Sebuah hadis rasulullah s.a.w menyatakan:
Dari Amir b. Sa'ad b. Abi Waqqas, daripada bapanya Usamah b. Zaid:- Bagaimana engkau dengar dari Rasulullah s.a.w tentang penyakit taun itu? Maka Usamah menjawab:- Rasulullah s.a.w bersabda:- " Penyakit taun merupakan (balasan) dosa yang dikirimkan kepada segolongan Bani Israel dan atas orang-orang yang sebelum kamu. Jika ada kamu mendengar sesuatu daerah yang dijangkiti penyakit itu, maka jangan kamu masuki daerah tersebut. Apabila penyakit iru berjangkit pada sesuatu daerah yang kamu tinggalpadanya, maka jangan kamu keluar dari daerah itu untuk melarikan diri dari penyakit itu"
( Riwayat Bukhari & Muslim)
Hadis diatas secara terang-terangan telah mengajar ummat Islam akan kepentingan mengasingkan diri daripada tempat-tempat yang dijangkiti wabak yang berjangkit. Istilah kuarantin yang digunakan oleh ahli perubatan moden hari ini sebenarnya telah lama diajarkan oleh nabi. Perintah kuarantin ini bukan setakat orang yang mendiami sesuatu tempat yang dijangkiti agar tidak keluar dari daerahnya malah termasuk juga orang luar tidak dibenarkan memasuki daerah yang telah dijangkiti. Hari ini perbagai penyakit berjangkit muncul dengan seribu satu nama baru. Penyakit-penyakit seperti selsema babi (H1N1) juga tidak terkecuali untuk menerima arahan rasullullah ini.
Sejak arahan kuarantin dan mengelakkan diri dari perhimpunan terbuka serta menjauhi tempat-tempat yang pernah mengalami kes H1N1 ini dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, disana masih ramai lagi masyarakat kita yang tidak mengendahkan arahan dan nasihat tersebut. Sedangkan mengikut kajian dan sumber maklumat yang diperolehi oleh Kementerian berkenaan, dijangkakan satu gelombang kedua wabak H1N1 akan melanda negara kita dan seluruh dunia menjelang penghujung tahun ini. Sesungguhnya setiap penyakit juga adalah makhluk Allah dan hanya Allah lah sahajalah yang akan menentukan bila masanya wabak ini akan mula menyerang dan akan menghentikan serangannya secara tepat. Namun begitu, saranan daripada pihak berwajib sepatutnya dipatuhi kerana mematuhinya juga merupakan pematuhan kepada tindakan yang pernah rasullullah s.a.w arahkan sepertimana hadis diatas.
Atas petunjuk rasullullah s.a.w serta nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai pihak yang arif akan hal-hal kesihatan di Malaysia, maka Tuan Guru Dato' Dr Haron Din telah mengarahkan agar seluruh Klinik Darussyifa' Malaysia ditutup sementara waktu sehinggalah wabak ini menjadi reda dan disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Arahan penutupan ini kadangkala menyebabkan ramai pesakit menghubungi saya. Malah ada yang tidak berpuas hati dengan arahan Tuan Guru tersebut. Ada yang menyatakan: Kenapa Darussyifa' ditutup pula ? bukankah sekaranglah masanya Darussyifa' harus menawarkan perkhidmatannya? Kenapa Darussyifa' mesti ditutup? apakah orang Darussyifa' takut kena H1N1? dan banyak lagi.
Sebenarnya ingin saya jelaskan disini, penutupan ini bukanlah penutupan yang berkekalan tetapi hanya ditutup sementara waktu bagi mengekang wabak H1N1 daripada terus merebak. Ini kerana umumnya apabila Darussyifa' dibuka ia merupakan juga tempat berkumpulnya orang ramai yang tentunya punyai penyakit berbeza. Sudah menjadi lumrah biasanya pesakit tidak memaklumkan dengan awal jenis penyakitnya sungguhpun ia sememangnya mengetahui dirinya berpenyakit H1N1 atau AIDS atau sebagainya. Tindakan pesakit yang merahsiakan penyakitnya menyebabkan dia bergaul dengan pesakit-pesakit lain di Darussyifa' secara tidak langsung telah menyebabkan wabak ini tersebar kepada orang ramai. Inilah perkara yang menyebabakan Darussyifa' mengambil keputusan untuk menutup operasinya buat sementara waktu. Adapun bagi pesakit-pesakit yang telah diketahui dan dipastikan penyakitnya terutamanya melibatkan penyakit gangguan makhluk halus, pesakit tersebut masih boleh mendapatkan khidmat rawatan dengan menghubungi terus kepada perawat Darussyifa' berkenaan yang berhampiran.
Sudah menjadi amalan setiap ahli dan merupakan juga satu program mingguan dan bulanan pihak Darussyifa' di seluruh Malaysia melaksanakan solat hajat berjemaah agar memohon kesembuhan kepada seluruh ummat Islam dari setiap penyakit. Darussyifa' juga turun memohon kepada Allah agar negara ini dijauhi segera daripada wabak H1N1.
Sesungguhnya hikmah penutupan dan kuarantin ini amat besar. Sheikh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menjelaskan antara hikmahnya ialah:-
- Mendidik ummat Islam agar beriman kepada Allah dan bertawakkal kepada Allah. Mematuhi arahan kuarantin ini merupakan satu keyakinan bulat terhadap kekuasaan Allah dalam menanggani masalah wabak.
- Bersabar dengan ujian wabak tersebut dengan bersungguh-sungguh. Kerana Allah yang menurunkan sesuatu penyakit dan hanya Allah jualah yang menyembuhkannya.
- Menghindarkan penularan wabak tersebut ke tempat lain dan ini tentunya memudahkan proses penyembuhan.
- Menggalakkan umat Islam agar berhati-hati dan menjaga kesihatan diri.
Atas penjelasan diatas serta arahan nabi sendiri yang mengarahkan agar kita mengamalkan kurantin, diharap agar pesakit serta seluruh perawat Darussyifa' memahami dan mematuhi arahan penutupan Darussyifa' secara sementara ini. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar penyakit ini ditamatkan segera dan bersama-sama mencegah kemungkaran kerana ianya merupakan penyebab turunnya bala Allah.
Wallahua'lam
Saiful Adli b. Samsudin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan