Pendahuluan
Di alaf yang serba moden ini, industri makanan tidak ketinggalan mengalami revolusinya yang tersendiri. Setiap hari, kita dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan komersial yang bukan sahaja menarik dan sedap dipandang malah tentunya enak dimakan.
Persoalan pertama: Sejauh manakah jaminan kehalalan makanan yang dilambakkan di pasaran hari ini?“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Namun di antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (yakni samar-samar antara halal dan haram), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia (samada halal atau haram)” (Petikan hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Persoalan kedua: Adakah makanan tersebut selamat dimakan dan tidak memudaratkan kesihatan?Umat Islam secara khusus diperintah supaya memakan hanya yang halal.Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 168 bermaksud:-
“Wahai manusia, makanlah daripada apa yang kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata.”
Jelas, kepentingan makanan yang halal telah disebut oleh Allah dalam Al-Quran lebih 1400 tahun yang lampau menjelaskan betapa pentingnya konsep pemakanan halal yang sempurna. Malah, mengikut maksud ayat 88, Surah Al-Maidah, Allah menegaskan:-
“Dan makanlah dari apa yang telah diberikan Allah kepadamu sebagai rezeki yang halal dan baik dan bertawakkallah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNya.”
Mafhum ayat menjelaskan cara pemilihan makanan dan minuman itu membuktikan nilai iman seseorang.Persoalan-persoalan sebegini tidak boleh dipandang remeh oleh umat Islam. Ini kerana sama ada kita sedar ataupun tidak, semakin banyak pendedahan dan pembongkaran yang dibuat tentang makanan yang dijual secara berleluasa sebenarnya mengandungi bahan-bahan dan sumber-sumber yang tidak halal untuk dimakan atau memudaratkan kesihatan dan toksik pada tubuh sekiranya diambil dalam tempoh masa yang panjang.Rujuk buku ‘Makanan Berbahaya’ oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang 2002. Terbaru dalam negara kita, pendedahan eksklusif yang dibuat oleh majalah Al-Islam keluaran Februari 2010 agak membimbangkan. Rupa-rupanya jika diselidiki banyak produk makanan yang menggunakan label halal palsu terdapat dalam pasaran kita. Ada antara syarikat atau kilang-kilang ini menggunakan logo halal JAKIM secara tidak sah dengan cara membeli daripada syarikat-syarikat lain. Sila semak status halal barang-barang dapur anda melalui laman web JAKIM atau melalui SMS. Caranya, taip Halal (kodbar), hantarkan ke 32728. Anda juga boleh membuat semakan melalui internet menerusi laman web JAKIM. Di negeri Pahang sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian pada 5 Februari 2010 bahawa tiada satupun kedai berkonsepkan kopitiam yang mendapat sijil halal samada dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP). Sekiranya mereka mendakwa ada sijil halal maka ianya dikeluarkan oleh badan swasta yang tidak diiktiraf oleh pihak berwajib.
Panduan Am
Sebagai panduan am untuk para pembaca, semua makanan boleh dikategorikan halal selagi tidak mempunyai kaitan dengan daging babi, anjing dan keturunannya, arak dan alkohol, darah, binatang karnivor yang makan daging, binatang halal yang disembelih tidak memenuhi hukum syarak, sesuatu yang datang daripada manusia seperti uri, mengandungi bahan yang memudaratkan dan beracun. Dalam merealisasikan perlaksanaan pemilihan makanan yang halal dalam kehidupan berumahtangga, maka siapakah yang lebih menonjol peranannya jika bukan seorang isteri atau ibu. Meskipun kita mungkin memandang enteng akan isu ini, namun apa yang lebih dibimbangkan adalah kesannya kepada diri dan keluarga dalam membina masyarakat. Sebagai wanita, kita berperanan besar untuk memastikan pengambilan makanan daripada sumber yang halal dan baik oleh ahli keluarga kerana wanitalah yang biasanya dipertanggungjawabkan untuk mengawal dan menjaga hal ehwal pemakanan keluarga. Apa yang boleh dilakukan dalam memastikan pengambilan makanan yang halal lagi baik di kala industri makanan berkembang dengan pesat di seluruh dunia?
Pertama, wanita perlu menguasai dan memanfaatkan kemudahan teknologi dan internet yang kini semakin mudah untuk didapati berbanding 10 atau 20 tahun yang lalu. Segala maklumat yang diperlukan tentang sumber makanan tertentu – yang sudah tentu tidak akan didedahkan oleh pengilang atau pengeluar makanan – kini hanya di hujung jari. Walaupun tidak dinafikan bukan semua maklumat tersebut adalah benar dan perlu ditapis untuk memastikan kesahihannya, tetapi kita juga tidak dapat menafikan peranan maklumat daripada sumber internet yang mendedahkan fakta dan kebenaran yang tidak pernah kita ketahui atau sedari. Tentu ramai yang pernah menerima beberapa email tentang produk-produk tertentu yang mengandungi lemak khinzir dan juga bahan-bahan kimia lain yang tidak selamat untuk dimakan. Yang lebih merisaukan adalah bahan-bahan yang dikategorikan haram untuk dimakan oleh umat Islam seperti lemak khinzir dilabelkan dalam bentuk kod. Jadi bagi mereka yang tidak tahu dan faham tentang kod-kod makanan pasti tidak mengambil endah tentang maksud kod-kod tersebut. Di sinilah kita boleh nampak keperluan menguasai teknologi dan internet supaya kita dapat mengikuti perkembangan dan penemuan semasa tentang produk-produk makanan yang mungkin tidak didedahkan di akhbar dan televisyen. Penguasaan teknologi juga membolehkan kita untuk menyebarluaskan kepada orang Islam yang lain tentang fakta-fakta sebenar yang diperoleh mengenai sesuatu sumber bahan atau produk serta kewajipan dan kepentingan memilih makanan yang halal dan baik. Sebenarnya kesedaran tentang perkara ini masih belum wujud secara total di kalangan umat Islam. Rata-rata hanya mengambil kira faktor harga yang murah, rasa yang sedap, atau mungkin juga memilih makanan yang sering diiklankan di televisyen, sementara isu halal langsung ditolak ke tepi ataupun hanya dipandang sebelah mata. Padahal, makanan yang halal dan baik menjadi antara punca kepada pembinaan jiwa dan rohani yang bersih. Jika diteliti keadaan masyarakat pada hari ini, mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan antara punca berlakunya masalah sosial adalah kerana pengabaian terhadap kebersihan makanan yang diambil dari sudut syara’.Daripada Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang dengan apa yang diperintahkanNya kepada semua rasul dengan firmanNya (seperti yang tersebut di dalam hadis yang bermaksud): Wahai sekalian rasul, makanlah dari makanan yang baik dan beramallah dengan amalan yang soleh. FirmanNya lagi: Wahai sekalian orang yang beriman, makanlah makanan yang baik yang telah Kami beri rezeki kepada kamu. Kemudian baginda menyebut seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya dan berdebu mukanya menghulur kedua-dua tangannya ke langit (berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram. Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya.”
Peranan Muslimah
Seiring dengan perkembangan industri makanan, pelbagai syarikat dan kilang pengeluar produk makanan juga tumbuh melata seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Mereka termasuklah kalangan usahawan bumiputera Islam yang sensitif dengan keperluan umat Islam untuk mendapatkan dan menggunakan produk makanan yang halal dan baik, halalan thoyyiban. Mereka berusaha menghasilkan produk makanan alternatif kepada umat Islam yang tidak kalah kualitinya berbanding produk-produk komersial yang dijual di pasaran. Contoh terdekat produk-produk muslim yang sedang meningkat maju hari ini yang dikeluarkan oleh syarikat 100% bumiputera Islamseperti HPA dan Halagel. Jadi, seharusnya kita sebagai golongan yang paling berpengaruh dalam mengawal keperluan pemakanan keluarga turut serta menyokong dengan membeli dan menggunakan produk-produk keluaran muslim yang lebih diyakini status halalnya. Kita bukan sahaja dapat menyediakan makanan yang halal dan baik untuk keluarga tetapi juga secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan penguasaan umat Islam dalam bidang keusahawanan dan ekonomi.
Periksa Dapur Anda
Cuba puan-puan ke dapur sebentar, menjenguk bahan apa yang kita gunakan untuk memasak? Ada logo halal tak? Jika ada, adakah ia disahkan oleh JAKIM? Cuba kita ingat-ingat kembali dari mana kita dapatkan sumber makanan tersebut? Dalam memastikan bahan-bahan asas masakan yang dibeli terjamin halal, bersih dan baik, tidak salah kiranya sambil membeli kita meninjau keadaan sekeliling kedai, bagaimana kebersihannya, pekerja-pekerjanya adakah menutup aurat, berpakaian kemas, terurus atau berteraburkah susun aturnya. Selesai menyediakan bahan asas yang halal untuk dimasak, sudah tentu puan-puan akan memikirkan menu yang akan dimasak. Mungkin persoalan makanan berkhasiat adalah persoalan remeh bagi ibu-ibu yang tidak bekerja kerana mereka mempunyai waktu yang cukup untuk ke pasar dan memasak sendiri menu keluarga masing-masing. Namun, persoalan makanan berkhasiat merupakan isu yang tidak selesai bagi ibu-ibu yang bekerja. Agak mustahilkan bagi ibu-ibu yang bekerjaya ini untuk pulang pada tengah hari semata-mata untuk menyediakan makan tengah hari untuk suami dan anak-anak? Akibatnya, anak-anak diberi wang saku yang agak banyak agar mereka dapat membeli sendiri makanan tengah hari atau mungkin makan malam sekali.Natijahnya, ramai di kalangan anak-anak ini menjadi pelanggan tetap makanan segera seperti KFC, McDonald, Pizza Hut dan yang seangkatan dengannya di mana kesan negatif jangka panjangnya memang diketahui ramai. Walaupun mudah didapati dan dikatakan enak, makanan segera sebegini memang diiktiraf oleh pengamal perubatan sebagai penyumbang kepada gejala obesiti di kalangan kanak-kanak dan seterusnya mengakibatkan penyakit salur darah tersumbat (atherosclerosis), masalah koronari dan akhirnya masalah jantung. Jika penyakit itu tidak datang cepat, lambat laun akan kena juga. Sebagai penyelesaian bagi ibu-ibu yang bekerja ini, adalah lebih baik memantau di mana anak-anak mendapatkan makanan mereka, atau lebih baik jika ibu bapa boleh meluangkan sedikit masa untuk makan bersama-sama anak-anak jika tidak sempat menyediakan bekalan makanan untuk mereka.Selain itu, para ibu seharusnya lebih kreatif dalam mendepani cabaran pelbagai aneka makanan yang lebih menarik di luar rumah. Anak-anak adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan persekitaran mereka, dan pemakanan adalah antara cabang yang mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan anak-anak. Mereka sering sahaja meminta supaya dibelikan makanan-makanan yang diiklankan di televisyen yang menarik perhatian mereka tanpa mempedulikan halal dan baik atau tidak makanan tersebut. Sebagai tonggak utama keluarga dalam mendidik anak-anak, golongan ibu bukan sahaja berperanan mendidik mereka supaya sentiasa menitikberatkan pengambilan makanan yang halal dan baik; tetapi pada masa yang sama berusaha menyediakan resepi atau menu sendiri yang lebih kurang sama rupa dan rasanya dengan yang terdapat di pasaran komersial. Inilah kreatif yang dimaksudkan. Kreatif dalam mencipta resipi sendiri yang dapat memuaskan hati, bermutu dan halal untuk dimakan.
Penutup
Ringkasnya, wanita sebenarnya mempunyai autoriti dan peranan yang besar dalam mengawal selia pengambilan dan pemilihan makanan yang halal, bersih dan baik dalam sesebuah institusi keluarga. Namun begitu, masih ramai yang kurang mempunyai kesedaran tentang hakikat ini lantas membiarkan sahaja isu pemakanan halal ini tanpa ada rasa tanggungjawab untuk menanganinya.
Abd Qahhar Ismail
Ibu Pejabat Penjara Malaysia
Bukit Wira 43000 Kajang
SELANGOR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan