Ahad, 10 Mei 2009

Media Mempromosi & Menyuburkan Budaya Syirik,Khurafat

Sejak akhir-akhir ini, kita sering kelihatan media mula mempromosikan budaya dan amalan karut marut sehingga membawa kepada perkara syirik dan khurafat. Penonton dibuaikan dengan segala macam kisah kehidupan yang dikaitkan dengan aktiviti pembomohan, penggunaan jin serta kisah-kisah seram yang dikaitkan dengan pembalasan dendam roh simati diatas penganiayaan yang dilakukan keatasnya. Kesemua kisah tersebut kononnya dipersembahkan sebagai hiburan semata-mata dengan beralasankan bahawa kononnya masyarakat kini sudah bijak menilai antara baik dan buruk serta antara realiti dan fantasi. Sikap sebegini tanpa disedari telah menanam satu kefahaman syirik dan tahyul dalam masyarakat kononnya roh bebas bergerak seolah-olah dapat berhubung dengan mudah dengan alam realiti sedangkan hakikatnya al-Quran merakamkan sebaliknya. Sesungguhnya manusia hanya diberitakan perihal roh dengan pengetahuan yang amat sedikit. Firman Allah:

" Mereka bertanya kepada engkau tentang roh! Katakanlah (Wahai Muhammad) bahawa roh itu adalah dari urusan Tuhanku dan kamu tiada diberikan pengetahuan mengenainya melainkan sedikit sekali" (al Isra': 85)

Sesungguhnya perjalanan hidup manusia yang akan melalui beberapa peringkat alam dimana diantara satu alam dengan alam yang lain amat sukar untuk ditembusi. Perjalanan roh dari alam barzakh ke alam dunia hanya boleh terjadi atas izin Allah sebaliknya filem yang dipaparkan oleh media menunjukkan betapa mudahnya roh kembali kedunia hanya semata-mata untuk membalas dendam. Media sama ada media cetak mahupun media elektronik kini sering melariskan jualan mereka dengan filem atau kisah hantu serta perbagai kisah mistik yang mana sebagiannya menyelitkan upacara-upacara ritual pembomohan yang secara tidak langsung telah mempromosikan aktiviti syirik dan khurafat. Terdapat juga filem-filem yang diimpot dari negara jiran yang menggambarkan seorang imam atau ahli dalam agama yang handal merawat kes-kes berkaitan sihir namun kaedah rawatan dan cara imam tersebut menanggani masalah tersebut didapati tidak selaras dengan hukum syarak. Imam digambarkan mempunyai kuasa luar biasa malah kadangkala ia handal bersilat serta menggunakan keris serta peralatan tertentu yang kadang-kala dilihat mirip kepada upacara pembomohan. Hanya gelaran dan pakaian yang membezakan semata dan ini tentunya mengelirukan lagi masyarakat erti pengubatan Islam sebenar. Filem dari negara jiran didapati banyak unsur-unsur Islam Liberal yang mencampuradukkan amalan Islam dengan perbuatan yang bertentangan dengannya. Solat dan ibadah lain dilakonkan seolah-olah boleh dipermain-mainkan. Doa sambil menitis air mata tak ubah seperti melihat filem-filem bollywood yang bermohon dihadapan berhala. Agama ini dipermain-mainkan dalam lakonan sedang pelakonnya sendiri tidak dapat dipastikan apakah agamanya Islam atau sebaliknya. Filem tempatan kini nampaknya kian meniru filem yang diimpot dari negara jiran mungkin disebabkan sambutan filem begini yang kian mendapat tempat. Filem yang memaparkan penggunaan sihir dan ilmu hitam dalam merebut kekasih hati, perniagaan dan sebagainya menyebabkan amalan sebegini mula subuh kembali setelah ianya hampir-hampir pupus akibat kematian pengamalnya serta kurang pendedahan masyarakat mengenainya.

Rancangan dokumentari yang menyelongkar misteri pendukunan dan pembomohan turut membantu mempromosikan amalan syirik dan khurafat tanpa disedari turut menyumbang kepada suburnya amalan tersebut di Malaysia. Sungguhpun diakhir rancangan, penerbit turut menyiarkan pesanan daripada ustaz-ustaz agar penonton menjauhi pembomohan, namun kebanyakan penonton biasanya hanya tertarik kepada kisah dan kehebatan bomoh yang dipaparkan sehinggakan sangup mencari lokasi pengambaran dokumentari tersebut. Usaha para ulama' dahulu sehingga kini yang menentang amalan ini hampir berjaya namun kewujudan filem, cerita dan dokumentari berkaitan telah menyebabkan berlakunya sebaliknya. Adalah tidak patut sama sekali negara kita yang sedang menuju ke arah negara maju yang mana pemikiran masyarakatnya lebih kepada logik dan sains yang mana sepatutnya amalan sebegini tidak wujud sama sekali namun ianya adalah sebaliknya. Sebahagian ahli politik negara mendapat khidmat bomoh hanya kerana untuk mendapatkan undi dan tempat atau sebagainya maka berlakulah kes-kes pelik sepertimana di Negeri Pahang suatu ketika dahulu. Demikian juga kes para artis yang dikatakan memakai susuk untuk kelihatan cantik selamanya serta mudah mendapatkan tawaran. Penggunaan tangkal untuk mat-mat rempit serta penggunaan tangkal, azimat, wafaq dan sebagainya untuk tujuan pendinding serta pelaris perniagaan. Bomoh pada hari ini tidak malu dan segan lagi mengiklankan diri mereka dengan perbagai gelaran seperti Mahaguru, Raja Bomoh dan perbagai gelaran lain sambil menunjukkan kehebatan mereka sama ada di akbar, majalah dan flyers yang dihantar dari rumah ke rumah. Malah ada yang berselindung dengan mendakwa diri sebagai Ustaz, Tok Kiyai, Dato', Professor dan sebagainya yang kononnya mereka menawarkan khidmat perubatan tradisional islam sedangkan kaedah yang digunakan adalah sebaliknya. Kesemua perbuatan ini adalah syirik dan khurafat serta menjerumuskan pengamalnya kepada dosa dan neraka Allah S.W.T. Firman Allah:

" Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa selain Syirik bagi orang-orang yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah membuat dosa yang besar"

( an Nisa: 48)

" Seandainya mereka mempersekutukan Allah, nescaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan"

(al An am: 88)

Wallahua'lam

-Saiful Adli b. Samsudin



Tiada ulasan:

Catat Ulasan