Sebuah laman blog pernah menulis mengenai beberapa kaedah rawatan yang dikatakan pernah berlaku di Darussyifa' pada satu ketika dahulu. Penulis blog tersebut seorang perawat perubatan Islam kononnya juga pernah mempelajari kaedah rawatan di Darussyifa'. Perawat berkenaan kini giat merawat pesakit selain menganjurkan perbagai kursus perubatan Islam kepada masyarakat. Sungguhpun barangkali benar perawat demikian mungkin bekas ahli Darussyifa'. Namun, mengaitkan Darussyifa' dengan kaedah-kaedah tertentu adalah tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana Darussyifa' amat memberikan perhatian khusus dalam kaedah merawat pesakit ini. Setiapkali majlis pembukaan dan penutupan kuliah pengubatan Islam, Penasihat dan pengasas Darussyifa' akan senantiasa mengigatkan pada perawat dan bakal perawat agar sentisa berhemah dan berlembut ketika berhadapan pesakit. Para perawat diingatkan agar tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kecederaan mahupun tindakan kasar yang lain. Saranan ini bukan terhenti setakat ini sahaja malah sejak tahun 2003 lagi Pengerusi Darussyifa' Pusat telah mengeluarkan surat arahan berkenaan 'Tatakelakuan Perawat Semasa Merawat" yang disertakan bersama Surat Edaran PKPI 1/2002. Dalam surat edaran tersebut jelas menyebut bahawa setiap perawat Darussyifa' agar hanya melakukan rawatan sepertimana kaedah yang diamalkan oleh Tuan Guru sendiri tanpa mencampuradukkan dengan ilmu-ilmu lain yang dikhuatiri ilmu tersebut bertentangan dengan aqidah Islamiyyah yang mana kelak ianya akan memburukkan nama baik Darussyifa' selaku pelopor utama rawatan Islam.
Tindakan-tindakan yang boleh menyakitkan pesakit seperti memicit jari, menunjal tangan pada mata, memicit dipergelangan tangan atau ditempat-tempat tertentu terutamanya bagi kes-kes gangguan makhluk halus juga tidak dibenarkan dilakukan oleh para perawat. Demikian juga menggunakan pencil, gunting atau sebarang alat termasuk kayu mahupun tongkat yang dikhuatiri boleh membahayakan pesakit. Kesemua perbuatan ini boleh menjurumuskan perawat dan pesakit dalam kancah fitnah yang besar ke atas sistem perubatan Islam. Barangkali perbuatan ini pernah berlaku satu ketika dahulu di Darussyifa', namun atas tindakan yang pantas, barisan Jawatankuasa Darussyifa' telah mengambil tindakan tegas dengan mengemukakan garispanduan tersebut agar para perawat lebih memahami konsep perubatan Islam. Hendaklah semua perawat meyakini bahawa yang menyembuh, menyakitkan dan mengeluarkan jin dalam tubuh bukanlah picitan pada tangan atau tunjalan pada mata. Sebaliknya yang melaksanakan semuanya adalah kehendak Allah S.W.T semata-mata. Malah Tuan Guru sendiri ketika merawat tidak pernah melakukan perbuatan-perbuatan sedemikian.
Darussyifa' tidak pernah pula menafikan kaedah-kaedah tersebut seandainya diamalkan oleh perawat lain (yang bukan ahli Darussyifa') memandangkan ilmu perubatan ini merupakan satu ilmu yang luas. Namun arahan ini hanya tertumpu kepada perawat Darussyifa' dan mereka yang pernah diijazahkan dengan kaedah rawatan Islam yang dipelopori oleh Darussyifa'.
Perawat juga mestilah menjauhi sejauh-jauhnya perbuatan yang boleh mendatangkan fitnah terutamanya ketika merawat pesakit wanita. Perawat diingatkan selalu agar sentisa bersama mahramnya ketika melakukan rawatan. Kesemua perbuatan dan tingakahlaku ini sekiranya dilaporkan oleh pesakit dan sekiranya jawatankuasa mendapati ia benar-benar berlaku, Jawatankuasa Disiplin Darussyifa' Pusat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk menarikbalik ijazah yang diberi serta dinafikan sebagai bekas pelajar Darussyifa'. Semua tindakan ini pernah dilakukan. Surat Edaran tersebut turut mengigatkan perawat agar tidak lagi mengamalkan kaedah tidur. Kaedah ini dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham masyarakat yang tidak mendalami ilmu perubatan Islam. Malah kaedah-kaedah tidur, bakar bata dan sebagainya sudah tidak diajarkan lagi demi menjaga nama baik Darussyifa' daripada fitnah dizaman yang makin mencabar ini. Tuan Guru turut mengigatkan agar perawat sentiasa mengikhlaskan diri dalam merawat dan sepertimana juga etika pengubatan Islam yang dinyatakan bahawa para perawat tidak dibenarkan sama sekali menonjolkan diri dalam merawat demi menjaga hati dan keikhlasan. Semoga peringatan ringkas ini dapat dimanfaati bersama.
Wallahua'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan