Sabtu, 27 Disember 2008

Hari Keluarga Darussyifa' Cawangan Ipoh


Program Hari Keluarga Darussyifa' Ipoh telah berjaya dilaksanakan pada 26 hingga 27 Disember 2008 bertempat di Kem Rekreasi Intan Suraya, Kuala Kangsar. Program yang julung kali diadakan setelah hampir 19 tahun menawarkan khidmat bakti kepada masyarakat ini telah mendapat sambutan dari seluruh ahli. Darussyifa' Ipoh mula berkhidmat kepada masyarakat pada awal tahun 90-an dengan tenaga 2 orang perawat pada ketika itu kini telah pun menghasilkan 10 orang perawat yang aktif. Sungguhpun bilangan perawatnya adalah masih kecil jika dibandingkan dengan cawangan lain, namun khidmat bakti para perawatnya tidak boleh dinafikan. Memandangkan jumlah perawat yang makin bertambah menyebabkan inisiatif untuk melaksanakan Program Hari Keluarga ini diadakan bagi merapatkan ukhuwwah antara ahli Darussyifa'. Program bermula dengan sesi pendaftaran, riadah bersama keluarga, solat berjemaah dan majlis zikir. Program pada 26.12.2008 diakhiri dengan makan malam & BBQ.
Pada 27.12.2008 Program bermula dengan solat subuh berjemaah, tazkirah oleh A.F Us Che Leh b. Che Ali disusuli dengan usrah yang dikendalikan oleh A.F Us. Mokti b. Uri. Program diteruskan dengan sukaneka selepas sahaja peserta menikmati sarapan pagi. Sukaneka dibahagikan kepada kategori suami/isteri, kategori kanak-kanak, kategori remaja lelaki dan kategori remaja perempuan. Program tamat selepas solat zohor. Seramai 10 buah keluarga terlibat bagi menjayakan program tersebut. Program ini diharap akan dapat dijadikan sebagai aktiviti tahunan sebagaimana yang dilakukan oleh Darussyifa' Pusat dan Darussyifa' Cawangan yang lain.

Mungkin satu Program Hari Keluarga Darussyifa' Peringkat Negeri Perak dapat direalisasikan pada satu masa nanti bagi merapatkan seluruh ahli Darussyifa' di Negeri Perak.
Penerangan Program selepas solat maghrib oleh Us. Najib b. Mat Lazim
Majlis zikir diketuai oleh A.F Us. Mokti b. Uri
Ahli Darussyifa' meniup pada botol selepas doa beramai-ramai.


Peserta cilik yang menyertai Pertandingan mewarna kategori kanak-kanak

Pertandingan mewarna kategori kanak-kanak

Pertandingan mewarna kategori kanan-kanak
Us Mokti membaling buah kelapa bagi pertandingan boling kampung kategori suami
Peserta cuba memecahkan belon lawan dalam kategori remaja lelaki
Pertandingan memasukkan benang dalam manik bagi kategori muslimat
Sesi bergambar pada akhir program


Isnin, 15 Disember 2008

Darussyifa'- Rumah Penawar Alternatif

Sebuah hadis rasulullah pernah menyebut, Dari Usamah bin Syarik katanya seorang Badwi telah bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah kita perlu berubat. Baginda menjawab: Tentulah. Wahai hamba Allah berubatlah. Sesungguhnya Allah tidak mengenakan sesuatu penyakit kecuali ia telah menetapkan baginya kesembuhan, kecuali satu penyakit. Mereka bertanya : Wahai Rasulullah apakah dia penyakit itu? Jawab Baginda : Tua.
Terdapat beberapa hadis lagi yang menganjurkan supaya mereka yang sakit untuk pergi berubat dimana kesembuhan merupakan satu nikmat bagi semua manusia terutamanya kepada mereka yang sakit. Kesembuhan diri dari sesuatu penyakit membolehkan kita mengecapi nikmat dunia ini. Nikmat ini milik Allah dan Allah sahajalah yang mampu mengurniakan atau sebaliknya. Sesungguhnya kesemua ketentuan sama ada sihat mahupun sakit adalah merupakan ujian Allah keatas hambanya. Apakah dengan sihat kita bersyukur dengan mentaatinya atau dengan nikmat kesihatan tersebut kita menggunakan kepada perkara yang dimungkariNya. Seseorang yang diuji dengan kesakitan kadangkala sakit itu lebih baik untuknya, dimana dikala sakit dia mula mengigati Allah. Mula mengenal solat dan masjid serta bimbang akan penghujung hayatnya. Namun demikian terdapat juga manusia yang tidak mampu diuji dengan ujian kesakitan apatah lagi kiranya kesakitan itu tidak diketahui puncanya melalui teknologi moden. Kesakitan sebegini kadang-kala menimbulkan kebinggungan pada dirinya apatah lagi kiranya orang yang menerima ujian tersebut merupakan seorang yang taat dalam beribadah. Tanpa aqidah yang kukuh kadang-kala kita mudah menjerumus kelembah yang boleh membatalkan iman. Kerapuhan iman menyebabkan munculnya perkataan yang mempersoalkan kekuasaan dan keadilan Allah. Sesungguhnya setiap ujian dan dugaan adalah satu bentuk kiffarah keatas diri atau sebagai satu ujian untuk meningkatkan darjat manusia. Setiap kekasih Allah sentiasa diundang perbagai ujian dan rintangan samada berbentuk kesakitan dan perbagai.
Apabila kita disentuh dengan ujian berbentuk kesakitan, kita biasanya akan berusaha untuk berubat agar segera sembuh. Berubat ini adalah selaras dengan kehendak hadis yang telah disebutkan diawal perbincangan. Namun perlu diingat, matlamat tidak menghalalkan cara. Terdapat segelintir yang berpegang bahawa untuk sembuh, sanggup ditempuhi perbagai cara dan rawatan biarpun ia bertentangan dengan aqidah Islamiyyah asalkan tubuh sihat seperti sediakala.Akibatnya terdapat sesetengah orang yang sanggup mengambil bahan yang haram untuk dijadikan ubat. Terdapat juga yang sanggup menggadai aqidah dengan berjumpa bomoh siam, bomoh hindu dan sebagainya bagi mengharapkan kesembuhan. Natijah daripada perbuatan tersebut, tanpa memikirkan kesan diakhirat menyebabbkan kadang-kala pesakit ditipu oleh bomoh-bomoh berkenaan. Malah ada yang telah menghabiskan ribuan ringgit untuk mengharapkan kesembuhan. Kegiatan bomoh-bomoh ini kadangkala cuba mengambil kesempatan diatas keterdesakan pesakit. Malah lebih teruk lagi adanya pesakit yang diperlukan secara tidak rasional dalam upacara ritual mereka.
Panduan al-Quran & sunnah mengajar kita, sungguhpun kebolehan merawat dengan menggunakan jampi tidak dilarang, namun Islam telah menggariskan kaedah-kaedah jampi yang dibenarkan. Setiap permohonan hendaklah disandar kepada Allah semata-mata.Hanya Allah sahajalah yang memberi kesembuhan. Kehadiran Darussyifa' di dalam masyarakat pada hari ini adalah sebagai kesinambungan warisan nabi dan ulama' yang menawarkan khidmat bakti kepada masyarakat disamping menentang kesyirikan. Darusyifa' menggalakkan pesakit menemui perubatan alopathy disamping menawarkan rawatan alternatif kepada masyarakat agar segala pengharapan kesembuhan disandar kepada ehsan Allah s.w.t
Rawatan Darussyifa' tidak berkonsepkan perniagaan. Darussyifa tidak mengenakan sebarang bayaran ke atas khidmat yang diberikan. Ini kerana kesembuhan sesuatu penyakit bukanlah terletak ditangan perawat Darussyifa'. Para Perawat Darussyifa' hanya membantu dan berdoa. Nilai kesembuhan bukanlah boleh digambarkan dengan nilai kewangan. Pesakit biasanya merupakan orang yang susah dan terdesak. Menetapkan bayaran atas khidmat yang diberikan merupakan satu tindakan tidak berakhlak yang amat ditentang oleh perawat Darussyifa'. Tindakan berbentuk keduniaan ini juga amat merbahaya kerana dapat merosakkan niat ikhlas perawat. Wallahua'lam
*Us. Saiful Adli b. Samsudin

Ahad, 14 Disember 2008

Sejarah Penubuhan Darussyifa'



SEJARAH DARUSSYIFA'
Fakta:

i. 17-April-1988 : Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa') ditubuhkan secara rasmi.
ii. 2-Januari-1990 : Majlis pecah tanah pembinaan bangunan Darussyifa'.
iii. 17-Mac-1991 : Bangunan Darussyifa' mula digunakan.
iv. 1-September-1991 : Perasmian Bangunan telah dilaksanakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Azman Hashim.

Persatuan Kebajikan & Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa') mula ditubuhkan secara rasminya pada 17 April 1988. Menyingkap kembali sejarah penubuhannya, Persatuan Kebajikan & Pengubatan Islam Malaysia atau lebih dikenali sebagai Darussyifa' ini telah diasaskan dan diilhamkan penubuhannya oleh seorang bekas pensyarah Falkulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Tuan Guru Prof. Dato' Dr Haron bin Din atau lebih dikenali sebagai 'Ustaz Haron Din'. Beliau merupakan lulusan Syariah (M.Sh & Phd Syariah) dari universiti terkemuka di Mesir. Darussyifa' menawarkan rawatan alternatif kepada pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa sama ada penyakit berbentuk rohani mahupun fizikal. Sebelum penubuhan Darussyifa' Ustaz Haron Din telah pun menawarkan khidmat bakti kepada masyarakat secara tidak formal dimana rawatan dilakukan dirumah beliau. Kaedah rawatan yang beliau lakukan merupakan hasil pembelajaran beliau terhadap ayahanda beliau serta beberapa orang ulama' sepanjang pengajiannya samada di Malaysia mahupun di Mesir. Ilmu pengubatan Islam yang beliau amalkan ini meliputi kaedah-kaedah yang telah diputuskan didalam al-Quran, Sunnah Rasulullah serta amalan para ulama dan kaedah-kaedah yang telah diputuskan oleh ulama' akan keharusannya. Antara ulama besar dari Malaysia yang turut diwarisi ilmu perubatan Islamnya adalah as Sheikh Idris al Marbawi. Selain menawarkan khidmat rawatan, Ustaz Haron Din turut menjadi tempat rujukan masyarakat. Sikap dan kebolehan yang dikurniakan Allah ke atas beliau telah menarik minat sesetengah golongan masyarakat untuk belajar ilmu perubatan Islam. Pada akhir tahun 1977, beberapa orang pelajar dan pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia telah datang menemui beliau meminta agar mereka ditunjuk ajar serba sedikit ilmu Perubatan Islam. Setelah berlaku beberapa pertemuan dan mereka memperlihatkan kesungguhan, maka bermulalah beberapa siri pembelajaran ilmu perubatan secara kecil-kecilan. Kegiatan tersebut diadakan di tempat kediaman Ustaz Haron Din sendiri di Taman Bangi Jalan Reko, Kajang yang lebih dikenali sebagai usrah Haron Din. Pertemuan-pertemuan ini terus berlaku dalam keadaan yang kurang tersusun. Setelah berpindah ke Bandar Baru Bangi (kediaman sekarang di no. 3, jalan 1/7d) bilangan pelajar yang menghadiri kelas semakin bertambah.

Pelajar yang terawal ialah Ustaz Abdul Rahman Mustafa (1977-78), kemudian diikuti oleh empat orang pelajar lain iaitu Ustaz Ali Haji Ahmad, Ustaz Abdul Rahim Abdul Ghafur, Ustaz Wan Ismail Wan Ibrahim dan Ustaz Muhammad Shafie Yusof. Sejak pengambilan mereka, Ustaz Haron Din mula memberi rawatan kepada masyarakat umum di rumahnya secara terbuka pada setiap hari Selasa bermula selepas solat Zohor hingga hampir waktu Maghrib. Kuliah-kuliah yang dijalankan lebih tersusun apabila kumpulan ketiga (1979-80) bejumlah 32 orang diambil.

Pelajar-pelajar ini telah mengambil kata sepakat agar kuliah-kuliah tersebut tidak terus menerus dilakukan di rumah ustaz haron din tetapi dilakukan di rumah-rumah pelajar menurut giliran. atur cara majlis bermula dengan menunaikan sembahyang maghrib berjamaah kemudian wirid, sembahyang hajat, membaca yaasin, tahlil dan jamuan. kuliah-kuliah disampaikan selepas sembahyang isyak. kegiatan ini terus bejalan hingga pengambilan kumpulan yang keempat (1985-86). Kumpulan tersebut terdiri daripada 63 orang pelajar baru. klinik-klinik dibuka seperti biasa dan bilangan pesakit semakin betambah. Ini menyebabkan ruang tamu terpaksa dibesarkan bagi menampung kehadiran pesakit dan juga pelajar.

Bilangan pelajar semakin bertambah kerana gabungan di antara pelajar baru dan lama (yang belum diijazahkan) yang hadir bersama. Setiap pelajar perlu datang sekali dalam masa dua minggu. Keadaan tersebut berlaku kerana terdapat pelajar senior yang datang ketika kuliah disampaikan kepada pelajar baru.

Dalam beberapa pertemuan, Syeikh Nazim telah datang bersama pelajar-pelajarnya dan turut berkumpul dengan pelajar baru dan lama. Pertemuan ini menyebabkan sebahagian daripada mereka yang hadir duduk di atas tikar di halaman rumah sepanjang majlis hingga larut malam.Ketika itulah Syeikh Nazim membisikkan kepada Ustaz Haron Din dengan berkata "Mungkin sudah tiba masanya untuk mengadakan satu bangunan lain yang lebih besar dan selesa bagi menampung pelajar yang begitu ramai". Ustaz Haron Din mendiamkan diri mendengar bisikkan tersebut kerana masih tidak terbayang dalam fikirannya bagaimana hendak melaksanakan cadangan itu.

Tiga hari selepas itu, satu pertemuan diadakan di rumah Tuan Haji Ismail bin Haji Ali, beralamat di No. 26, Jalan Daud, Kg.Baru Kuala Lumpur. Majlis zikir diadakan diikuti dengan kuliah. Kehadiran pelajar tetap ramai hingga menyebabkan ruang tamu rumah menjadi sempit. Sekali lagi Syeikh Nazim rnenyatakan sesuatu kepada Ustaz Haron Din. Kata-katanya lebih jelas dan seumpama mendesak : "Tidak adil terus menerus berbuat begini kepada pelajar. Buatlah bangunan untuk mereka. Usaha ini adalah kerana Allah dan Allah akan tolong kamu ".

Selepas itu, mesyuarat jawatankuasa penubuhan bangunan rawatan Islam yang pertama telah diadakan di rumah Tuan Haji Abdul Rahman Haji Ahmad (Pegawai Daerah Seremban) pada 17 Ogos 1986. Pengerusi memaklumkan bahawa tujuan mesyuarat tersebut diadakan ialah untuk membincangkan tentang pembinaan sebuah bangunan rawatan Islam. Hasil daripada mesyuarat tersebut satu jawatankuasa tetap penubuhan bangunan pusat rawatan Islam telah ditubuhkan. la terdiri daripada:-

Pengerusi : Haji Abdul Rahman Haji Ahmad
Naib Pengerusi : Y. Bhg. Datuk Abdul Rashid Mahmud
SU Kehormat: : En. Mohd Salleh Haji Kassim
Pen. Setiausaha : Haji Mohd Sharif Haji Ibrahim
Bendahari : En. Ahmad Mohd Yusof
Urusetia : En. Minhat Haji Budin A. Bahudin

Selain nama di atas, pengerusi-pengerusi jawatankuasa kecil juga dilantik untuk menguruskan hal tertentu iaitu En. Ahmad Mohd Yusof (kewangan), Haji Mohd Sharif Haji Ibrahim (tanah) dan En. Mohamad Ahmad (pelan). Beliau telah menyediakan pelan bangunan dua tingkat yang dianggarkan menelan belanja lebih kurang RM 200,000.00 (Dua ratus ribu ringgit).

Mesyuarat pada 26 Oktober 1986 di rumah Tuan Haji Jaafar Sidek dimaklumkan bahawa wang sebanyak RM3000.00 telah terkumpul sejak kutipan derma dilancarkan. Sidang mesyuarat uga diberitahu bahawa ada beberapa orang dermawan telah bedanjl akan memberi derma berjumlah RM70,000.00. Selain itu, tanah untuk tapak bangunan telah diperolehi iaitu bersebelahan dengan rumah Ustaz Haron Din yang berharga RM16.00 sekaki persegi dengan keluasan 12,000 kaki persegi. Ketika itu harga tersebut masih dalam rundingan dengan tuan tanah.

Ahli jawatankuasa bersetuju membayar pendahuluan sebanyak 10% daripada harga tanah tersebut. Tuan Haji Jaafar juga memberitahu bahawa beliau mempunyai dua orang rakan yang berhasrat ingin memberi khidmat percuma kepada penubuhan bangunan yang dirancangkan dalam bidang rekabentuk atau pelan dan kejuruteraan. Mereka ialah Tuan Hajl Shamsudin Ahmad dan Tuan Haji Johari Jaalam. Ahli mesyuarat bersetuju melantik mereka untuk menganggotai jawatankuasa kecil pelan. Pelan bangunan yang siap dilukis oleh En. Mohamad Ahmad telah ditunjukkan kepada Tuan Haji Shamsudin Ahmad. Beliau bercadang untuk membuat satu pelan lain apabila pelan yang disediakan sebelum ini tidak dapat diterima kerana pembinaan bangunannya menelan belanja lebih daripada setengah juta ringgit. Dalam masa yang sama Ustaz Haron Din mendapat galakan daripada teman-teman agar meneruskan rancangan membina bangunan mengikut pelan baru.

Bemula dari tarikh tersebut, usaha mencari wang dimulakan dengan mengirimkan baucar-baucar dan surat-surat yang ditandatangani oleh Ustaz Haron Din, merayu sumbangan daripada orang-orang tertentu. Hasil daripada usaha itu pada peringkat awalnya agak mengecewakan kerana pulangannya terlalu sedikit, sedangkan wang yang diperlukan lebih daripada setengah juta.

Pada hari Ahad 17 April 1988, bertempat dirumah Ustaz Haron Din satu mesyuarat penubuhan persatuan telah diadakan. Seramai 88 orang telah hadir.Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Datuk Abdul Rashid ini telah bersetuju menubuhkan persatuan yang diberi nama “Persatuan Kebajikan dan Pengubalan Islam Malaysia” atau lebih dikenali sebagai Darussyifa'. Darussyifa merupakan dua perkataan, Dar yang bererti rumah dan as syifa yang bererti penawar.

Dalam mesyuarat pada 12 Disember 1988, dimaklumkan bahawa tuan kepada tanah yang terletak bersebelahan dengan rumah Ustaz Haron Din telah bersetuju menjual tanah tersebut dengan harga RM76,776.00. Sebagai deposit wang sebanyak RM30,000.00 telah dibayar kepada tuan tanah.Wang tersebut hasil daripada jualan buku Rawatan Pesakit Menurut al-Qur'an dan al-Sunnah.Tuan Haji Ismail bin Haji Abdullah telah memberi sumbangan sebanyak RM 28,000.00. Ahli mesyuarat juga diberitahu bahawa urusetia persatuan telah mengajukan surat permohonan pendaftaran pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan.Mesyuarat Jawatankuasa Persatuan yang diadakan pada 26 Mei 1989 telah dimaklumkan bahawa mesyuarat agung penubuhan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam telah diadakan di rumah Ustaz Haron Din bermula jam 9.15 malam.

Selaras dengan perkara 15.4 Undang-undang Persatuan ahli mesyuarat telah bersetuju memilih Tuan Haji Abdul Rahman bin Haji Ahmad sebagai pengerusi, Haji Mohd Sharif bin Haji Ibrahim sebagai setiausaha dan En Mohamad Amin bin Hassan sebagai bendahari. Mesyuarat juga bersetuju mengagihkan tugas bagi menjalankan kegiatan persatuan kepada Jawatankuasa-jawatankuasa Kecil (JKK).Pengerusi untuk setiap jawatankuasa kecil tersebut adalah seperti berikut:-

Pembangunan dan Harta : Datuk Haji Abdul Rashid Mahmud
Kewangan : En. Mohamad Amin Hassan
Pengubatan dan Pentadbiran Klinik : Haji Mohd Sharif Haji Ibrahim
Kebajikan dan Sosial : Haji Abdul Rahman Mustapha
Latihan, Kursus dan Seminar : Cikgu Mohd Nasir Jali

Anggota lain juga dilantik untuk membantu hal-hal berikut:

Kebajikan dan Sosial : Haji Ali Haji Ahmad
Penolong Setiausaha : En. Minhat Haji Budin A. Bahudin
Latihan : Dr. Mohd Omar Haji Salleh

Ahli mesyuarat bersetuju membina bangunan tiga tingkat, bukan dua tingkat seperti yang dicadangkan pada peringkat awal.Ketika mesyuarat diadakan, persatuan mempunyai wang terkumpul sebanyak RM45,000.00 hasil daripada jualan buku perubatan, derma am dan derma perseorangan. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor ketika itu juga menyuarakan hasratnya untuk memberi bantuan kepada pembinaan Bangunan Pusat Perubatan.

Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pembangunan dan Harta yang diadakan pada 6 Jun 1989 di rumah Ustaz Haron Din merupakan mesyuarat yang pertama setelah Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam didaftarkan. Usaha sedang dilakukan untuk menukar hak milik tanah daripada penjual kepada persatuan oleh Peguam Fadi. Sidang mesyuarat juga diberitahu bahawa bangunan yang dicadangkan itu dianggar menelan belanja sebanyak RM560,000.00 dengan pecahan belanja seperti berikut :

RM 400,000.00 kos pembinaan bangunan
RM 80,000.00 harga tanah
RM 80,000.00 kelengkapan

Ketika ini masalah yang dihadapi oleh jawatankuasa persatuan ialah sumber kewangan yang tidak mencukupi. Setakat ini, usaha memungut derma tidak dijalankan secara terbuka tetapi ada juga individu yang sanggup menyumbangkan derma untuk projek ini. Biarpun jumlah wang terkumpul ketika itu sedikit, namun harapan untuk membina pusat rawatan tersebut tetap ada.Bagi Ustaz Haron Din rancangan ini bermula dari hasrat murni semata-mata kerana Allah s.w.t. Oleh itu ia mesti diteruskan kerana tugas manusia ialah berusaha dan merancang. Kebimbangan tetap dirasakan lebih-lebih lagi apabila tarikh memulakan kerja-kerja pembinaan semakin hampir.

Tidak berapa lama selepas itu, salah seorang daripada ahli usrah memberitahu bahawa Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Azman Hashim ingin menemui Ustaz Haron Din untuk berbincang tentang pembinaan pusat rawatan Islam ini. Satu pertemuan diadakan di pejabat Tan Sri pada jam 6 petang keesokan harinya. Dalam pertemuan ringkas itu Tan Sri telah memberi jaminan kepada Ustaz Haron Din untuk memberi sumbangan bagi menyiapkan bangunan tersebut. Dengan bantuan kewangan yang diberikan oleh Tan Sri maka hasrat untuk melihat bangunan ini didirikan menjadi kenyataan.

Mesyuarat Jawatankuasa persatuan yang diadakan pada 20 Jun 1989 bertempat di no. 3488, Jalan Ampang Hilir 5, Kuala Lumpur yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Abdul Rahman Haji Ahmad telah dimaklumkan bahawa JKK Pengubatan dan Pentadbiran Klinik telah mengadakan mesyuarat dan membincangkan tentang sistem giliran bagi rawatan di klinik-klinik iaitu di Bangi dan Kampung Baru. Hasil daripada perbincangan tersebut, mereka memutuskan bahawa Ustaz Haron Din hanya merawat seramai 130 orang pesakit dalam satu masa, manakala yang selebihnya akan dirawat oleh pembantu-pembantunya.

Mesyuarat yang diadakan pada 29 Ogos 1989 pula dimaklumkan bahawa pelan bangunan persatuan telah siap. Emkay Associates Sdn. Bhd. menawarkan khidmat untuk membina bangunan tersebut dengan harga kos tanpa mengambil keuntungan daripadanya. Pihak yang berkaitan telah menjalankan kerja-kerja persiapan awal seperti menyediakan pelan disamping menguruskan perkara pindah milik tanah.

Satu pejumpaan telah diadakan pada 19 Disember 1989.Di antara mereka yang hadir ialah ahli jawatankuasa pembinaan juga sebagai wakil daripada Tuan Haji Mustafa Kamal (Tuan Haji Abdullah Mardi dan En. Saflan Mohd Ali), En. Shamsudin Ahmad, En. Omar Ahmad, En. Nordin dan lain-lain.Mesyuarat bersetuju agar kerja pembinaan dimulakan pada 1 Februari 1990.

Satu upacara majlis doa selamat diadakan di tapak bangunan pada 2 Januari 1990 jam 6:30 petang, Ahli mesyuarat juga bersetuju dengan kos awal pembinaan bangunan iaitu sebanyak RM354,258.85. Bayaran kepada kontraktor akan dibuat dengan lima kali pembayaran manakala pembayaran pelan bangunan yang diluluskan ialah RM2,791.00. Selain itu papan tanda pembinaan juga didirikan seperti yang dicadangkan oleh pihak kontraktor.

Pada 11 Februari 1990 ahli mesyuarat telah berbincang dan bersetuju menerirna Tetuan Emkay Associates Sdn. Bhd. sebagai pemborong yang akan membina bangunan persatuan dengan kos bemilal RM354,258.85 dalam tempoh 12 bulan. Tarikh mobilisasi pula berkuatkuasa mulai 15 Januari 1990. Penyerahan tapak kepada kontraktor dilakukan pada 2 Februari 1990.Selain itu sumber kewangan juga datang daripada derma yang diterima setiap minggu di klinik Bangi dan Kampung Baru sebanyak RM200. Mesyuarat yang diadakan pada 26 Februari 1990 telah melantik seorang ahli persatuan iaitu Haji Ishak Haji Arshad untuk mewakili kepentingan persatuan dalam penyeliaan projek pembinaan. Mesyuarat juga meminta bendahari menyemak dan menyediakan senarai edaran buku yang bayarannya belum diterima. Mereka yang masih berhutang diminta menjelaskannya dengan segera. Setiap ahli juga diminta untuk mengambil 20 buah buku "Rawatan Gangguan Makhluk Halus Menurut al-Qur'an dan al-Sunnah" untuk diedarkan. Dalam masa yang sama, hasrat untuk mendokumentasikan sejarah persatuan ini ditimbulkan oleh JKK Penerbitan.

Mesyuarat jawatankuasa yang diadakan pada 3 April 1990 dimaklumkan tentang perlu adanya sokongan moral untuk penubuhan klinik cawangan di Jitra Kedah begitu juga dengan penubuhan Klinik Perubatan Islam di Banting. Mesyuarat juga diberitahu bahawa derma sebanyak RM100,000.00 telah diterima daripada Menteri Besar Selangor. Pada 12 November 1990 kerja pembinaan telah siap sebanyak 50%. Tuntutan kemajuan ketiga sebanyak RM 79,000.00 telah dijelaskan.

Bersempena dengan perasmian bangunan persatuan yang dicadangkan, satu risalah tentang penubuhan hasil tulisan Dr. Amran Kasimin akan diterbitkan. Ahli mesyuarat telah bersetuju mengeluarkan zakat pada tahun 1990 sebanyak RM 10,000 yang diberi kepada Sekolah Tasdikiah Songkhla Hatyai, Songkhla Thailand.

Bangunan Darussyifa' mula digunakan pada hari Ahad 17 Mac 1991 bersamaan dengan 1 Ramadan 1411H. Anggota persatuan telah bersembahyang Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Haron Din. Upacara majlis diteruskan dengan solat tarawih. Bangunan ini terus digunakan untuk rawatan dan kuliah pengubatan. Perasmian Bangunan telah dilaksanakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Azman Hashim pada 1 September 1991.





Suasana Klinik Darussyifa' Bangi pada hari selasa