Rabu, 2 Jun 2010

Masjid, surau digesa solat hajat mohon keselamatan misi bantuan ke Gaza


PUTRAJAYA 1 Jun - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyeru masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah bagi memohon keselamatan semua anggota misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, solat hajat itu diharap dapat diadakan serentak di seluruh negara mulai selepas solat Maghrib hari ini dan juga selepas solat Jumaat 4 Jun ini.

Katanya, khutbah Jumaat di masjid-masjid di bawah Jakim di Wilayah Persekutuan juga akan menyentuh isu tersebut kerana misi kemanusiaan itu melambangkan keprihatinan rakyat negara ini terhadap nasib penduduk Gaza.
"Jakim memohon kerjasama dan jasa baik pihak pengurusan masjid dan surau di seluruh negara agar mengadakan majlis solat hajat khususnya hari ini.
"Kita mendoakan kesejahteraan sukarelawan yang menjadi mangsa kekejaman Israel, kita mohon Allah selamatkan mereka khususnya rakyat Malaysia sama ada Islam atau bukan Islam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini

Beliau memberikan reaksi terhadap keganasan tentera Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang terlibat dalam misi 'Flotila Kebebasan' bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza semalam.
Setakat ini, seramai 11 rakyat Malaysia termasuk dua wartawan Astro Awani yang berada dalam kapal milik Turki itu belum diketahui nasib mereka.
Wan Mohamad berkata, pendekatan melalui solat hajat perlu dilaksanakan segera kerana misi bantuan kemanusiaan itu adalah bagi membantu penduduk Gaza yang selama ini terseksa akibat kekejaman rejim Zionis.
"Kita menyambut baik usaha dan ikhtiar sukarelawan antarabangsa termasuk dari Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan melalui jalan laut ke Gaza.
"Sebab itu, kita kita amat kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam Israel ke atas misi bantuan itu," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Jakim tidak menghalang umat Islam yang ingin memberikan dan sokongan kepada misi tersebut melalui perhimpunan aman termasuk di kawasan masjid.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan pihak penganjur agar memohon kebenaran daripada pengurusan masjid, Jakim dan pihak berkuasa agama negeri-negeri serta polis.
"Reaksi rakyat Malaysia terutamanya umat Islam sewajarnya melambangkan kematangan dalam tangani isu mencabar ini.
"Kita boleh zahirkan rasa marah malah kita berhak rasa marah terhadap pihak yang zalim namun tindakan kita mesti selaras dengan undang-undang sedia ada.
"Jika perhimpunan mahu dilakukan di masjid-masjid di bawah Jakim, kita akan pertimbangkan sebarang permohonan manakala di negeri-negeri perlu memohon kebenaran daripada pihak berkuasa agama negeri tersebut," katanya.
Mengenai usaha boikot berterusan terhadap produk-produk berkaitan Israel, Wan Mohamad menyerahkan gerakan itu kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kita percaya umat Islam dan rakyat tentunya tidak rela dan berasa malu untuk bersekongkol dengan rejim yang zalim sama ada Israel atau mana-mana negara," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan