleh diperolehi dengan cara yang mudah dan murah. Mahalnya syurga Allah itu tidak boleh dihitung dengan wang ringgit. Neraka Allah itu murah sebab itu ia mudah untuk diperolehi. Tinggalkan suruhan Allah, pasti mudah untuk terjun kedalamnya. Sebaliknya untuk mendapatkan syurga kita terpaksa bersusah-payah berjuang memelihara diri agar tidak melakukan laranganNya serta melaksanakan suruhanNya dengan bersungguh-sungguh sungguhpun terpaksa menghabiskan wang yang banyak. Makanan, pakaian dan segala yang HARAM merupakan antara faktor penyebab kepada jauhnya diri kita dari hidayah Allah. Kerana itu, pemboikotan ini bukan hanya kerana Palestin semata-mata, bukan hanya kerana Fatwa Ulama' tersohor semata-mata dan bukan hanya kerana kebencian kita kepada tindakan Amarika dan Israel semata-mata. Malah sebab yang lebih besar adalah kerana Allah bagi mempastikan setiap doa kita diperkenankan Allah sejajar dengan hadis Rasulullah S.A.W bermaksud:
"Wahai semua manusia, makanlah benda yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi".
Lalu Saad bin Abi Waqqas yang ketika itu berhampiran dengannya berkata:
"Ya Rasulullah, tolong pohonkan kepada Allah agar Allah jadikan daku seorang yang mudah diperkenankan doa."
Mendengar kata-kata Saad itu, lalu Baginda bersabda:
"Wahai Saad, perbaikilah makananmu, kau akan jadi seorang yang mustajab doa. Demi Tuhan dimana diri Muhammad dalam tanganNya, seseorang lelaki yang menelan seketul daging haram dalam perutnya tidak akan diterima doa daripadanya selama empat puluh hari. Adapun hamba yang dagingnya tumbuh daripada benda haram dan riba, maka neraka itu lebih utama baginya."

Kenyataan bahawa sekiranya masyarakat memboikot barangan Amarika dan Israel seperti KFC, Carrefour, McDonal's dan sebagainya akan menggugat ekonomi negara adalah satu kenyataan berbentuk ugutan yang tidak berlandaskan aqidah Islamiyyah. Perlu diyakini bahawa hanya Allah lah yang memberi rezeki buat hamba-hambanya. Bukan kerana KFC negara ini maju. Apakah dengan tiadanya KFC masyarakat Malaysia boleh mati kebuluran ? apakah dengan tiada KFC seluruh masyarakat Malaysia hilang perkerjaan ? Bukankah sebagai orang Islam kita wajib berkeyakinan bahawa rezeki ini kurnian Allah? Sebagai rakyat Malaysia beragama Islam hendaklah berfikiran rasional dalam kehidupan yang realiti. Hendaklah diketahui adalah menjadi Fardhu Kifayah keatas seluruh ummat Islam di Malaysia untuk menghasilkan setiap barangan alternatif diatas setiap barangan keluaran Amarika dan Israel. Tindakan HPA (sebuah syarikat muslim di utara tanahair) dalam menghasilkan barangan alternatif tersebut telah melepaskan seluruh masyarakat Islam Malaysia daripada dosa akibat kealpaan kita semua. HPA bukan sahaja telah menghasilkan barangan keperluan seperti sabun mandi, minyak rambut dan sebagainya malah turut menggorak langkah kepada perkhidmatan makanan segera seperti RFC bagi menggantikan KFC dengan kaedah halal dan berkualiti. Semua barangan keluaran orang Islam ini perlu disokong oleh ummat Islam Malaysia agar ia terus berkembang kukuh serta dapat menyainggi barangan keluaran Amarika dan Israel. Kesimpulan daripada ulasan ini menunjukkan bahawa sesungguhnya pemboikotan ini adalah wajib kerana:


  1. Barangan keluaran Amarika & Israel diragui kehalalannya.


  2. Jihad ekonomi bagi memangkin pengeluaran barangan keluaran ummat Islam


  3. Jihad ekonomi sebagai membantu saudara-seagama di Palestin yang dicerobohi oleh Amarika dan Israel.


  4. Jihad ekonomi sebagai pengajaran kepada keangkuhan Amareka dan Israel.


  5. Memelihara diri dari barangan syubhat dan haram


  6. Mencari keredhoan Allah


Dalam membincangkan berkenaan boikot keatas barangan Amarika dan Israel ini, terdapat segelintir individu yang mempertikaikannya apakah ianya bertepatan dengan kehendak al-Quran mahupun sunnah rasulullah s.a.w. Malah ada sesetengah pihak menganggap tindakan memboikot ini hanya merugikan ummat Islam. Perlu diingat, bahawa ummat Islam tidak rugi sekiranya memboikot barangan perkhidmatan Amarika dan Israel sambil mewujudkan alternatif dari buatan orang Islam sendiri, malah inilah yang dituntut oleh Islam. Tetapi ummat Islam menjadi rugi sekiranya hanya memboikot tanpa ada alternatif bagi barangan perkhidmatan tersebut. Malah Islam tidak melatik ummatnya hanya menjadi pengguna buta kepada barangan perkhidmatan kuffar. Berdasarkan kepada hujah dalam kesimpulan yang dinyatakan, jelas sekali menggunakan dan mengutamakan barangan dari buatan orang Islam adalah lebih utama, dalam kes memboikot barangan Amarika dan Israel ini pula, ianya merupakan salah satu jihad yang dilakukan oleh individu diserata dunia bagi memberi tentangan terhadap seranagan yang dilakukan oleh yahudi ke atas saudara seislam kita di Palestin. Perlu difahami kaedah usul fiqh menyatakan setiap perkara adalah harus kecuali telah dinyatakan haram oleh al-Quran mahupun al-Hadis. Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud:

' Apa sahaja yang Allah halalkan didalam kitabNya, maka ia halal dan apa sahaja yanag Allah haramkan didalam kitabNya, maka ia haram. Dan apa yang didiamkan maka ia dibolehkan (dimaafkan). Oleh itu terimalah daripada Allah kemaafan-Nya. Kerana sesungguhnya Allah tidak akan lupa sedikit pun'.

Justeru, ia memperlihatkan luasnya ilmu Islam. Tiada satu perkara yang tidak memudharatkan kita dikira haram dilakukan selagimana tidak dinyatakan Haram oleh al-Quran mahupun al-Hadis. Tindakan golongan tertentu yang sering menggunakan perkataan bid'ah dalam fahaman sempit mereka telah menghukum bid'ah dan akhirnya membawa pengertian masuk neraka bagi mereka yang berdemostrasi menentang Yahudi, bid'ah pula dituju juga bagi mereka yang memboikot barangan Yahudi dan Amarika. Sehinggakan Bid'ah juga dituju kepada mereka yang belajar dan bekerja di Amarika dan Britain serta negara-negara Eropah. Perlu difahami pengertian Bid'ah sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para ulama' dimana bid'ah yang sesat adalah perlakuan baru dalam perkara agama yang nabi tidak pernah lakukan. Seperti contoh, solat maghrib yang telah ditetapkan sebagai tiga rakaat tetapi dilakukan sebanyak empat rakaat. Inilah bid'ah yang sesat dan menyesatkan. Sikap pemerintah yang sengaja tidak melaksanakan Hudud dan digantikan hukum Syariah itu dengan hukuman ciptaan manusia, ini juga merupakan Bid'ah yang sesat. Menuntut ilmu sekiranya ilmu yang dituntut itu ada di tanahair, maka utamakanlah di tanahair atau dimana-mana negara ummat Islam, namun bagi ilmu yang hanya terdapat di negara-negara Eropah disebabkan teknologinya yang lebih tinggi, maka harus menuntut ilmu di negara-negara Eropah bagi mempelajari teknologinya untuk dibawa ke tanahair. Demikian juga bekerja di negara Eropah merupakan harus sekiranya dengan bekerja tersebut dapat diambil manfaat untuk dibawa ke tanahair. Pada asalnya kesemua keadaan bekerja dan belajar ini hukumnya harus walau dimana sahaja. Adapun tindakan memboikot barangan Amarika dan Israel bukanlah perbuatan Bid'ah yang sesat ditambah pula di zaman rasullullah negara Amarika pun masih belum wujud lagi. Sikap tidak berpegang kepada akhlak Islamiyyah ini menonjol pada diri mereka dengan menyelar para ulama' yang tidak sefahaman dengan mereka sebagai sesat dengan kalimat keramat mereka: 'Sesunggunya dia hanya ulama' bukan nabi. Ulama' tidak maksum sebagaimana Nabi dan tidak mustahil untuk tersalah dalam tindakannya". Kata-kata ini sungguhpun benar, seolah-olah ingin menjatuhkan dan mengaibkan para ulama'. Para ulama' Islam dahulukala, seringkali bersangka baik dalam berikhtilaf. Tidak pernah berlaku pentengkaran sehingga menghukum kafir atau ahli neraka sesama mereka hanya disebabkan perbezaan pendapat. Keterbukaan minda ini dapat dilihat apabila berlaku khilafiyyah antara perkara tertentu, seringkali kita dengar kalimat 'Boleh jadi dia betul dengan pendapatnya atau boleh jadi pendapatku betul, sesungguhnya hanya Allah sahaja yang Maha mengetahui". Sikap keterbukaan ini telah melahirkan keperbagaian pendapat yang dapat membangun dan memperkasakan ummat Islam. Firman Allah:

'Dan orang-orang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan orang-orang (ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah) merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpahan kurnian yang mulia' (al Anfal:74)- Wallahua'lam.

Sabtu, 10 Januari 2009

Ikhtiar Mengatasi Gangguan Di ILPA, Ipoh (Jumaat-9/1/2009)


Pada 9 Januari 2009, Rombongan Darussyifa' Ipoh telah dijemput oleh pihak pengurusan Institut Latihan Pegawai Awam (ILPA) untuk mengadakan ikhtiar bagi mengatasi gangguan yang berlaku di Institut Latihan tersebut sejak akhir-akhir ini. Rombongan Darussyifa' terdiri daripada 10 orang perawat hadir bagi mengadakan majlis zikir dan solat hajat di Institut tersebut. Ahli-ahli Darussyifa' telah berkumpul di Institut tersebut jam 7.05 malam

Majlis dimulai dengan azan dan solat maghrib secara berjemaah disusuli dengan solat hajat, bacaan yasin, zikir dan diakhiri dengan solat isyak. Majlis diketuai oleh A.F Us. Hj Che Leh b. Che Ali. Menurut salah seorang kakitangan Institut Latihan tersebut, telah berlaku beberapa insiden yang mengganggu kakitangan dan para peserta program di Institut Latihan itu sejak akhir-akhir ini. Gangguan tersebut berlaku diwaktu siang dan malam. Gangguan seperti bunyi orang menyapu sampah dan sebagainya sering berlaku menyebabkan rasa tidak senang dikalangan kakitangan Institut latihan tersebut. Semoga dengan ikhtiar yang dilakukan akan dapat mengatasi masalah gangguan tersebut.
Antara doa yang dipohon pada majlis zikir tersebut:-

"Ya Allah turunkanlah rahmat dan keberkatan bagi kami dan keatas tempat ini Ya Allah wahai yang paling mengasihani daripada segala yang mengasihani."
"Ya Allah Kami meminta kebaikan bangunan ini, dan kebaikan yang ada di dalamnya, dan kemi berlindung dari keburukan bangunan ini dan keburukan yang ada di dalamnya dengan rahmat-Mu Ya Allah wahai yang paling mengasihani daripada segala yang mengasihani"



Setelah selesai majlis zikir, aktiviti merenjis air yasin dan lada hitam dilakukan dan diketuai oleh A.F Hj Che Leh b. Che Ali ke seluruh bilik dan kawasan Institut Latihan. Semoga Institut Latihan ini dijauhkan Allah daripada gangguan makhluk halus tersebut. Setelah selesai, rombongan Darussyifa' dihidangkan dengan makan malam di kantin Institut Latihan tersebut.


Majlis tamat sekitar jam 10.30 malam.



Gambar sekitar Majlis Zikir Di Institut Latihan Pegawai Awam (ILPA)
9 Janurai 2009 (Jumaat)


Taklimat program oleh A.F Hj Che Leh b. Che Ali


Ahli-ahli Darussyifa' menjamu selera setelah selesai majlis zikir dilakukan.

Jumaat, 9 Januari 2009

Poster Anti Israel

Isnin, 5 Januari 2009

Muharram 1430 Disaji Dengan Darah Umat Islam



Tanggal 29 Disember 2008 yang lalu merupakan satu detik bersejarah buat ummat Islam dimana satu lembaran 1430H telah bermula. Detik bersejarah yang membawa peningkatan umur dan semakin hampirnya kita kepada pengakhiran usia. Semakin hari semakin bergerak waktu dari saat ke saat, minit keminit, hari ke hari sehingga tanpa disedari genaplah tahun ke 1430H. Ummat Islam yang merindui dan meyakini akan balasan-balasan Allah tentu sahaja memanfaatkan setiap detik usianya kearah kebaikan dan peningkatan taqwa, sebaliknya bagi mereka yang lalai dan ingkar akan terus hanyut dibuai nafsu dan kemungkaran. Islam mengajar kita agar sentiasa memuhasabah diri apakah amal kita meningkat atau sebaliknya. Kerana sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini adalah merupakan persinggahan yang sementara. Masyarakat kita kini bertembung dengan krisis nilai. Penggunaan kalender dan penerimaan gaya hidup yang tidak Islam telah menjauhkan kita daripada hidayah Allah S.W.T. Masyarakat kini lebih mengenali kalender Masihi jika dibandingkan dengan kalender hijriah. Setiap kali detik 12 malam pada 1 Januari setiap tahun, pasti kedengaran sambutan tahun baru dimana-mana sahaja. Sambutan yang diraikan oleh muda-mudi Islam dengan sorakan beramai-ramai, dengan pancutan bunga apinya serta perbagai pengisian yang merosakkan ini akhirnya melahirkan laporan akhbar diesok harinya dengan berita-berita kemaksiatan yang amat memalukan. Kita dihidangkan dengan berita tangkapan maksiat, penzinaan, arak dan sebagainya dilaporkan pada 2 Januari 2009. Dalam masa kita mendabik dada sebagai negara Islam, kita dikejutkan dengan sambutan tahun baru oleh kelompok-kelompok tertentu dengan pesta kemaksiatan yang memalukan. Jika ada pertembungan antara 1 Januari dengan 1 Muharram, pasti dilihat majlis-majlis 1 Januari lebih mendapat tempat dikalangan masyarakat. Perkara ini berlaku setiap tahun. Dikala masyarakat sibuk dengan sambutan tahun baru masihi, saudara seagama kita di Palestin sibuk mempertahankan diri dari tindakan zionis Israel. Saudara seagama kita dibunuh, dibom dan diperlakukan diluar batas kemanusiaan. Serangan roket dan jet pejuang menghujani bumi Palestin. Serangan berterusan dengan kemasukan anggota tentera darat Israel pada 4 Januari 2009 yang lalu. Benarlah firman Allah di dalam surah al Maidah:82 " Nescaya kamu akan dapati bahawa manusia yang paling dahsyat permusuhannya dengan orang-orang yang beriman kepada Allah ialah orang-orang Yahudi dan golongan yang mensyirikkan Allah".



Tentera darat zionis Israel memasuki Palestin
Situasi rakyat Palestin yang dibunuh

Kanak-kanak turut menjadi magsa keganasan Israel



Pintu sempadan Palestin-Mesir ditutup bagi menyukarkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Palestin. Rakyat Palestin dibunuh secara tersurat dan tersirat. Ramai individu di Malaysia masih tidak memahami isu Palestin. Masih ramai antara kita menganggap Palestin adalah masalah rakyat Palestin..bukan masalah kita. Kita merasa beruntung dan bertuah diatas kehidupan dan keharmonian yang dikecapi kini. Namun apakah kita sedar bahawa kenikmatan dan keharmonian ini adalah merupakan pemberian Allah dan boleh bertukar sebaliknya pada bila-bila masa. Kita tidak boleh samakan situasi di Palestin dengan situasi kemerdekaan di negara kita. Kita beruntung kerana diberi kemudahan dalam mengecapi kemerdekaan. Kaedah ini cuba dilakukan oleh Almarhum Yassir Arafat dahulu melalui PLO untuk berdamai dengan Israel. Namun, segala usaha perdamaian amat sukar untuk direalitikan. Kemenangan Hamas dalam pilihanraya lalu amat tidak disenangi Israel dan sekutunya. Senario dan corak politik dunia seolah-olah menafikan kewujudan Palestin dan merestui tindakan zionis Israel. Dimanakah hati dan perasaan kita apabila menyaksikan pembunuhan wanita dan kanak-kanak Palestin ? Bagaimanakah perasaan kita jika perkara serupa berlaku terhadap keluarga dan masyarakat kita? Seruan Islam meletakkan setiap ummat Islam yang melafazkan kalimah 'Tiada Tuhan berhak disembah melainkan Allah" adalah bersaudara merupakan mesej jelas kepada kita akan tanggungjawab kita sebagai ummat Islam merasai dan menghayati penderitaan saudara seagama kita di Palestin sepertimana sabda rasulullah bermaksud "Perbandingan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, simpati dan belas ihsan mereka seumpama satu badan, apabila satu anggota sakit, seluruh badannya akan berjaga malam dan merasai sakit" (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim). Persaudaraan Islam merupakan satu persaudaraan yang melangkawi batas kaum, bahasa dan budaya. Kurangnya penghayatan keatas nilai persaudaraan Islam telah menjadikan kita memandang isu Palestin lebih kepada isu rakyat Palestin atau isu kemanusiaan. Sedangkan isu ini bukan hanya isu kemanusiaan malah lebih besar ia merupakan isu keimanan yang turut akan dipersoalkan oleh Allah kelak dihari kebangkitan. Kita akan dipersoalkan setiap apa yang kita lakukan. Apakah tindakan kita dalam membantu saudara seagama kita di Palestin ? Apakah sekadar melihat dan mengeluh tanpa dapat berbuat apa-apa. Lebih teruk lagi apabila ada antara kita yang langsung tidak ambil peduli akan Palestin. Kata-kata seperti : "Palestin ?? kesiannya..." dan sebagainya sering kita dengar sama ada melalui internet, laman forun diakhbar dan sebagainya...ketika penulis membaca laporan mengenai Palestin, seorang rakan sambil gelak menyatakan: " Buat ape baca je...pergi je lah terus ke Palestin tu....pergi bom Israel...pergi je perang...buat ape duduk sini?"....kata-kata sindiran yang sengaja dilontarkan kepada penulis. Jumaat lalu, ketika rancangan bercorak agama ke udara, terdapat komen penonton antaranya : " Kalau ustaz-ustaz kat Malaysia ni kata Orang Palestin tu Syahid kenapa tak pergi je perang kat Palestin?" ada yang kata " Kalau Palestin tu betul kenapa tak menang-menang lagi?"...dan macam-macam lagi. Begitulah ceteknya kita...Sesungguhnya kemenagan bagi orang Islam bukan hanya kemenangan bersifat keduniaan. Bagi mujahid dan mujahidah Palestin mereka telah dijanjikan oleh Allah dengan dua kemenangan. Pertama kemenangan di dunia iaitu bebasnya Palestin daripada cengkaman Israel atau sekiranya kemenangan ini tidak tercapai, pastinya mereka mendapat kemenangan kedua yang lebih bersifat abadi iaitu Kemenangan mendapat Syahid Allah. Tindakan mujahidin Palestin ini merupakan keyakinan dan keimanan yang tinggi terhadap firman Allah yang bermaksud "Sesungguhnya Allah telah membeli orang mukmin harta dan dirinya dengan syurga yang disediakan untuk mereka". Bagaimana mungkin mengikut pemikiran waras kita sanggup meletakkan bom dibadan untuk diletupkan bersama tentera Israel....Akal tidak boleh sanggup menerimanya. Mana mungkin mengikut perkiraan akal yang waras, tindakan muda-mudi Palestin yang menentang tentera Israel yang lengkap dengan persenjataan canggih dengan hanya menggunakan batu-batu seperti membaling anjing-anjing yang berkeliaran ? Keyakinan dan keimanan yang mendalam serta rasa cintakan Syahid menyebabkan mereka sanggup menanggung risiko..sanggup melakukan tindakan yang tidak masuk akal demi mempertahankan agama dan tanahair daripada terus manerus dinodai Israel. Sabda Rasulullah " Berdiri di medan jihad sehari semalam lebih utama daripada puasa dan qiyamullail sebulan lamanya" (Riwayat Ahmad) dan dalam hadis yang lain Rasullullah bersabda "Sesungguhnya tempat seseorang dari kalangan kamu di jalan Allah (jihad fisabilillah) adalah lebih mulia (ganjarannya) daripada solatnya di rumah selama tujuh puluh tahun" (Riwayat al Tirmizi dari Abu Hurairah dan dinilai hadis hassan) Senario masyarakat kita yang dihidangkan dengan perbagai hiburan melalaikan ditambah dengan sikap segelintir pendakwah bebas yang seringkali menghidangkan perkara khilafiyyah dalam masyarakat menambahkan lagi sikap tidak ambil tahu masyarakat dalam hal-hal keagamaan. Hal ehwal berkaitan khilafiyyah sepatutnya dibahas atau dibincangkan pada orang yang berkemampuan untuk memikirkannya bukan kepada masyarakat umum kerana kemampuan akal dan latar belakang pemikiran manusia adalah berbeza. Jika hal ehwal khilafiyyah ini dibincangkan kepada umum, dikhutari salah faham terhadap hukum hakam islam berlaku sehingga mengundang perpecahan ummah. Islam mengajar kita hormat menghormati dalam berikhtilaf. Tidak patut kita melabelkan sesorang itu pelaksana bid'ah atau ahli neraka hanya kerana tindakannya yang tidak sesuai dengan pendapat kita. Tindakan kelompok pendakwah yang berselindung atas nama gerakan salafi yang mendakwa berpegang dengan sunnah rasulullah dan ikutan salafussoleh ini kadangkala tidak membantu ummah terutamanya di Palestin apabila ada dikalangan mereka melabelkan tindakan pengebom berani mati di Palestin sebagai mati dalam maksiat bukan mati syahid/jihad. Kenyataan penulis buku tersebut seolah-olah melaksanakan wasiat Louis IX yang gagal memerangi ummat Islam dalam satu siri peperangan salib dimana ada menyatakan: " Tidak ada jalan untuk menguasai orang Islam melainkan dengan menggunakan kalimah (penulisan dan kata-kata) dan membendung fikiran-fikiran Islam yang sebenar disamping mengapi-apikan keraguan dan kesamaran terhadapnya juga memusnahkan saripatinya yang tertegak di atas jihad."





Prof. Dr Yusuf al Qardhawi

Kedangkalan pendakwah dari selatan tanahair ini amat bertentangan dengan fatwa ulama' masakini Prof. Dr Yusuf al-Qardhawi yang menyatakan bahawa pengebom berani mati adalah syahid berdasarkan kepada hadis dan al-Quran. Perlu difahami realiti yang berlaku di Palestin. Mujahidin palestin bukan pengganas. Mereka tidak sekali-kali sengaja mengebom diri untuk seronok-seronok...atau sikap membenci Israel..tindakan mereka melakukan pengeboman diri atas usaha untuk mengambil risiko yang kecil bagi memusnahkan risiko yang lebih besar. Jika tindakan pengeboman tidak dilakukan, rakyat Palestin tetap diusir dan dibunuh. Jika Hamas tidak menyerang, rakyat Palestin tetap ditindas. Mengharapkan bantuan ummat Islam di seluruh dunia yang tidak kunjung tiba...tiada bantuan ketenteraan diberikan sebaliknya di pihak lawan, peralatan persenjataan terkini sentiasa diperbaharui. Kita ummat Islam di Malaysia mungkin tidak mampu ke Palestin untuk mengangkat senjata...sekatan-sekatan yang dilaksanakan tidak akan memungkinkan kita ke sana untuk berperang...sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan niat hamba-hambanya...tetapi seandainya kita diberi peluang untuk kesana atas tiket bantuan kemanusiaan atau perubatan....pergilah kerana ia tetap dikira sebagai jihad disisi agama...bagi kita yang tidak dapat pergi ke Palestin...bantulah saudara seagama kita dengan sumbangan ikhlas berbentuk wang ringgit yang disediakan oleh pihak kerajaan mahupun pihak-pihak yang lain. Sekiranya kita tidak mampu untuk menyumbangkan wang ringgit...bantulah Palestin dengan berdoa dan bersolat hajat, memohon kepada Allah agar membantu rakyat Palestin. Amalkanlah membaca Qunut Nazilah agar Allah membantu mujahidin Palestin dalam menghadapi ujian yang amat getir ini. Sokonglah Palestin dengan apa cara dan upaya yang boleh..Boikot dan hentikan pembelian keatas setiap barangan keluaran Amerika, Israel dan sekutunya..kerana dengan pemboikotan tersebut akan mampu melumpuhkan ekonomi mereka. Sedarlah bahawa hasil cukai keatas barangan-barangan ini akan digunakan untuk membedil ummat Islam di Palestin. Barangkali sebahagian diantara kita merasakan pemboikotan keatas barangan keluaran Amereka dan sekutunya merupakan satu tindakan yang kecil yang memustahilkan untuk melumpuhkan ekonomi mereka. Namun sekiranya tindakan ini dilakukan dengan bersama, insyaallah ia mampu melumpuhkan ekonomi mereka. Ini kerana umat Islam adalah pengguna terbesar produk-produk keluaran Amarika dan sekutunya. Lihatlah hadis nabi bermaksud "Janganlah sekali-kali kamu memandang remeh sesuatu perkara kebaikan, walaupun sekadar kamu bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang ceria" (Hadis Riwayat Muslim). Atas penerangan ringkas ini, Dr Yusuf al-Qardhawi turut memfatwakan haram bagi ummat Islam membeli setiap barangan Amarika dan sekutunya. Ini sahaja barangkali usaha yang mungkin mampu dilakukan oleh kita semua mengikut tahap keimanannya. Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahadhir Mohammad juga turut menggesa kita memboikot barangan ini. Sesungguhnya ummat Islam sepatutnya menjadi pengeluar bukan menjadi pengguna sepertimana kenyataan Allah yang menyatakan Ummat Islam ini adalah sebaik-baik ummah (ali Imran:110)....tetapi kealpaan kita menyebabkan kita menjadi ummat yang lemah...Sesungguhnya kita akan dipersoalkan kelak akan apa yang kita lakukan...apakah tindakan kita dalam membantu Palestin.

Israel lancar serangan darat-Sumber Utusan Malaysia 5/1/09


GENTING GAZA 4 Jan. - Kereta kebal dan pasukan tentera Israel bertempur dengan pejuang Hamas hari ini dalam serangan darat yang dilancarkan oleh rejim Yahudi itu sejak lewat malam tadi selepas lapan hari bedilan udara gagal menghentikan serangan roket ke atas negara Yahudi itu.

Lengkap dengan gogal penglihatan malam dan celoreng di muka, askar Zionis menceroboh Gaza lewat malam tadi dengan kemaraan kereta kebal dari empat pintu masuk selain dibantu oleh helikopter tempur.

Menurut pegawai perubatan Palestin, tentera Israel telah menembak mati lapan penduduk Palestin termasuk tiga orang awam sekali gus menjadikan angka kematian meningkat kepada lebih 450 orang dalam pertempuran awal.

Israel menyatakan 30 askarnya cedera sejak permulaan serangan darat sementara bedilan udara telah mengenai lebih 45 sasaran termasuk terowong rahsia, fasiliti simpanan senjata dan skuad mortar.

"Semasa tembak-menembak berlaku malam tadi, puluhan pejuang Hamas telah ditembak," demikian menurut kenyataan tentera Israel.

Israel juga telah menggerakkan puluhan ribu askar simpanan sementara jurucakap ketua tentera menyatakan bahawa operasi di kawasan yang ditadbir Hamas itu akan "berterusan selama beberapa hari."

Angka kematian pasti meningkat ketika masyarakat antarabangsa terus mendesak Israel menamatkan tindakan ketenteraan terbesarnya ke atas Gaza sejak empat dekad lalu serta mewujudkan risiko politik kepada pemimpin negara Yahudi itu sendiri menjelang pilihan raya umum pada 10 Februari ini.

Lebih menyayat hati, kelangsungan hidup 1.5 juta penduduk Palestin menjadi lebih melarat kerana ramai yang berkurung di rumah ketika agensi kemanusiaan memberi amaran bahawa bekalan air, makanan dan perubatan semakin menyusut.

- Reuters